Utusan Malaysia 3-2-09
BI: Usah Perlekeh Anak Melayu
Isu Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kini semakin hangat diperkatakan, dengan gesaan agar ia dimansuhkan makin lantang. Antaranya usaha yang bersungguh-sungguh diperjuangkan oleh Gerakan Mansuh Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (Mingguan Malaysia Ahad, 1 Februari 2009).
Senario ini jelas membuktikan pemikiran yang memperlekeh dan merendah-rendahkan keupayaan bangsa dan anak-anak sendiri; suka hidup dalam zon selesa; berfikiran cetek; budaya demonstrasi; kakitangan yang tidak menghayati dan suka menentang dasar majikan dan organisasi.
Majoriti orang Melayu hanya menguasai satu bahasa. Jika dilihat bangsa lain majoritinya menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa (bahasa ibunda dan Bahasa Melayu). Adakah orang Melayu kurang keupayaan berfikirnya dan kemahiran lingustiknya? Sepatutnya Bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua orang Melayu, tidak kira di desa atau di kota. Malangnya seperti biasa kita suka merendahkan keupayaan anak-anak kita yang mempunyai potensi yang cukup besar.
Isu terbesar dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah bukanlah isu anak-anak yang merasakan ia sukar. Tetapi ia lebih kepada kurang kesungguhan golongan yang terbabit dalam mewujudkan kesedaran yang tinggi terhadap anak-anak dan kesukaran mereka untuk keluar dari zon selesa (mengajar dalam Bahasa Melayu). Budaya sukar keluar dari zon selesa ini telah menyebabkan anak-anak menjadi mangsa dan mewarisi budaya yang sama.
Bahasa Inggeris adalah bahasa global, bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan merupakan salah satu bahasa terpenting dunia. Fakta dan andaian dengan penggunaan Bahasa Melayu juga boleh melahirkan saintis, pakar perubatan dan cerdik pandai lain sememangnya benar. Tetapi pernahkah kita terfikir berapa ramai di kalangan golongan professional berasa rendah diri kerana tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik? Malah mereka sering terfikir alangkah baiknya mereka dilahirkan di dalam pendidikan beraliran Inggeris supaya mereka dapat menembusi pasaran luar negara dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
Secara asasnya saya berpandangan kebanyakan ahli Kelab Pemansuh PPSMI ini bukan saja tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik malahan menjadi penghalang masa depan Bangsa Malaysia baru.
Pemikiran yang cetek ini perlu diperdalamkan dalam memperjuangkan pendidikan anak-anak kita. Seperti kata Saidina Umar "Didiklah anak kamu kerana anak kamu akan dibesarkan dengan bukan zaman kamu".
Kebelakangan ini kita dapat melihat satu arus perubahan yang cukup dinamik dalam politik semasa. Masyarakat Malaysia sudah bersedia untuk berubah, malah semua orang telah begitu pandai berhujah sehingga kita sendiri tidak tahu siapakah yang pandai, siapakah yang tidak.
Pemandu seolah-olah pakar ekonomi membincangkan isu Petronas dan sudah bercita-cita tinggi untuk tinggal bersebelahan dengan rumah doktor pakar (analogi kerana semua orang cuba berlagak pandai).
Terdapat juga pegawai-pegawai kerajaan yang digaji untuk mendokong dasar-dasar kerajaan telah menjadi 'pembunuh' dan penghalang dasar. Mereka sudah mula menggunakan pemikiran yang ada sehabis boleh untuk menentang dasar kerajaan yang sedia ada untuk kepentingan peribadi, bukannya kepentingan generasi akan datang.
Pada masa dahulu tiada kemudahan media massa, infrastruktur cukup terhad, nisbah pelajar dan guru sangat tinggi jurangnya. Guru-guru tiada latihan yang begitu sistematik tetapi masih mampu melahirkan pelajar yang mampu berbahasa Inggeris. Kenapa sekarang tidak? Kalau dalam isu bahasa pun kita tidak mampu berubah, bagaimana kita mengimpikan satu bangsa dan satu negara maju?
Kita perlu berfikir untuk kebaikan semua, kebaikan masa depan anak-anak kita. Berfikir untuk menjayakan dasar kerajaan untuk anak-anak bangsa Malaysia.
Ibu-bapa harus memainkan peranan penting untuk berubah. Daripada asyik bergebang di kedai kopi dan berdemonstrasi di tepi jalan, baliklah mengajar anak-anak Bahasa Inggeris di samping meningkatkan Bahasa Inggeris sendiri.
Demonstrasi tidak sesuai dengan isu PPSMI ini. Kerana perkara yang ditakuti adalah kita beranggapan 'kita hero' dalam memperjuangkan nasib anak-anak kita tetapi sebenarnya kitalah penghancur masa depan anak-anak kita, seperti dalam filem Anakku Sazali.
Guru-guru anggaplah perubahan ini satu pengorbanan besar untuk perubahan diri sendiri dan 'survival' anak-anak kita. Kerajaan perlu melihat dengan telus apakah masalah utama PPSMI ini.
Jika kurang latihan, pertingkatkan latihan. Kalau kurang guru, tambah jumlah guru. Kalau kurang kemudahan, perbanyakkan kemudahan. Tetapi kalau sikap dan disiplin yang tidak dapat diubah, ambil tindakan sewajarnya demi masa depan anak-anak kita.
AL-JAHIZ
Kota Bharu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan