PPSMI: Kenapa Kini, Bukannya 2003?
Mohd Khalil Abdullah, Harakahdaily, 3 Feb 2009
BAGUSLAH. Tahun 2009 seolah menjadi tonik mujarab untuk semua pencinta bahasa ibunda di negara ini. Ibu bapa boleh menarik nafas lega. Guru-guru mungkin kini boleh mengangkat sedikit kepala mereka.
Bagi diri pencinta bahasa, hayunan langkah dan tujahan tangan ke langit pada minggu lalu diharapkan tidak menjadi sia-sia. Jangan menjadi hangat-hangat tahi ayam sudahlah.
Cuma yang ingin penulis nukilkan di sini adalah beberapa keluhan yang diterima daripada ibu dan bapa sahabat-sahabat.
Ada di kalangan anak-anak sahabat penulis yang sudah masuk tahun 6 di sekolah kebangsaan. Saban hari mereka mengeluh. Selalu ada sahaja cerita yang dibawa ke pejabat. Semuanya mengenai peel anak-anak di sekolah.
Anak masih tak pandai-pandai. Peliknya yang tak pandai hanyalah dalam dua subjek sahaja. Bahasa Melayu - A -, bahasa Inggeris - A - tetapi bila masuk subjek Matematik dan Sains jadi corot.
Itu yang pelik. Ada sekali penulis menguji anak sahabat ini dengan menggunakan bahasa Melayu, hebat semua dijawab betul. 100 peratus. Tetapi bila penulis mengolah dalam bahasa 'mata biru', terkial-kial anak sahabat tadi. Nak dapat 50 peratus pun sukar.
Ini yang merunsingkan penulis. Nampaknya, sejak 2003 dasar bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik tidak menampakkan hasil apa-apa (kalau dilihat pada anak sahabat-sahabat penulis). Malah, ada luahan kecewa daripada mereka sebagai ibu bapa, bahawa mereka terseksa jiwa sepanjang anak mereka bersekolah enam tahun itu.
Penulis tidak mahu menyalahkan lagi kerajaan BN yang mengangkarai sistem yang kalut ini, tetapi yang ingin penulis persoalkan adalah kenapa begitu lama masa yang diambil oleh bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr. Hassan Ahmad?
Apakah enam tahun diperlukan untuk menetaskan idea bahawa langkah mengajar kedua-dua subjek tersebut terbukti gagal?
Apakah pengenalan sistem tersebut oleh Tun Mahathir ketika mula-mula dahulu tidak terdetik di hati mereka bahawa ia jelas mencemarkan bahasa ibunda yang disanjung tinggi selama ini?
Kenapa sekarang? Apakah 2003 dahulu kesedaran tidak wujud? Atau semua pejuang bahasa masih tidur diulit bantal BN? Atau kini 2009 baru terasa 'selesa' kerana menyedari ada sokongan daripada penyokong dan pengundi di enam buah negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat Mac 2009 lalu?
Atau apakah, Hassan Ahmad dan rakan-rakan merasakan 2003 tidak selamat dan akan tidak popular mereka jika membantah ketika itu? Atau para pejuang bahasa ingin menjadi oportunis dalam kesempatan yang ada kini untuk meraih sebanyak mungkin populariti dalam koleksi resume mereka?
Tidak terfikirkah betapa seksanya, anak-anak kecil selama enam tahun dalam kemelut dunia ilmu mereka? Tidak terbayangkah mereka betapa cemasnya para ibu bapa, apabila setiap tahun selama enam tahun itu, betapa ramai nasib anak-anak bangsa dihancurkan masa hadapan mereka kerana tidak lulus kedua-dua subjek tersebut gara-gara tiadanya pihak yang membantah secara rakus seperti kini?
Dan tidak terjentikkah di hati kecil para pejuang bahasa, di manakah mereka pada tahun 2003? Siapakah agaknya yang ingin menanggung dosa kerana hancurnya masa depan anak-anak ini? Pemerintah BN-kah yang berdosa? Atau dosa ini ingin dikongsi sama para pejuang bahasa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan