Oleh Dr. Firdaus Abdullah firdausabdullah44@gmail.com
Akibat sampingan PPSMI pembangkang dapat senjata tambahan. Jika tidak pasti yang hendak dicapai “eloklah kembali ke pangkal jalan.”
SEKURANG-KURANGNYA ada dua akibat sampingan PPSMI yang telah membawa ‘padah politik’ (jika tidak mahu menggunakan perkataan ‘musibah politik’) kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Pertama, isu itu telah memberi platform tambahan kepada parti-parti pembangkang untuk bersatu menggodam BN.
Kedua, dalam kalangan pemimpin dan penyokong BN sendiri telah terjadi perpecahan akibat perbezaan pendapat mengenai isu PPSMI itu. Perbezaan pendapat ini berlaku di kalangan sesama menteri dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat UMNO dan juga antara menteri-menteri BN.
Itu adalah antara akibat-akibat jangka pendek dari segi politik. Kesan jangka panjang dari segi pendidikan dan pembinaan negara bangsa, masih berterusan menjadi punca pertelingkahan di kalangan pelbagai pihak.
Kita belum lagi menyebut kesan ekonominya terhadap kewangan negara dari segi pembiayaan infrastruktur tambahan dan elaun guru-guru yang terlibat dalam pelaksanaan PPSMI itu.
Kerana itu, di tengah-tengah hiruk-pikuk suara-suara menentang dan mempertahankan PPSMI sekarang, saya ingin menyarankan supaya kita menanyakan kembali beberapa soalan asas.
Pertama, mungkin ramai yang tidak tahu atau sudah lupa apakah ayat penuh daripada singkatan PPSMI itu?
PPSMI adalah akronim atau singkatan daripada ayat “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris” Ini adalah satu kaedah atau cara mengajarkan mata pelajaran sains dan matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya dalam sistem persekolahan di negara ini.
Kaedah ini diputuskan secara mengejut dalam satu sidang kabinet khas pada bulan Julai 2002 dan dipaksakan kepada guru-guru dan murid-murid darjah satu (Sekolah Rendah), tingkatan satu dan tingkatan enam (Sekolah Menengah) mulai tahun pengajaran 2003.
Sebelum itu, untuk selama hampir 30 tahun kedua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Melayu.
Perubahan ini (dari pada menggunakan bahasa Melayu kepada menggunakan bahasa Inggeris) boleh dikatakan berlaku dalam keadaan tergesa-gesa. Kerana itu dapat diduga bahawa pelaksanaannya dipaksakan tanpa persiapan yang sungguh-sungguh dan tanpa perbincangan yang menyeluruh di kalangan pakar pendidikan dan profesional perguruan.
Tetapi bantahan masyarakat awam sejak awal lagi sudah cukup meluas walau tidak dapat liputan media yang wajar.
Hanya sejak akhir-akhir ini, liputan media massa mulai meluas dengan bertambah meluasnya bantahan dan sokongan pelbagai pihak. Tetapi liputan meluas oleh media massa itu adakalanya menambah kekeliruan kerana terdapat kecenderungan melemparkan tuduhan-tuduhan yang tak tepat seperti “anti bahasa Inggeris” atau “emosional” atau “tak sayang anak bangsa.”
Satu lagi akibat sampingan polemik PPSMI ini ialah terpinggir dan tersingkirnya dari aliran perdana tokoh-tokoh bahasa dan budaya yang selama ini kelihatan “bersahabat” dengan parti pemerintah.
Umpamanya, Sasterawan A. Samad Said yang selama ini kelihatan rapat dengan “aliran perdana” atau pihak establishment tetapi sekarang sudah mulai menampilkan dan menampakkan diri dalam acara-acara dan demonstrasi menentang PPSMI.
Begitu juga dengan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Ismail Hussein sekarang sudah secara terbuka memperlihatkan tentangan dan bantahan walau pun selama ini sesetengah pihak menganggap beliau mempunyai sikap yang akamodatif dan proestablishment.
Satu lagi akibat sampingan yang saya anggap mendukacitakan ialah semakin meluasnya budaya “bermuka-muka” atau “berpura-pura” dalam kalangan sesetengah pegawai tinggi kerajaan.
Mereka memperlekeh dan mencemuhkan PPSMI secara berbisik-bisik di warung-warung teh tarik atau semasa kudapan di majlis-majlis kerajaan. Tetapi mereka memberi sokongan secara terbuka di hadapan menteri atau di hadapan pemimpin-pemimpin politik yang pro-PPSMI itu.
Saya percaya polemik dan kontroversi PPSMI ini akan berterusan sehingga satu keputusan muktamad diambil dan dilaksanakan. Atau konflik ini mungkin akan menjadi lebih buruk jika keputusan muktamad itu nanti tidak dapat diterima oleh pihak-pihak berkenaan.
Kalau itu berlaku, akibat sampingannya bukan sahaja membawa “padah” malah mungkin membawa “musibah.”
Satu lagi soalan asas yang telah berulang kali ditanyakan dengan berbagai-bagai cara dan ungkapan ialah: Apa sebenarnya yang hendak dicapai oleh PPSMI?
Sesetengah pihak menjawab untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Sesetengah pihak yang lain untuk memudahkan generasi baharu Malaysia mengikuti kemajuan sains dan teknologi.
Tetapi setakat ini, pada hemat saya, belum ada satu huraian yang lengkap dan sistematik mengenai matlamat sebenar yang hendak dicapai oleh PPSMI itu. Ini mungkin boleh juga dianggap sebagai satu lagi akibat sampingan daripada PPSMI itu, iaitu semakin berleluasanya sikap evasive, iaitu kecenderungan mengetepikan persoalan dan menangguhkan penyelesaian.D
ATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan