Jumaat, 13 Februari 2009

Godam: Gapena, Semangat Keranda 152, GMP dan Bahasa Melayu

Bersama Salbiah Ani, dahiya@bharian.com.my, BH 11 Februari 2009
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20090212091322/Article/

TIGA hari lagi kita akan menghirup udara 15 Februari dan perkara terbabit sengaja diketengahkan dalam ruang pojok ini kerana ada janji yang dibuat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) serta dinantikan ramai untuk melihat sendiri apakah ia akan ditunaikan.

Gapena pernah berjanji untuk mengadakan perarakan dari Rumah Gapena ke Istana Negara pada tarikh terbabit bagi menyatakan protes kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun kelantangan Gapena pada Disember lalu selepas dibidas Godam, mula mengendur selepas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, mempersoalkan mengapa tindakan sedemikian rupa tidak diambil ketika PPSMI dilaksanakan pada 2003.

Terbaru, khabarnya Gapena akan mengadakan ceramah pada hari terbabit yang disampaikan oleh mantan Pengarah Urusan Sistem Penerbangan Malaysia (Mas), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan disusuli dengan laporan polis berhubung PPSMI di Balai Polis Dang Wangi.

Selain itu, ia tarikh penting dalam sejarah bahasa dan bangsa Melayu di negara ini kerana peristiwa Keranda 152 sebagai penentangan terhadap Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang memperkukuh lagi kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara.

Terkedu penulis apabila membaca ulasan Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 tulisan Zainal Abidin Abd Wahid yang menjelaskan perkara itu secara rinci seperti dimuatkan dalam Keranda 152 - Bahasa Kita - Air Mata & Maruah Kita terbitan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Begitu juga dengan sikap mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam ucapannya dan Memorandum Mengenai Pelaksanaan Fasal 152 Perlembagaan Malaysia yang turut dimuatkan dalam buku terbabit, seolah-olah tidak kasih akan bahasa Melayu.

Terlalu berlembut dalam memenuhi tuntutan pemimpin bukan Melayu dalam meliberalkan pengajaran bahasa kaum mereka sehingga sanggup mengguris hati orang Melayu meskipun janji sudah diberikan ketika Perlembagaan Negara digubal pada 1957 sebaik mendapat kemerdekaan.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada segala yang dirancang akan dilaksanakan Gapena mengikut jadual dan kini sudah ada satu lagi kumpulan menolak PPSMI, Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP), melancarkan gerakan dengan bantahan secara aman pada 31 Januari lalu.

Terkini penulis dimaklumkan, GMP akan mengadakan jerayawara di seluruh negara mulai esok dengan destinasi pertama di Negeri Sembilan dan diakhiri di Wilayah Persekutuan atau Selangor pada 6 Mac depan selain menjadikan masyarakat di bandar kecil sebagai kelompok sasaran untuk penjelasan.

Antara tokoh yang dijadualkan menyertai jerayawara ini ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, Profesor Bahasa Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Abdullah Hassan, mantan Profesor Matematik, Pusat Pengajian Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shahril Mat Zain dan mantan Pengarah Pusat Pengajian Borneo UKM, Datuk Zainal Abidin Abd Wahid.

GMP turut merancang untuk menyerahkan memorandum meminta ahli Parlimen membincangkan bahawa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan kaedah budaya yang akhirnya akan membunuh bahasa ibunda secara perlahan-lahan.

Penulis diberitahu ramai pensyarah di IPTA menentang PPSMI, tetapi terpaksa mendiamkan diri kerana terikat dengan Surat Aku Janji yang mensyaratkan mereka mematuhi lapan perkara sebagai kakitangan awam termasuk akur dan menyokong semua dasar kerajaan.

Sesetengah yang sudah menyatakan pendirian mereka secara terbuka termasuk di kalangan pejuang bahasa, sudah pun dipanggil polis d Cawangan Khas untuk disoal siasat dan diminta memberi hujah bagi mempertahankan tindakan masing-masing.

Suatu hakikat yang sering dinafikan kelompok yang enggan memahami semangat pejuang bahasa ialah mereka bukan taksub dan tidak pernah menafikan kepentingan bahasa Inggeris, tetapi biarlah penguasaan dimantapkan melalui pengajaran subjek, bukannya menjadikan Sains dan Matematik sebagai mangsa.

Pendekatan ini menguntungkan pelajar tanpa mengira bangsa, sosio-ekonomi mahupun kedudukan geografi mereka serta memungkinkan lebih ramai rakyat Malaysia meningkatkan taraf hidup kerana Sains dan Matematik, subjek asas kemasukan ke universiti dengan kursus bernilai ekonomi.

Atau sebenarnya kelompok yang sengaja enggan memahami aspirasi pejuang bahasa Melayu sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi dan mungkinkah tunjuk perasaan Keranda 152 pada 6 Mac 1967 akan berulang dalam usaha memastikan dasar PPSMI dihapuskan?

Tiada ulasan: