Jumaat, 6 Mac 2009

Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata & Maruah Kita

Dipetik daripada Blog Jiwa Rasa, dengan sedikit suntingan.

Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata & Maruah Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 2002. Cetakan pertama 1968, 108 muka surat.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah melalui sejarah yang panjang. Pejuang bahasa sebelum merdeka ialah pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan.

Keranda 152 ialah satu episod daripada rantaian perjuangan meletakkan bahasa Melayu di tempat yang selayaknya. Buku Keranda 152, Bahasa kita, Air Mata & Maruah Kita ialah sebuah buku yang sudah lama saya cari. Buku ini diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 2002. Buku asalnya berupa himpunan tulisan berbentuk stensilan pada tahun 1968.

Kandungan buku ini ialah cetusan hati untuk memperingati ulang tahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967). Buku ini menceritakan detik-detik peristiwa penentangan yang berlaku pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Apa sebenarnya Keranda 152? Keranda 152 merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ialah kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama-sama oleh rakyat berbilang bangsa.

Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya ialah bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil alih tugas bahasa Inggeris yang digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Atas sebab itu, bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan munasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

Keadaan yang berlaku pada tahun 1967 ialah bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan bukan kerajaan (NGO) Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jikalau bahasa anak peribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak digunakan di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan?

Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagai dikhianati oleh para pemimpin yang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan sembilan orang peguam Melayu menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac 1967.

Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan air mata mengenangkan nasib bahasa Melayu:"... saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat ...."

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod dalam sejarah perjuangan bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir.

Peristiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Pada hari ini, di manakah bahasa Melayu? Masihkah di dalam keranda?

Tiada ulasan: