PPSMI: Lemahnya Abdullah, Sampai ke Akhir
Ahmad Lutfi Othman, Harakahdaily, 12 Mac 2009
Perhimpunan 100,000 rakyat menuntut agar rancangan "pelik, aneh dan bengap" Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sememangnya berjaya dengan cemerlang sekali.
Sekalung tahniah buat pihak penganjur yang mengatur persiapan rapi sejak awal, juga para pejuang bahasa, aktivis budaya, pemimpin politik dan sudah pasti orang ramai, termasuk pelajar-pelajar sekolah yang bersedia dikejar anggota FRU dan ditembak gas pemedih mata, semata-mata bagi merakam sejarah baru era perjuangan bahasa yang lebih mencabar.
Kehadiran cukup memberangsangkan. Lautan manusia, walaupun terpecah-pecah kerana disuraikan polis secara ganas, bukan sekadar mahu menyampaikan mesej jelas-tegas buat pemimpin kerajaan BN, malah mereka bertekad tinggi untuk melakukan perubahan menyelamatkan masa depan anak bangsa. Mereka sedar penguasa sombong-angkuh BN selalunya sukar memahami bahasa lunak melalui diskusi, perbincangan meja bulat atau memorandum yang dikarang indah.
Justeru, perarakan raksasa 7 Mac lalu boleh dianggap langkah awal sementara menantikan respons sewajarnya, sebelum tindakan lebih berkesan melalui peti undi dapat dibuat kurang lebih tiga tahun lagi.
Ada pihak menyifatkan himpunan petang Sabtu itu satu kebangkitan menyeluruh umat Melayu (tanpa mengetepikan ia turut dimeriahkan oleh pelbagai NGO dari masyarakat Tionghua dan India) dan petanda penolakan mereka terhadap Umno yang terbukti telah "menjahanamkan" bangsa, agama dan negara.
Orang Melayu dalam pilihan raya ke-12 lalu masih meninggalkan sisa-sisa sokongan buat Umno, namun parti berkenaan jelas "tidak mengenang budi".
Jerit derita orang Melayu tidak dihiraukan, malah diremehkan. Lihat saja layanan pemimpin Umno terhadap gema suara tokoh-tokoh Melayu, misalnya Sasterawan Negara A Samad Said dan bekas Ketua Pengarah DBP, Dr Hassan Ahmad.
Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein bukan sahaja tidak mengambil berat bantahan tokoh-tokoh ini terhadap PPSMI, tetapi turut membuat tohmahan melulu bahawa mereka diperalatkan oleh pembangkang. Ya, selepas Umno menutup pintu daripada mendengar kritikan-teguran para pejuang bahasa ini, yang sarat dengan hujah bernas dan argumen konkrit, pemimpinnya bertindak liar menghamburkan penghinaan, sehingga rombongan menghadap Yang di-Pertuan Agong pun ditembak gas pemedih mata secara sembrono dan membabi-buta.
Lalu, diulang-tayang propaganda tujahan media bahawa pihak yang didakwa mencetuskan keganasan adalah peserta himpunan atau penunjuk perasaan, walhal mereka sebenarnya yang menjadi mangsa.
Semuanya taktik lapuk dan usang yang terbukti selama ini telah memakan tuan. Rakyat makin muak dan jelak, seperti marahnya mereka dengan rampasan kuasa di Perak dan bagaimana paparan media terhadap drama berkenaan.
Lebih aneh, Abdullah Ahmad Badawi yang bakal bersara beberapa hari lagi bersuara lemah memohon Kementerian Pelajaran supaya disegerakan keputusan yang wajar bagi mengelakkkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan. Laihnya Abdullah seolah-olah jawatan Perdana Menteri bukan miliknya lagi.
Mengapa tidak digunakan kuasa eksekutifnya untuk mencabut dasar "gila" ini, yang mana ketika diperkenalkan dahulu langsung tidak pernah dirundingi biarpun ia bercanggah dengan Perlembagaan dan apa jua undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan?
Ataupun Abdullah sudah dikepung dan "diikat kaki dan tangannya" oleh Najib Razak, sehingga terpaksa melutut meminta ehsan kepada Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin, yang juga sepupu Najib?
Memalukan betul!
Sedangkan ramai mengharapkan Abdullah mampu menjernihkan suasana yang dilihat serba buntu dalam tempoh kritikal ini. Ataupun Abdullah kini ibarat harimau kehilangan taring dan sudah dikerat kukunya.
Elok juga direnungi dua perenggan terakhir ucapan tokoh besar PAS, Almarhum Tan Sri Asri Muda, di bawah ini sewaktu menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) - yang terus mengagungkan bahasa Inggeris - di Parlimen, pada bulan Mac, 1967 di hadapan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abd Rahman.
PPSMI pastinya lebih ganas dan merbahaya. Justeru, ia sewajarnya ditentang habis-habisan, sehebat mungkin, bagi memastikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dapat dipulihkan, selain penganiayaan terhadap anak-anak kita dapat dihentikan segera.
"Tuan Yang Dipertua, saya percaya, bahawa suara hati yang saya kemukakan di Dewan ini, itulah juga suara hati yang lahir daripada nurani tiap-tiap seorang anggota Dewan yang berjiwa dan bersemangat cintakan bahasa kebangsaan, cinta sejati, cinta bersih bukan cinta celupan, tetapi Tuan Yang Dipertua, keadaan yang mengikat dan kepentingan yang mengelilingi mereka itulah sahaja yang saya rasa mungkin menyebabkan mereka tidak berani membuat tentangan; hati membangkang, seradang-radangnya, mulut membungkam seribu bahasa, hanya tangan terangkat ke atas menyatakan setuju pada zahirnya, tetapi menyerah kalah pada hakikatnya.
"Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak." _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan