Hilangnya Pejuang Bahasa Melayu
Oleh Ku Seman Ku Hussain, Arkib Utusan Online, 4 September 2009
KEPADA pejuang bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan nasional, tidak usahlah menganggap kepulangan pejuang bahasa Melayu, Datuk Hassan Ahmad satu "kehilangan" kepada bangsa dan negara. Mereka tidak kehilangan apa-apa.
Dalam perjuangan memartabatkan bahasa Inggeris, kepulangan seorang yang bernama “Hassan Ahmad” pada 31 Ogos lalu pada usia 75 tahun bukan kehilangan.
Mereka yang berasa kehilangan adalah rakan seperjuangan dan pencinta bahasa Melayu. Ini kerana kepulangan Hassan adalah gugurnya tokoh yang berjuang meletakkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Hassan lantang mengutarakan pandangan, penuh tanggungjawab tanpa bimbang kedudukan terjejas.
Hassan sanggup turun ke jalan raya memprotes Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), satu-satunya pendekatan mengubah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seterusnya meminggir bahasa Melayu secara terhormat dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Ada sesetengah pihak menganggap pejuang bahasa Melayu menolak bahasa Inggeris kerana mereka tidak mahir bahasa Inggeris. Ini salah sama sekali kerana banyak pejuang bahasa Melayu mahir bahasa Inggeris. Hassan juga mahir berbahasa Inggeris. Tetapi mahir berbahasa Inggeris bukan bermakna mahu menggantikan kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.
Buktinya Hassan bukan seorang yang menentang bahasa Inggeris, cuma yang ditentang ialah merendahkan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Hassan mendapat pencapaian peribadi tertinggi sebagai Duta Malaysia ke UNESCO pada 1988. Tetapi baginya , kejayaan sebenarnya ialah apabila berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan. Bagaimanapun hingga hari terakhirnya bahasa Melayu terus dipinggirkan termasuk kalangan pemimpin Melayu sendiri.
"Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Ini memusnahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang," demikian tegas kepada saya dalam satu wawancara pada tahun 2009 mengenai bahasa Melayu.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1976 hingga 1988 ini seorang yang sangat mencintai bahasa Melayu.
Buktinya Hassan sanggup meletak jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Pontian pada 1962 untuk menjadi Pegawai Penyelidik di DBP pada 1963.
Kalau memilih kedudukan dalam masyarakat, Allahyarham tentunya tidak meninggalkan jawatan itu untuk menjawat jawatan yang lebih rendah dan tidak popular.
Walaupun Hassan pulang terlalu awal dalam keadaan bahasa Melayu yang merempat di negara sendiri, setidak-tidaknya meninggalkan satu jalur perjuangan kebahasaan dan kesusasteraan kepada generasi selepasnya.
Hassan tidak pernah jemu dengan perjuangan bahasa Melayu yang selalu menemui jalan buntu, malah terus bersemangat menyampaikan pidato, menulis dan memberi kenyataan kepada media tentang bahasa Melayu.
Menduduki kerusi panas Ketua Pengarah DBP memberi peluang kepada Hassan mentadbir institusi yang ditugaskan membina dan mengembangkan bahasa dan sastera.
DBP diperhebat sebagai penerbit karya-karya kesusasteraan dan bahasa Melayu yang terbesar di negara ini. Kesungguhan dan pengalaman yang luas dalam lapangan penyelidikan menjadi pemangkin pentadbir yang cukup disegani. Malah telah memberikan perhatian yang serius terhadap perancangan bahasa dan sastera.
Dari segi bahasa, DBP bawah pimpinannya berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik. Serentak dengan tugas tersebut, DBP juga telah menumpukan lebih perhatiannya kepada masalah kesusasteraan, malah memperluas kegiatannya dan menjadi penerbit buku kesusasteraan Melayu yang terbesar di negara ini.
Hassan dilahirkan pada 8 Disember 1936 di Muar, Johor adalah anak sulung daripada lapan adik beradik dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948). Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar hingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada tahun 1955. Memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957). Mulai tahun 1959, Hassan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera.
Hassan adalah antara 13 mahasiswa yang menentang cara pengajaran dan sistem pengajian Melayu di universiti ketika itu. Malah pernah berucap bagi pihak kumpulan 13 menyeru supaya diwujudkan suatu sistem pengajian terbuka. Turut terlibat sama dalam peristiwa itu ialah Allahyarham Ali Haji Ahmad dan Kassim Ahmad. Ternyata perjuangan Hassan terhadap bahasa dan kesusasteraan semarak sejak zaman remaja lagi.
Sebagai Ketua Pengarah DBP, Hassan kesempatan melawat ke luar negara atau menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa di Amerika Syarikat, Eropah, Rusia, India, Jepun, Korea, Filipina, Thailand, dan Indonesia. Pada tahun 1982, Hassan diundang oleh National Book Trust of India mempengerusikan salah satu sesi dalam Seminar on Book For All at Low Cost di New Delhi.
Kemudian sewaktu Persidangan Editor Asia di Singapura pada 1982 Hassan diundang membentangkan kertas kerja mengenai masalah dan teknik terjemahan serta adaptasi.
Ternyata tumpuan utamanya bukan sahaja terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera malah dalam bidang terjemahan. Setakat ini tiga buah buku tentang organisasi dan pengurusan telah diterjemahkan, masing-masing berjudul Eksekutif yang Berkesan (1984), Aspek Kemanusiaan dalam Perusahaan (1984), dan Sukarnya Membuat Pilihan (1986).
Di samping itu menghasilkan dua buku, Syair (1964) dan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan-Pertubuhan Khasnya (1966) yang kedua-duanya diterbitkan oleh DBP.
Setelah bersara dari DBP pada tahun 1988, Hassan dilantik sebagai Duta Malaysia ke UNESCO. Memandangkan pengalamannya yang luas dalam bidang penerbitan buku, sekembalinya ke Malaysia, Hassan dilantik sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan hingga akhir hayatnya.
Hassan pernah melahirkan kebimbangan kepada saya tatkala kami berjumpa tahun lalu mengenai sikap sesetengah orang Melayu terhadap bahasa Melayu.
Pesannya saya ingat sampai hari ini, "Orang Melayu mesti sedar kalau mereka membiarkan bahasa Melayu musnah, perjuangan mereka juga berakhir sebab bahasa bukannya sistem linguistik sahaja tetapi alat membentuk pemikiran dan budaya bangsa. Kalau orang Melayu sudah tidak pandai lagi berfikir dalam bahasa Melayu, mereka akan jadi bangsa kacukan dalam berfikir."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan