Sabtu, 7 Februari 2009

Risiko Membaca Buku Profesor yang Sama

Ainon/UNIKA PTS, 31 Disember 2008 http://www.universitipts.com/
(PPSMI) Risiko Membaca Buku Profesor yang Sama

Lewat tahun 1970-an dahulu, saya bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada suatu masa, En. Sanusi Joned adalah tokoh muda yang sangat terkenal, beliau datang ke DBP dan menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya beliau sangat menyokong kerja-kerja penterjemahan buku-buku ilmu peringkat universiti yang jalankan oleh DBP waktu itu.

Beliau menyarankan supaya DBP jangan cuma menterjemah daripada bahasa Inggeris, sebaliknya mesti menterjemah dari semua bahasa-bahasa utama dunia, terutama negara-negara yang maju teknologinya.

Kata beliau: Mengapakah negara-negara miskin di dunia ini mengalami masalah yang serupa sahaja di mana-mana. Masalah-masalah yang dihadapi oleh negara-negara Asia Tenggara juga berlaku di India dan di Afrika.

Kemudian beliau menjawab sendiri: Sebab cerdik pandai negara-negara miskin bekas tanah jajahan Inggeris di Asia, India dan Afrika itu membaca buku-buku teks universiti yang serupa isi kandungannya, yakni mereka membaca buku-buku karangan profesor-profesor yang sama.

Mereka juga dihantar belajar ke universiti-universiti yang sama di UK ataupun USA, dan mereka belajar teori-teori yang serupa daripada profesor-profesor yang sama.

Jadi cara berfikir cerdik pandai di negara-negara bekas tanah jajahan Inggeris itu serupa, dan cara mereka menyelesaikan masalah di negara masing-masing pun serupa juga.

Malah mereka juga mencipta masalah-masalah yang serupa bagi negara masing-masing.

Nota:
Yang memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah guru-guru sekolah Melayu.

Golongan berpendidikan Inggeris yang membaca buku-buku teks dalam bahasa Inggeris, mereka sekarang sedang berjuang bermati-matian menukar dasar itu supaya kembali kepada bahasa Inggeris, supaya sistem pendidikan Malaysia sama seperti di India dan di Afrika!

Malaysia adalah satu-satunya bekas tanah jajahan Inggeris yang menggunakan bahasanya sendiri sebagai bahasa penghantar untuk semua peringkat pendidikan.

Percuma! Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama. Klik pautan yang berkenaan.

Tiada ulasan: