PPSMI Makin Merosakkan, Hapuskan Segera!
Salmiyah Harun Fri Jan 09, 09 7:03:47 am MYT
KUALA LUMPUR,9 Jan (Hrkh) - "Kerajaan tidak perlu menunggu sehingga tahun depan untuk memutuskan sama ada PPSMI itu diteruskan atau tidak.
"Seharusnya kerajaan menghapuskan segera dasar itu kerana ianya jelas satu dasar yang salah," demikian penjelasan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr Hassan Ahmad.
Beliau ketika dihubungi Harakahdaily berkata, kajian itu tidak perlu ditangguh dari setahun ke setahun kerana dasar itu sudah banyak mengundang "kerosakan".
Dalam pada itu beliau turut menjelaskan nama Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu (Selamat) itu perlu diubah kepada Sekretariat Hapuskan PPSMI.
Beliau juga akan memastikan himpunan 100,000 rakyat untuk Hapuskan PPSMI berjalan secepat mungkin bukan sebagaimana didakwa akan dilakukan hujung tahun ini.
"Ada beberapa perkara yang hendak dipersiapkan dan akan diketahui dalam beberapa hari lagi, hendak buat perhimpunan dengan segera," katanya.
Bagaimanapun katanya, oleh kerana sekretariat ini baru ditubuhkan ianya perlu sedikit masa bagi menyelaraskan termasuklah perjalanan perhimpunan itu nanti.
"Ini termasuklah dari segi organisasi dan di mana himpunan itu akan diadakan," katanya.
Dalam pada itu Sekretariat Himpunan Hapuskan PPSMI sedang berusaha mengumpul NGO dan parti politik yang akan turut serta dalam perhimpunan itu nanti.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Karyawan menegaskan, desakan bagi memansuhkan PPSMI "harus datang dari dalam Umno" sebagai parti terbesar orang Melayu dalam gabungan BN.
Hassan berpandangan sekarang merupakan masa yang tepat untuk menyuarakannya bantahan itu memandangkan pemilihan agung parti itu hanya tinggal dua bulan lagi.
Beliau juga melahirkan kekecewaan kerana kebanyakan pemimpin Umno dan ahli-ahlinya lebih bersikap mengikut sahaja keputusan yang dibuat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar parti-parti pembangkang lebih aktif menyuarakan bantahan itu.
"Kalau PAS (membantah), kuat suaranya. Kalau KeADILan bersuara, kuat," katanya.
Semalam, Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishamuddin Hussein berkata pihaknya masih ada masa untuk menentukan keputusan berkenaan dengan membuat kajian teliti serta pertimbangan mendalam terhadap perkara itu.
Oleh itu, kerajaan akan menunggu sehingga tahun depan untuk menentukan sama ada keputusan pelaksanaan dasar PPSMI diteruskan atau tidak. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan