Rabu, 4 Februari 2009

“Kami Tidak Terima Janji Mansuhkan PPSMI”

“Kami Tidak Terima Janji Mansuhkan PPSMI”
Jimadie Shah Othman, Malaysiakini, Feb 3, 09 4:57pm


"Kami tidak menerima janji-janji politik", demikian tegas Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) terhadap saranan Kementerian Pelajaran yang berharap siri bantahan mereka ditangguhkan sementara isu itu dibawa kepada kabinet.

Setiausaha GMP Hasni Abas berkata pihaknya telah mendengar jaminan untuk membatalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak beberapa tahun lalu.

"Sudah tujuh tahun (PPSMI dilaksanakan). Ini bukan masanya untuk berjanji, tetapi menunaikan (janji)," kata Hasni, juga pengerusi Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tambahnya, GMP setakat ini tidak merancang untuk menangguhkan sebarang program bantahannya, termasuk pengedaran risalah dan ceramah di Kuala Terengganu dan Jerantut pada 13 Februari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong hari ini yang menyatakan menteri berkenaan akan membawa isu PPSMI itu kepada mesyuarat kabinet "dalam masa terdekat."

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Hasni berkata, selagi kerajaan tidak mengumumkan keputusannya mengembalikan bahasa Melayu yang diguna pakai sebelum 2002, GMP akan meneruskan bantahannya seperti dirancang.

Menurutnya lagi, selain mengadakan siri jelajah berhubung bantahan mereka, GMP akan hadir ke Parlimen pada 17 Februari ini bagi menyerahkan memorandum pendirian mereka kepada kesemua ahli parlimen BN dan Pakatan Rakyat.

Katanya, memorandum itu bertujuan mendesak ahli-ahli Dewan Rakyat itu menyuarakan dan memperjuangkan pemansuhan dasar kontroversi itu.
Sabtu lalu, GMP meningkatkan bantahannya dengan melangkah ke tahap baru - berhimpun di jalan raya (foto kanan).

Perhimpunan julung-julung kali itu dilancarkan di perkarangan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman - simbol lazim siri bantahan era reformasi 1998.

Majlis pelancaran ini diadakan dalam rangka GMP menganjurkan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum isu PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.