Sabtu, 7 Mac 2009

Polis Tembak Gas Pemedih Mata

Sabtu 7 Mac 2009 10 Rabi'ul Awal 1430 Hijrah
Polis tembak gas pemedih mata, Sasterawan Negara A. Samad Said ditangkap!
Azamin Amin Sat Mar 07, 09 3:03:40 pm MYT

TerkiniKUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Terkini menurut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang berada di lokasi berhampiran Istana Negara memaklumkan bahawa Sasterawan Negara A. Samad Said ditangkap oleh pihak polis di depan pintu istana.

FRU kini katanya telah melancarkan tembakan gas pemedih mata kepada para peserta himpunan dan dalam masa yang sama pasukan anggota polis kelihatan mengejar beberapa para peserta di lokasi berdekatan stesen Keretapi KTM berdekatan Istana Negara.

Menurut beliau, kawasan sekitar Istana Negara kelihatan 'memutih' kerana lebih 100,000 orang ramai masih bertahan sungguhpun terasa bahang gas pemedih mata yang dilancarkan oleh FRU.
"Saya sudah tak nampak kawasan sekitar, mata sangat pedih kena tembakan gas. Saya akan maklumkan kemudian," katanya singkat ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Dilaporkan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS termasuk para pejuang bahasa yang lain turut berada di sekitar kawasan istana negara.

Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dato' Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Kira-kira jam 3.15 petang Lutfi memaklumkan bahawa ribuan orang ramai sudah mula berundur dari Istana Negara ke Masjid Negara kerana 'asakan' dan serangan yang dilakukan oleh pihak FRU dan para peserta di minta berkumpul ke sana. - azm _

Tiada ulasan: