Sabtu, 7 Mac 2009

Polis Tembak Gas kepada Penentang PPSMI

Malaysiakini, Mar 7, 09 1:54pm, kemaskini 3.08pm

Perhimpunan membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bermula di Masjid Negara dengan kawalan ketat polis.

Perhimpunan yang dibenarkan oleh pihak berwajib itu berarak ke Istana Negara bagi membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu.

Polis bagaimanapun melarang sebarang perarakan ke istana dan juga perhimpunan di dua lokasi lagi seperi dirancang, Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo.

Polis kelihatan berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana.

Untuk memintas sekatan polis di situ, kumpulan lebih 1,000 penentang dasar tersebut di kalangan aktivis bahasa dan penyokong pembangkang bergerak melalui jejantas depan masjid menuju Kampung Attap, dekat istana.

Polis melepaskan gas pemedih mata kepada penentang dasar PPSMI di situ sehingga memecahkan kumpulan tersebut kepada dua kelompok kecil.

Tembakan gas pemedih mata juga kelihatan di lebuh raya tersebut, dekat jejantas di atas Jalan Syed Putra.

Suasana kelam-kabut, orang ramai berpakaian putih - sebagai lambang membantah PPSMI - bertempiaran lari. Belum ada laporan tangkapan diterima, setakat ini.Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan peserta perhimpunan menentang PPSMI terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju Istana Negara.

Walaupun mereka bersurai seketika cuba mengelak asap gas pemedih mata, sebahagian terus berdegil cuba berarak ke istana. Manakala polis antirusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan menuju mahkamah syariah dari arah Jalan Syed Putra.

Sebahagian peserta demonstrasi cuba bergerak kembali ke Masjid Negara.Sementara di Istana Negara, kawalan lebih 150 anggota polis dan unit pencegah rusuhan FRU, termasuk kenderaan pemancut air.Polis menutup Lebuhraya Mahameru - dari arah Sungai Besi - bagi menghadapi sebarang kemungkinan kehadiran peserta perhimpunan tersebut.Difahamkan seorang lelaki ditahan polis depan istana. Butiran lanjut belum diperolehi.

Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad menyerahkan memorandum anti-PPSMI kepada penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu.

Kawasan tersebut, yang dijadikan daya tarikan pelancong, kini dikawal ketat oleh polis.

Laporan awal:
Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Demonstrasi (?) anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu turut disertai Sasterawan Negara terkenal Datuk A Samad Said dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tiada ulasan: