Rabu, 21 Mac 2012

Bahasa Melayu Dibongsaikan untuk Ditalkinkan?

Bahasa Melayu Menjelang 2021: Membina Persepsi dan Realiti
Oleh Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz
Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang.
Detik Daily, 14 November 2011

Sebelum 4 Nov 2011, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin nampak begitu tegas untuk menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Semenjak Julai 2009, TPM telah mengisytiharkan PPSMI akan ditamatkan pada 2012. Ekoran itu, pelbagai reaksi positif dan negatif terhadap kenyataan TPM ini.

NGO seperti GMP (Gabungan Mansuhkan PPSMI) sangat gembira dengan keputusan TPM ini. Semenjak itu, TPM telah menempelak sesiapa yang mahu PPSMI dikekalkan. Media pro pemerintah (kecuali akhbar STAR) pula menggambarkan PPSMI akan berkubur pada 2012. Tegasnya, TPM kelihatan semacam bersungguh-sungguh untuk menghapuskan PPSMI yang dipaksakan oleh Dr. Mahathir Mohamed yang percaya cara ini akan dapat mengatasi kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah yang akhirnya kita dapati PPSMI satu pendekatan yang bebal.

Pelbagai pihak seperti Parent Action Group for Education (PAGE) terus mendesak supaya PPSMI diteruskan. Ada yang mengugut pihak pemerintah untuk tidak mengundi mereka pada pilihan raya akan datang. STAR terus membawa mesej PPSMI perlu diteruskan demi mengelak anak-anak di sekolah tidak menjadi mangsa kekeliruan dasar pendidikan yang “flip-flop” itu. Desakan dari NGO seperti PAGE akhir mengena. Ketegasan TPM untuk menghapuskan PPSMI pada 2012 akhir cair.

Sebagaimana dengan pandangan umum, tegasan TPM itu mudah terkulai dan ini nyata apabila pada 4 November 2011, TPM mengumumkan bahawa PPSMI akan terus dilanjutkan lagi sehingga ke tahun 2021. Pengumuman ini dikatakan sebagai satu “soft-landing” yang baik dan bijak. Tegasnya, PPSMI akan dihapuskan secara berperingkat-peringkat.

GMP tentu sangat kecewa dengan keputusan ini. Rata-rata orang melihat keputusan ini merupakan satu keputusan sambil lewa atau “flip-flop”. Apa yang nyata, yang menang di sini ialah PAGE dan NGO yang lain yang pro PPSMI. Kemenangan ini akan menyebabkan mereka akan bekerja keras lagi untuk memperjuangkan PPSMI sehingga membatalkan pemansuhannya.

Sewajarnya, TPM menjadi lebih tegas apabila ada fakta yang mengatakan 5 - 7% sekolah di seluruh negara menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan teknologi. Maknanya PPSMI telah gagal dan ini mengorbankan sejumlah besar pelajar di Malaysia yang merupakan kapital intelektual penting bagi memajukan Malaysia. Jika PPSMI boleh dilaksanakan di sekolah dengan serta-merta tanpa persiapan yang cukup pada 2003, kenapa PPSMI tidak boleh dihapuskan serta-merta juga?

Bukankah ini “double standard” namanya? Keputusan TPM ini mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Pejuang yang anti-PPSMI seperti GMP pasti kecewa kerana mereka mahu PPSMI dihapuskan segera dan tidak perlu tunggu hingga tahun 2021. Mereka percaya dalam masa 10 tahun lagi keputusan politik boleh berubah seperti yang diperlihatkan oleh TPM sendiri. Bagaimanakah TPM boleh membuat “u-turn” (walaupun dinafikan) terhadap keputusan untuk menghapuskan PPSMI pada 2012?

Sejak mula lagi ramai agak skeptikal dengan ketegasan TPM untuk menghapuskan PPSMI dengan segera kerana umum mengetahui bahawa Dr. Mahathir yang memaksa PPSMI pada sistem pendidikan negara masih berpengaruh di dalam parti UMNO di mana TPM merupakan Timbalan Presidennya. Usaha TPM untuk menduduki kerusi Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri bukan lagi satu “open-secret”. Pengaruh Dr. Mahathir untuk membolehkan TPM menerajui UMNO sangat diperlukan.

Maka mana mungkin TPM berani untuk menolak PPSMI secara drastik kerana Dr. Mahathir mahu legasinya ini terus terpelihara. Beliau tidak mengira baik buruknya. Beliau ada mencadangkan supaya satu referendum diadakan bagi mengetahui penerimaan PPSMI di dalam masyarakat. Mungkin beliau yakin rakyat menerima PPSMI. Dengan kata lain, TPM terperangkap di antara tuntutan politik dan bahasa Melayunya. Akhirnya, pertimbangan politik lebih penting daripada memikirkan masa depan bahasa Melayu.

Dengan keputusan pemerintah untuk meneruskan PPSMI hingga 2021 maka, keputusan ini telah menjadikan masa depan bahasa Melayu kelihatan lebih gelap lagi. Kegusaran ini ada landasannya. Sukar untuk menjangkakan kedudukan bahasa Melayu di pentas utama negara pada masa depan. Sungguhpun 2016 merupakan tamatnya PPSMI di peringkat sekolah rendah dan 2021 di peringkat sekolah menengah, nasib bahasa Melayu tidak terjamin cerah pada 2016 atau 2021.

Politik boleh mengubah segalanya. Dalam masa 10 tahun itu banyak perkara boleh berlaku. Pembatalan PPSMI boleh ditarik balik bila-bila masa. Sesiapa yang mengharapkan pada 2021 akan menjanjikan masa depan yang baik kepada bahasa Melayu adalah orang yang bodoh atau telah dibodohkan.

Sebenarnya para pejuang bahasa Melayu telah terlepas satu peluang untuk menghapuskan PPSMI pada tahun 2012. Peluang keemasan ini tidak digunakan sepenuhnya. Mereka sebenarnya telah berada di zon selesa apabila termakan dengan cakap-cakap yang diberikan oleh TPM dan pengampunya.

Pejuang Bahasa Melayu begitu yakin dengan perkembangan mutakhir ini yang didodoi oleh golongan tertentu yang banyak mengampu daripada bertindak tegas terhadap bahasa Melayu. Beberapa waktu terakhir sebelum 4 November 2011, terdapat beberapa peristiwa yang mengaburi mata pejuang bahasa Melayu.

Misalnya, di dalam satu majlis TPM mengumumkan Kementerian Pelajaran melalui DBP akan menyediakan dana sebanyak dua juta untuk menerbitkan buku sains dan teknologi di dalam bahasa Melayu, pelancaran meriah Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 dengan pelbagai program di seluruh negara dan Kongres Bahasa Melayu yang dihadiri oleh TPM.

Di dalam majlis-majlis ini didendangkan irama yang sedap didengar tentang masa depan bahasa Melayu yang gemilang. Angin kesungguhan TPM untuk memartabatkan bahasa Melayu juga menyapa Kementerian Pengajian Tinggi yang mengumumkan bahawa pensyarah yang ingin dinaikkan pangkatnya perlu menulis di dalam bahasa Melayu. Syarat ini dilihat seperti satu usaha untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi di mana kursus-kursus sains dan teknologi telah diajar di dalam bahasa Inggeris.

Tegasnya, acara-acara bahasa ini semacam satu gerakan baru yang ingin mendaulatkan bahasa Melayu yang sebenarnya telah membina satu zon selesa yang kuat tarikannya kepada pejuang-pejuang bahasa yang mula lalai. Pejuang bahasa Melayu terpukau dengan janji-janji manis yang menyedapkan telinga dan membutakan fikiran mereka melalui peristiwa-peristiwa ini.

Golongan yang pro PPSMI seperti PAGE yang melihat PPSMI sedang terancam telah mengorak langkah dengan lebih berani lagi. NGO ini telah membuat beberapa strategi seperti menghantar memorandum kepada Perdana Menteri supaya PPSMI diteruskan. Bukan itu sahaja, mereka telah membuat ugutan kepada pemerintah bahawa mereka akan berkempen agar rakyat tidak mengundi pemerintah yang ada.

Selain menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, PAGE juga menggunakan akhbar iaitu akhbar STAR (yang memang pro-PPSMI) untuk memperluas pengaruhnya agar dilihat mewakili suara terbanyak di dalam masyarakat. STAR telah digunakan dari masa ke semasa untuk menggambarkan PPSMI itu sangat penting diteruskan demi membangunkan Malaysia dengan sains dan teknologi. PPSMI perlu diteruskan bagi menjadikan Malaysia berdaya saing di dalam konteks capital manusianya. Persepsi ini terus dipupuk dan diperkasakan.

Selain itu, persepsi masyarakat dibina untuk menggambarkan bahasa rakyat Malaysia sangat lemah di dalam penguasaan bahasa Inggerisnya. Para graduan tidak dapat bekerja di sektor swasta kerana masalah bahasa Inggeris. Bagi kumpulan ini, usaha TPM untuk memansuhkan PPSMI digambarkan sebagai usaha ke belakang di dalam memajukan rakyat Malaysia dengan bahasa Inggeris. Adakah akhbar-akhbar berbahasa Melayu berusaha membina persepsi positif masyarakat tentang perlunya PPSMI dihapuskan?

Selain eksploitasi terhadap STAR secara terancang, PAGE juga menggunakan media sosial seperti blok dan twitter untuk menggambarkan betapa PPSMI diperlukan. Usaha-usaha PAGE dan NGO yang lain telah membuahkan gelombang yang berkesan untuk membina persepsi yang positif tentang PPSMI dan negatif tentang usaha menghapuskan PPSMI.

Kelalaian ini digunakan oleh NGO seperti PAGE. Pejuang bahasa Melayu tewas dan diketawakan.

Pejuang-pejuang bahasa Melayu terus lena dan terpukau dengan lagu-lagu yang didendangkan oleh TPM. Mereka yakin bahawa keputusan TPM untuk memansuhkan PPSMI dengan segera akan menjadi realiti. Zon selesa yang menjadi zon penyakit pejuang-pejuang bahasa Melayu telah menghakis kekuatan semangat mereka dan hal ini telah melumpuhkan impian dan harapan mereka untuk melihat bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya.

Pada hari ini, ada pejuang Bahasa Melayu terus dibuai mimpi untuk mengharap bahasa Melayu akan terbilang selepas tahun 2021. Sebenarnya pejuang bahasa Melayu in sedang kelemasan di dalam dakapan orang politik yang belum tentu dapat menunaikan janji mereka. Jika pejuang bahasa Melayu itu tidak mahu sedar bahawa bahasa Melayu yang mereka perjuangkan itu kini telah dikuburkan maka entah apa yang boleh dibuat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pejuang bahasa Melayu yang tulen dan bijaksana sebenarnya sukar dicari. Apa yang hendak dikatakan lagi. Berdasarkan kepada senario sekarang, Bahasa Melayu sudah tidak begitu bermakna dan mungkin akan menjadi bahasa kelas kedua untuk orang kelas kedua juga. Jika kita melihat kepada reaksi-reaksi pembaca kepada berita PPSMI di Internet, betapa hinanya bahasa Melayu pada pandangan mereka. Bagi mereka bahasa Melayu ini layak hanya digunakan oleh orang yang bekerja di kebun atau yang berada di kampung.

Oleh yang demikian maka jangan bermimpi bahasa Melayu akan terjamin kedaulatannya pada 2021 jika ada pejuang bahasa yang masih percaya kepada pemimpin politik yang bercakap tentang bahasa Melayu dan memperjuangkannya. Ramai pula pejuang bahasa Melayu hanya bersemangat apabila ada pemimpin politik memayungi mereka sedangkan mereka juga tahu janji pemimpin politik tidak boleh selalu dipegang.

Pejuang bahasa Melayu perlu bertindak sebagai badan pendesak yang berani dan mempunyai strategi yang bijak untuk menyaingi PAGE dan NGO yang lain. Pejuang bahasa Melayu perlu juga pandai bermain politik dan bukan menjadi alat tunggangan orang politik untuk kepentingan politik mereka. Pemimpin politik Melayu yang jujur juga harus menggunakan NGO pendesak ini untuk memperkuat tuntutan mereka. Malangnya kebanyakan pemimpin politik Melayu memang tidak jujur terhadap bahasa Melayu, maka bagi mereka tidak perlu NGO pendesak ini untuk membantu mereka.

Pada hari ini, pejuang bahasa Melayu mesti membentuk satu strategi baru yang lebih berkesan. Mereka perlu berani dan membuat perancangan yang bijak untuk membentuk satu kesedaran massa yang kental tentang memartabatkan bahasa Melayu. Pemerintah perlu disedarkan tentang keperluan kepada bahasa Melayu bukan setakat nilai ekonominya tetapi lebih daripada itu. Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan, jati diri dan identiti.

Persepsi masyarakat terhadap kekuatan dan keperluan kepada bahasa Melayu perlu dibentuk dan pembentukan ini berpanjangan dan bukan bersifat bermusim. Kelestarian persepsi ini amat diperlukan. Pejuang bahasa Melayu perlu berani, bijaksana, pandai membaca politik, dihormati, jujur, tegas dan punya daya juang yang kental. Program-program yang dibuat perlu digemblengkan dengan gerakan massa dan bukan syok sendiri. Gunakan dan pelbagaikan pendekatan dan media.

Pejuang bahasa Melayu perlu bangkit sekarang dan berada di mana-mana, dari pelbagai latar belakang. Kebangkitan massa tidak boleh dilengahkan lagi kerana harapan untuk memartabatkan bahasa Melayu telah semakin hilang dan tidak mungkin bercahaya lagi. PAGE yang sedang bergembira dengan kejayaan kecil ini pasti akan membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk memperjuangkan PPSMI dan penghapusan PPSMI akan diterbalikkan.

Segala ruang dieksploit sama ada dengan kuasa politik ataupun media. Mereka mempunyai pemimpin yang komited tetapi sesetengah pejuang bahasa Melayu mudah terpesona dengan janji sang pemimpin politik Melayu yang mengutamakan survival politik daripada keberadaan bahasanya.

Tahun 2021 masih jauh dan berliku. Pelbagai perkara akan berlaku. Pengisian untuk memperkasakan bahasa Melayu perlu dirancang dengan teliti dan bersepadu daripada banyak pihak. Kejujuran kepada bahasa Melayu itu sangat perlu.

Apa yang berlaku sekarang ialah, bahasa Melayu telah dibongsaikan dan dihina oleh pemimpin Melayu yang mempunyai agenda politik yang lebih besar berbanding dengan bahasanya. Jika pejuang bahasa Melayu tidak mahu berubah, mereka bolehlah mengatur langkah untuk mentalkinkan bahasa Melayu yang sudah di bawa ke kubur yang digali oleh orang Melayu sendiri.

Tiada ulasan: