Berikut ialah sangkalan GMP terhadap pandangan PAGE yang disiarkan di Berita Minggu 1 Mac 2009 ms 36 – 37
Aspirasi dan Sokongan PAGE
1. Pertamanya PAGE ingin menunjukkan kekuatannya dengan mengatakan selepas Persidangan Meja Bulat Ogos 2008, pihak PAGE berusaha mendapat “mandat dan jemput wakil PIBG, sekolah di Lembah Kelang”, dan “dalam masa sebulan dapat 2,000 individu dan 240 buah sekolah yang meminta PPSMI dikekalkan.”
2. Beliau tidak pula mendedahkan hasil Persidangan Meja Bulat itu (ada ahli GMP yang berjaya menyelinap masuk secara sah) penyokong PPSMI, termasuk ketua besar PAGE yang dibenarkan berucap itu, hanya sekitar 30% sahaja!
3. Agaknya PAGE kecewa dengan persidangan itulah yang sebenarnya menyebabkan PAGE berusaha selama dua bulan itu. PAGE harus insaf juga bilangan dua ribu dan 240 buah sekolah di Lembah Kelang yang diperolehnya itu langsung tidak boleh mewakili puluhan ribu sekolah seluruh Malaysia.
4. Bahkan tidak boleh mewakili Lembah Kelang pun, kalau kita andaikan hasil tinjauan TV7 selama setengah jam selang berita jam lapan malam suatu masa dahulu (sekitar beberapa bulan sebelum Meja Bulat itu, kalau tak salah) ternyata sekitar 70% penonton TV7 masa itu tidak menyokong PPSMI.
5. Bercakap tentang PIBG, kerana PAGE tak puas hati dengan pendirian wakil Presiden PIBG Malaysia di persidangan Meja Bulat itu, beberapa hari yang lepas sahaja Presiden PIBG Malaysia menyatakan (menerusi akhbar Malaysia kini; akhbar perdana memang tidak menyiarkannya, yang tentunya menggembirakan PAGE!) bahawa 8 ribu PIBG seluruh Malaysia menentang PPSMI.
6. Pembaca juga tidak tahu profil penyokong PAGE (yang seramai 2 ribu individu di Lembah Kelang itu, orang-orang besar PAGE dan jurucakap 240 buah sekolah itu).
7. Adakah mereka ini guru-guru pakar sains dan matematik dan sebagainya? Adakah mereka ini kebanyakannya memang tidak menggunakan bahasa Inggeris di rumahnya?
8. Cuba bandingkan profil 68 orang Profesor bidang “sains dan matematik” yang menyatakan secara bertulis (atas sebuah memorandum) yang menentang dasar PPSMI sejak awal pengenalan dasar ini; dan Badan Bukan Kerajaan (BBK) yang menyatakan sokongan kepada GMP kini mencecah ratusan yang antaranya termasuklah beberapa buah persatuan yang khusus untuk ahli sains dan matematik, dan sebuah Majlis Profesor yang terdiri daripada semua profesor bidang “sains dan matematik” UKM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan