Jumaat, 13 Februari 2009

Gapena Teruskan Saman pada 15 Februari

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim rashiqah@bharian.com.my

GABUNGAN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) akan meneruskan niat untuk mengheret Kementerian Pelajaran ke mahkamah dan merancang untuk mengemukakan laporan polis pada 15 Februari ini berikutan kerajaan gagal membatalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum 2009.

Prof. Emeritus Ismail, Shamsudin dan Borhan memberi hujah masing-masing pada Wacana Integriti Bahasa Melayu Martabatkan Bahasa Melayu di UPM, baru-baru ini.

Ketua I Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana tempoh yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran agar membatalkan PPSMI sehingga 31 Disember lalu, tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“PPSMI secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang termaktub bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan tindakan berkenaan menyebabkan pelbagai pihak mengambil kesempatan untuk memperlekeh ketuanan Melayu,” katanya pada Wacana Integriti Bahasa Melayu: Memartabatkan bahasa Melayu.

Wacana anjuran Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Gapena yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Fakulti Pendidikan UPM, Serdang, baru-baru ini, dipengerusikan Pensyarah UPM, Shamsudin Othman, dihadiri kalangan akademik.

Beliau menyifatkan pelaksanaan PPSMI bercanggah dengan Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Laporan Barnes, Laporan Fenn-Wu, Laporan Jawatankuasa Penasihat Pusat Tentang Pendidikan, Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.

“Dalam akta dan semua laporan ini jelas menunjukkan bahasa Melayu adalah bahasa pengantar utama di sekolah dan kerana itu kami menentang PPSMI kerana ia menyentuh kesucian Perlembagaan sekali gus meminggirkan dan menjatuhkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Gapena, Borhan Mat Zain, berkata tindakan berkenaan tidak menggambarkan Gapena mengabaikan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, bahkan pihaknya mengakui kepentingan bahasa itu dalam mengejar kemajuan.

“Gapena berasa bahasa Inggeris perlu dikekalkan sebagai bahasa kedua negara ini bagi melengkapkan keupayaan berbahasa dalam masyarakat kita. Bagaimanapun PPSMI bukan cara terbaik bagi membantu menjayakannya kerana hanya akan merugikan bangsa Melayu,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar dana yang digunakan untuk melaksanakan PPSMI digunakan untuk melaksanakan sistem baru seperti mengadakan kelas tambahan bahasa Inggeris, kursus insentif untuk guru yang terbabit selain menambahkan syarat wajib lulus peperiksaan dengan tambahan subjek bahasa Inggeris.

Borhan menyifatkan tindakan yang bakal diambil Gapena adalah tanda kemuncak kepada kekecewaan cendekiawan dan pejuang bahasa Melayu kerana desakan agar PPSMI tidak diteruskan sebelum ini tidak mendapat maklum balas sepatutnya daripada Kerajaan.

“Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada Wacana Dilema Melayu, mengakui bahawa dasar PPSMI yang diperkenalkan beliau pada 2003 adalah kesilapan dalam pentadbirannya yang ketika itu menganggap dasar berkenaan mampu meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: