Oleh Salbiah Ani, Berita Harian
GELOMBANG penolakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semakin hangat dirasai dengan kehadiran beberapa kelompok pejuang bahasa Melayu yang menyatakan pendirian mereka secara terbuka berhubung perkara ini.
Lebih menyentap hati senario terkini penolakan PPSMI ialah kehadiran kalangan veteran pejuang bahasa Melayu termasuk mereka yang pernah menerajui badan bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pembabitan tokoh seperti Datuk Dr Hassan Ahmad dalam Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan kenyataan berulang kali Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, dengan hujah menolak andaian PPSMI meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, perlu direnung sedalam-dalamnya.
Hendaknya kesediaan GMP menyerahkan kajian pasukan penyelidik 50 pensyarah dari tujuh universiti di bawah seliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dilihat Kementerian Pelajaran sebagai usaha jujur mereka menolak dengan hujah berdasarkan fakta.
Kajian Pembina yang membabitkan pelajar Tingkatan Empat di 70 sekolah menengah dan murid Tahun Lima di 90 sekolah rendah dengan rumusan PPSMI gagal memberi manfaat khususnya kepada pelajar luar bandar semua bangsa, perlu diberi perhatian.
Tindakan GMP dengan keanggotaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik dan keengganan mereka diperalatkan mana-mana parti politik serta kesediaan bekerjasama dengan kerajaan dalam menyelesaikan kemelut ini, perlu dinilai dengan sejujur-jujurnya.
Jika masih ada pihak berasa pejuang bahasa Melayu terlalu taksub dengan perjuangan mereka, tidak dapatkah kelompok yang melemparkan tuduhan ini melihat kewarasan lontaran pandangan tokoh intelektual disegani, Ungku Aziz.
Tentu sebagai mantan Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaya, pusat pengajian tinggi tertua di Malaysia, beliau tidak beromong kosong dan meskipun Ungku Aziz bergerak bersendirian dalam perkara ini, kenyataannya berhubung ketidakwajaran meneruskan PPSMI, tidak pernah berubah.
Mengapa tidak pengakuan berhubung kejayaan Universiti Malaya melahirkan pakar bidang di kalangan pelajar Melayu yang pernah mengikuti kursus di Pusat Asasi Sains yang mengajar Sains dan Matematik sepenuhnya dalam bahasa Melayu bermula 1974, dilihat dengan jernih hati.
Suatu yang pasti, tiada walau sekelumit niat di kalangan pejuang bahasa Melayu yang menolak PPSMI untuk menidakkan wibawa Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Hussein dan seperti diakuinya sendiri, dasar berkenaan berkuat kuasa sebelum beliau menyandang ‘kerusi’ sekarang.
Dasar berkenaan dikuatkuasakan ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, menerajui pemerintahan negara dan corak kepimpinan pada dekad terbabit menyaksikan tiada seorang pun menteri Kabinet tanpa mengira bangsa, berani mengemukakan pandangan berbeza.
Malah, ketika Wacana Kembara Bahasa 2005 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Unit Sastera, Berita Harian, di Kuantan, Pahang, pada 10 hingga 12 September 2005, panel yang bersuara mengenai perkara ini dinasihatkan melupakan ‘topik’ terbabit.
Sebagai pengamal media di akhbar Melayu, penulis tidak mahu melihat bahasa Melayu ditalkinkan hanya kerana dasar terdahulu yang silap, tetapi diteruskan juga kerana termakan momokan bahawa rakyat Malaysia tidak mampu maju, jika tidak fasih berbahasa Inggeris.
Kebimbangan ini bukan kerana tempoh perkhidmatan yang berbaki tidak sampai tiga suku dekad, tetapi berpunca daripada keengganan melihat industri buku, majalah, komik dan akhbar negara ini, antara teras ekonomi utama yang dikuasai bangsa Melayu di Malaysia, berkubur!
Pasti sedih melihat bahasa Melayu dihumban dan dibunuh bangsanya sendiri selepas diangkat sebagai bahasa rasmi negara serta dipilih sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan negara sejak merdeka 52 tahun lalu, menerusi Perlembagaan Negara, oleh pemimpin terdahulu.
Hendaknya Kementerian Pelajaran terbuka akal budinya untuk menilai segala protes terhadap PPSMI dan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu mereka, gah pada nama, tetapi dari segi pencapaian, nol.
Tentu rakyat Malaysia lebih rela dikaitkan dengan negara seperti Korea, China, Jepun dan Perancis, meskipun penguasaan bahasa Inggeris rakyatnya tidak sebaik mana, tetapi ternyata mereka mampu gah sebagai pencipta sehingga mampu melebarkan sayap ekonominya ke negara orang; segala-galanya kerana dada diterangi ilmu dalam bahasa ibunda sendiri!.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan