Ahad, 22 Mac 2009

Persoalan tentang Matlamat Akhir Dasar PPSMI

Sabtu, Mac 21, 2009
Banyaknya persoalan...

Dalam Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2002 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, dinyatakan tujuan perlaksanaan ppsmi adalah seperti berikut:

"Dasar ini digubal berasaskan hakikat bahawa Sains dan Matematik adalah bidang ilmu yang sangat dinamik dengan pelbagai penemuan baru dan sebahagian besar maklumat yang berkaitan dengannya terdapat dalam Bahasa Inggeris. Matlamat akhir dasar ini adalah membolehkan murid mengakses maklumat yang berkaitan melalui pelbagai media supaya mereka mampu menguasai ilmu Sains dan Matematik dan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa di samping melahirkan generasi yang kukuh dalam penggunaan bahasa Inggeris."

Apa yang saya faham dari petikan di atas:

1. Sebahagian besar maklumat berkaitan sains dan matematik adalah dalam bahasa Inggeris.

2. KPM mahu pelajar dapat mengakses maklumat dalam pelbagai media supaya pelajar dapat menguasai sains dan matematik.

3. KPM mahu pelajar bersaya saing di peringkat antarabangsa.

4. KPM mahu melahirkan generasi yang kukuh penggunaan bahasa Inggeris.

Persoalan yang berlegar di fikiran saya:

1. Maklumat yang banyak dalam bahasa Inggeris itu boleh dipindahkan ke bahasa Melayu. Kita ada Institut Terjemahan Negara (ITNM). Kita ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Peruntukan berbillion ringgit untuk ppsmi boleh disalurkan ke tempat yang lebih layak. Pelajar tidak akan bermasalah, perlembagaan negara juga tidak diperlekehkan dan bahasa Melayu juga tidak tergugat. Bukankah cara ini lebih baik?

2. Apakah selama ini pelajar kita gagal menguasai sains dan matematik? Apakah bahasa Melayu gagal memainkan peranannya sebagai bahasa pengantar untuk sains dan matematik di sekolah? Jika maklumat dan sumber rujukan atau buku-buku dalam bahasa Melayu dikatakan kurang, apakah dasar ppsmi akan menambah baik keadaan ini? Bukankah ppsmi akan hanya membenamkan usaha memperkembang bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi? Maklum sahaja, apabila pelajar sudah mahir dalam bahasa Inggeris, apa perlunya lagi buku-buku dalam bahasa Melayu?

3. Berapa peratus pelajar kita yang pergi ke peringkat antarabangsa? Berapa peratus pula yang berjuang untuk kelangsungan hidup dalam negara sendiri? Apakah selama ini pelajar kita gagal untuk bersaing di arena antarabangsa? Bukankah pelajar kita yang sekarang ini sedang menuntut di Russia, UK, Jerman, Jepun, New Zealand dan sebagainya itu mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu ketika di sekolah? Apakah para pelajar ini gagal bersaing? Justeru, yang pulang dari luar negara dengan pelbagai kejayaan itu siapa?

4. Belajar menguasai bahasa seharusnya dalam kelas bahasa, bukan kelas sains dan matematik. Perkasakan sahaja mata pelajaran bahasa Inggeris.

Saya berikan satu contoh soalan yang dikeluarkan dalam satu ujian bulanan pelajar tahap

1:5 + 6 = ____
A. 11
B. 14
C. 12
D. 13

Jika pelajar menjawab soalan di atas dengan betul, apakah kita akan katakan bahawa pelajar ini telah menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Bagaimana kita boleh menentukan bahasa apa yang digunakan oleh pelajar ketika mereka menjawab soalan di atas? Hanya kerana soalan tersebut diletak di ruangan soalan berbahasa Inggeris maka kita katakan ppsmi berjaya dan pelajar sudah mampu menguasai bahasa Inggeris?

Hahaha. Lawak antarabangsa!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Akses internet nanti boleh diterjemah automatik bahasa-bahasa lain di dunia ke bahasa Melayu.

Dengan PPSMI pula akan menghanyutkan bahasa Melayu ke hilir. Yang perkasa nanti tentulah bahasa Inggeris.

Pemimpin jangan lemah sangat semangatnya, bercita-cita besarlah. Perkasakan bidang terjemahan negara.