Pembantah PPSMI bermesyuarat bantu siasatan polis
Malaysiakini, Mar 13, 09 11:03am
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang diminta polis hadir membantu siasatan berhubung demonstrasi besar membantah dasar kontroversi itu, akan bertemu petang ini.
Mesyuarat itu bagi menentukan tindakan selanjutnya berhubung panggilan polis itu yang diumumkan oleh polis Kuala Lumpur dalam satu kenyataan semalam, kata setiausahanya Hasni Abas.
Menurut polis, perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu lepas dekat Istana Negara tidak mempunyai permit dan melanggar Seksyen 27 Akta Polis.
Selain Pengerusi GMP Datuk Dr Hasan Ahmad bersama barisan pemimpin gabungan itu, polis juga meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa serta beberapapemimpin kanan parti termasuk naib presidennya Mohamad Sabu, ketua Pemudanya Salahuddin Ayub dan ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail juga turut dikehendaki polis.
Timbalan pengerusi GMP Dr Shaharir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hasan, setiausaha GMP Hasni Abas, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Mohammad Faizal Abd Aziz, Aizad Mohd Saleh, Muhammad Haafizuddin Abirerah dan pemimpin Pemuda PAS Kamarulzaman Mohamad antara 22 individu yang diminta membantu siasatan.GMP dijangka mengadakan satu sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan