Prof. Dr. Abdullah Hassan, 5 dan 6 Januari 2009 http://profabdullah1.wordpress.com/
PPSMI: Kajian Isahak Haron dan Rakan-rakan (1)
Di bawah adalah ringkasan dapatan, kesimpulan dan syor berdasar kajian kami (Isahak Haron et al.). Pembaca boleh membaca Laporan kajian kami yang lengkap bertajuk “Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah” diterbitkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, April 2008. Laporan tersebut menghuraikan analisis dapatan dan kesimpulan yang lebih terperinci.
Soalan 1: Sejauh manakah guru menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik?
Analisis data daripada kajian tiga sampel yang berlainan pelajar sekolah rendah dan menengah menunjukkan lebih 85% pelajar menyatakan guru mereka menggunakan campuran bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia bagi mengajarkan Sains dan Matematik.
Daripada temu ramah dan pemerhatian kami dalam bilik darjah, sebahagian besar guru menggunakan campuran kedua-dua bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kerana mereka ingin membantu murid yang sebilangan besarnya adalah lemah dalam bahasa Inggeris supaya mereka dapat memahami perkara yang diajarkan. Malah ada guru sendiri yang lemah dalam bahasa Inggeris dan tidak dapat menghuraikan konsep dan proses sains dan matematik dengan panjang lebar dalam bahasa Inggeris.
Hanya kira-kira 10% saja guru yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya; dan 5% dilaporkan menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya.
Daripada pemerhatian kami, penggunaan CD dan komputer bagi mengajarkan Sains dan Matematik Sains dalam bahasa Inggeris kurang dilaksanakan di kebanyakan sekolah, kerana guru sukar menggunakannya dalam bilik darjah. Guru yang menggunakannya pun mendapati murid kurang berminat melihat “tayangan” pelajaran sains dan matematik; tidak ada interaksi atau perbincangan yang aktif tentang pelajaran kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka terhad. Pembelajaran menjadi pasif, lebih ke arah menghafal fakta daripada memahaminya dengan bermakna.
Kesimpulan: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya; dan komputer sebagai alat pengajaran-pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat digunakan dengan berkesan.
Baca sambungannya di http://www.scribd.com/doc/11492111/PPSMI-Kajian-UPSI-April-2008-Ringkasan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan