Dinsman
Harakahdaily Tue Mar 03, 09 1:39:40 am MYT
Hari Khamis malam Jumaat 26 Februari yang lepas, Prof. Dato' Dr. Nik Safiah Karim terpaksa bersengkang mata bersama kami. Kira-kira pukul 2.30 pagi, profesor bahasa Melayu ini masih duduk minum dan berbual di RnR Nilai. Biasanya waktu itu dia sudah nyenyak tidur di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Tetapi mengapa malam itu dia masih di lebuh raya?
Betul seperti kata Mohammad Sabu ketika berucap di Dataran Hamas, Jasin, Melaka, beberapa jam sebelum itu. Orang seperti Prof. Nik Safiah Karim dan orang seperti Sasterawan Negara A Samad Said yang sedang berada di hujung hayat mereka, sepatutnya tidak perlu lagi bersusah payah merempuh perjalanan jauh seperti yang sedang mereka lakukan sekarang. Apa sebenarnya yang mereka mahu lagi?
"Prof Nik Safiah bukannya hendak melawan Sharizat Jalil untuk jadi Ketua Wanita Umno. Sasterawan Negara A Samad Said pun bukannya hendak berkempen untuk menjadi menteri. Mereka tak perlu lagi kepada itu semua? Tetapi mereka terpaksa melakukan ini semata-mata kerana hendak memelihara bahasa Melayu, disebabkan oleh adanya pemimpin Melayu sendiri yang cuba hendak membunuh bahasa Melayu."
Naib Presiden PAS itu menyatakan dia berasa sangat sedih melihat tokoh-tokoh bahasa dan sastera kita terpaksa menghadapi masalah yang tidak menyenangkan itu, disebabkan oleh sikap masyarakat kita yang semakin tidak mempedulikan nilai budayanya sendiri.
Malam itu Mat Sabu, pimpinan PAS yang dikenali sebagai tokoh penceramah paling diminati ramai itu, sedang dalam siri jelajah negara untuk meraih sokongan rakyat terhadap perjuangan memansuhkan PPSMI. Dia sememangnya hampir setiap malam berceramah untuk PAS. Dan ceramahnya dalam sebulan ini semuanya dijadikan kempen untuk menyokong perjuangan memansuhkan PPSMI.
Selepas Dato' Dr Hassan Ahmad bersetuju memimpin gerakan memperjuangkan semula kedaulatan bahasa Melayu ini, diikuti oleh Profesor Shaharil Mohd Zain, Profesor Abdullah Hassan, dan Sasterawan Negara A Samad Said yang dengan beraninya berdiri di atas pentas PAS dan keADILan, bagi menyatakan perjuangan mereka membantah PPSMI, pada 24 Februari pentas KeADILan Kelana Jaya menyaksikan pula Prof. Dr. Ir Wan Abu Bakar menceritakan pengalamannyaberpuluh tahun mengajarkan kejuruteraan di universiti, dalam bahasa Melayu, tanpa menghadapimasalah.
Pada 26 Februari tampil pula Prof. Nik Safiah, berdiri di sebuah pentas PAS, menjelaskan kepada orang-orang Melaka yang berkumpul di Jasin, mengapa PPSMI perlu dimansuhkan, dan mengapa sebahagian masyarakat kita (khasnya orang-orang Umno) telah hilang kecintaan terhadap bahasa mereka sendiri.
Sebenarnya ramai lagi tokoh-tokoh akademik yang tidak setuju dengan pelaksanaan PPSMI. Nik Safiah sendiri menghadiri perbincangan apa yang selalu disebut Menteri Pelajaran sebagai perbincangan meja bulat bagi mendapatkan pandangan para ahli akademik terhadap pelaksanaan PPSMI.
Kata menteri itu, perbincangan tersebut menyokong PPSMI. Tetapi kata Nik Safiah lebih ramai yang membantah daripada yang menyokong. Hanya pihak menteri itu yang menyelewengkan fakta yang sebenar.
Saya sendiri menerima banyak SMS daripada pembaca yang mengaku sebagai guru, yang menyokong perjuangan GMP (Gerakan Mansuh PPSMI), dan berjanji akan turun beramai-ramai ke hadapan Istana Negara pada jam 2.00 petang 7 Mac ini.
Peristiwa penyertaan kalangan budayawan dan ahli akademik dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh GMP sejak beberapa minggu ini, bagi saya adalah peristiwa yang sangat menarik. Ia adalah satu gelombang baharu kebangkitan rakyat Malaysia, sebagai kesinambungan daripada gerakan Reformasi 1998.
Seperti yang pernah saya bincangkan di ruangan ini tidak lama selepas pilihan raya umum ke-12, perubahan di kalangan para budayawan dan cendekiawan kita berlaku terlambat. Tidak mengapalah. Dulu kita mungkin kecewa melihat tidak ada perubahan di kalangan mereka. Tetapi kini melihat gelombang kebangkitan yang berlaku, hilanglah semua rasa kecewa dulu itu.
Menariknya kebangkitan baru ini kerana ia bukan digerakkan oleh motif politik mahupun ekonomi, tetapi oleh kesedaran ilmu dan budaya. Kita perhatikan pihak penguasa dan parti Umno-BN yang sombong dan angkuh itu pun jadi seolah-olah "kebengongan" dan serba salah untuk bertindak balas. Mereka kurang mahir dalam membaca riak dan angin yang baru ini.
Perkembangan ini memang sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan. Ia baru saja bermula. Barangkali perhimpunan yang disebut sebagai Perhimpunan 100 Ribu pada Sabtu 7 Mac ini akan memberikan banyak petunjuk untuk kita membaca ke mana arah yang akan dituju oleh gelombang baru ini.
Para budayawan dan cendekiawan sudahpun bangkit menunjukkan jiwa amarah mereka terhadap kepandiran dan kezaliman yang berlaku. Yang kita tunggu-tunggu sekarang ialah golongan guru.
Persoalan PPSMI ini pun sebenarnya adalah persoalan yang membabitkan guru secara khusus dan langsung. Apakah mereka akan terus menikus dan menunjukkan peribadi yang takut, ataupun mereka juga akan bangkit?
Sama-samalah kita tunggu perkembangan menarik itu. Dan sementara itu saya ingin mengingatkan sekali lagi akan satu peristiwa yang agak menarik juga, terutamanya bagi orang-orang utara, iaitu majlis forum GMP yang akan diadakan disebuah masjid di Permatang Pauh, menjelang hari bersejarah yang ditunggu-tunggu, iaitu pada 5 Mac, lepas solat Isya'. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Batu.
Samad Said akan hadir, Cikgu Azmi (Teras) akan hadir, Azizi Hj Abdullah akan hadir, Hasni Abas akan hadir, dan saya juga insya-Allah hadir. Oleh sebab majlis ini dianjur bersama oleh sebuah badan penulis yang menjadi kerabat Gapena, khabarnya beberapa orang pimpinan Gapena dari Kuala Lumpur juga akan hadir.
Ya, marilah kita bertemu di Masjid Batu itu!
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my
atau SMS 0136362408 _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan