Rabu, 25 Mac 2009

Wanita Tudung Merah Tolak PPSMI

Usul tolak PPSMI diterima tanpa bahas
Jimadie Shah Othman, Malaysiakini, Mar 25, 09 1:38pm

Dua Wanita Umno bahagian mengesa kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) yang diamalkan di sekolah-sekolah.

Usul daripada Wanita Umno Ledang, Johor dan Kuala Langat, Selangor itu merupakan sebahagian usul pendidikan yang diterima tanpa bahas dalam perhimpunan Wanita Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.Wanita Umno Ledang membuat gesaan itu dalam kerana perlaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan didakwa "melemahkan minat murid, terutamanya daripada kawasan luar bandar".

Usul itu menyebut: "Menegaskan kerajaan menimbang semula kesan negatif pengajaran dan pembelajaran (Sains dan Matematik) dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah bagi mata pelajatan Sains dan Matematik."

Wanita Umno Kuala Langat pula menyifatkan bahasa Melayu perlu digunakan kembali berdasarkan ketetapan dan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan dan bahasa rasmi negara.

Ahad, 22 Mac 2009

Persoalan tentang Matlamat Akhir Dasar PPSMI

Sabtu, Mac 21, 2009
Banyaknya persoalan...

Dalam Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2002 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, dinyatakan tujuan perlaksanaan ppsmi adalah seperti berikut:

"Dasar ini digubal berasaskan hakikat bahawa Sains dan Matematik adalah bidang ilmu yang sangat dinamik dengan pelbagai penemuan baru dan sebahagian besar maklumat yang berkaitan dengannya terdapat dalam Bahasa Inggeris. Matlamat akhir dasar ini adalah membolehkan murid mengakses maklumat yang berkaitan melalui pelbagai media supaya mereka mampu menguasai ilmu Sains dan Matematik dan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa di samping melahirkan generasi yang kukuh dalam penggunaan bahasa Inggeris."

Apa yang saya faham dari petikan di atas:

1. Sebahagian besar maklumat berkaitan sains dan matematik adalah dalam bahasa Inggeris.

2. KPM mahu pelajar dapat mengakses maklumat dalam pelbagai media supaya pelajar dapat menguasai sains dan matematik.

3. KPM mahu pelajar bersaya saing di peringkat antarabangsa.

4. KPM mahu melahirkan generasi yang kukuh penggunaan bahasa Inggeris.

Persoalan yang berlegar di fikiran saya:

1. Maklumat yang banyak dalam bahasa Inggeris itu boleh dipindahkan ke bahasa Melayu. Kita ada Institut Terjemahan Negara (ITNM). Kita ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Peruntukan berbillion ringgit untuk ppsmi boleh disalurkan ke tempat yang lebih layak. Pelajar tidak akan bermasalah, perlembagaan negara juga tidak diperlekehkan dan bahasa Melayu juga tidak tergugat. Bukankah cara ini lebih baik?

2. Apakah selama ini pelajar kita gagal menguasai sains dan matematik? Apakah bahasa Melayu gagal memainkan peranannya sebagai bahasa pengantar untuk sains dan matematik di sekolah? Jika maklumat dan sumber rujukan atau buku-buku dalam bahasa Melayu dikatakan kurang, apakah dasar ppsmi akan menambah baik keadaan ini? Bukankah ppsmi akan hanya membenamkan usaha memperkembang bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi? Maklum sahaja, apabila pelajar sudah mahir dalam bahasa Inggeris, apa perlunya lagi buku-buku dalam bahasa Melayu?

3. Berapa peratus pelajar kita yang pergi ke peringkat antarabangsa? Berapa peratus pula yang berjuang untuk kelangsungan hidup dalam negara sendiri? Apakah selama ini pelajar kita gagal untuk bersaing di arena antarabangsa? Bukankah pelajar kita yang sekarang ini sedang menuntut di Russia, UK, Jerman, Jepun, New Zealand dan sebagainya itu mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu ketika di sekolah? Apakah para pelajar ini gagal bersaing? Justeru, yang pulang dari luar negara dengan pelbagai kejayaan itu siapa?

4. Belajar menguasai bahasa seharusnya dalam kelas bahasa, bukan kelas sains dan matematik. Perkasakan sahaja mata pelajaran bahasa Inggeris.

Saya berikan satu contoh soalan yang dikeluarkan dalam satu ujian bulanan pelajar tahap

1:5 + 6 = ____
A. 11
B. 14
C. 12
D. 13

Jika pelajar menjawab soalan di atas dengan betul, apakah kita akan katakan bahawa pelajar ini telah menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Bagaimana kita boleh menentukan bahasa apa yang digunakan oleh pelajar ketika mereka menjawab soalan di atas? Hanya kerana soalan tersebut diletak di ruangan soalan berbahasa Inggeris maka kita katakan ppsmi berjaya dan pelajar sudah mampu menguasai bahasa Inggeris?

Hahaha. Lawak antarabangsa!

Tiga Kedunguan Menguntungkan Dedalu

03.08.09
Bahasa Kebangsaan Bahasa Ilmu
Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , at 1:16 am by Ketua Perusuh

Tahniah saya ucapkan atas keperihatinan semua pihak yang bersama-sama menjayakan Perhimpunan 100,000 umat GMP (anti-PPSMI) semalam. Alhamdulillah, dalam kesempatan yang terbatas, saya mampu menghadirkan diri dicelah-celah para pejuang Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) demi memperjuangkan martabat dan keperluan Fasal 152 Perlembagaan Malaysia kekal malah diperbaiki demi kesinambungan wacana ilmu dan kehendak warga Malaysia.

Sejak PPSMI dilaksanakan, saya telah menjelajah terlalu banyak kawasan luar bandar (terutamanya di pantai timur) dan menjengah beberapa sekolah rendah demi untuk melihat sendiri apa sebenarnya yang berlaku diperingkat sekolah. Hampir 99% pelajar sekolah rendah dikawasan luar bandar dilihat tercicir dari menguasai ilmu Matematik dan Sains hasil dari perlaksanaan PPSMI.

Saya mendapat pendidikan awalan didalam bahasa penjajah (Bahasa Inggeris), namun begitu jiwa saya begitu kental untuk memastikan bahawa Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tetap menjadi pilihan utama dalam pencernaan ilmu.

PPSMI ini sebenarnya bertujuan mematikan usaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) menjadi bahasa ilmu. PPSMI ini saya klasifikasikan sebagai “Tiga Kebodohan” atau “Tiga Kedunguan”.

Jika sebelum perlaksanaan PPSMI, seorang pelajar mungkin akan lemah hanya dalam salah satu daripada 3 matapelajaran (Bahasa Inggeris, Matematik atau Sains) namun setelah perlaksanaan PPSMI, seorang pelajar mungkin akan lemah dalam ketiga-kita matapelajaran secara serentak hasil dari kelemahan beliau menguasai Bahasa Inggeris.

“Tiga Kebodohan” atau ‘Tiga Kedunguan” inilah yang terpaksa kita hadapi sekiranya Kementerian Pelajaran (Pendidikan?) bertegas untuk terus melaksanakan PPSMI. Pernah saya menulis mengenai sikap banyak pihak di Kementerian Pelajaran (Pendidikan?) yang berterusan mengeluarkan idea-idea baru tanpa kajiselidik dan perbincangan yang menyeluruh. Terlalu banyak pihak yang angkuh di Kementerian Pelajaran (Pendidikan?) yang sebenarnya mencacatkan seluruh institusi berkenaan. Setiap kali bertukar Menteri Pelajaran (Pendidikan?), setiap kali itu jugalah seluruh polisi dan gagasan serta wawasan Kementerian bertukar tanpa perancangan kukuh.

Malah golongan pendidik, ibubapa dan para akademik tidak pernah diambil kira pandangan sebelum sesuatu resolusi atau idea diterapkan kedalam sistem pendidikan negara. Nampaknya mereka ini amat suka bereksperimen sehinggakan caca-marba sistem pendidikan negara. Sikap terlalu bereksperimen inilah yang sebenarnya menjadi duri dalam daging yang jika dihalusi sebenarnya menguntungkan pihak-pihak yang berkepentingan (penerbit buku teks, penyedia bahan dan sebagainya) yang menjadi dedalu kepada Kementerian Pelajaran (Pendidikan?)

Kita boleh lihat insiden yang melibatkan beberapa juta wang rakyat hangus apabila pengenalan modul pengajaran berasaskan multimedia (kecoh sekitar 1996 dan 1997) sedangkan hasilnya masih tidak dapat dilihat dengan berkesan disekolah-sekolah setelah lebih 10 tahun diusahakan. Para pendidik rata-ratanya memilih untuk membuat pengajaran dan pembelajaran secara tradisional dengan menyuntik sedikit elemen yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi pendidikan.

Jika kita lihat rata-rata warga Malaysia yang berumur sekitar 30 tahun keatas biasanya boleh berkomunikasi didalam Bahasa Inggeris sedangkan mereka dahulu belajar menggunakan sistem KBSR fasa pertama yang mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Terlalu ramai para jurutera, peguam, akauntan, pakar komputer dan para professional lainnya yang fasih berbahasa Inggeris sedangkan mereka terdidik didalam bahasa pengantar Bahasa Melayu.

Oleh yang demikian, maka bukanlah penggunaan Bahasa Kebangsaan itu mengekang pelajar daripada menguasai ilmu melainkan ianya adalah pemudahcara bagi para pelajar mencerna ilmu. Bahasa Inggeris hanyalah bahasa kedua yang sepatutnya boleh dikuasai dengan mudah oleh mana-mana pihak walaupun beliau menuntut ilmu dalam Bahasa Kebangsaan.

Janganlah biarkan pelajar kita mengalami sindrom “Tiga Kebodohan” atau “Tiga Kedunguan”.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa - ISIS

Sabtu, 21 Mac 2009

Memansuhkan PPSMI Bukan Bererti Memansuhkan BI

MEMANSUHKAN PPSMI BUKAN BERERTI MEMANSUHKAN BAHASA INGGERISMarch 21, 2009 at 4:53 am In Melayu/Malay, Pendidikan/Education No Comments Tags: , , , ,
areeve87.wordpress.comareeve87.blogspot.comB

ahasa Jiwa Bangsa, adakah anda setuju jika saya katakan:

Bahasa Melayu Jiwa Bangsa Melayu, Bahasa Inggeris Jiwa Bangsa Inggeris…..dsb

Saya tidak menafikan kepentingan PPSMI, tetapi mari kita renungkan sejenak beberapa persoalan:

Andai PPSMI mahu diteruskan dengan alasan “tidak bnyak buku rujukan Sains & Matematik dlm BM”, apakah buku2 Sains dan Matematik akan bertambah dengan perlaksanaan PPSMI?
Atau yg semakin brtmbah adalah buku yg ditulis penulis Melayu di dlm BI? dalam erti kata lain kitalah bangsa yg mengurangkan buku bahasa ibundanya sendiri & menolong bangsa penjajah terus menghasilkan rujukan di dlm BI?

Dlm erti kata lain juga, kitalah bangsa yg akn tlg menambahkan carta penjualan buku2, surat-khabar2, majalah BI krna ibubapa bangsa Melayu akn membelikan atau mengerah anak2 mrka utk membaca bhn rujukan BI yg amat penting?

Dlm eri kata lain lagi, maka akan terbunuhlah karya2 penulis2 dlm BM?

Dlm erti kata lain lagi, terkorbanlah industri penulisan BM sepert matinya suratkhabar Jawi?

Dlm erti kata lain lagi, maka smkin byklah pejuang2 BI berwajah Melayu sepertimana pembaca berita BM tetapi berambut perang?

Apa salahnya BM yg dipelajari dlm Sains & Matematik selama setengah abad merdeka hingga lahirnya ramai professional2 Melayu dlm kedua2 bidang ini?

Mereka juga pandai BI. Tahu kenapa? Kerana pengajaran “subjek Bahasa Inggeris” sudah cukup tanpa perlu digunakan dlm S&M.

Tidak cukupkah selama ini, kita belajar subjek bahasa “Bahasa Inggeris” utk mendalami ilmu mereka?
Seolah2 hari ini kita ditekankan utk bercakap BI dlm “grammar” yg betul? Perlukah semua ini?Cukup shj rasanya kalau kita faham & boleh berkomunikasi dlm BI bukan?

Satu peringatan yg sy sgt2 mahu tekankan:
Sekalipun PPSMI mahu dimansuhkan, anak bangsa tetap kena belajar subjek BI, mereka tetap faham BI, boleh membaca bahan rujukan BI, bercakap dlm BI, melihat filem BI, menterjemah BI ke BM, dsb.

Namun, di dlm memperkasa BM, industri penterjemahan negara juga wajib diperkasakan, dan inilah tugas Bangsa Melayu kerana ini bahasa jiwa bangsa kita. MUSTAHIL, org barat pula yg nak buat buku dlm BM sebab ini bukan bahasa mrk. Kitalah pemiliknya.

Ingat, “MEMANSUHKAN PPSMI BUKAN BERERTI MEMANSUHKAN BAHASA INGGERIS”.

Jumaat, 20 Mac 2009

Hishammuddin Masih Buka Ruang

PPSMI: Maklum balas masih terbuka
Today, March 20, 2009, 9 hours ago Abdullah
Disalin daripada Utusan Malaysia Online: Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 19 Mac – Kementerian Pelajaran masih membuka ruang untuk mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai kedudukan muktamad dasar pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, suara dan hasrat dari semua peringkat akar umbi akan didengar dan setiap maklum balas diteliti serta diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat.

‘‘Walaupun kertas Kabinet mengenai PPSMI ini sudah di peringkat penilaian oleh setiap kementerian sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri, saya masih lagi terbuka untuk mendengar maklum balas daripada mana-mana pihak.

‘‘Saya akan menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang sempena mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berlangsung sekarang dan Perhimpunan Agung UMNO pada minggu depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nota: Cuma tokoh bahasa dan sains dalam jawatankuasa GMP berikut tidak dijemput.

Perkara itu, katanya, turut dijelaskan kepada dua tokoh pejuang bahasa, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said dalam pertemuan beliau dengan dua tokoh berkenaan di sini hari ini.

‘‘Dalam pertemuan itu, kedua-dua tokoh telah menjelaskan hasrat, pandangan dan keprihatinan mereka terhadap isu ini dan berharap kerajaan akan menilai dan membuat keputusan terbaik,” kata Hishammuddin.

Menurutnya, perbincangan bersama kedua-dua tokoh itu turut berkisar mengenai transformasi kurikulum di peringkat sekolah rendah dan prasekolah sebagai gantian kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah termasuk keputusan mewajibkan pengajian Sejarah.

‘‘Selaras dengan transformasi kurikulum tersebut, turut dibincangkan ialah usaha kerajaan untuk menilai semula sistem pentaksiran dan peperiksaan kebangsaan khususnya di peringkat sekolah rendah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak pernah bertolak-ansur dalam agenda memartabatkan bahasa kebangsaan dan segala pendekatan telah dilaksanakan demi mencapai objektif tersebut.

‘‘Saya berharap dalam hal pendidikan jangan kita mempolemik isu ini dan perbincangan mengenainya akan diteruskan secara rasional dan terbuka kerana ia menyentuh tentang kepentingan dan masa depan anak-anak kita.

‘‘Demi mencapai matlamat ini, kerjasama daripada para pejuang bahasa termasuk kedua-dua tokoh ini amatlah diharapkan kerana ia merupakan perjuangan ikhlas kita bersama,” katanya

Fikir Sebelum Mendukung Biawak Hidup

Fikir Sebelum Mendukung Biawak Hidup
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak, 20 Mac 2009

1. Memang banyak bakal guru tidak memahami dasar PPSMI yang diwujudkan pada tahun 2002 dan mula dilaksanakan pada tahun 2003 itu. Mereka ibarat orang ketinggalan komuter.

2. Ada banyak sebab mereka ketinggalan. Di sini dikemukakan dua sebab penting. Yang pertama, mereka sibuk. Yang kedua, mereka berpegang pada amalan bahawa semua yang dari atas itu baik. Hal ini sesuai dengan ajaran yang terserap dalam kalbu mereka. Ajaran itu ialah turuti apa-apa sahaja arahan dari atas dan mengangguk-angguk sahaja apabila mendengar suara orang atas.

3. Bakal guru itu orang muda. Sebahagian besar mereka belum mempunyai maklumat lengkap tentang dasar ini. Maka, eloklah mereka mengakses maklumat yang begitu banyak di Internet. Setelah mereka benar-benar memahami dasar itu serta pro dan kontranya, baru mereka boleh mengisytihar diri sebagai penyokong atau sebaliknya. Itu barulah dikatakan membuat keputusan dengan berdasarkan ilmu.

4. Memang ada orang menyokong sesuatu dasar secara sembarangan. Ada juga orang menyokong sesuatu dasar kerana kepentingan diri. Tidak kurang pula orang menyokong sesuatu dasar kerana takut. Persoalannya, adakah orang muda yang akan bergelar guru termasuk dalam golongan penakut?

5. Sebenarnya, ada perbezaan antara penyokong dengan pendukung. Penyokong ialah penegak dasar. Penyokong berpendirian, berprinsip dan sebagainya. Lazimnya penyokong sanggup mati mempertahankan pendiriannya. Sekadar contoh, Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Al-Maududi, Mariam Jamilah dan Ibrahim Libya berpendirian.

6. Mungkin ada ahli bahasa tidak bersetuju dengan pandangan ini. Mereka mungkin berkata kamus mentakrifkan penyokong sebagai pengikut. Konotasi pengikut ialah orang biasa, bukan penegak dasar. Namun, kamus juga mencatatkan sokong ialah tiang atau tonggak. Penyokong juga bermaksud alat untuk menyokong. Alat itu dapat bernama tiang, tonggak atau topang.

7. Mari kita gantikan perkataan penyokong dengan tonggak. Tonggak asal dasar itu ialah mantan Perdana Menteri. Kini tonggak itu ialah Perdana Menteri. Kalau bukan dia, siapa lagi? Menteri yang berkenaan ialah topang. Topang lain yang mengukuhteguhkan tonggak itu ialah pengurusan tertinggi kementerian yang berkenaan dan para pegawainya.

8. Cuba bayangkan, hari ini mantan Perdana Menteri menyatakan bahawa dia menarik diri daripada menyokong dasar itu. Dia mahu dasar itu dimansuhkan demi ketenangan jiwa senjanya. Jikalau dia berkata demikian, dasar itu akan goyah dan bakal tumbang. Begitulah pentingnya tonggak seperti Perdana Menteri.

9. Lain halnya dengan pendukung. Katakanlah 1,000 pendukung di Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa mereka berhenti menjadi pendukung. Mulai saat itu mereka masuk dalam kelompok pembantah. Perbuatan mereka bagai sejuta orang kanak-kanak menghembuskan angin daripada mulut untuk menumbangkan tugu negara. Oleh sebab itu, untuk menggugat dasar kita perlukan gelombang besar. Gelombang besar itu kini berupa gabungan pelbagai unsur. Antara lain namanya termasuklah surat terbuka, memorandum, saman, gerakan, laporan kajian, perhimpunan dan kongres.

10. Pendukung rendah sedikit tarafnya. Kebanyakan pendukung ialah pelaksana. Pelaksana mungkin menopang dan mungkin juga tidak menopang dasar itu. Sebagai bakal guru, pelajar yang berkenaan mesti mendukung sesuatu dasar walaupun dasar itu bagaikan biawak hidup yang siap untuk mencakar belakang mereka. Oleh sebab mereka sendiri memilih untuk menjadi guru, mereka sudah menandatangani perjanjian dan mereka sudah melafazkan ikrar, maka mereka hendaklah menepati janji dan ikrar itu. Mereka kenalah mendukung biawak hidup.

11. Pendukung pun ada kategorinya. Pendukung totok seakan-akan tonggak atau topang juga. Lihatlah ibu tulen mendukung bayi. Tidak akan dilepaskannya bayi daripada dukungannya kendatipun nyawanya terancam. Pendukung seperti ini tidak banyak.

12. Ada pula pendukung hipokrit. Jangan lupa, hipokrit itu bersinonim dengan munafik. Apabila ada faedah atau habuan, si hipokrit bersungguh-sungguhlah mendukung dasar itu. Jumlah mereka sedikit tetapi pengaruh mereka besar. Jikalau dasar itu dimansuhkan, mereka akan gulung sehelai atau semua tikar.

13. Yang banyak ialah pendukung kasta rendah. Jumlah mereka banyak, sangat banyak. Mereka mendukung dasar itu tanpa rela dengan pengawasan yang rapi oleh pemantau atau pemerhati. Di belakang pemantau atau pemerhati, mereka letakkan dasar itu di atas lantai. Dalam golongan ini termasuklah juga pendukung yang mementingkan habuan. Mereka mempertontonkan dukungan apabila ada habuan. Jikalau tiada habuan, dukungan itu dikesampingkan.

14. Ada sekumpulan lagi pendukung yang tidak berapa faham sebab-sebab mereka mendukungnya. Apa-apa yang orang atas buat mereka ikut atau kata ya, ya, ya. Orang lurus bendul itu pandainya mengangguk sahaja.

15. Tidak dinafikan ada juga pendukung itu memang topang. Mereka dalam golongan ini hebat. Hebat itu dapat positif dan dapat juga negatif. Kelompok hebat yang pertama adalah seperti dalam senarai orang berprinsip di atas. Mari kita tambah senarai itu. Hitler, Yahudi dan George Bush hebat. Muammar al-Qadhafi dan Saddam hebat. Ustaz Ashaari Muhammad, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Karpal Singh pun hebat. Bakal guru dalam kelompok mana? Kita khuatir bakal guru termasuk dalam kelompok Bush. Waduh, Bush sudah dibaling dengan kasut!

16. Akhirulkalam, fahamilah dasar itu secara mendalam. Fahamilah pertentangan dasar itu dengan Perlembagaan, Akta Pendidikan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Fahamilah implikasi dasar itu terhadap martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Fahamilah implikasi dasar itu terhadap masa hadapan generasi muda kini dan generasi yang akan datang.

17. Bahan untuk memahami perkara-perkara ini melambak di Internet. Surat terbuka ada, memorandum ada, laporan kajian ada, artikel sanggahan Dato’ Baha Zain ada, tulisan panjang sanggahan Dr. Shaharil ada, laporan polis ada, usul PEMBINA ada, resolusi kongres ada, e-buku Mengapakah Kami Bantah ada dan bermacam-macam lagi ada. Bakal guru berijazah atau pemilik SPM dengan deretan A pasti mampu mengakses banyak lagi sumber lain tanpa perlu disuap-suap. Telitilah bahan-bahan itu, bukalah minda dan kemudian tetapkan pendirian dengan berdasarkan ilmu pengetahuan.

Haah, Berpusing-pusing Tidak Ketahuan

Hasil pertemuan dengan pegawai tinggi KPM

Pada 19 Mac 2009, Pengerusi GMP Dato Dr Hassan Ahmad dan SN Dato Samad said dijemput menemui Dato Seri Hishammuddin, Menteri Pelajaran, di Puterajaya. Mereka disambut dengan penuh hormat.

Namun, ahli akademik dalam GMP Prof. Emeritus Abdullah Hassan dan Prof. Shahrir Md Zain tidak diundang. Hal ini ada dinyatakan kepada Dato Dr. Hassan Ahmad, namun tidak ada respons. Sekaligus ini menyatakan bahawa ahli akademik yang berkepentingan tidak diwakili dalam pertemuan itu.

Menurut Dato Dr. Hassan Ahmad, perbincangan dalam pertemuan itu juga memberi gambaran kepada beliau bahawa Menteri Pelajaran masih “tidak jelas tentang isu PPSMI yang dihadapi.

Beliau cuma berpusing-pusing bercakap mengenai PPSMI. Bagaimanapun beliau ada memujuk dan merayu supaya GMP tidak lagi mengadakan himpunan dan lain-lain. Beliau tidak membicarakan isu PPSMI. Oleh sebab itu tidak ada sebarang ketetapan tentang PPSMI. Dan ISU PPSMI BELUM SELESAI.

Oleh yang demikian, Dato Dr. Hassan Ahmad dan SN Dato A Samad Said, menyatakan kepada beliau bahawa GMP tetap akan meneruskan perjuangan.

Pernyataan tersebut memeranjatkan beliau.

SMS Dato Dr Hassan diakhiri dengan frasa isu belum selesai!”

SMS daripada SN Dato’ A Samad Said mengatakan “Saya jelaskan sikap saya yang akan terus berceramah tentang GMP di mana-mana pentas.” Dan beliau tidak pernah berhenti bercakap …. di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau dan di mana-mana …

Kami juga.

Yang menakjubkan, setiap kali kami diundang, paling kurang biaya perjalanan kami ditanggung. Ini bermakna, rakyat sanggup membayar bagi mengetahui maklumat sebenar.

Terlebih awal pada, 14 Mac lalu, Dato Dr. Hassan dan SN Dato A Samad Said juga dijemput oleh Ketua Seiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri.

Pada mulanya Prof. Emeritus Abdullah Hassan dan Prof. Shahrir Md. Zain juga tidak dijemput. Mereka hanya turut dijemput apabila dinyatakan mereka juga perlu hadir bagi mewakili bidang akademik.

Pertemuan dengan KSU, KP dan Setiausaha Sulit Kanan di Kementerian Pelajaran
Pertemuan ini, sebagaimana dinayatkan dalam entri saya yang lalu, tidak menunjukkan penyelesaian akan cepat berlaku.

Oleh sebab itu GMP akan masuk ke langkah berikutnya, sebaik sahaja pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO berakhir.

Rabu, 18 Mac 2009

Laporan Eksekutif Kajian Pembina: Tamatkan PPSMI

Dapatan Kajian Pembina http://profabdullah1.wordpress.com/2009/03/18/dapatan-kajian-pembina/ 18 Mac 2009

Laporan Eksekutif
Tahap Kompetensi Guru
dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
Menggunakan Bahasa Inggeris

serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid

Oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)

Dengan usaha sama
Universiti Putra Malaysia
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Universiti Sains Malaysia
Universiti Utara Malaysia
Universiti Teknologi Mara
Malaysia Universiti Teknologi Mara Sarawak
Universiti Malaysia Sabah
Universiti Teknologi Malaysia

Februari 2009

1. Tajuk

Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan

2. Objektif Kajian

Bertujuan untuk menilai status pelaksanaan PPSMI oleh guru-guru dan implikasinya ke atas pengajaran dan pembelajaran, serta pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Secara khususnya objektif kajian bertujuan untuk:

(i) Mengukur tahap kompetensi guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

(ii) Menilai kesediaan dan penerimaan guru melaksanakan PPSMI serta tahap komunikasi mereka dalam bahasa Inggeris.

(iii) Menilai kecekapan guru dalam menggunakan teknologi komputer (TK).

(iv) Menilai prestasi murid termasuk kebolehan dan keupayaan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik serta kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

(v) Menilai peratus sumbangan penguasaan dan kemahiran Bahasa Inggeris murid-murid melalui PPSMI.

(vi) Menyampaikan dapatan kajian sebagai maklum balas membantu pihak penggubal dasar membuat keputusan.

3. Maklumat Kajian

3.1. Kajian dijalankan di Sekolah Rendah (SR) dan Sekolah Menengah (SM) di seluruh negara, meliputi bandar, pinggir bandar, luar bandar, pulau dan pedalaman termasuk SK Orang Asli.

3.2. Sampel Kajian terdiri dari sembilan puluh (90) buah Sekolah Rendah, iaitu 58 SK, 10 SK (FELDA), 5 SK (PULAU), 3 SK (ASLI), 2 SK Pendidikan Khas, 7 SRJKC dan 5 SRJKT.

3.3. Bagi Sekolah Menengah (SM), Sampel Kajian terdiri dari tujuh puluh (70) buah sekolah, yang meliputi Sekolah Menengah Kebangsaan (44 SMK), SMK FELDA (5), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (4 SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (4 SBP), Maktab Rendah Sains Mara (5 MRSM), Sekolah Menengah Teknik (4 SMT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Conforming (4 SMKC).

3.4. Bagi Sekolah Rendah (SR), kajian dibuat terhadap murid-murid Tahun 5 (Kohort 2, 2004 PPSMI) bagi subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dengan menggunakan ujian standard.

3.5. Bagi Sekolah Menengah, kajian dibuat terhadap pelajar-pelajar Tingkatan 4, bagi subjek Sains dan Matematik (Aliran Sastera). Matematik Tambahan, Fizik 1, Fizik 2, dan Kimia 1 serta Kimia 2 bagi Aliran Sains dengan menggunakan ujian standard, termasuk Bahasa Inggeris.

3.6. Seramai 553 orang guru dipilih sebagai sampel kajian yang terdiri, 186 SR dan 367 SM. Sementara bilangan pentadbir, iaitu Pengetua, atau Penolong Kanan Sekolah Menengah seramai 70 orang dan Sekolah Rendah 90 orang.

3.7. Jumlah bilangan murid sampel kajian, ialah 15,089 orang yang terdiri daripada kawasan Bandar 5,404 orang (35.8 %), Luar Bandar 9,388 orang (62.2 %), Sekolah Pedalaman 109 orang (0.7 %) dan Sekolah Pulau 188 orang (1.3 %).

4. Dapatan Kajian
4.1. Kajian mendapati sejumlah 39.3 peratus guru (73 orang) Sekolah Rendah dan 13.2 peratus guru (49 orang) Sekolah Menengah masih belum berpeluang menghadiri taklimat asas PPSMI. Keadaan ini telah berlanjutan, dan jika tidak diberi perhatian, akan menyebabkan prestasi pengajaran guru tidak berkualiti.

4.2. Penguasaan Bahasa Inggeris guru-guru PPSMI amatlah kritikal dan merupakan masalah utama untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Guru belum yakin sepenuhnya untuk menggunakan Bahasa Inggeris, terutama sekolah di Luar Bandar. Kajian mendapati 39.3 peratus guru (74 orang) Sekolah Rendah dan 25.3 peratus guru (93 orang) Sekolah Menengah gagal dalam Penilaian Tahap Proficiency Bahasa Inggeris. Walaupun mereka gagal, mereka terus mengajar dan masih menerima elaun Bayaran Insentif Subjek Pendidikan. Kedudukan ini membimbangkan kerana ia memberi kesan terus kepada pedagogi serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

4.3. Kajian mendapati masih terdapat guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah yang tidak berkelayakan atau tidak tergolong sama ada mempunyai opsyen pertama 1.6 %, (3 orang) atau opsyen kedua 4.8 % (9 orang) dalam bidang Sains atau Matematik yang mengajar mata pelajaran PPSMI. Di samping itu sejumlah 1.4 peratus (5 orang) guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah yang tidak berkelayakan dalam bidang Sains atau Matematik terus mengajar mata pelajaran PPSMI. Amalan ini sepatutnya tidak berlaku secara berterusan kerana mata pelajaran PPSMI mementingkan konsep dan istilah dengan huraian secara saintifik dan tepat serta bukan sekadar mengajar murid dengan menggunakan bahasa Inggeris.

4.4. Secara keseluruhannya prestasi pengajaran dan pembelajaran guru PPSMI dalam bilik darjah adalah pada tahap sederhana (skor min 5.44) atau 54.4 peratus. Justeru usaha untuk meningkatkan Pengetahuan Isi Kandungan Pedagogi (PCK) memerlukan usaha yang berlipat ganda, iaitu lebih daripada 20 peratus untuk mencapai tahap baik atau melebihi 30 peratus pada tahap cemerlang dalam aspek permulaan, penyampaian, penggunaan dan interaksi murid dan guru dalam Bahasa Inggeris dan penggunaan serta kemahiran menggunakan Teknologi Komputer. Bagi melipat gandakan usaha ini berkemungkinan mengambil masa lebih daripada 10 tahun bagi mencapai matlamat PPSMI.

4.5. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru PPSMI mempunyai kompetensi pada tahap sederhana (min = 5.79) dalam melaksanakan proses pengajaran pembelajaran dalam Bahasa Inggeris. Ini bermakna jurang kompetensi agak besar (42.10%) untuk diperbaik bagi menjadi guru yang cekap dan berkualiti.Akibatnya pengajaran guru tidak bermaya, kaku, gagal menyampaikan isi pengajaran dengan tepat dan berkesan, menjemukan, lebih banyak membaca nota, buku teks atau menggunakan papan tulis. Gagal menghurai atau mengolah isi pengajaran dengan baik. penggunaan bahasa bercampur aduk:

(i) Dwi bahasa - bahasa Melayu/ibunda melebihi bahasa Inggeris.

(ii) Dwi bahasa – bahasa Inggeris melebihi bahasa Melayu/ibunda.

(iii) Tidak terdapat guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

4.6. Kecekapan guru dalam mengendali dan menggunakan Teknologi Komputer pada tahap sederhana (skor min = 6.04). Dalam erti kata lain guru-guru masih kurang menggunakan bahan Teknologi Komputer atau menggunakannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Penggunaan teknologi komputer dalam PPSMI ini dianggap oleh guru-guru Sains dan Matematik tidak banyak membantu murid dalam memahami isi kandungan pelajaran dan proses pengajaran pembelajaran mereka.

4.7. “Roh” atau tulang belakang PPSMI terletak pada bahu pentadbir sekolah. Mereka memainkan peranan penting yang dipikul dan mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran guru serta pencapaian akademik murid. Kajian mendapati pentadbir yang prihatin dengan Teknologi Komputer, mengaktifkan peranan panitia dalam PPSMI dan melaksanakan pemantauan ke atas pengajaran guru-guru memberi kesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan prestasi murid.

4.8. Daripada 12 mata pelajaran yang diuji, didapati bahawa murid-murid di kawasan bandar mengatasi rakan-rakan mereka di kawasan Luar Bandar dalam 10 mata pelajaran (kecuali mata pelajaran Fizik 1 dan Kimia 1) dengan perbezaan markah purata antara 3.30 hingga 19.73.

4.9. Status pelaksanaan PPSMI dan sumbangannya terhadap peningkatan penguasaan dan pencapaian bahasa Inggeris murid-murid:

(i) Sekolah Rendah: Didapati sumbangan dan korelasinya adalah rendah bagi mata pelajaran Sains, iaitu ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan Bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan bahasa Inggeris.

(ii) Sekolah Menengah Aliran Sastera: Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya rendah. Di mana bagi Matematik hanya berjaya menyumbang peningkatan bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains.

(iii) Sekolah Menengah Aliran Sains: Hanya 2 mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan.

Oleh itu dapatan melalui analisis regresi berganda yang ditunjukkan di atas, jelaslah bahawa sumbangan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang daripada 4 peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya.

Dari segi perkiraan “cost -benefit analysis” dalam konteks pelaburan pendidikan jangka masa panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan dan sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Dengan ini disarankan supaya diberhentikan dasar PPSMI. Harus juga diterokai pendekatan alternatif pengajaran bahasa Inggeris cara lain yang lebih konkrit dan praktikal, iaitu dengan menggubal dan menambahbaikkan kurikulum dan pedagogi mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri.

4.10. Urutan pencapaian murid mengikut peringkat dan jenis sekolah adalah seperti berikut:

(i) Berdasarkan susunan pencapaian murid rendah daripada tinggi ke rendah bagi ketiga-tiga mata pelajaran menunjukkan pencapaian murid SK berada tempat ketiga, di mana SJK (C) sentiasa mendahului dan lain-lain jenis sekolah sentiasa ketinggalan. Turut terserlah, ialah pencapaian SK (FELDA) berada di tahap yang mendukacitakan.

(ii) Berdasarkan susunan pencapaian murid Sekolah Menengah Aliran Sastera daripada tinggi ke rendah bagi ketiga-tiga mata pelajaran menunjukkan pencapaian murid SMK Comforming adalah lebih baik daripada SMK dan SMK (FELDA).

(iii) Berdasarkan susunan pencapaian murid aliran Sains daripada tinggi ke rendah bagi enam mata pelajaran aliran menunjukkan pencapaian murid sekolah Berasrama Penuh (SBP), MRSM dan SMK Comforming mengatasi Sekolah Menengah harian. Sehubungan ini murid SMK dan SMK (FELDA) ketinggalan di belakang dan tidak dapat menguasai PPSMI.

4.11. Secara perbandingan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (9 kali ujian) yang diuji dalam Bahasa Inggeris dan diuji dalam dwibahasa peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Menengah Aliran Sastera dan Sekolah Menengah Aliran Sains menunjukkan pencapaian murid yang menjawab soalan dengan menggunakan medium soalan dwibahasa lebih baik atau mengatasi pencapaian mereka yang menggunakan medium bahasa Inggeris dengan kelebihan skor min antara 6.94 hingga 16.45. Justeru itu adalah jelas bahawa penggunaan dwibahasa atau bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta ujian lebih digemari murid dan mereka dapat membuktikan penguasaan yang lebih baik dalam bahasa Melayu. Dengan ini ditegaskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik amat bertepatan untuk dikendalikan dalam Bahasa Melayu di peringkat SK dan menengah, dan bahasa ibunda di SRJKC dan SRJKT.
4.12. Pad a keseluruhannya bagi Sekolah Rendah, peratus pencapaian murid yang gagal adalah lebih tinggi (29.86 - 50.56 %) berbanding dengan bilangan mereka yang mencapai tahap cemerlang (10.12 - 31.00 %). Bagi murid Sekolah Menengah aliran sastera, trenda yang sama juga berlaku di mana prestasi murid yang gaga I adalah lebih tinggi (49.44 ¬85.08 %) berbanding dengan mereka yang cemerlang (1.11 % - 20.03 %). Begitu juga bagi murid Sekolah Menengah Aliran Sains, di mana peratus murid yang gagal (24.59 - 69.96 %) adalah lebih tinggi daripada mereka yang mendapat cemerlang (0.78 - 28.06 %).

4.13. Kajian PEMBINA dengan jelas mendapati sesungguhnya pelaksanaan PPSMI menimbulkan kerugian berganda (double jeopardy) kepada murid-murid, terutama kepada lebih kurang 75% murid-murid yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah di dalam ketiga-tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat Sekolah Rendah lagi.

Buktinya, analisis sampel terhadap keputusan peperiksaan yang diambil ke atas 5590 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 56 buah SK seluruh negara, menunjukkan bahawa pencapaian mereka semakin merosot, malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi, iaitu di Tahun 2 (2005), Tahun 3 (2006), Tahun 4 (2007), Tahun 5 (2008) dan dijangkakan berterusan di Tahun 6 (2009). (Sila rujuk Lampiran 3).

Tanda atau pola yang sama juga diperoleh oleh kajian-kajian yang dijalankan oleh Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan pihak sekolah sendiri.

Kemerosotan ini berlaku disebabkan murid-murid tidak dapat memahami dan mengikuti pelajaran dan konsep yang diajar oleh guru disebabkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka amat lemah. Murid tidak dapat berkomunikasi dan menggunakan Bahasa Inggeris semasa berinteraksi dengan guru dan sesama mereka.

5. Kesimpulan

Justeru, kesan berganda hasil daripada sistem PPSMI mengakibatkan bilangan murid yang berkualiti tinggi (pencapaian tinggi) adalah terhad atau dalam lain perkataan bilangan mereka yang berpencapaian rendah mendominasi dalam arus perdana pendidikan peringkat menengah. Ini akan memberi kesan kepada pendidikan peringkat tertiari, di mana bilangan murid yang memasuki peringkat ini akan menurun terutamanya bagi penuntut Melayu aliran Sains.

Apa yang jelas, dari dapatan kajian ini adalah PPSMI tidak berkesan sebagai alat memperkasa modal insan murid bertaraf dunia dan setaraf dengan dunia maju. Malah dapatan kajian menunjukkan prestasi murid PPSMI dalam kalangan responden menurun dari Tahun Satu ke Tahun Enam. Prestasi murid dalam ujian dwibahasa secara signifikan lebih baik daripada prestasi mereka dalam ujian yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Petanda ini membawa kepada situasi atau fenomena akan wujudnya generasi terpupus “lost generation” dalam kalangan pelajar Melayu di mana mereka ini dikhuatiri tidak akan layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari, selanjutnya memupuskan golongan bijak pandai Melayu masa depan yang bakal menerajui Wawasan 2020, khasnya di dalam bidang sains dan teknologi. Dari setahun ke setahun, akan berlipat ganda anak-anak Melayu menganggur atau akan hanya bekerja sebagai pekerja biasa, tanpa mempunyai kemahiran disebabkan mereka gagal mata pelajaran Sains dan Matematik dalam peperiksaan awam.

Guru-guru diperhatikan tidak berupaya maju ke hadapan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Malah, mereka nampaknya berundur ke belakang. Mereka kekok berbahasa Inggeris, kurang yakin dalam penyampaian dan pedagogi mereka kurang berkesan serta hambar. Mereka gagal menghidupkan interaksi antara murid - guru dan antara murid-murid. Amnya, kompetensi guru-guru PPSMI belum mencapai tahap yang diharapkan. Malah tidak terdapat guru yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran.

Dalam konteks pelaburan pendidikan jangka masa panjang, kajian inio mendapati proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik hanya menyumbang paling minimum, iaitu kurang daripada empat peratus terhadap peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris murid. Sumbangan ini terlalu kecil dan tidak mampu membantu mengurangkan kemunduran prestasi murid serta mengurangkan jurang perbezaan antara skor ujian dalam Bahasa Inggeris dengan skor ujian dalam dwibahasa.

Pentadbir sekolah telah menunjukkan komitmen yang signifikan, namun usaha mereka tidak dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Kajian mendapati, pengurusan PPSMI mereka hanya menyumbang dalam aspek menggalakkan guru menggunakan sepenuhnya Teknologi Komputer, menggerakkan peranan aktiviti panitia dan melakukan pemantauan terhadap guru PPSMI. Namun, usaha ini masih belum mencukupi untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ke arah melahirkan modal insan murid yang berkualiti.

5. Usul

5.1. PEMBINA mencadangkan supaya dasar PPSMI ini DITAMATKAN dan dikembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ke dalam Bahasa Melayu mulai peringkat Sekolah Rendah hingga ke peringkat Universiti, iaitu mengikut dasar seperti mana sebelum PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003.

5.2. PEMBINA amat yakin bahawa untuk meningkatkan penguasaan dankemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris melalui pengajaran dan pembelajaran Matematik adalah salah dan menimbulkan kerugian berganda ‘double jeopardy’ kepada murid-murid terutama murid-murid yang berprestasi sederhana dan lemah dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Oleh itu diusulkan bagi memperkasakan Bahasa Inggeris murid-murid hendaklah melalui pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menggubal, meminda atau menambahbaikkan kurikulum, kaedah pedagogi dan teknik pengajaran dan pembelajaran, penambahan waktu Bahasa Inggeris, peningkatan tahap kecekapan guru dan sebagainya.

Usul ini dibuat adalah berdasarkan dapatan kajian dan justifikasi tahap kompetensi guru serta impaknya terhadap pembinaan modal insan murid, khususnya murid Melayu, bandar mahupun luar bandar, termasuk kawasan FELDA, Pulau, Pedalaman dan Sekolah ASLI. Adalah jelas bahawa pelaksanaan PPSMI GAGAL untuk membina modal insan murid yang berkualiti sebagaimana yang dihasratkan di peringkat awal pelaksanaan PPSMI.Ketelusan, kejujuran, keikhlasan, integriti dan akauntabiliti semua pihak, khasnya Kementerian Pelajaran Malaysia diharap untuk menghentikan dasar PPSMI ini demi kesejahteraan dan pembangunan modal insan murid.

Resolusi Kongres Kebudayaan Melayu II

Kami, para peserta Kongres Kebudayaan Melayu II yang bersidang di Wisma Sejarah dengan segala rela hati menerima semua peruntukan utama dan semua perincian terhadap peruntukan utama resolusi-resolusi ini. Kami menyerahkannya kepada kerajaan sebagai piagam dan pegangan kami demi keutuhan negara dan kesejahteraan bangsa Malaysia kini dan masa hadapan.

Kami turunkan tanda tangan sebagai pengesahan terhadap cita dan harapan kami seperti termaktub dalam resolusi ini.
Resolusi 1: Kebudayaan Nasional
Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan
Resolusi 3: Sistem Politik
Resolusi 4: Sistem Ekonomi
Resolusi 5: Sistem Pendidikan
Resolusi 6: Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian
Resolusi 7: Media
Resolusi 8: Islam
Resolusi 9: Perpaduan Bangsa
Resolusi 10: Globalisasi

Y. Bhg. Dato’ Narliza Rafli, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Y. Bhg. Dato’ Termuzi Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
Y. Bhg. Dato’ Haji Omar Mohd Hashim, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia
Y. Bhg. Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Dr Ismail Hussein, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)

Termaktub di Wisma Sejarah
Jalan Tun Abdul Razak,
Kuala Lumpur

Pada 17 Mac 2009
Bersamaan 20 Rabiulawal 1430H

Lampiran: Berita Kongres Kebudayaan Melayu II

Selasa, 17 Mac 2009

Mansuhkan PPSMI - Kongres Kebudayaan Melayu II

Kongres Kebudayaan Melayu II Mahu PPSMI Dibatalkan
Fathi Aris Omar, Malaysiakini, 17 Mac 2009

Pertemuan bersejarah cendekiawan Melayu dalam Kongres Kebudayaan Melayu II hari ini meluluskan 10 resolusi penting, termasuk membawa akibat pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Deraf resolusi yang menyentuh pelbagai bidang termasuk pendidikan, politik, keperlembagaan, ekonomi dan agama diedarkan di hujung pertemuan dua hari di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

"Kami mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti demi perpaduan bangsa, keutuhan negara dan kemajuan seluruh kapisan masyarakat; pelaksanaan dasar pengajaran selain bahasa kebangsaan akan melemahkan maruah bangsa, menjatuhkan martabat negara dan menanam perpecahan antara kaum dan lapisan masyarakat; segala tindakan berkaitan bahasa kebangsaan mestilah selaras peruntukan semua perundangan negara," resolusi kelima dipetik.

Sementara resolusi keenam mengenai 'bahasa, kesusasteraan dan kesenian' berbunyi:

"Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuatkuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan daripada tahap rendah kepada tahap universiti."

Kongres kedua itu yang diadakan selepas pertemuan pertama pada Disember 1957 juga menegaskan kembali peri pentingnya sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi didaulatkan kerana kedua-dua unsur itu "bahagian sempurna dan utuh bagi kerajaan Malaysia."

"Institusi raja dan Majlis Raja-raja adalah menjadi bahagian utuh daripada sistem pemerintahan Malaysia, maka segala kemuliaan dan kuasa yang termaktub sebagai 'pemerintah tertinggi' mestilah dipelihara dan dijunjung tinggi oleh semua pihak," kata profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Datuk Dr Zainal Kling sewaktu membacakan resolusi mengenai politik.

Kongres itu, yang turut mendapat inspirasi resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1970 - yang menghasilkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - turut menentang gagasan multikulturalisme yang dianggap "mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa."

Sewaktu membentangkan hujahnya di kongres tersebut semalam, Dr Zainal berkata gagasan itu yang disebarkan oleh golongan sosialis dan Marxis menggalakkan kebangkitan penentangan kumpulan-kumpulan budaya kecil terhadap dasar-dasar kerajaan.

Tindakan seumpama ini, tambahnya, seperti gagasan Ketuanan Rakyat yang diseru oleh pakatan pembangkang dan idea-idea perjuangan hak asasi manusia yang dibawa NGO boleh menghancurkan negara.

"Kebudayaan Melayu-Bumiputera adalah visi dan kerangka budaya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi landasan pembangunan dan kemajuan kebudayaan Malaysia, maka dengan itu, kami menolak segala gagasan dan tafisran yang berkait dengan multikulturalisme sebagai kerangka pemikiran dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa," resolusi pertama dipetik.

Kongres menyokong kembali tiga prinsip asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan utama kemajuan kebudayaan nasional:

  • kebudayaan kebangsaan mesti berasaskan kebudayaan pribumi di rantau Alam Melayu,
  • unsur-unsur kebudayaan lain boleh disesuaikan dengan kebudayaan kebangsaan, dan
  • Islam adalah unsur utama dalam kebudayaan kebangsaan.

Kumpulan cendekiawan Melayu ini juga melahirkan kebimbangan berhubung pindaan perlembagaan negara secara sewenang- wenangnya yang boleh mendorong kemuliaan raja, kepentingan rakyat, hak istimewa Melayu dan hak asasi semua rakyat dilemahkan dan diremehkan.

"Keluhuran perlembagaan dan dasar-dasar utama negara yakni dasar pendidikan, dasar kebudayaan, Rukun Negara dan dasar bahasa kebangsaan dikembalikan sebagai asas tindakan semasa terutama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum," dokumen setebal lapan halaman itu dipetik.

Mereka juga mendesak agar semua kakitangan pentadbiran awam dan penggubal undang-undang "mesti diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan (Melayu) yang baik dan fasih demi pencapaian keadilan dalam masyarakat."

Kongres mencadangkan media filem dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneguhkan jati diri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan negara, selain mendesak kerajaan mengawal kerencaman pemikiran Islam yang boleh menggugat kedudukan agama dan Melayu sebagai "bangsa penakrif" Malaysia.Kongres ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

PPSMI Zalim, Kata Ustaz

Sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/03/kuliah-serambi-tentang-ppsmi.html

Selepas menunaikan solat Subuh di masjid yang berdekatan dengan rumah saya, seorang ahli jemaah yang juga seorang guru menyentuh bahu saya dari belakang.

Dia berkata “Ustaz boleh luangkan masa sekejap? Saya hendak bertanya sesuatu.”

Saya melihat jam tangan. Baru pukul 6.30 pagi. “Boleh, tiada masalah,” kata saya.

Beliau pun mengajak saya untuk duduk di serambi masjid.

“Maafkan saya kerana mengambil masa ustaz sedikit,” katanya.

“Tiada masalah, teruskan,” jawab saya.

“Saya ingin mendapatkan pandangan ustaz tentang dasar PPSMI yang sedang heboh diperkatakan sekarang ini. Banyak orang menentangnya dari sudut kepentingan bangsa dan bahasa. Apa kata Islam tentangnya?” soal beliau.

Saya menghela nafas dan memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada beliau.

Saya bertanya beliau kembali “Apakah yang tuan faham tentang zalim?”

“Jahat,” jawab beliau.

“Baiklah, kalau cikgu baca kitab atau buku, zalim maksudnya meletakkan sesuatu tidak pada tempat yang sepatutnya,” saya menerangkan.

“Jadi apa kaitannya dengan dasar PPSMI ini?” soal beliau kembali.

Saya menjawab, kaitannya ialah

1. Kita mengatakan ingin maju, maka dengan bahasa Inggeris akan membawa kita kepada kemajuan. Tetapi bangsa Jepun, Perancis dan bangsa Arab dahulu pun menggunakan bahasa masing-masing untuk maju dan bukan menggunakan bahasa orang lain. Maka kita sudah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

2. Kita mengatakan ingin maju, tetapi anak-anak kita di kampung dan luar bandar tidak mampu kerana faktor-faktor tertentu. Maka akan wujud satu jurang antara murid di bandar dan luar bandar. Anak-anak di bandar akan menjadi pegawai, dan anak-anak luar bandar akan menjadi tukang sapu, pemandu dan buruh sahaja nanti. Maka kita telah menzalimi generasi yang akan datang.

3. Saudara seorang guru, saya pun seorang guru. Bukankah kita tidak tahu kawan-kawan kita mengajar menggunakan bahasa Melayu kerana mereka tidak mampu menguasai bahasa Inggeris? Mereka juga kasihan akan murid-murid mereka yang tidak memahami istilah-istilah yang sukar. Bagaimana dengan elaun 10% yang mereka dapat itu? Bukankah elaun itu sudah menjadi wang haram kerana mereka tidak melaksanakan apa-apa yang telah diamanahkan kepada mereka?

4. Dan ingatlah peringatan Allah kepada orang-orang zalim dalam surah al-A’raf, ayat 41: “Maka mereka akan disediakan (di dalam neraka nanti) hamparan tidur daripada api neraka dan di atas mereka selimut daripada api neraka. Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang zalim.”

Merah muka cikgu itu mendengar kuliah serambi saya.

“Wah, berat betul ya ustaz!” beliau memberi respons.

“Itulah, ramai yang tidak mengetahui dan mungkin tidak mahu ambil tahu,” saya menjawab.

“Terima kasih ustaz kerana sudi memberikan penerangan yang panjang lebar. Saya minta diri dulu,” beliau meminta izin untuk beredar.

“Saya pun sama juga,” saya membalas.

Kami pun sama-sama beredar. Matahari sudah meninggi pada masa itu. Saya mendoakan agar cahaya matahari ini menyinari hati insan yang bertanggungjawab menggubal dasar ini untuk melakukan yang terbaik demi untung nasib mereka sendiri di akhirat kelak.

Jeritkan kepada Mereka, "Cakaplah Bahasa Inggeris!"

Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil
Bashir Ishak, Harakahdaily, 2009-03-16 20:06:44

ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini.

“Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris,” tegas A Samad.

“Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris,” ujar pejuang bahasa itu lagi.

“Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris,” kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, “Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur”.

Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi.

Ketika memulakan ucapannya, A Samad membuat satu peringatan yang menggamatkan suasana dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang hadirin itu.

“Ada satu perkara yang saya minta sebelum saya bercakap tentang nasib bahasa kita, iaitu bila ada pilihan raya, saya harap anda semua gunakanlah kuasa undi dan undilah siapa saja tapi jangan undi Umno,” ujarnya, seraya mendapat tepukan gemuruh dan teriakan takbir oleh para hadirin.

Dalam ucapannya yang diselang-selikan dengan pendeklamasian puisi itu, A Samad terus membuat penegasan bahawa beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hanya dimanfaatkan.

“Saya tidak ada parti tapi hanya meminjam pentas parti. Saya bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan. Dengan itu, kita berada pada situasi menang-menang. Kalau saya diperalatkan sudah tentu saya akan menjadi mangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, belia turut menegaskan bahawa hanya dua buah parti yang mampu menyelamatkan keadaan semasa iaitu PAS dan KeADILan.

“Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini,” katanya lagi.

Selain itu, A Samad menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan bahasa Melayu dalam program “Kembara Kasih bahasa”.

“Saya rasa terpanggil bahawasanya dalam sisa-sisa usia saya inilah untuk saya berlawan dan dengan semangat inilah saya akan menjelajah untuk memperjuangkankan bahasa saya.

“Saya bersedia kembali ke negeri Kedah ini dengan syarat anda semua bekerja untuk menumbangkan pemimpin-pemimpin yang sombong,” ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Program berkenaan dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah.

Setiausaha Potik Menteri Besar Kedah, Mohd Sanusi Mod Noor telah menyampaikan ucapannya mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha GMP, Hasni Abas turut menyampaikan ucapan.

Majlis juga diselang-selikan dengan bacaan puisi oleh penyajak, Pak Salleh Bakar, tokoh sastera, Azizi Haji Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim.

Kisah Sedih: Pesakit Barah Diberi Ubat Pening Akhirnya Meninggal

Gantung di sana sini
http://profabdullah1.wordpress.com/2009/03/17/tergantung-gantung/

Dalam Utusan Malaysia 16 Mac 2009, ZAINI RABAN melaporkan bahawa “Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menggesa semua pihak menghentikan tindakan politik keterlaluan termasuk mengadakan perhimpunan haram kerana ia boleh mengheret negara ke kancah darurat ekonomi.”

Nasib baiklah perhimpunan anti ppsmi di Masjid Negara pada 7 Mac lalu itu diluluskan. Cuma ‘diharamkan’ kemudian.

Setuju. Kepada para pelajar yang sedang belajar berfikir, ini adalah sebuah contoh kesimpulan tersasar, sejenis tergantung juga. Lihat pada sebuah contoh lain.

Kita di UPSI baru sahaja kehilangan seorang rakan yang meninggal akibat ketumbuhan dalam otak. Pada tahap awal penyakitnya, beliau cuma pening-pening. Lalu doktornya memberi ubat pening sahaja kepada beliau.

Rupa-rupanya pening itu adalah simtom, atau tanda sahaja kepada ketumbuhan dalam otaknya.
Oleh sebab itu, doktor hanya megubati simptom sahaja, bukan penyakitnya. Apabila disedari, penyakit sebenarnya sudah “keterlaluan” bak titah Raja Muda.

Seyogia dimaklumkan, yang akan merosakkan ekonomi negara adalah dasar PPSMI itu, bukan demonstrasi haram atau halal.

Banyak lagi cerita tergantung:

1. Ali Rustam mungkin digantung?
HATA WAHARI dari Utusan Online, 16 Mac 2009, juga melaporkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam disebut-sebut antara pemimpin kanan UMNO yang bakal dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang pada mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO, esok.

2. Muhyiddin Yasin akan digantung esok?
Tranungkite Online, Isnin 16, 2009 8:42 pm, melaporkan dari sumber-sumber yang boleh dipercayai 250% Muhyiddin Yasin akan digantung keahlian umno esok!

3. Maka Gobind Singh Deo pun digantunglah … sehingga setahun
TheNutGraph melaporkan KUALA LUMPUR, 16 March 2009: Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz said the decision of the Dewan Rakyat today to suspend the membership of Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) for one year was fair.

… (for) making a serious and malicious charge against Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak on 12 March.

Lihat, kita bukan anti bahasa Inggeris. Cuma jangan diajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kepada orang yang tidak tahu bahasa Inggeris.

4. Keputusan Nur Nik Madihah pun masih teragntung, belum membuat keputusan mahu ke mana belajar.

Umno Diseru Martabatkan Bahasa Inggeris

“Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris,” tegas A Samad.

“Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris,” ujar pejuang bahasa itu lagi.

“Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris,” kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, “Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur”.

Isnin, 16 Mac 2009

Melayu Tidak Menggunakan Bahasa Ibunda

Wednesday, March 11, 2009
Salah siapa? http://wadikita.blogspot.com/2009/03/salah-siapa.html

PPSMI, satu isu yang sangat hangat, panas, berbusa, berasap, pedih, berair, berFRU sekarang ini. Seperti perang.

Saya bukan pakar yang boleh mengulas. Namun saya pernah melihat thesis dalam bidang kejuruteraan ditulis dengan menggunakan Bahasa Malaysia. Ia ditulis kemas dan indah. Juga penyampaian maksud yang tepat, tiada cacat cela.

Saya tidak juga boleh memberi komen.

Kadang-kadang yang salah itu kita-kita sendiri. Tidak sayang, juga tidak kasih. Sehingga kita kehilangan sesuatu yang menjadi bahagian diri waktu itu, seperti kata rakan, tiada gunanya.Satu cerita benar. Sebuah keluarga. Melayu. Keturunan dan susur galur Melayu. Isteri dan suami adalah Melayu yang tidak boleh dicuci-cuci. Tetapi dia tidak pernah menggalakkan anak-anak berbicara dalam Bahasa Malaysia. Komunikasi di rumah perlu dengan menggunakan Bahasa Inggeris (rupanya cerita filem dari seorang Pengarah terkenal di Malaysia itu benar belaka). Sedang mereka (baca: ibu bapa kanak-kanak tersebut) tidak pula pernah belajar di British atau di England atau di US. Mereka kekal di Malaysia, belajar di Malaysia, bersekolah di Malaysia, beranak pinak di Malaysia. Tetapi, anak-anak tidak fasih berbahasa Malaysia. Meski anak-anak juga Melayu yang tidak boleh dicuci-cuci. Ketika orang lain mengkagumi kepetahan anak-anak kecil yang sangat lancar bercakap Bahasa Inggeris, mereka (baca: anak-anak itu) terpaksa dimasukkan ke kelas pemulihan kerana tidak fasih berbahasa Malaysia, di sekolah di dalam Malaysia, di Negara Malaysia.

Jadinya, salah siapa?

Dahulu Tulisan Jawi, Kini Bahasa Ibunda

Sumber:

Ahad, 15 Mac 2009

Mustahil Mereka Melaksanakan Kerja Bodoh

Kalau Korea Selatan dan China baru kini menggalakkan belajar bahasa Inggeris, Malaysia sejak zaman Tunku dan Tun Razak lagi sudah memastikan bahasa Inggeris diajarkan sejak tahun satu lagi.

Kenapa pelajar kita dianggap tidak pintar juga berbahasa Inggeris selama 11 tahun di sekolah?

Tentulah sistem persekolahan dan pemerintahan negara kita harus menjawab dan bertanggungjawab.

Selama 22 tahun bekas Perdana Menteri ini berkuasa apa yang dibuatnya untuk memperbetulkan sistem pendidikan sehingga 11 tahun belajar bahasa Inggeris pelajar masih dianggap tongong menguasai bahasa ajaib yg konon boleh menyelamatkan segala masalah negara?

Cuba juga selidik apakah Korea Selatan dan China mengajarkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mulai tahun satu (seperti kita) atau bermula di sekolah menengah.

Cuba juga rajin-rajin bertanya apakah mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matematik dan sains –seperti yang negara ini lakukan sejak 2003 .

Mustahil pemimpin politik dua negara ini melaksanakan kereja bodoh mengajar anak-anak bangsanya yang baru hendak membaca dan menulis belajar sains dan matematik dan mata pelajaran lain dalam bahasa asing..

Baca artikel di sini

Klip Video Bahasa Jiwa Bangsa

Dedalu Muda Mahu PPSMI Diteruskan

14 Mac, 2009 20:39 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu diteruskan dan kerajaan tidak seharusnya membazirkan sumber kewangannya dengan kembali kepada sistem lama yang tidak membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris.

Itulah antara hasil rumusan dialog mengenai PPSMI anjuran Persatuan Pemuda Negara yang dihadiri siswazah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, Sabtu.

Dialog itu turut merumuskan bahawa PPSMI adalah wadah terbaik bagi seseorang pelajar itu menguasai bahasa Inggeris selain mampu mendalami ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa yang diguna di peringkat antarabangsa.

Presiden Persatuan Pemuda Negara Stephen Doss berkata setelah pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan kejayaan PPSMI, adalah tidak wajar jika ia dibatalkan hanya kerana terdapat beberapa bantahan daripada pihak tertentu."

Daripada pandangan semua panel dan soalan yang dikemukakan peserta, jelas menunjukkan keperluan untuk meneruskan PPSMI," katanya kepada pemberita selepas dialog itu.

Sehubungan itu, satu memorandum mengenai rumusan dialog itu akan diserah kepada Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum Perhimpunan Agung Umno ini.

Stephen berkata PPSMI masih praktikal dan relevan untuk diteruskan memandangkan negara tidak mempunyai pakar yang mencukupi untuk menterjemah rujukan Sains dan Matematik ke Bahasa Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Chedet Syed Hassan Syed Ali yang hadir pada sesi dialog itu berpendapat kejayaan pelajar dalam subjek Sains dan Matematik bakal memberikan kelebihan kepada negara terutama dalam bidang pendidikan serta sains dan teknologi."

Pada saya ia perlu. Kalau kita bercakap mengenai kekurangan guru untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris terutama di luar bandar, pada lima tahun akan datang, beribu pelajar yang berjaya dalam Sains dan Matematik hari ini akan mengisi kekurangan itu," katanya.-- BERNAMA

Sabtu, 14 Mac 2009

Rupa-rupanya Tulisan Itu Macam Suara Pak Kadok

Mahathir dan Bahasa Melayunya
14 Mac 2009 http://1426.blogspot.com/2009/03/mahathir-dan-bahasa-melayunya.html

PPSMI bermula dari keputusan mendadak Mahathir yang kunun-kununnya tindakan terbaik dalam mengurangkan masalah siswazah yang tidak mahir berbahasa Inggeris.

Saya ada beberapa komen secara sepintas lalu.

Mahathir tidak membuat apa-apa kajian sebelum melaksanakan PPSMI dan semua menteri kabinet, pemimpin United Malay National Organisation bersetuju tanpa bantahan.

PPSMI adalah cara untuk memberi kontrak pada kroni secara atas angin.

Apakah PPSMI mengambil kira majoriti anak-anak kampung yang tidak mempunyai pilihan seperti anak-anak orang berada dan tinggal di bandar-bandar?

Pengajaran bahasa Inggeris mesti dipertingkatkan. Saya sendiri belajar bahasa Inggeris paling berkesan sewaktu dihantar ke kursus intensif selama 6 bulan di UiTM sebelum ke New Zealand, dimana 6 bulan itu lebih berkesan dari 11 tahun di sekolah!

Mahathir yang terus mempertahankan kesilapan beliau itu, saya berpendapat, Mahathir tersilap dalam menyamakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Juga silap yang sains dan matematik sahaja boleh memajukan bangsa dan negara. Pemikiran sehala seperti ini membahayakan sekali. Apakah seni, sastera, geografi, sejarah tidak boleh memajukan negara?

Penguasaan ilmu bukan sekadar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Jepun, Jerman, Rusia dan lain-lain negara/bangsa lebih maju dari orang Inggeris.

Pandai berhujah dalam bahasa Inggeris diperingkat antarabangsa tidak semestinya kerana dia belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Membanyakkan istilah sains dalam bahasa Melayu akan sama memperkembangkan bahasa Melayu dan ini penting sebagai jati diri. Apakah orang Jepun dan Korea ketinggalan kerana belajar sains dan matematik dalam bahasa sendiri?

Mahathir kata - Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.

BANGANG-nya Mahathir, apabila kerajaan yang kini mengikut undang-undang Mahathir di mana semua protes ditutup ... suara rakyat tidak didengari, demonstrasi adalah perlu dan dibenarkan oleh perlembagaan serta demokrasi.

Perlembagaan negara menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar!

Medium Mempelajari Bahasa Inggeris

Saya bersetuju dengan pendapat beberapa orang ilmuwan dan budayawan kita yang menyarankan agar mata pelajaran Sastera Melayu dipilih menggantikan sains dan matematik. Terjemahkan semua karya sastera kita ke dalam bahasa Inggeris. Jadikan karya-karya tersebut sebagai buku teks di sekolah.

Rasionalnya ada. Pertama, kita akan berjaya memartabatkan semula sastera Melayu yang sekian lama dipinggirkan. Kedua, penerbitan semula karya sastera Melayu dalam bahasa Inggeris akan menyokong dan menggalakkan lagi penulisan karyawan tempatan. Ketiga, sememangnya sastera adalah medium yang kita gunakan dalam komunikasi seharian.

Justeru, matlamat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar lebih mudah tercapai melalui mata pelajaran Sastera, dan bukannya Sains atau Matematik.

Baca artikel lengkap di sini.

Pencipta PPSMI Meracau pada 13 Mac 2009

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)

By Dr. Mahathir Mohamad on March 13, 2009 6:48 PM Comments (6) TrackBacks (0) http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/03/pengajaran-dan-pembelajaran-sa.html

1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. (Kesilapan bahasa: 1)

2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. (Kesilapan bahasa: 1; jumlah kesilapan: 2.)

3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu. (Kesilapan bahasa 0; jumlah kesilapan: 2.)

4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera. (Kesilapan bahasa 1; jumlah kesilapan: 3.)

5. Sains dan Matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa melayu. (Kesilapan bahasa: 1; jumlah kesilapan: 4.)

6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan. (Kesilapan bahasa: 2; jumlah kesilapan: 6.)

7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa. (Kesilapan bahasa: 3; jumlah kesilapan: 9.)

8. Memang boleh tetapi perkataan-prkataan Sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan. (Kesilapan bahasa: 1; jumlah kesilapan: 10.)

9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

• Oxygenation
• Oxidation
• Oxide
• Oxidants
• Deoxydation
• Oxidise
• Oxidification
• Dioxide
• Monoxide
• Peroxide
(Kesilapan bahasa: 0; jumlah kesilapan: 10.)

10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen. (Kesilapan bahasa: 0; jumlah kesilapan: 10.)

11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi. (Kesilapan bahasa: 3; jumlah kesilapan: 13.)

12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilimu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis. (Kesilapan bahasa: 2; jumlah kesilapan: 15.)

13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah. (Kesilapan bahasa: 1; jumlah kesilapan: 16.)

14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains. (Tiada tanda tanya.) (Kesilapan bahasa: 3; jumlah kesilapan: 19.

15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat oenting di zaman ini. (Kesilapan bahasa: 3; jumlah kesilapan: 22.)

16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah dari pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks. (Kesilapan bahasa: 3; jumlah kesilapan: 25.)

17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris? (Kesilapan bahasa: 0; jumlah kesilapan: 25.)

18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris. (Kesilapan bahasa: 0; jumlah kesilapan: 25.)

19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar? (Kesilapan bahasa: 0; jumlah kesilapan: 25.)

20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan menggun hanya bahasa Melayu? (Kesilapan bahasa: 1; jumlah kesilapan: 26.)

21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar. (Kesilapan bahasa: 0; jumlah kesilapan: 26.)

22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dinormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lago mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah. (Kesilapan bahasa: 2; jumlah kesilapan: 28.)

23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayuu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja. (Kesilapan bahasa: 1; jumlah kesilapan: 29.)

24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita. (Kesilapan bahasa: 1; jumlah kesilapan: 30.)

25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang. (Kesilapan bahasa: 4; jumlah kesilapan: 34.)

26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang. (Kesilapan bahasa: 0; jumlah kesilapan: 34.)

Kesilapan bahasa: 34
Ungkapan rojak: 2 (derivative, banyak derivative)
Perkataan kontot: 2 ("tapi" dan "nak")

Jumaat, 13 Mac 2009

Susulan Perhimpunan 7 Mac: GMP Bermesyuarat Hari Ini

Pembantah PPSMI bermesyuarat bantu siasatan polis
Malaysiakini, Mar 13, 09 11:03am

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang diminta polis hadir membantu siasatan berhubung demonstrasi besar membantah dasar kontroversi itu, akan bertemu petang ini.

Mesyuarat itu bagi menentukan tindakan selanjutnya berhubung panggilan polis itu yang diumumkan oleh polis Kuala Lumpur dalam satu kenyataan semalam, kata setiausahanya Hasni Abas.

Menurut polis, perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu lepas dekat Istana Negara tidak mempunyai permit dan melanggar Seksyen 27 Akta Polis.

Selain Pengerusi GMP Datuk Dr Hasan Ahmad bersama barisan pemimpin gabungan itu, polis juga meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa serta beberapapemimpin kanan parti termasuk naib presidennya Mohamad Sabu, ketua Pemudanya Salahuddin Ayub dan ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail juga turut dikehendaki polis.

Timbalan pengerusi GMP Dr Shaharir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hasan, setiausaha GMP Hasni Abas, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Mohammad Faizal Abd Aziz, Aizad Mohd Saleh, Muhammad Haafizuddin Abirerah dan pemimpin Pemuda PAS Kamarulzaman Mohamad antara 22 individu yang diminta membantu siasatan.GMP dijangka mengadakan satu sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Khamis, 12 Mac 2009

Lemahnya Abdullah, Sampai ke Akhir

PPSMI: Lemahnya Abdullah, Sampai ke Akhir
Ahmad Lutfi Othman, Harakahdaily, 12 Mac 2009

Perhimpunan 100,000 rakyat menuntut agar rancangan "pelik, aneh dan bengap" Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sememangnya berjaya dengan cemerlang sekali.

Sekalung tahniah buat pihak penganjur yang mengatur persiapan rapi sejak awal, juga para pejuang bahasa, aktivis budaya, pemimpin politik dan sudah pasti orang ramai, termasuk pelajar-pelajar sekolah yang bersedia dikejar anggota FRU dan ditembak gas pemedih mata, semata-mata bagi merakam sejarah baru era perjuangan bahasa yang lebih mencabar.

Kehadiran cukup memberangsangkan. Lautan manusia, walaupun terpecah-pecah kerana disuraikan polis secara ganas, bukan sekadar mahu menyampaikan mesej jelas-tegas buat pemimpin kerajaan BN, malah mereka bertekad tinggi untuk melakukan perubahan menyelamatkan masa depan anak bangsa. Mereka sedar penguasa sombong-angkuh BN selalunya sukar memahami bahasa lunak melalui diskusi, perbincangan meja bulat atau memorandum yang dikarang indah.

Justeru, perarakan raksasa 7 Mac lalu boleh dianggap langkah awal sementara menantikan respons sewajarnya, sebelum tindakan lebih berkesan melalui peti undi dapat dibuat kurang lebih tiga tahun lagi.

Ada pihak menyifatkan himpunan petang Sabtu itu satu kebangkitan menyeluruh umat Melayu (tanpa mengetepikan ia turut dimeriahkan oleh pelbagai NGO dari masyarakat Tionghua dan India) dan petanda penolakan mereka terhadap Umno yang terbukti telah "menjahanamkan" bangsa, agama dan negara.

Orang Melayu dalam pilihan raya ke-12 lalu masih meninggalkan sisa-sisa sokongan buat Umno, namun parti berkenaan jelas "tidak mengenang budi".

Jerit derita orang Melayu tidak dihiraukan, malah diremehkan. Lihat saja layanan pemimpin Umno terhadap gema suara tokoh-tokoh Melayu, misalnya Sasterawan Negara A Samad Said dan bekas Ketua Pengarah DBP, Dr Hassan Ahmad.

Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein bukan sahaja tidak mengambil berat bantahan tokoh-tokoh ini terhadap PPSMI, tetapi turut membuat tohmahan melulu bahawa mereka diperalatkan oleh pembangkang. Ya, selepas Umno menutup pintu daripada mendengar kritikan-teguran para pejuang bahasa ini, yang sarat dengan hujah bernas dan argumen konkrit, pemimpinnya bertindak liar menghamburkan penghinaan, sehingga rombongan menghadap Yang di-Pertuan Agong pun ditembak gas pemedih mata secara sembrono dan membabi-buta.

Lalu, diulang-tayang propaganda tujahan media bahawa pihak yang didakwa mencetuskan keganasan adalah peserta himpunan atau penunjuk perasaan, walhal mereka sebenarnya yang menjadi mangsa.

Semuanya taktik lapuk dan usang yang terbukti selama ini telah memakan tuan. Rakyat makin muak dan jelak, seperti marahnya mereka dengan rampasan kuasa di Perak dan bagaimana paparan media terhadap drama berkenaan.

Lebih aneh, Abdullah Ahmad Badawi yang bakal bersara beberapa hari lagi bersuara lemah memohon Kementerian Pelajaran supaya disegerakan keputusan yang wajar bagi mengelakkkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan. Laihnya Abdullah seolah-olah jawatan Perdana Menteri bukan miliknya lagi.

Mengapa tidak digunakan kuasa eksekutifnya untuk mencabut dasar "gila" ini, yang mana ketika diperkenalkan dahulu langsung tidak pernah dirundingi biarpun ia bercanggah dengan Perlembagaan dan apa jua undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan?

Ataupun Abdullah sudah dikepung dan "diikat kaki dan tangannya" oleh Najib Razak, sehingga terpaksa melutut meminta ehsan kepada Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin, yang juga sepupu Najib?

Memalukan betul!

Sedangkan ramai mengharapkan Abdullah mampu menjernihkan suasana yang dilihat serba buntu dalam tempoh kritikal ini. Ataupun Abdullah kini ibarat harimau kehilangan taring dan sudah dikerat kukunya.

Elok juga direnungi dua perenggan terakhir ucapan tokoh besar PAS, Almarhum Tan Sri Asri Muda, di bawah ini sewaktu menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) - yang terus mengagungkan bahasa Inggeris - di Parlimen, pada bulan Mac, 1967 di hadapan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abd Rahman.

PPSMI pastinya lebih ganas dan merbahaya. Justeru, ia sewajarnya ditentang habis-habisan, sehebat mungkin, bagi memastikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dapat dipulihkan, selain penganiayaan terhadap anak-anak kita dapat dihentikan segera.

"Tuan Yang Dipertua, saya percaya, bahawa suara hati yang saya kemukakan di Dewan ini, itulah juga suara hati yang lahir daripada nurani tiap-tiap seorang anggota Dewan yang berjiwa dan bersemangat cintakan bahasa kebangsaan, cinta sejati, cinta bersih bukan cinta celupan, tetapi Tuan Yang Dipertua, keadaan yang mengikat dan kepentingan yang mengelilingi mereka itulah sahaja yang saya rasa mungkin menyebabkan mereka tidak berani membuat tentangan; hati membangkang, seradang-radangnya, mulut membungkam seribu bahasa, hanya tangan terangkat ke atas menyatakan setuju pada zahirnya, tetapi menyerah kalah pada hakikatnya.

"Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak." _

Inilah Sumaiyah yang Terkena Tembakan Gas Beracun

Gambar di sini.

Sumaiyah Humaira’, 5 tahun, sabar menanti ayahnya, Ustaz Wan Azhar, merapikan kerudungnya. Berdiri di belakangnya ialah ibunya, Puan Nasriah dan kakaknya, Mujahidah Solehah, 11 tahun.

Berapa ketika kemudian, tembakan gas beracun mengenai dirinya. Tiba-tiba tekaknya mual, tubuhnya panas dan matanya pedih. Dia menahan kesakitan. Air matanya berlinang.

Sang ayah yang mendukungnya, segera membawanya ke bawah pokok untuk berlindung. Pada masa itulah dia bertanya, "Yahudikah yang menembak kita, ayah?"

Bagai si Buta Memimpin si Buta

As for the Education Ministry’s move to teach the two subjects in English just so that the English standard may be improved among our students, I have this to say. You all are laughable in your stupidity!

Just imagine a Form 2 student. All his school life he has been taught Maths and Science in Bahasa Malaysia. That means 8 years of his life. One fine day he wakes up and go to school and “campur” becomes “add”; “tolak” becomes “substract” and “pecahan” becomes “fraction”. In science, “buah pinggang” suddenly becomes “kidney”; “karbon oksida” morphs into “carbon dioxide” and “khatulistiwa” becomes “equator”. How in heaven does that make his command of the English language better?

And what about the teachers? All these while, they teach Maths and Science in Bahasa Malaysia. And one fine day they have to switch into English. And not to forget, they are also the product of a school system which taught them in Bahasa Malaysia. It’s like the proverbial buta leading the buta! Are you all nuts?

Please. If the thinking is that the standard of English would suddenly improve by teaching these two subjects in English, don’t even bother. It is not going to work! A more total and holistic approach is needed to achieve that objective. This is not going to work.

Baca artikel penuh di sini.

Rabu, 11 Mac 2009

Bedah Akademik PPSMI 14 Mac 2009

Bedah akademik PPSMI, jemput hadir ke KUIS, Bangi 14 Mac
Harakahdaily Wed Mar 11, 09 4:18:35 pm MYT

BANGI, 11 Mac (Hrkh) - Rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu dijemput hadir ke seminar PPSMI yang akan dibentangkan lima tokoh terkemuka di Dewan Teater Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dekat sini, pada hari Sabtu 14 Mac 2009.

Dato' Dr Hassan Ahmad, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan, Profesor Dr Shaharir Mohamad Zain dan Profesor Dr Mat Rofa Ismail akan membentangkang kertas kerja mereka dalam seminar yang sehari yang akan bermula jam 8.00 pagi itu.

Seminar dijangka lebih menarik apabila perjuangan orang-orang Melayu bagi mempertahankan hak dan ketuanan bahasa sendiri, dinafikan oleh Umno yang melabelkan penentangan mereka sebagai didalangi elemen politik.

Rakyat yang mahu mengetahui kebenaran yang lebih mendalam mengenai impak PPSMI terhadap bangsa Melayu dijemput hadir beramai-ramai.

Bagi yang berminat, sila hubungi urusetia program seperti berikut:
Hazwani 0133684906 rsbgurl@yahoo. com
Razali Bidin 0196442868 arieff_86@yahoo. com.my
Hakim 0132829225 hakimin_abdullah@ yahoo.com
Azli Maarif 0123378925 azli_000@yahoo. com
Penganjur juga menetapkan yuran penyertaan bagi orang awam iaitu RM30 seorang, manakala pelajar ditetapkan RM15 seorang. - mr_

Seminar PPSMI 14 Mac 2009



Sebagaimana tajuk di atas, ingin kami tegaskan bahawa seminar ini adalah tempat dan ruang yang kami sediakan untuk perbincangan secara akademik lagi ilmiah berkaitan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Seminar ini terbuka kepada semua, sama ada yang menyokong PPSMI ataupun menentangnya. Di sinilah tempatnya untuk kita menggunakan segala kematangan kita memberikan pandangan, berhujah dan bertanyakan apa sahaja persoalan kepada panel-panel yang telah kami jemput tentang isu ini.
Panel-panel yang kami undang ini adalah sangat berautoriti untuk menjawab segala persoalan berkaitan PPSMI dari sudut undang-undang, perlembagaan, sains dan matematik dan sebagainya.

Tanyalah apa sahaja soalan. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Insyallah, kami akan memberikan ruang yang secukupnya buat peserta yang menghadiri seminar ini.

Seminar ini masih dibuka untuk pendaftaran. Kami juga menerima pendaftaran secara walk- in pada hari program. Namun, kami lebih menggalakkan pendaftaran awal kerana tempat yang disediakan agak terhad iaitu untuk 200 orang.

Demi keselesaan semua pihak. Pihak kami tidak dapat menjamin keselesaan untuk yang lewat mendaftar.