14 Mac, 2009 20:39 PM
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu diteruskan dan kerajaan tidak seharusnya membazirkan sumber kewangannya dengan kembali kepada sistem lama yang tidak membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris.
Itulah antara hasil rumusan dialog mengenai PPSMI anjuran Persatuan Pemuda Negara yang dihadiri siswazah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, Sabtu.
Dialog itu turut merumuskan bahawa PPSMI adalah wadah terbaik bagi seseorang pelajar itu menguasai bahasa Inggeris selain mampu mendalami ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa yang diguna di peringkat antarabangsa.
Presiden Persatuan Pemuda Negara Stephen Doss berkata setelah pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan kejayaan PPSMI, adalah tidak wajar jika ia dibatalkan hanya kerana terdapat beberapa bantahan daripada pihak tertentu."
Daripada pandangan semua panel dan soalan yang dikemukakan peserta, jelas menunjukkan keperluan untuk meneruskan PPSMI," katanya kepada pemberita selepas dialog itu.
Sehubungan itu, satu memorandum mengenai rumusan dialog itu akan diserah kepada Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum Perhimpunan Agung Umno ini.
Stephen berkata PPSMI masih praktikal dan relevan untuk diteruskan memandangkan negara tidak mempunyai pakar yang mencukupi untuk menterjemah rujukan Sains dan Matematik ke Bahasa Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Chedet Syed Hassan Syed Ali yang hadir pada sesi dialog itu berpendapat kejayaan pelajar dalam subjek Sains dan Matematik bakal memberikan kelebihan kepada negara terutama dalam bidang pendidikan serta sains dan teknologi."
Pada saya ia perlu. Kalau kita bercakap mengenai kekurangan guru untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris terutama di luar bandar, pada lima tahun akan datang, beribu pelajar yang berjaya dalam Sains dan Matematik hari ini akan mengisi kekurangan itu," katanya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan