Sabtu, 7 Mac 2009

Perhimpunan 7 Mac 2009: 150 Ribu Disekat

Sabtu 7 Mac 2009 10 Rabi'ul Awal 1430 Hijrah
Himpunan 100 ribu: 150 ribu disekat,berpuluh gas pemedih mata dilepaskan!
Oleh Irwan,Saidah,Anis,Intan,Salmiyah, Roy, Arif & Atriza. Sat Mar 07, 09 9:18:15 am MYT

TerkiniKUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Maklumat terkini daripada petugas Harakah di lokasi memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah melepaskan berpuluh gas pemedih mata.

Dianggarkan lebih 150 ribu orang ketika ini masih berusaha untuk masuk ke arah Istana Negara.

Berikut adalah beberapa perkembangan terkini yang dibawa secara langsung oleh para wartawan Harakah yang bertugas di 3 lokasi perhimpunan serta di kawasan Istana Negara:

3.15 petang: Pihak berkuasa mula menyembur pancutan air daripada 'Water Cannon' dan melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai yang sedang berehat di Masjid Negara.

3.00 petang: Ustaz Riduan Mohd Nor mengajak orang ramai untuk kembali semula ke Masjid Negara memandangkan pihak polis masih bertalu melepaskan gas pemedih mata.

2.55 petang: Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said kelihatan berada di pintu pagar Istana Negara.

2.50 petang: Polis masih terus melepaskan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama amaran dikeluarkan agar semua bersurai jika tidak tangkapan akan dilakukan.

2.35petang: pihak polis mula melepaskan berpuluh gas pemedih mata.

2.30 petang: Dianggarkan lebih 150 ribu orang sedang berusaha untuk menembusi sekatan FRU di jalan menghala ke Istana Negara.

2.21 petang: Kumpulan daripada Sogo yang berarak telah mula bersatu dengan kumpulan daripada Dayabumi,dianggarkan lebih 5,000 orang ketika ini sedang bergerak ke arah Istana Negara. Sementara itu, dilaporkan bahawa FRU sedang mengalihkan trak untuk membuat hadangan terhadap kumpulan daripada Masjid Negara.

2.20 petang: Dianggarkan lebih 1,000 orang sedang berarak daripada Pasar Seni ke arah Dataran Merdeka dengan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Chik.

Sementara itu, di Istana Negara para wartawan telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan istana oleh polis. Dilaporkan,cpihak polis sedang membuat hadangan di hadapan istana.

2.16 petang: Sementara di Pasar Seni, Ustaz Abu bakar Chik sedang membaca doa dan pihak polis telah membenarkan kumpulan di situ untuk berarak.

2.15 petang: Namun, rantaian sekatan yang dibuat FRU telah dirempuh oleh rakyat yang berhimpun dengan laungan Allahuakbar!

2.10 petang: FRU ketika ini sedang menghalang rakyat yang berhimpun di Masjid Negara daripada berarak ke Istana Negara.

2.05 petang: Pihak polis sedang menghalang beberapa kumpulan di Pasar Seni daripada berhimpun dan berarak ke Masjid Negara.

2.00 petang: Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat sertai AJK GMP sedang berucap untuk menaikkan semangat rakyat yang hadir agar berarak ke Istana Negara.

1.52 petang: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, Dr. Syed Azman, Dato' Mahfuz Omar sedang memimpin perarakan daripada Kompleks Sogo bersama lebih 1,000 orang yang menyokong untuk membantah dasar PPSMI. Walaupun,chujan turun namun semua bersemangat dengan meneriak pelbagai slogan.

1.50 petang: Pihak kerajaan melaksanakan languange cleansing (pembersihan bahasa) kerana berdegil untuk meneruskan dasar PPSMI walaupun dibantah oleh rakyat.

1.35 petang: Dua buah bas yang membawa orang asli daripada Tapah, Perak telah ditahan pihak polis di Damansara dan dibawa ke Balai Polis Sentul untuk disoal siasat.

1.25 petang: Sekumpulan wakil daripada Chinese Assembly Hall telah tiba di pekarangan Masjid Negara dan turut menyatakan sokongan terhadap bantahan PPSMI.

1.15 petang: Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said melahirkan kekecewaan dengan sistem demokrasi negara apabila dilaporkan dua buah bas yang sedang menuju ke Masjid Negara telah ditahan polis.

1.10 petang: Pihak polis mengarahkan sepanduk membantah PPSMI diturunkan di Masjid Negara.

1.00 petang: Dato' Dr Hassan Ahmad melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai hari ini dan ia jelas menandakan PPSMI ditolak oleh rakyat. Dr. Hassan memaklumkan setelah berunding dengan wakil GMP, pihak polis hanya membenarkan sebanyak 7 orang dengan 3 buah kereta bergerak ke Istana Negara selepas solat Zohor (sekitar jam 2.00 petang). Turut serta adalah beberapa wakil NGO berbangsa Cina. Namun, pihak polis masih melarang untuk diadakan sebarang perarakan, tetapi perhimpunan hanya dibenarkan di kawasan masjid sahaja.

12.50 tengah hari: Kira-kira 10,000 orang sudah mula berhimpun di sekitar kawasan Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih.

12.45 tengah hari: Lebih 1,500 orang daripada Kelantan telah tiba di KL Sentral melalui keretapi dan kini telah bergerak ke tiga lokasi yang ditentukan oleh pihak penganjur.

12.45 tengah hari: Keadaan di Masjid Negara masih terkawal,namun anggota polis dianggarkan lebih 50 orang ditempatkan sekitar kawasan masjid.

12.30 tengah hari: Jalan dari arah Jalan Klang Lama dan Parlimen telah ditutup oleh pihak polis.

12.00 tengah hari: Kawasan sekitar Pasar Seni mula gamat dengan anggota polis yang ditambah lebih 100 orang. Sementara itu, di hadapan bangunan Jawi kelihatan 3 buah trak Water Cannon.

Tiada ulasan: