Isnin, 9 Mac 2009

Polis Akan Panggil Empat Orang Pemimpin PAS

Ekoran himpunan 100,000
Daripada Berita harian 9 Mac 2009

Polis akan panggil 4 pemimpin Pas
Oleh Ifwan Tun Tuahifwan@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan empat pemimpin Pas yang menyertai perarakan haram membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara kelmarin bagi membantu siasatan.

Mereka yang akan dipanggil dalam masa terdekat ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar.

Turut dipanggil memberi keterangan ialah beberapa pemimpin Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), termasuk Datuk Dr Hassan Ahmad, dipercayai berhubung kegagalan gerakan itu mematuhi perjanjian dengan polis untuk tidak berarak dan berdemonstrasi.

Polis dikatakan mahu menyiasat pembabitan mereka dalam perarakan anjuran GMP yang disertai kira-kira 5,000 penyokong dari Masjid Negara ke Istana Negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata keterangan perlu diambil bagi melengkapkan siasatan.

“Kita akan panggil semua mereka yang terbabit dalam perhimpunan itu. Penganjur dan pemimpin pembangkang juga akan diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya semalam.

Tiada ulasan: