Sabtu, 7 Februari 2009

PMR 2008: Respons Cikgu Bad, Guru Mesti Berani Bersuara

Respons 3 "Lagi-lagi Isu Murid Menjawab dalam Bahasa Inggeris" di http://profabdullah1.wordpress.com/
PPSMI: Dua Orang Panelis Menolak PPSMI. Syabas!
Respons Cikgu Bad pada 03/01/2009

Salam Prof. dan rakan-rakan pendidik,

Rancangan Isu mengenai polemik PPSMI di RTM1 beberapa hari lepas telah memberikan “mileage” (dengan izin) kepada perjuangan mendaulatkan semula bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Saya percaya bahawa majoriti rakyat memihak kepada dua orang panelis dari Majlis Permuafakatan PIBG dan ATMA UKM (Maaf saya lupa nama mereka) kerana hujah dan premis mereka yang patriotik dan berani dalam mendukung pendirian menolak dasar PPSMI.

Bagi panelis pertama iaitu Ketua Pengarah Pelajaran, kita faham apabila beliau teguh mempertahankan dan penuh optimis terhadap dasar PPSMI. Beliau adalah kakitangan kerajaan yang bekerja di bawah Menteri Pelajaran secara langsung! Malangnya beliau tidak cukup kritis dalam mengutarakan hujahnya.

Apakah pun, keputusan akhir terletak di tangan Menteri Pelajaran. Saya berharap beliau lebih bijaksana dan lebih patriotik dalam erti kata sebenar ketika membuat keputusan kelak.

Kita menyokong sebarang usaha untuk mengheret Kerajaan ke mahkamah jika dasar PPSMI ini diteruskan. Asas perlembagaan Perkara 152 dan dikuatkan dengan ‘cultural will’ dari pencinta budaya bangsa akan menjadikan isu ini antara isu paling pokok dalam kalendar 2009.

Saya berharap Prof. dan rakan-rakan terus bersuara dengan berani hingga akhirnya menyedarkan pihak kerajaan bahawa mereka telah tersilap membina acuan pemikiran tinggi di kalangan generasi muda negara.

Insya-Allah dengan upaya minda kritis dan semangat cinta akan tanah air, perjuangan ini akan terus berlangsung. Guru-guru kita mesti berani bersuara kepada majikan mereka tanpa rasa takut kerana nasib anak-anak kita terletak di tangan mereka.

Sedarkah kita bahawa yang dipertaruhkan oleh kerajaan yang berkuasa sekarang sejak lima tahun lalu ialah masa depan anak-anak kita!

Tiada ulasan: