Sabtu, 28 Februari 2009

Kenyataan Media GMP 27 Februari 2009

Kenyataan Media, 27 Februari 2009
Bersama Menjayakan Perhimpunan Aman 100 Ribu Mansuhkan PPSMI

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Perhimpunan Aman 100 Ribu di Istana Negara pada 7 Mac 2009 jam 2.00 petang.

GMP menetapkan tiga tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti yang berikut:

(a) Pusat Perniagaan SOGO
(b) Centrel Market
(c) Masjid Negara

Bagi memudahkan perjalanan perhimpunan ini, semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dilakukan oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara.

Permit perhimpunan sudah dipohon kepada Y. Bhg. Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara.

Peserta dilarang sama sekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam perhimpunan ini ialah Dato’ A. Samad Said, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Dr. Shaharil Mohamad Zain, Prof. Emeritus Abdullah Hasaan, Prof. Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, YB Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Warna tema GMP adalah putih. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI.

GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP.

Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul di hadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang.

Hasni Abas
Setiausaha
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)

Jumaat, 27 Februari 2009

Godam: "Gelora Penolakan PPSMI Buat Renungan Semua"

Oleh Salbiah Ani, Berita Harian

GELOMBANG penolakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semakin hangat dirasai dengan kehadiran beberapa kelompok pejuang bahasa Melayu yang menyatakan pendirian mereka secara terbuka berhubung perkara ini.

Lebih menyentap hati senario terkini penolakan PPSMI ialah kehadiran kalangan veteran pejuang bahasa Melayu termasuk mereka yang pernah menerajui badan bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pembabitan tokoh seperti Datuk Dr Hassan Ahmad dalam Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan kenyataan berulang kali Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, dengan hujah menolak andaian PPSMI meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, perlu direnung sedalam-dalamnya.

Hendaknya kesediaan GMP menyerahkan kajian pasukan penyelidik 50 pensyarah dari tujuh universiti di bawah seliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dilihat Kementerian Pelajaran sebagai usaha jujur mereka menolak dengan hujah berdasarkan fakta.

Kajian Pembina yang membabitkan pelajar Tingkatan Empat di 70 sekolah menengah dan murid Tahun Lima di 90 sekolah rendah dengan rumusan PPSMI gagal memberi manfaat khususnya kepada pelajar luar bandar semua bangsa, perlu diberi perhatian.

Tindakan GMP dengan keanggotaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik dan keengganan mereka diperalatkan mana-mana parti politik serta kesediaan bekerjasama dengan kerajaan dalam menyelesaikan kemelut ini, perlu dinilai dengan sejujur-jujurnya.

Jika masih ada pihak berasa pejuang bahasa Melayu terlalu taksub dengan perjuangan mereka, tidak dapatkah kelompok yang melemparkan tuduhan ini melihat kewarasan lontaran pandangan tokoh intelektual disegani, Ungku Aziz.

Tentu sebagai mantan Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaya, pusat pengajian tinggi tertua di Malaysia, beliau tidak beromong kosong dan meskipun Ungku Aziz bergerak bersendirian dalam perkara ini, kenyataannya berhubung ketidakwajaran meneruskan PPSMI, tidak pernah berubah.

Mengapa tidak pengakuan berhubung kejayaan Universiti Malaya melahirkan pakar bidang di kalangan pelajar Melayu yang pernah mengikuti kursus di Pusat Asasi Sains yang mengajar Sains dan Matematik sepenuhnya dalam bahasa Melayu bermula 1974, dilihat dengan jernih hati.

Suatu yang pasti, tiada walau sekelumit niat di kalangan pejuang bahasa Melayu yang menolak PPSMI untuk menidakkan wibawa Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Hussein dan seperti diakuinya sendiri, dasar berkenaan berkuat kuasa sebelum beliau menyandang ‘kerusi’ sekarang.

Dasar berkenaan dikuatkuasakan ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, menerajui pemerintahan negara dan corak kepimpinan pada dekad terbabit menyaksikan tiada seorang pun menteri Kabinet tanpa mengira bangsa, berani mengemukakan pandangan berbeza.

Malah, ketika Wacana Kembara Bahasa 2005 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Unit Sastera, Berita Harian, di Kuantan, Pahang, pada 10 hingga 12 September 2005, panel yang bersuara mengenai perkara ini dinasihatkan melupakan ‘topik’ terbabit.

Sebagai pengamal media di akhbar Melayu, penulis tidak mahu melihat bahasa Melayu ditalkinkan hanya kerana dasar terdahulu yang silap, tetapi diteruskan juga kerana termakan momokan bahawa rakyat Malaysia tidak mampu maju, jika tidak fasih berbahasa Inggeris.

Kebimbangan ini bukan kerana tempoh perkhidmatan yang berbaki tidak sampai tiga suku dekad, tetapi berpunca daripada keengganan melihat industri buku, majalah, komik dan akhbar negara ini, antara teras ekonomi utama yang dikuasai bangsa Melayu di Malaysia, berkubur!

Pasti sedih melihat bahasa Melayu dihumban dan dibunuh bangsanya sendiri selepas diangkat sebagai bahasa rasmi negara serta dipilih sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan negara sejak merdeka 52 tahun lalu, menerusi Perlembagaan Negara, oleh pemimpin terdahulu.

Hendaknya Kementerian Pelajaran terbuka akal budinya untuk menilai segala protes terhadap PPSMI dan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu mereka, gah pada nama, tetapi dari segi pencapaian, nol.

Tentu rakyat Malaysia lebih rela dikaitkan dengan negara seperti Korea, China, Jepun dan Perancis, meskipun penguasaan bahasa Inggeris rakyatnya tidak sebaik mana, tetapi ternyata mereka mampu gah sebagai pencipta sehingga mampu melebarkan sayap ekonominya ke negara orang; segala-galanya kerana dada diterangi ilmu dalam bahasa ibunda sendiri!.

Pandangan Mantan Ketua Pengarah DBP tentang PPSMI

Oleh Dr. Firdaus Abdullah firdausabdullah44@gmail.com

Akibat sampingan PPSMI pembangkang dapat senjata tambahan. Jika tidak pasti yang hendak dicapai “eloklah kembali ke pangkal jalan.”

SEKURANG-KURANGNYA ada dua akibat sampingan PPSMI yang telah membawa ‘padah politik’ (jika tidak mahu menggunakan perkataan ‘musibah politik’) kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pertama, isu itu telah memberi platform tambahan kepada parti-parti pembangkang untuk bersatu menggodam BN.

Kedua, dalam kalangan pemimpin dan penyokong BN sendiri telah terjadi perpecahan akibat perbezaan pendapat mengenai isu PPSMI itu. Perbezaan pendapat ini berlaku di kalangan sesama menteri dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat UMNO dan juga antara menteri-menteri BN.

Itu adalah antara akibat-akibat jangka pendek dari segi politik. Kesan jangka panjang dari segi pendidikan dan pembinaan negara bangsa, masih berterusan menjadi punca pertelingkahan di kalangan pelbagai pihak.

Kita belum lagi menyebut kesan ekonominya terhadap kewangan negara dari segi pembiayaan infrastruktur tambahan dan elaun guru-guru yang terlibat dalam pelaksanaan PPSMI itu.

Kerana itu, di tengah-tengah hiruk-pikuk suara-suara menentang dan mempertahankan PPSMI sekarang, saya ingin menyarankan supaya kita menanyakan kembali beberapa soalan asas.

Pertama, mungkin ramai yang tidak tahu atau sudah lupa apakah ayat penuh daripada singkatan PPSMI itu?

PPSMI adalah akronim atau singkatan daripada ayat “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris” Ini adalah satu kaedah atau cara mengajarkan mata pelajaran sains dan matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya dalam sistem persekolahan di negara ini.

Kaedah ini diputuskan secara mengejut dalam satu sidang kabinet khas pada bulan Julai 2002 dan dipaksakan kepada guru-guru dan murid-murid darjah satu (Sekolah Rendah), tingkatan satu dan tingkatan enam (Sekolah Menengah) mulai tahun pengajaran 2003.

Sebelum itu, untuk selama hampir 30 tahun kedua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Melayu.

Perubahan ini (dari pada menggunakan bahasa Melayu kepada menggunakan bahasa Inggeris) boleh dikatakan berlaku dalam keadaan tergesa-gesa. Kerana itu dapat diduga bahawa pelaksanaannya dipaksakan tanpa persiapan yang sungguh-sungguh dan tanpa perbincangan yang menyeluruh di kalangan pakar pendidikan dan profesional perguruan.

Tetapi bantahan masyarakat awam sejak awal lagi sudah cukup meluas walau tidak dapat liputan media yang wajar.

Hanya sejak akhir-akhir ini, liputan media massa mulai meluas dengan bertambah meluasnya bantahan dan sokongan pelbagai pihak. Tetapi liputan meluas oleh media massa itu adakalanya menambah kekeliruan kerana terdapat kecenderungan melemparkan tuduhan-tuduhan yang tak tepat seperti “anti bahasa Inggeris” atau “emosional” atau “tak sayang anak bangsa.”

Satu lagi akibat sampingan polemik PPSMI ini ialah terpinggir dan tersingkirnya dari aliran perdana tokoh-tokoh bahasa dan budaya yang selama ini kelihatan “bersahabat” dengan parti pemerintah.

Umpamanya, Sasterawan A. Samad Said yang selama ini kelihatan rapat dengan “aliran perdana” atau pihak establishment tetapi sekarang sudah mulai menampilkan dan menampakkan diri dalam acara-acara dan demonstrasi menentang PPSMI.

Begitu juga dengan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Ismail Hussein sekarang sudah secara terbuka memperlihatkan tentangan dan bantahan walau pun selama ini sesetengah pihak menganggap beliau mempunyai sikap yang akamodatif dan proestablishment.

Satu lagi akibat sampingan yang saya anggap mendukacitakan ialah semakin meluasnya budaya “bermuka-muka” atau “berpura-pura” dalam kalangan sesetengah pegawai tinggi kerajaan.

Mereka memperlekeh dan mencemuhkan PPSMI secara berbisik-bisik di warung-warung teh tarik atau semasa kudapan di majlis-majlis kerajaan. Tetapi mereka memberi sokongan secara terbuka di hadapan menteri atau di hadapan pemimpin-pemimpin politik yang pro-PPSMI itu.

Saya percaya polemik dan kontroversi PPSMI ini akan berterusan sehingga satu keputusan muktamad diambil dan dilaksanakan. Atau konflik ini mungkin akan menjadi lebih buruk jika keputusan muktamad itu nanti tidak dapat diterima oleh pihak-pihak berkenaan.

Kalau itu berlaku, akibat sampingannya bukan sahaja membawa “padah” malah mungkin membawa “musibah.”

Satu lagi soalan asas yang telah berulang kali ditanyakan dengan berbagai-bagai cara dan ungkapan ialah: Apa sebenarnya yang hendak dicapai oleh PPSMI?

Sesetengah pihak menjawab untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Sesetengah pihak yang lain untuk memudahkan generasi baharu Malaysia mengikuti kemajuan sains dan teknologi.

Tetapi setakat ini, pada hemat saya, belum ada satu huraian yang lengkap dan sistematik mengenai matlamat sebenar yang hendak dicapai oleh PPSMI itu. Ini mungkin boleh juga dianggap sebagai satu lagi akibat sampingan daripada PPSMI itu, iaitu semakin berleluasanya sikap evasive, iaitu kecenderungan mengetepikan persoalan dan menangguhkan penyelesaian.D

ATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

SN A Samad Said Sedia Guna Platform UMNO

TERENGGANU: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said bersedia menggunakan platform Umno dalam memperjuangkan bahasa Melayu dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya diberi peluang berbuat demikian.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak tertentu supaya tidak membuat sebarang andaian bahawa beliau diperalat pembangkang kerana setakat ini hanya PAS yang memberikannya peluang memperjuangkan isu berkenaan.

"Kalau Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi pentasnya, saya akan meminjamnya (untuk memperjuangkan isu PPSMI) dan kalau Umno memberikan pentasnya, saya juga akan gunakannya.

"Ini semata-mata, saya tidak mahu bahasa saya (Melayu) itu dikucupkan, tidak mahu dinazak dan dikuburkan," katanya kepada pemberita di pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini semalam.

Sidang media itu diadakan sempena kempen anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI di Terengganu, bagi menghimpunkan 100,000 rakyat dari seluruh negara bagi mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur pada 7 Mac ini.

Mengulas lanjut, Samad berkata beliau bimbang dalam tempoh 50 tahun akan datang, Bahasa Melayu akan terhakis sekiranya tidak dipertahankan daripada sekarang.

Beliau berkata sebelum ini, Umno bersikap "garang" kerana 65 tokoh akademik telah menyatakan pendirian dan pandangan mereka terhadap isu berkenaan tetapi tidak diterimanya.

"Beberapa rancangan untuk bersemuka dengan jujur dan waras juga tidak diterima. Fikiran dan pandangan daripada budayawan juga tidak diambilkira," katanya.

Samad berkata beliau melihat semua "jalan" untuk membincangkan perkara itu seolah-olah sudah tertutup dan beliau terpaksa menggunakan platform pembangkang bagi menyatakan pendiriannya berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengulangi pendiriannya bahawa beliau sanggup hilang gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam usahanya memperjuangkan bahasa Melayu dalam isu PPSMI.

"Apa gelaran pun sebenarnya untuk sementara. Bagi saya, itu tidak menjadi soal, sebab yang paling penting ialah perjuangan saya sebagai seorang sasterawan untuk melestarikan bahasa saya," katanya.

PPSMI Kembali ke Zaman Penjajah

Berita Harian Online, 26 Februari 2007

SAYA tertarik hendak mengulas isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kerap dibangkitkan sejak akhir-akhir ini oleh ahli politik, pejuang bahasa, ahli akademik dan masyarakat pendidik sendiri.

Bagi saya selaku seorang pendidik dan kini selaku penyelidik, apabila kita mahu berhujah mengenai sesuatu perkara, berhujahlah berlandaskan fakta, kajian terperinci dan bersifat akademik. Isu PPSMI tidak harus dilihat berdasarkan perspektif emosi semata-mata.

Isu PPSMI berkait-rapat dengan soal paksi Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Negara, isu undang-undang tubuh negara (Perlembagaan Persekutuan), isu kebolehcapaian pelajar dalam pelaksanaan PPSMI, isu penggubalan dasar PPSMI itu sendiri dan pelaksanaannya, isu keciciran dan kesannya ke atas survival pelajar pada masa depan dan impak dari segi sosiologi, psikologi dan sosioekonomi.

Itu antara beberapa perspektif yang boleh dilihat dan masih banyak lagi sudut lain. Mudah benar bagi kita menuduh begitu dan begini tanpa membuat kajian mendalam asas bantahan PPSMI.

Mudah untuk kita menyatakan kajian yang dibuat mengenai PPSMI adalah bersifat dangkal jika dilakukan oleh golongan yang menolak PPSMI. Mudah juga bagi kita, seperti menyatakan orang Melayu asyik hendak bersenang-senang saja.

Saya tidak nafikan mungkin wujud di kalangan orang Melayu, seperti pelajar Melayu yang bersifat sedemikian, tetapi kadar atau bilangan yang bersifat begitu harus diselidiki melalui kajian empiritif dan tidak sewajarnya pukul rata.

Lantaran itu beberapa pemikir Melayu seperti Syed Hussein Al Attas kurang bersetuju dengan anggapan masyarakat Melayu pemalas. Kita harus mengkaji sejarah dan melihat kebangkitan empayar Melayu sehingga dikagumi kuasa besar seperti China suatu waktu dulu.

Berbalik kepada asas melingkari PPSMI, banyak isu yang perlu diperdebatkan secara objektif tanpa emosional sebelum dasar ini diteruskan atau tidak.

Pertamanya soal perancangan dan pelaksanaan dasar PPSMI itu sendiri. Dari sudut teori pentadbiran awam, sesuatu dasar yang berkesan haruslah dirancang dengan teliti, malah melalui proses kajian impak, kajian projek rintis dan sebagainya sebelum dilaksanakan menyeluruh.

Apakah PPSMI melalui semua ini? Menurut Prof Dr Sidek Baba dalam bukunya Melayu Perkasa (2009), dasar PPSMI dirancang dan dilaksana secara tidak berhati-hati dalam erti kata melalui perancangan teliti sebegini.

Keduanya, dari sudut Perlembagaan Persekutuan, pelaksanaan dasar ini akan menggugat Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Kita khasnya bangsa Melayu harus sedar bahawa ada empat perkara yang memayungi pribumi dalam Perlembagaan Negara dan menjadi teras iaitu agama Islam (Perkara 4 dan 11), Bahasa Melayu (Perkara 152), Hak Istimewa Melayu (Perkara 153) dan Raja Berperlembagaan.

Pada masa ini, keempat-empat perkara itu mula tergugat dan goyah dan tanpa disedari melalui pelaksanaan PPSMI kita sedang dan akan terus membunuh bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Menurut Prof Emeritus Abu Bakar Hamid (2007), satu kajian menunjukkan daripada 79 mata pelajaran pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya 19 subjek diajar dalam bahasa Melayu.

Pada peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pula, lebih kurang 20 peratus saja subjek diajar dalam bahasa Melayu manakala di IPT swasta, rata-rata dalam bahasa Inggeris. Ini bermakna dalam jangka panjang PPSMI akan menyebabkan kita kembali ke zaman penjajahan apabila hampir semua subjek diajar dalam bahasa Inggeris.

Justeru, apakah akan terjadi kepada usaha hampir 50 tahun memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan?

Kita juga mungkin terlupa betapa hasil pelaksanaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar dalam arus pendidikan kita sejak sekian lama, kita menghasilkan puluhan ribu profesional Bumiputera.

Misalnya doktor gigi Bumiputera pada 1999 dilaporkan mencecah 35 peratus sedangkan pada 1970 hanya tiga peratus, doktor perubatan 37 peratus (1999) berbanding empat peratus (1970) dan jurutera 27 peratus (1999) berbanding tujuh peratus (1970).

PPSMI juga memungkinkan keciciran di kalangan pelajar luar bandar dan bandar yang sosioekonomi mereka rendah. Kajian Nor Hashimah Jalaluddin (2004) mendapati 75 peratus pelajar tidak setuju Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

ADIPUTERA JAGAT,
Tanjung Malim,
Perak

PIBG Seluruh Negara Bantah PPSMI

Jimadie Shah Othman Feb 26, 09 1:57pm (Malaysiakini)

Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac."Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia). "Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI. "(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya."Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.

Khamis, 26 Februari 2009

Debat PPSMI: Pemuda Umno Tolak

Irwan Muhammad Zain Thu Feb 26, 09 3:08:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Harakahdaily) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Salahuddin Ayob menganggap penolakan cabaran debat oleh Ketua Pemuda Umno sebagai satu kemalangan besar terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau menegaskan penolakan tersebut juga merupakan satu petanda buruk yang digambarkan oleh Pemuda Umno terhadap usaha yang dilakukan oleh pejuang-pejuang bahasa.

Salahuddin menegaskan demikian sebagai respon penolakan Hishamuddin terhadap pelawaan mengadakan debat mengenai isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

"Pemuda PAS kesal dengan kenyataan Hishamuddin Hussein kerana ia mengambarkan Pemuda Umno tidak berminat untuk memartabatkan bahasa Melayu.

"Penolakan ini juga memberikan gambaran buruk terhadap pendirian Pemuda Umno dalam isu bahasa Melayu," tegas beliau.

Beliau juga menegaskan DPPP tidak akan berputus asa dalam usaha mereka bersama pejuang-pejuang bahasa menuntut kerajaan memansuhkan PPSMI.

Sehubungan dengan itu, beliau mempelawa Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Hussein yang juga Ketua Pemuda Umno untuk mengadakan satu perbincangan intelektual mengenai isu PPSMI.

Ketua Pemuda Umno dalam satu sidang media selepas selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pemuda dan Keganasan di ibu negara pagi ini menolak cabaran debat yang dibuat oleh Salahuddin Ayob.

Selasa lalu, Pemuda PAS telah menghantar surat cabaran debat kepada Hishammuddin berhubung isu PPSMI melalui Naibnya, Khairy Jamaluddin di Parlimen. - mks.

PPSMI: A. Samad Said Sedia Hilang Gelaran

Sumber : Utusan Malaysia, Khamis 26 Februari 2009

KOTA BHARU 25 Feb. - Datuk A. Samad Said sedia kehilangan gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam memperjuangkan pemansuhan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, gelaran tersebut tidak penting bagi dirinya kerana perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu lebih utama bagi kelangsungan anak bangsa pada masa depan.

"Kalau hendak ambil (gelaran), ambillah sekarang, perjuangan mesti diteruskan, ia langsung tidak menyentuh saya, kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah.

"Saya sudah umumkan dulu, saya bukan Sasterawan Negara, saya lebih senang dipanggil sasterawan rakyat," katanya pada sidang akhbar bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan sempena "road show" anjuran GMP di negeri ini untuk menghimpunkan 100,000 rakyat bagi mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI di depan Istana Negara, Kuala Lumpur, 7 Mac ini.

A. Samad yang juga merupakan penasihat GMP berkata, beliau tidak akan berhenti menegur semua pihak terutama dalam isu bahasa walaupun mengetahui kebenaran itu perit.

"Memang dulu, saya seorang sasterawan yang 'berkira-kira' oleh kerana golongan elit yang berkuasa adalah rakan-rakan saya, semuanya saya kenal, kalau bercakap saya tidak mahu sentuh kecuali ada pemimpin yang inginkan fikiran saya secara jujur dan total.

"Sebelum saya pergi haji, sikap saya terlalu menjaga hati walaupun benda itu salah, saya tidak berani menegur tetapi semenjak saya pulang, saya sudah bersedia untuk berkata benar walaupun memeritkan, kalau betul saya sokong," katanya.

Katanya lagi, Kementerian Pelajaran yang masih mempertahankan PPSMI seolah-olah tidak yakin dan percaya dengan bahasa sendiri untuk menjadi medium bagi rakyat menimba ilmu.

Justeru itu, jelas beliau, perjuangan untuk meyakinkan kerajaan akan diteruskan dan semua pihak tidak perlu memandang serong tindakannya berada di atas pentas Pas bagi mempertahankan bahasa Melayu."

Saya hanya mencari pentas, kalau ada orang yang sediakan pentas, apa salahnya saya berada di sana untuk memperjuangkannya supaya tidak nanti anak cucu kata kita tidak pertahankan bahasa ibunda, tidak nanti mereka kata nenek moyang kita buat.

"Perjuangan saya hanya mendaulatkan bahasa, saya bukan orang politik dan saya tidak fikir akan jadi orang politik, barangkali saya akan menyertai mana-mana parti secara bukan orang politik, tetapi ikut isu yang mesti diperjuangkan," katanya.

Sekiranya kerajaan masih berdegil, beliau meminta rakyat supaya menggunakan kuasa untuk menterjemahkan ketika pilihan raya dengan mengundi menolak pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

PPSMI: SN A Samad Said Nafi Diperalat

Malaysiakini, 25 Februari 2009
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menafikan dirinya telah diperalat pembangkang dalam usahanya memperjuang bahasa Melayu dalam isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, kehadirannya dalam beberapa siri ceramah pembangkang itu tidak seharusnya disalah anggap oleh masyarakat kerana apa yang penting adalah memperjelas kepada umum mengenai isu tersebut.

"Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai bahasa Melayu yang saya perjuangkan, tidak kira di pentas politik mana sekali pun.

"Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya bahasa Melayu di muka bumi," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sembang Pagi Bersama Sasterawan Negara di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Kehadiran sasterawan negara itu dalam beberapa siri ceramah pembangkang berhubung isu PPSMI sejak kebelakangan ini, menjadi perhatian umum yang dikatakan tidak senang beliau berceramah di pentas politik.

Malam ini, Samad dijadual turut berceramah dalam satu majlis anjuran PAS di Padang Perdana di Kota Bharu bersama-sama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mengulas isu itu, Samad berkata beliau bukannya telah "dibeli" oleh mana-mana parti politik dan akan turut memperjuang isu itu jika dianjurkan oleh Umno dan kerajaan.

"Kalau dituduh begitu (berceramah anjuran pembangkang), itu bukan maksud saya dan saya hadir di situ untuk memperjuangkan bahasa saya," katanya.

Sementara itu, Samad turut kecewa akhbar arus perdana seperti tidak lagi memberi ruang kepada karyawan baru untuk menyiarkan hasil penulisan mereka.

Dalam ucapannya, Samad menjelaskan, selain hasil penulisannya, beliau juga sedang sibuk melukis yang kini hasil lukisannya telah terjual lebih 20 buah.

"Ramai orang tidak tahu saya juga boleh melukis dan saya gembira hasil karya saya yang disimpan sejak beberapa tahun, akhirnya sudah mendapat tempat," katanya.

Beliau berkata karya lukisannya itu akan dipamerkan di satu galeri di Dubai tidak lama lagi dan ketika ini, 20 lukisannya sedang dalam perbincangan untuk dijual oleh peminat lukisan rakyat Kanada.

Lidah Bercabang

Lidah Bercabang
Oleh Ainon Mohd

Semasa zaman Reformasi, orang ini adalah antara beberapa pensyarah UIA yang ditahan di bawah ISA kerana menyokong Anwar Ibrahim. (Pada waktu itu Prof. Abdullah Hassan adalah dekan kepada orang ini.)
Selepas orang ini dibebaskan, saya dan Prof. Abdullah Hassan berpeluang bercakap-cakap dengannya tentang PPSMI. Di depan kami, dia bersungguh-sungguh menolak PPSMI. Berbagai alasan diberikannya.

Malah kepada kami dia berkata, bahawa dirinya sendiri sebagai budak kampung dan anak orang miskin, dia takkan dapat masuk universiti jikalau tidak kerana dia belajar dalam bahasa Melayu di sekolah kampungnya.

Beberapa lama kemudian, apabila orang ini bercakap dalam perhimpunan agung UMNO, di depan Mahathir, dia bersungguh-sungguh menyokong dasar PPSMI.

GMP Gesa NGO Bukan Melayu ke Hadapan

Jimadie Shah Othman , Malaysiakini, 25 Februari 2009

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) meminta NGO bukan Melayu turut tampil ke hadapan dalam memperjuangkan pemansuhan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Setiausahanya Hasni Abas berkata, pertubuhan pendidikan bukan Melayu seperti Dong Jiao Zhong (DJZ) dan Yayasan Tamil memberikan kerjasama dengan menghadiri mesyuarat dan program GMP, tetapi kurang terlibat dalam mobilasi untuk perhimpunan raksasa mereka 7 Mac depan.

"Kita harapkan mereka menggerakkan seramai mungkin orang untuk menghadiri perhimpunan tersebut," kata beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Komitmen itu kita belum jelas. Sekejap kata hendak datang, sekejap kata tidak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 7 Mac depan, GMP akan menganjurkan perhimpunan besar 100,000 orang ala-Bersih di Istana Negara, di ibu negara bagi mendesak pemansuhan PPSMI.

Mereka dijadual menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam isu tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Hasni bagaimanapun berkata, GMP akan membuat jemputan khas kepada NGO terbabit untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Belum Putus Secara Rasmi

"Kalau bapa buat kenduri kahwin, takkanlah anak nak kena jemput. Tengoklah nanti kita hantar surat atau SMS," katanya.

Sementara itu, persatuan pendidik Cina, Dong Jiao Zhong difahamkan belum memutuskan secara rasmi penyertaan mereka dalam perhimpunan yang dirancang GMP itu.

Sumber-sumber persatuan itu memberitahu, pihaknya masih memikirkan tindakan sesuai bagi membantah pelaksanaan dasar yang diperkenalkan sejak enam tahun lalu itu.

Bagaimanapun, kata sumber-sumber itu, mereka akan mengekalkan hubungan dengan kumpulan-kumpulan lain yang membantah dasar itu, termasuk GMP.

NGO tersebut, tambahnya, sebelum bersidang awal Mac ini, pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan lanjut mereka menentang PPSMI.

Mereka sebelum ini dilaporkan memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga hujung bulan ini, sebelum memutuskan bentuk bantahannya.

Rabu, 25 Februari 2009

Pro-PPSMI: Orang Melayu Mahu Belajar yang Senang-senang Sahaja

Utusan Malaysia Online, 25 Februari 2009

ENAM puluh tahun lalu, keluarga saya tidak membenarkan saya belajar di sekolah Inggeris melalui Special Malay Class kerana takut saya tidak boleh mengucap Dua Kalimah Syahadah bila mati nanti. Cita-cita saya untuk menjadi diplomat tidak kesampaian.

Dengan kelulusan yang ada, maka jadilah saya seorang guru sekolah Melayu di pendalaman.

Selepas lima puluh tahun merdeka, fahaman yang sama disebar oleh kumpulan elit Melayu. Mereka menghalang anak-anak Melayu terus belajar bahasa Inggeris melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan alasan budak-budak ini nanti tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik serta hilang jati diri.

Anehnya, orang Melayu sentiasa merasa takut. Orang Melayu takut untuk bersaing. Orang Melayu takut untuk belajar lebih sikit. Orang Melayu mahu belajar yang senang-senang.

Cabaran dan saingan adalah sesuatu yang menakutkan. Jika orang Melayu tidak sanggup mendaki Gunung Kinabalu, maka didesak pemerintah buat suatu peraturan supaya menghalang semua orang mendaki gunung tersebut. Jika orang Melayu merasa susah untuk belajar dan mengguna bahasa Inggeris, maka didesak kerajaan supaya haramkan PPSMI. Pendapat mereka yang disokong oleh kepetahan berbicara serta berlatar belakang status sosio, mereka mendapat perhatian.

Siapa yang lebih mengetahui potensi sebenar anak-anak desa semasa belajar Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Guru-guru yang setiap masa bersama-sama mereka lebih mengerti keupayaan anak-anak ini.

Rujuk dan tanyalah guru-guru ini. Mereka yang berada di menara tinggi yang sekali sekala menoleh ke panorama desa, barang kali silap mata memandang. Kadang-kala kita ditipu oleh mata sendiri. Kerap kali kita juga ditipu oleh emosi sendiri.

Pekedai-pekedai Cina di tempat saya boleh bertutur bahasa Melayu, Mandarin, Hokkien, sedikit-sedikit bahasa Inggeris. Bila ke estet, orang-orang India boleh bertutur bahasa Melayu, Tamil dan fasih berbahasa Inggeris.

Orang Melayu hanya tahu satu bahasa. Banyak orang Melayu yang tidak mengerti bahasa al-Quran. Malah banyak juga yang tidak faham apa yang dibaca semasa solat. Keadaan ini berlaku kerana orang Melayu tidak mahu bersusah payah untuk belajar.

Dalam diri orang-orang Melayu ada elemen reject. Elemen ini menjadikan orang Melayu sangat lemah dan sangat manja. Orang Melayu akan menolak apa saja yang ada unsur cabaran atau payah. Dalam usaha mencapai kecemerlangan pelajaran, orang Melayu lebih gemar kepada soalan bocor dan soalan ramalan. Dalam bidang ekonomi, orang Melayu lebih suka pada skim cepat kaya atau dana berangkai.

Budaya 'menolak' ini menyerang semua lapisan masyarakat Melayu. Bila ada pihak menaja penentangan terhadap PPSMI maka ramailah yang akan terpengaruh.

Orang-orang Melayu dicadang supaya belajar yang mudah-mudah sahaja. Subjek yang berat serta susah janganlah dicuba. maka bertambah-tambahlah lagi ketakutan mereka untuk berusaha belajar.

Semangat 'Malaysia Boleh' perlulah diterjemah kepada 'Melayu Boleh'. Dalam lain perkataan, orang-orang Melayu tidak akan mengalah dalam apa juga gelombang. Orang Melayu harus tegak berdiri bersama kaum-kaum lain di Malaysia. Jika mereka boleh menguasai pelbagai bahasa, mengapa perlu orang Melayu berundur setapak ke belakang?

Tidak perlu kita bandingkan dengan orang Jepun yang kuat berpegang kepada bahasa mereka sebabnya di negara mereka cuma ada satu bangsa sahaja.

Pakar-pakar motivasi selalu menyarankan supaya kita berfikir di luar kotak. Di pusat pengajian tinggi diajar teori serta konsep 'kecerdasan pelbagai' dan 'inovasi' adalah suatu konsep yang amat disanjung tinggi.

Tidakkah PPSMI ini suatu hasilan pemikiran di luar kotak atau suatu inovasi yang menjadi teras amalan pengurusan masa kini?

GURU MELAYU LAMA
Kulim, Kedah.

Selasa, 24 Februari 2009

Kuncup, Nazak dan Dikuburkan - Sasterawan Negara

Samad Said Bimbang Bahasa Melayu Terkubur
Posted on Sunday, February 15 @ 14:25:49 MYT by Paktam
Oleh Dinsman

A. Samad Said menggunakan istilah "penguncup". Dr Mahathir itu penguncup bahasa Melayu. Dilanjutkan oleh Abdullah Ahmad Badawi, dan diteruskan oleh Hishamuddin, selaku Menteri Pelajaran. Mereka adalah penguncup bahasa Melayu.

Apa maksudnya "penguncup bahasa Melayu"? Datuk Hassan Ahmad yang menjelaskan. Katanya, kuncup itu seperti payung yang dikuncupkan, maka basahlah kita kalau hujan turun. Lawannya ialah kembang. Orang berusaha untuk mengembangkan bahasa Melayu. Dr Mahathir menguncupkannya. Abdullah Badawi dan Hishamuddin pula melanjutkan kerja jahat Dr. Mahathir itu.

Kata Samad Said, selepas kuncup, proses berikutnya ialah nazak, dan seterusnya ialah dikuburkan. Itulah proses yang sedang dilalui oleh bahasa Melayu sekarang. Dalam tempoh 50 tahun lagi, kalau dibiarkan, bahasa Melayu akan nazak dan terkubur. Lalu dia memberi ingatan kepada para wartawan yang hadir dalam sidang media itu:

“Dalam tempoh 50 tahun lagi, akhbar Utusan Malaysia pun tidak akan ada lagi, Berita Harian akan menjadi sisipan dalam akhbar New Straits Times, dan TV3 juga tidak akan ada lagi, (kalau sains dan matematik dibiarkan terus diajar dalam bahasa Inggeris seperti sekarang).”

Itulah, Samad Said menyatakan kebimbangannya sewaktu bersama-sama dengan Datuk Hassan Ahmad dan Prof. Shaharir Mohd Zain mengadakan siding media, bagi menjawab pelbagai pandangan salah dari pelbagai pihak terhadap usaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) mendesak kerajaan supaya sains dan matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu; iaitu sejak GMP dilancarkan di dataran Sogo, Kuala Lumpur, 31 Januari lalu.

Sidang media itu diadakan di Rumah Pena (Persatuan Penulis Nasional), Kuala Lumpur, pada 12 Feberuari. (Terima kasih kepada pihak pimpinan Pena, terutama Ketua Satunya Baha Zain, kerana sudi menyokong usaha GMP, dengan mengizinkan tempatnya digunakan untuk siding media tersebut).

Sejak hadir memegang poster “Jangan Bunuh Bahasa Ibunda” di perhimpunan depan Sogo hari Sabtu itu, Samad Said terus aktif bersama-sama dengan Gerakan Mansuhkan PPSMI, tanpa sebarang keraguan lagi. Buat pertama kalinya pada 1 Februari dia hadir di atas pentas Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak, walaupun terdengar suara-suara yang mengatakan dia akan diperalatkan oleh parti pembangkang.

“Sekarang ini kita memerlukan orang yang menyokong perjuangan kita untuk memelihara bahasa Melayu,” katanya. Kerana PAS menyokong perjuangannya, maka dia pun sanggup pergi ke markas PAS.

Dan selepas ini pada 22 Februari, Samad Said akan tampil membaca puisi di pentas GMP bersama-sama dengan tokoh-tokoh politik PAS dan PKR di Kulai, Johor.

Selepas itu pada 25 Februari di pentas yang serupa di Kota Bharu, dan pada 26 Februari di Kuala Terengganu.

Sebelum itu, pada 17 Februari dia bersama dengan Datuk Hassan (Pengerusi GMP) dan para penyokong GMP, pergi ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada pihak pimpinan tertinggi kerajaan dan juga pimpinan tertinggi pembangkang, di Parlimen.

Dia bukan tidak sedar atau tidak mengetahui risiko tindakan pihak polis terhadap langkah beraninya itu. Dia sedar dan tahu semuanya itu. Tetapi dia nampaknya telah nekad dengan perjuangan ini.

Namun di sana masih terdapat ramai penulis yang takut dilihat bersama-sama dengan orang-orang dari parti PAS, PKR dan DAP. Takut dikatakan mereka diperalatkan oleh parti-parti politik "pembangkang" berkenaan. Sedangkan mengikut Samad Said, pada masa ini bukan orang-orang politik itu yang lebih memerlukan golongan penulis, sebaliknya para penulis, budayawan dan senimanlah yang lebih memerlukan kepada bantuan orang-orang politik, untuk menyelamatkan bahasa Melayu.

Betul! Tetapi sedihnya masih tidak ramai penulis, budayawan dan seniman yang sedar akan perkara ini. Takut mereka pada kata-kata “diperalatkan” itu umpama anak-anak yang takutkan hantu. Takut tanpa mengetahui sebab, alasan dan hakikat sebenar. Hinggakan keperluan sendiri pun mereka tidak kenal, orang yang dapat membantu mereka pun mereka tidak kenal. Mereka hanya tahu takut sahaja.

Demikianlah maka pelawaan saya melalui ruangan ini (beberapa keluaran lalu) hanya disambut oleh beberapa orang kawan-kawan penulis dari Pulau Pinang, Kuala Rompin dan Perlis sahaja.

Di Pulau Pinang, Ketua Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP), Anwar Asmadi telahpun berusaha bersama dengan kawan-kawan di Permatang Pauh, bagi mengadakan majlis ceramah dan baca puisi bertemakan "Mansuh PPSMI", pada 5 Mac ini, (dua hari sebelum tarikh perhimpunan 100 ribu pada 7 Mac di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur), bertempat di sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Batu.

Ini cukup menarik, kerana penglibatan pihak masjid dalam urusan perjuangan bahasa. Bukti bahawa dalam hal ini pejuang-pejuang bahasa yang terlibat ini bukannya hendak bermain politik, tetapi seperti yang selalu ditekankan oleh Datuk Hassan: “Sesiapa sahaja yang menyokong usaha dan perjuangan kita, kita terima. Kalau ada pemimpin Umno yang hendak menyokong kita, pun kita terima.”

Di Perlis pula, penganjurnya ialah Gabungan Ilmuan Prihatin (GIP). Mereka akan mengadakannya pada 19 Februari, bertempat di MADI, Arau. Manakala di Pahang mereka memilih Pekan sebagai tempat untuk menyebarkan penerangan kepada rakyat. Tarikhnya pada 21 Februari.

Di Kuala Lumpur, penganjurnya ialah Biro Pendidikan PAS Pusat, yang diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Chik. Tarikhnya 23 Februari, dan tempatnya di Dewan Perhimpunan China Selangor. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka hadir.

Manakala di Selangor, PKR Bahagian Kelana Jaya mengambil inisiatif menjadi penganjur. Tarikhnya 24 Februari, bertempat di Dewan Komplek Sukan PKNS Kelana Jaya. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan turun bersama rakyat.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

Pak Menteri Penguncup yang Pandai

Baca di sini,

Label "penguncup" yang diberikan oleh SN A Samad Said lebih baik daripada label pembunuh, pengkhianat dan penderhaka.

Isnin, 23 Februari 2009

Antara yang Emosional dan Rasional

Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ (dipetik daripada akhbar sisipan Utusan Malaysia)

Emosional. Itu persepsi sesetengah pihak bila melihat cara dan mendengar hujah pihak tertentu yang menentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semasa Persidangan Meja Bulat PPSMI kelima.

Sebenarnya tidak perlu mengutarakan hujah dengan nada suara yang keras, mengeluarkan kata-kata yang kasar dan ugutan. Saya memuji wakil Parent Action Group For Education (PAGE) yang mengemukakan hujah dengan tenang.

Yang penting bukan nada suara yang keras, tetapi hujah yang disokong fakta yang kukuh.

Seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tujuan siri persidangan meja bulat diadakan adalah untuk menyediakan seluas-luas platform untuk semua pihak mengemukakan pandangan dan bukan untuk membuat sebarang resolusi.

Jadi tidak perlu kita membentak-bentak dan memaksa-maksa pandangan kita terhadap peserta lain. Tidak perlu menipu dan tidak perlu menuduh dengan tuduhan yang direka-reka.Seorang profesor, misalnya, mengatakan bahawa PPSMI tidak memberikan sebarang kesan positif terhadap pencapaian pelajar selepas enam tahun pelaksanaannya sedangkan sewaktu beliau berhujah demikian, tiada sebarang kajian atau data yang dirujuk. Rasionalkah beliau?

Bagi saya, kenyataan itu lahir akibat beliau terbawa-bawa oleh emosi. Dari segi logik dan kebiasaan, semakin terdedah seseorang kepada sesuatu, maka semakin mudah seseorang menguasainya.

Tidak mungkin kenyataan ini keluar jika beliau merujuk kepada fakta.

Dari segi fakta, pembentangan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Alimuddin Mohd Dom mengenai analisis UPSR menunjukkan bahawa masa dedahan yang lebih terhadap bahasa Inggeris (BI) menyebabkan pertamanya, tahap keyakinan pelajar untuk menjawab soalan dalam BI semakin meningkat; keduanya, pencapaian pelajar dalam mata pelajaran BI juga meningkat.

Seorang bekas pegawai KPM pula menuduh seolah-olah KPM memanipulasi keputusan UPSR dan menurut cerita pihak tertentu beliau juga turut mengatakan bahawa “dahulu kita juga membuat perkara yang sama.”

Hakikatnya bukan mudah untuk memanipulasi keputusan peperiksaan awam kerana standardnya turut ditentukan oleh pihak luar dan jika sebarang pengubahan dibuat, ia bukan sekadar menjejaskan keputusan peperiksaan pelajar tahun tersebut, malah beberapa tahun yang akan datang.

Rasionalnya; beliau tahu realiti ini dan beliau tahu tidak mudah melakukannya. Malangnya beliau terperangkap dengan emosi untuk menentang dasar PPSMI sehingga sanggup menuduh yang bukan-bukan.

Bagi saya, jika suatu masa dulu, sebagai pegawai KPM beliau gagal berpegang kepada integriti, kenapa sekarang kita perlu menyakini integriti beliau dalam membentangkan sebarang kajian?

Tidakkah ada kemungkinan beliau memanipulasi data semata-mata untuk menyokong pendirian beliau?

Satu lagi tindakan yang boleh dianggap emosional adalah apabila sebuah organisasi yang kononnya mewakili sekitar 350,000 orang guru, mendakwa bahawa guru sebulat suara menolak PPSMI.

Kenyataan ini disangkal keesokan harinya oleh kesatuan guru yang lain, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Lebih memalukan bukan sahaja kenyataan majlis tersebut dipersoalkan malah mandat bahawa ia benar-benar mewakili golongan guru dan statusnya turut dipertikaikan.

Apabila ada pihak berhujah bahawa subjek sains dan matematik perlu diajar dalam bahasa ibunda untuk memastikan anak-anak kita berjaya menguasai subjek tersebut dengan lebih baik, adakah hujah ini rasional?

Sedangkan kita menyedari sebelum adanya PPSMI, di sekolah kebangsaan (SK) ramai anak-anak etnik bumiputera selain Melayu dan kaum bukan Melayu yang mempelajari kedua-dua subjek ini dan subjek-subjek lain di dalam bahasa kebangsaan; bukan bahasa ibunda mereka, tetapi mereka masih dapat menguasainya dengan cemerlang?

Adakah kita lupa bahawa subjek seperti Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun dan Perdagangan diajar dalam bahasa kebangsaan, tetapi masih ada anak-anak kita yang gagal dan gagal menguasai subjek-subjek ini.

Bukankah anak-anak bukan berketurunan Cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga ada yang cemerlang walaupun dipaksa mempelajari semua subjek kecuali Bahasa Melayu di dalam bahasa Mandarin. Rasionalkah? Sedangkan ada pihak yang berhujah bahawa Mandarin bukan bahasa ibunda orang Cina?

Rasionalkah juga apabila ada yang mahu mengusung keranda bagi memprotes PPSMI. Benarkah bahasa Melayu akan terkubur jika PPSMI diteruskan?

Rasionalnya, masih banyak mata pelajaran diajar dalam bahasa kebangsaan. Ia tidak akan terkubur. Ia mungkin menjejaskan sedikit sebanyak pembangunan bahasa kebangsaan dalam bidang Sains dan Teknologi, tapi itu tidak bermaksud kita tidak boleh mencari jalan untuk mengurangkan kesannya.

Lagi pula komitmen kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak boleh dipersoalkan. (?) Kerajaan tidak mengubah medium di sekolah kebangsaan. Bahasa Melayu masih merupakan subjek yang wajib bukan sahaja di sekolah-sekolah kerajaan, malah sekolah swasta dan antarabangsa.

Majlis rasmi dan aktiviti kokurikulum terus dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan. Malah di KPM, usaha untuk memartabatkan kegiatan kebahasaan lebih banyak dilaksana dan dianjurkan berbanding jumlah kegiatan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang mahu mengusung keranda tersebut!

Apa yang dikesalkan, ada pihak, terutama yang masih muda, tidak benar-benar tahu kenapa mereka perlu mengusung keranda. Saya pernah bertemu dan berbincang dengan sekumpulan anak muda yang begitu bersemangat menentang PPSMI atas dasar memperjuangkan bahasa. Malangnya apabila ditanya sama ada mereka tahu apa yang berlaku dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan di sepanjang tempoh 20 tahun ini, mereka hanya terpinga-pinga.

Ada yang tidak tahu pun apa Dasar Buku Negara dan tidak pernah membaca mengenainya.

Lebih menghairankan, ada yang beriya-iya berjuang mempertahankan bahasa tetapi tidak pula mengambil endah dan menganggap jijik perjuangan mempertahankan bangsa. Apa guna perjuangan bahasa, jika sudah tiada tempat untuk perjuangan bangsa! Ikhlaskah mereka?

Tun Faisal Ismail Aziz
tunfaisal@yahoo.com

Perhimpunan di Hadapan Istana Negara

Utusan Malaysia, 23 Februari 2009

JOHOR BAHRU 22 Feb. - Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMPPSMI) merancang untuk menghimpunkan 100,000 orang bagi menyertai perhimpunan raksasa membantah PPSMI di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur pada 7 Mac ini.

Naib Pengerusinya, Prof. Abdullah Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun belum memperoleh permit untuk mengadakan perhimpunan secara aman itu yang bermula pukul 2 petang.

Justeru, kata beliau, pihaknya akan memaklumkan kepada polis untuk mendapatkan permit secepat mungkin bagi membolehkan perhimpunan yang turut disertai Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said itu diadakan.

"Tujuan kita mengadakan perhimpunan untuk membantah PPSMI yang jelas membelakangkan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Kita yakin perhimpunan ini akan berjalan secara aman, takkan pejuang bahasa seperti Datuk A. Samad Said akan melakukan demonstrasi secara ganas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah A. Samad Said selaku penasihat GMPPSMI dan penulis terkenal yang juga merupakan ahli jawatankuasa GMPPSMI, Ainon Mohd.

Abdullah berkata, pelaksanaan PPSMI merugikan berjuta-juta anak Melayu yang tidak memahami bahasa Inggeris dan pendidikan mereka akan tercicir.

Katanya, langkah melaksanakan PPSMI kononnya sebagai satu 'paksaan' supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris adalah tidak tepat.

"Ia sama seperti jika kita hendak anak-anak bukan berbangsa Cina menguasai bahasa Mandarin dengan memaksa mereka menggunakan bahasa itu dalam pengajaran Sains dan Matematik, tentu tak masuk akal.

"Sepatutnya mutu, kaedah dan kemahiran pengajar dalam mengajar kelas bahasa Inggeris itu ditingkatkan, terutamanya di kawasan luar bandar," katanya yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, alasan PPSMI perlu dilaksanakan kerana buku-buku rujukan di institusi pengajian tinggi (IPT) kebanyakannya dalam bahasa Inggeris juga tidak tepat malah tidak menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Sepatutnya usaha dilakukan bagi memperbanyakkan lagi buku rujukan dalam bahasa Melayu bukannya menghapuskan bahasa itu sebagai bahasa ilmu.

"Setelah pelbagai usaha dilakukan, pendapat pakar-pakar dari pelbagai bidang seolah-olah tidak dipedulikan, maka kita akan mengadakan perhimpunan ini kerana ia membabitkan nasib jutaan anak Melayu di negara ini," katanya.

Menurut Abdullah, kajian pakar dari seluruh dunia telah membuktikan bahawa pembelajaran Sains dan Matematik lebih mudah dikuasai jika diajar menerusi bahasa ibunda.

"Kita bimbang bahasa Inggeris pun nanti lemah dan pencapaian Sains dan Matematik anak-anak juga menurun," katanya.

Beliau turut sangsi dengan keputusan pencapaian cemerlang subjek Sains dan Matematik pelajar-pelajar di negara ini kerana sejak PPSMI dilaksanakan, kerajaan tidak pernah mengumumkan berapa sebenarnya markah lulus untuk kedua-dua subjek itu.

"Apakah markah lulus menjadi terlalu rendah kerana terlalu ramai yang mencatat markah rendah?" soalnya.

PPSMI Hina Bahasa Melayu?

Oleh HAMDAN TAWADI
pengarang@utusan.com.my, 23 Februari 2009

JOHOR BAHRU 22 Feb. - Pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dianggap menghina bahasa Melayu kerana tidak yakin dengan kemampuan bahasa itu untuk menguasai ilmu.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata, PPSMI direstui oleh kebanyakan ahli politik 'bermusim' dan bukannya negarawan yang mengetahui kepentingan bahasa ibunda.

"Saya menyertai Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) agak lewat juga namun tidak bermakna saya tidak mengikuti perkembangannya, mengapa kita meragui kemampuan bahasa sendiri?

"Perlu diingat tidak ada tamadun yang dibangunkan tanpa menggunakan bahasa ibundanya sendiri," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan perhimpunan raksaksa di Istana Negara Kuala Lumpur bagi membantah PPSMI di sini hari ini.

Perhimpunan itu akan diadakan bermula pukul 2 petang pada 7 Mac ini dan GMP menyasarkan 100,000 orang akan menyertai perhimpunan itu.

A. Samad yang juga merupakan penasihat GMP berkata, usaha membantah PPSMI telah dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya dan bukan hanya dibangkitkan setelah enam tahun PPSMI dilaksanakan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Sejak sekian lama, kita berjuang namun mungkin orang ramai tidak nampak kerana ahli bahasa ini biasanya sopan dan sabar.

"Satu waktu dahulu, lebih daripada 60 profesor memberi pandangan menentang PPSMI namun tak didengar oleh pihak berwajib," katanya.

Sementara itu, penulis terkenal, Ainon Mohd. sependapat tentang kepentingan bahasa ibunda kepada sesebuah negara untuk mencapai kemajuan.

"Sewaktu Rom menjajah Eropah, mereka memaksa orang Eropah menggunakan bahasa Latin dan sepanjang tempoh penjajahan itu Eropah berada dalam zaman kegelapan.

"Namun setelah pemberontakan berlaku, mereka bebas daripada penjajahan, dan menggunakan bahasa mereka sendiri sehingga Eropah muncul sebagai negara maju," katanya.

Menurut beliau, kajian pakar dari seluruh dunia juga membuktikan bahawa subjek Sains dan Matematik lebih mudah dikuasai jika diajar menggunakan bahasa ibunda.

"Kita perlu melihat kembali bagaimana untuk meningkatkan lagi mutu, kaedah, pengajar dan semua aspek berkaitan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bahasa Inggeris.

"Konsep dalam Sains dan Matematik juga bukan bahasa pertuturan seharian yang membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik," katanya.

PPSMI Cetus Kecelaruan Jati Diri - PKPIM

Berita Harian, 23 Februari 2009

PENGAJARAN dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan isu baru. Banyak pihak tampil mengemukakan maklum balas, sama ada yang menyokong atau menentang.

Pelbagai kritikan dan pandangan, kajian dan teori dibentang serta dibahaskan bagi mencari jalan keluar menangani permasalahan ini. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) masih tetap dengan prinsipnya bahawa PPSMI harus dimansuhkan demi kesejahteraan semua.

Hal ini berdasarkan beberapa sebab meliputi aspek undang-undang, pendidikan dan faktor sosioekonomi serta citra dan kebudayaan tempatan.

PPSMI bertentangan dengan maksud dan semangat Perlembagaan yang secara terang mencabar Perkara 152, Perkara 159, Perkara 10(4), Akta Pelajaran 1996, Akta Bahasa Kebangsaan dan lain-lain yang menjamin hak dan kedudukan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan, termasuk pendidikan.

PPSMI turut menyerlahkan bukti tidak prihatin terhadap Rukun Negara yang menjadi asas 'keMalaysiaan' apabila keluhuran Perlembagaan dirobek dan kedaulatan undang-undang dipersenda. Ideologi penjajah PPSMI menghakis keyakinan masyarakat terhadap keunggulan bahasa Melayu yang menjadi teras kewarganegaraan dan jati diri bangsa, selain perkara terpenting bagi memacu ketamadunan baru Malaysia.

Krisis keyakinan dan jati diri ini akan menjurus kita kepada kegagalan untuk melahirkan masyarakat kompetitif dan berdaya saing pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Kegagalan negara peminjam akut bahasa Inggeris khususnya di benua Afrika harus diambil iktibar. Di sisi lain, usaha murni digerakkan negara yang terkenal dengan jolokan 'the sleeping giant' iaitu China, mempelajari dan menguasai bahasa Melayu perlu diteladani.

Justeru, pandangan songsang yang berterusan mengagung-agungkan bahasa Inggeris sebagai senjata terpenting mencipta tamadun baru Malaysia bukan saja tidak masuk akal, malah pandangan golongan pendek akal. Bagi mendepani cabaran global, kefahaman yang tepat dan mendalam terhadap makna dan isi utama sesuatu bidang ilmu itu adalah sangat dituntut.

Hasil kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) menunjukkan Malaysia mengalami penurunan mata yang signifikan berbanding 2003.

Bagi subjek Matematik, kedudukan ke-20 daripada 49 negara pada 2007 berbanding kedudukan ke-10 dari 46 negara pada 2003, sangat mendukacitakan.

Dapatan yang lebih kurang sama direkodkan bagi subjek Sains. Justeru, sewajarnya PPSMI ini segera dimansuhkan agar dapat memulihkan prestasi dan kefahaman Sains dan Matematik di kalangan pelajar khususnya penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman.

ABU QASSIM NOR AZMI,
Exco Pendidikan dan Penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Salinan Laporan Polis GAPENA

Laporan Polis GAPENA

Saya bersama Jawatankuasa Kerja GAPENA ingin membuat bantahan jika sekiranya Kementerian Pelajaran Malaysia meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah¬sekolah Rendah dan Menengah di seluruh negeri-negeri di Malaysia.

Sebab-sebab bantahan kami adalah:

1. perlaksanaan PPSMI adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan Seksyen 17(1) Akta 550, Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152 (1) dan 152 (6), Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 17(1) Akta 550, memperuntukkan Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi Bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain dikecualikan daripada subseksyen ini.

Manakala Perkara 152 (1) memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang bahawa tiada siapa boleh dilarang atau dihalang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152 (6) pula memperuntukkan bahawa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran adalah bagi maksud rasmi.Berasas kepada kehendak Perkara 152 (1) & (6) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17 (1) Akta 550, adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu.

2. Pelaksanaan PPSMI ini akan membunuh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang.

3. Kita menyokong sekuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu bahasa, tetapi tidak melalui mata pelajaran sains dan matematik.

Bertarikh: 15 Februari 2009

Ditandatangani oleh:
Nama: Tan Sri Dato’ Prof. Emeritus Ismail Hussein

Jawatan: Ketua Satu GAPENA

Ahad, 22 Februari 2009

Akhirnya Kita Kembali Juga Kepadanya

Oleh Dato’ Baha Zain, Desa Kota, 20 Februari 2009 ….
....

Beberapa hari sebelum ini saya ada menyebut dalam blog saya nama beliau dan Tun Daim Zainuddin antara 15 peguam Melayu yang menandatangani memorandum menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) yang masih memberi tempat kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Melayu. Beliau mengesahkannya, malah menyebut nama lain ialah Allahyarham Tun Hussein On, ayah kepada Menteri Pelajaran sekarang. Adalah cukup ironis apabila YB Dato' Hishamuddin, puteranya sendiri kini menjadi sasaran kritikan penulis, cendekiawan , pelajar dan sejumlah ahli politik Melayu (UMNO , PAS, dan PKR) kerana mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris yang tak masuk akal untuk mengajar sains dan matematik kepada budak-budak sekolah.

Sejurus kemudian datang Tun Daim, bekas Menteri Kewangan, dan duduk bersama kami. Beliau bertanyakan khabar tentang bahasa, dan apa saya buat sekarang. Saya mengenali beliau sewaktu dahulu beliau juga turut memberi ceramah pada hujung 60-an menentang bahasa Inggeris untuk dijadikan bahasa rasmi di samping bahasa kebangsaan. Kemudian sewaktu dialog prabelanjawan (prebudget dialog) di Kementerian Kewangan, saya mengemukakan permohonan bagi pihak pengarang agar bayaran royalti dikecualikan daripada cukai pendapatan. Beliau sebagai Menteri Kewangan tanpa banyak cakap meluluskannya.

Seperti biasa Tun Daim berpakaian ringkas dan biasa, dan kami juga menyebut tentang Dr. Kassim Ahmad yang khabarnya kurang sihat sekarang, tetapi aktif membuat kajian tentang agama.Dalam perjalanan pulang saya terfikir apakah pemimpin-pemimpin politik muda hari ini benar-benar insaf akan perjuangan dua tiga dekad yang lalu, terutama usaha Allahyarham Tun Razak mendaulatkan dan memberi maruah kepada bahasa Melayu, dan juga merintis tempat dan asas bertapak yang selesa bagi menteri-menteri Melayu pada hari ini, terutama pemimpin-pemimpin UMNO.

Tidakkah aneh kalau pemimpin-pemimpin yang naik ke atas seperti Tun Mahathir (punca masalah kebahasaan sekarang), Dato' Seri Abdullah Ahmad, Dato Najib, dan Dato Hishamuddin , dan menteri-menteri kabinet Melayu, bersikap tidak peduli langsung terhadap rintihan, rayuan dan suara-suara kuat orang Melayu yang memperjuangkan agar bahasa Melayu dipelihara sebagai bahasa ilmu ? Kenapa? Apakah ertinya "Melayu" itu kepada mereka?

Apakah makna istilah "Melayu" itu pada mereka? Jadi janganlah menyalahkan pengarang, ilmuwan, cendekiawan, aktivis budaya, dan generasi pelajar menunjukkan protesnya kepada pemimpin-pemimpin dan hilang kepercayaan kepada mereka sebagai pembela MELAYU: bahasa Melayu, agama Islam, adat resam dan kebudayaan Melayu ( unsur-unsur dan amalan hidup yang mensyaratkan seseorang itu layak dipanggil Melayu).

Bolehkah sesiapa yang tidak mengutamakan bahasa Melayu, malah meminggirkannya dalam kegiatan penting negara, mengaku dirinya Melayu; dan bercakap atas nama membela Melayu?

Akhirnya izinkan saya mengulangi penutup ucapan Allahyarham Dato' Asri Muda, tokoh PAS yang sangat terkenal , sewaktu menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) di Dewan Parlimen ( Mac, 1967) di depan Perdana Menteri Allahyarham Tunku Abd Rahman:

"Akhirnya , Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik UMNO yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak." (Keranda 152: Bahasa Kita; Aair Mata & Maruah Kita. KL: PLM, 2002, halaman. 20)

Kandungan Laporan Polis PKPIM terhadap Dasar PPSMI

Sumber:
http://gerakanmansuhkanppsmi.blogspot.com/2009/02/kandungan-laporan-polis-pkpim-terhadap.html, 19 Februari 2009

Boleh diterima pakai oleh mana-mana pertubuhan yang mahu membuat laporan polis.

LAPORAN POLIS TERHADAP KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BERHUBUNG ISU PPSMI

Balai Polis: Gombak
Daerah: Gombak
Kontinjen: Selangor
No Repot: Gombak/001215/09
Waktu: 1.54 tengah hari

Saya bersama seluruh ahli dan pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membuat bantahan terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia kerana meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri di Malaysia.

Sebab bantahan kami ialah:

1. Pelaksanaan PPSMI tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan Seksyen 2 dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Seksyen 2 Akta Pendidikan, sekolah kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Manakala, sekolah menengah kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada subseksyen ini.

Manakala Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang bahawa tiada siapa boleh dilarang atau dihalang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain. Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahawa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran adalah bagi maksud rasmi.

2. Pelaksanaan PPSMI ini akan membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang.

3. Pelaksanaan PPSMI telah menggelapkan masa depan pelajar sekolah luar bandar dalam bidang sains dan teknologi.

4. Kita menyokong sekuat-kuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu bahasa, tetapi tidak melalui mata pelajaran sains dan matematik.

Bertarikh : 18 Februari 2009

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Naib Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PPSMI: PKPIM Buat Laporan Polis

Wednesday, February 18, 2009
PPSMI: PKPIM Buat Laporan Polis

Satu lagi laporan polis dibuat terhadap Kementerian Pelajaran hari ini berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Kali ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula tampil membuat aduan tersebut di Balai Polis Gombak, Selangor kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Ahad lalu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membuat aduan polis berhubung pelaksanaan PPSMI yang "tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan".

Menurut laporan berkenaan, Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi".

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, naib presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut.

Tambahnya, mereka juga mendakwa menggunakan hujah yang sama dengan badan penaung 24 badan penulis di seluruh Malaysia itu, dalam laporan berkenaan.

Menurut Muhammad Faisal, laporan polis itu dibuat bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Gapena Ahad lalu.

"Kita juga mahu 'momentum 7 Mac' berterusan, terutamanya dilaporkan di media-media," katanya.

Pada tarikh berkenaan, Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) - PKPIM turut bergabung di bawahnya - merancang perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara bagi menyatakan bantahan terhadap PPSMI dan memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu itu.Muhammad Faisal berkata diiringi kira-kira 20 ahli dan pemimpin PKPIM hadir ketika membuat aduan tersebut.

Selain PKPIM, 24 persatuan penulis di seluruh negara yang bernaung di bawah Gapena dijadualkan membuat laporan yang sama dalam masa terdekat.

Jumaat, 20 Februari 2009

PPSMI Ditolak Lagi

Yesterday, February 19, 2009, 12:32:29 AM bahazain@gmail.com (bahazain)
Baha Zain, Desa Kota, http://bahazain.blogspot.com/feeds/posts/default

Kelmarin 17 Febuari, GMP (Gerakan Membasmi Pengajaran, Pembelajaran Sains dan Matematik) di bawah pengetuaan Dato' Dr Hassan Ahmad, bersama Dr Shahril, Dr Abdullah Hassan, sdr Ainon dan Hasni serta sejumlah yang lain memasuki Parlimen dan mengedarkan memorandum yang menolak PPSMI kepada Ahli-Ahli Parlimen dan juga Menteri.

Tidak mungkin usaha ini dilakukan oleh mereka tanpa komitmen, semangat yang tinggi , dan keyakinan yang besar terhadap apa yang mereka perjuangkan. Mereka adalah suatu kumpulan celik huruf yang berilmu dan bukan aktivis politik atau badan pergerakan sosial yang biasa. Perjuangan mereka bukan untuk faedah poket, pangkat, atau nama. Malah berhadapan dengan risiko kerana yang ditentang adalah dasar pihak kerajaan yang mempunyai pelbagai macam pengaruh serta kekuatan untuk menghancurkan mereka.

Ini adalah satu kes yang sangat bersejarah dalam peristiwa pendidikan dan politik negara . Apa selanjutnya?

Pada hari ini ( 18 Febuari) saya mendapat kabar bahawa PKPIM (Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia) telah pula membuat aduan polis tentang pelanggaran perlembagaan dan undang-undang (Akta Pendidikan) oleh Kementerian Pelajaran. Lagi usaha ini mempunyai ertinya yang tersendiri mengingat bahawa yang bertindak adalah para pelajar generasi muda. Jadi sekarang hampir lengkaplah gambaran penentangan PPSMI itu iaitu dari rakyat yang tua hingga kepada yang muda: cendekiawan dan pelajar.

*****

Apakah di samping pelbagai krisis ekonomi, sosial, politik, dan pentadbiran , timbul pula satu lagi masalah , iaitu terbentuknya sekumpulan terpelajar yang tidak bersetuju dengan kerajaan.

Peristiwa ini memendam risiko yang boleh menggoncang kestabilan sosial apabila ia bercantum dengan krisis-krisis yang ada.

Ahli-ahli Parlimen yang bersidang dan berbincang dengan lantang, perlu berfikir secara mendalam dan bijaksana sebelum membuka mulut mengecam gerakan anti-PPSMI. Mereka tak boleh berfikir dan bercakap sambil lewa atau sesuka hati sahaja. Mereka harus meneliti hujah-hujah yang dikemukakan, dan jangan mudah terpukau dengan formula kejayaan bangsa yang klise bahawa kemajuan negara mesti melalui sains dan matematik bahasa Inggeris.

Fikiran yang simplistik begini menafikan hakikat yang sebenarnya bahawa kemajuan dan ilmu sesebuah negara bukan mutlak berlandaskan sains, matematik dan bahasa Inggeris. Ada faktor-faktor lain dan suasana budaya tertentu yang melahirkan kemajuan tamadun.

Apabila berlaku kesenjangan atau jurang yang lebar pada sikap dan pemikiran antara golongan terpelajar dengan golongan pemimpin politik, maka pada adatnya, lambat laun, akan diikuti pertentangan yang tajam di dalam masyarakat.

Bagi orang politik matlamatnya adalah kekuasaan; bagi cendekiawan dan pelajar matlamatnya adalah pengisian kebenaran. Kedua-dua kumpulan selalu menjuarakan kepentingan awam.

Cuma apa yang diertikan dengan kepentingan awam itu tidaklah sama. Siapa yang boleh mengatakan bahawa tafsiran kepentingan awam oleh orang politik itu salah? Yang boleh mengatakan salah hanya lawan politiknya atau mereka yang berani dan apolitical.

Dari Gapena ke Polis Brickfiled

Tuesday, February 17, 2009, 12:39:17 AM bahazain@gmail.com (bahazain)
Blog Desa Kota, Baha Zain, http://bahazain.blogspot.com/

Badan-badan penulis tanah air, Persatuan Sejarah Malaysia, Persatuan Melayu Perlis , GMP, badan-badan bukan kerjaan Pulau Pinang, dan ramai perwakilan lain berhimpun di Rumah Gapena, pada 15 Febuari atau 15.2 sempena Perkara 152 dlm Perlembagaan Persekutuan yg menyataka tentang bahasa Melayu sbg bahasa kebangsaan rasmi negara.

Selepas Tan Sri Aziz, seorang peguam dan bekas Pengerusi Eksekutif MAS, memberi ceramah tentang bahasa Melayu dlm perspektif undang-undang dan perlembagaan, sebahagian hadirin berangkat ke Balai Polis Brickfield, K.L. untuk membuat laporan polis tentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik) yg dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan , dan Akta Pendidikan 1966.

Kami berempat : Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 Gapena, Dato' Dr Zainal Abidin Borhan, Ketua Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, dan Rjab F.I. , Persatuan Melayu Perlis, dan saya masuk ke Balai Polis jam 12.15, dan selesai membuat laporan yg ditandatangani oleh Tan Sri Ismail , pada jam 1.45. Teman-teman lain, dan sekumpulan besar wartawan menunggu di pintu pagar.

Laporan itu dikendalikan oleh tiga pegawai polis wanita yang sangat bersopan, ramah tamah dan memberikan kerjasama yang baik. Jadi kami tak berasa gelisah sangat selama satu jam di ruang pengaduan itu.

Orang jahat? Tentu kami tidak berasa begitu kerana kami mengadukan tentang orang lain membuat kesalahan supaya disiasat dan diambil tindakan. Kalau kami orang jahat kami akan tunjuk perasaan di jalan raya macam samseng: lempar batu, selipar, baju dan kecuali seluar.

Apa lagi yang dapat kami lakukan untuk meluahkan perasaan tak puas hati terhadap tindakan kerajaan yang merugikan perkembangan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang moden?

Kenyataan akhbar telah dibuat sejak Jun 2002, surat dan e-mel telah dihantar kepada Perdana Menteri, malahan berjumpa langsung dengan mantan PM pada 2002, dan dengan PM sekarang.

Dapatan penyelidikan ilmiah pun dihantar kepada Kementerian Pelajaran. Cuma sembah kaki menteri saja yang tidak dilakukan. Bukanlah kami ini terlalu hina sangat sampai hendak suruh buat seperti itu.

Malam ini sewaktu menonton berita TV 3, keluar kenyataan Menteri Pelajaran, mempersoalkan kenapa baru sekarang hendak buat laporan polis; apakah ada tujuan-tujuan tertentu.

Barangkali yang dimaksudkannya tujuan politik untuk menjatuhkannya. Kami tak berminat tentang politik kepartian, dan persaingan antara tokoh-tokoh politik untuk merebut kekuasaan atau tempat.

Gapena itu sendiri sangat akrab dengan tokoh-tokoh politik UMNO, walaupun apolitical. Politik kami kaum penulis hanyalah politik kebahasaan, dan politik persuratan dan budaya yang bersifat kebangsaan. Apabila bertindak bukanlah didorong oleh niat politik dalam parti UMNO, atau dalam parti pembangkang. Kiranya inilah yang perlu difahami.

Alangkah baiknya kalau Menteri Pelajaran mempelawa kami untuk berdialog atau bermesyuwarah secara ikhlas dari hati ke hati. Malangnya ini tidak berlaku kecuali Persidangan Meja Bulat yang akhirnya membuat rumusan tanpa dipersetujui oleh pesertanya sehingga lebih merupakan propaganda.

Dan hari ini nampaknya TV 3 cuba mencondongkan pemberitaannya supaya memihak kepada pro-PPSMI dengan menggunakan konon e-mel, dan wawancara yg terpilih-pilih.

Siapa orang yg melakukan kebejatan ini. Penonton bukanlah terlalu bebal untuk menerima taktik media yg klise dan mentah ini.

Kami penulis memang menyedari bahawa kita tak boleh melawan kekuasaan politik yang menjadi Raja, Singa atau Naga yg memiliki kekuatan wang ringgit, kekuasaan pelaksanaan, alat propaganda dan orang-orang yg digaji khas untuk melawan siapa saja yg menentang kehendak menteri. Tetapi itulah risiko yang perlu dihadapi oleh penulis, sasterawan, cendekiawan dan siapa saja yang memilki hati nurani (yang insaf akan sesuatu dalam politik negara sedangmerosakkan warisan, jati diri dan tamadun bangsanya).

Malangnya penentangan yang menemukan artikulasi yang tegas dan semakin jelas berlaku pada saat keadaan sosial, politik dan ekonomi agak kacau. Dalam kehidupan ada kalanya semua nasib buruk datang berhimpun pada waktu yang sama. Ini agaknya tanda daripada kepimpinan yang lemah menguruskan hal-ehwal kenegaraan atau tanda bahawa pola-pola kehidupan sosial dan politik lama sedang menempuhi satu asakan nilai-nilai yang fundamental yang tidak difahami oleh pemimpin dan sukar dibendungnya lagi.

Apakah politik pembangunan sedang digempur oleh politik ideologi seperti yang ditunjukkan oleh penentangan idealisme budaya terhadap PPSMI yg berorientasikan filsafat kebendaan dan globalisasi?

Kiranya perlu diperingatkan apabila penulis, penyair, seniman yang selalu tidak memihak, tidak suka campur urusan perebutan kekuasaan di kalangan ahli politik profesional, terpaksa terseret ke dalam kancah politik, itulah pertanda bahawa sesuatu yang sangat serius sedang membusuk di dalam rohani bangsanya seperti keterlibatan pelajar dan budayawan kreatif dalam krisis politik Indonesia pada zaman Soeharto (1998).

Pergeseran Politik - Cendekiawan

Friday, February 13, 2009, 3:46:58 PM bahazain@gmail.com (bahazain)
Bog Desa Kota, Baha Zain, http://bahazain.blogspot.com/

PAGI AHAD 15 FEBUARI 2009
RUMAH GAPENA
JALAN DEWAN BAHASA
*PERHIMPUNAN MENENTANG PPSMI.

PERTEMUAN INI MEMBUKAKAN RUMAH GAPENA KEPADA SESIAPA SAJA TETAMUNYA YANG PRIHATIN TERHADAP BAHASA MELAYU DAN BERSIMPATI DENGAN PERJUANGAN BUDAYA OLEH SEKELOMPOK RAKYAT.

Peristiwa di atas mengingatkan saya pada apa yang berlaku 42 tahun dahulu, iaitu pada 3 Mac 1967, apabila Balai Budaya , DBP, penuh tepu dengan pejuang-pejuang nasionalis baik dari parti PAS, UMNO, persatuan guru-guru dan badan-badan bukan kerajaan, serta individu yang komited memperjuangkan bahasa kebangsaan.

Kakitangan DBP yang ada turut menjayakan perhimpunan itu, terutama kerana Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan itu sendiri berpusat di DBP.

Perhimpunan luar biasa tersebut menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang sedang dibahaskan di Parlimen. Rang undang-undang ini masih memberi tempat kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sedangkan sebahagian besar masyarakat Melayu hendakkan bahasa Melayu sahaja sebagai bahasa rasmi yang tunggal.

Rang undang-undang ini bukan sahaja ditolak oleh rakyat biasa, malahan oleh sekelompok 15 tokoh peguam Melayu seperti Kamarul Ariffin (sekarang Tan Sri), dan Daim Zainuddin (sekarang Tun). Mereka tahu akan akibat jangka panjangnya terhadap kedaulatan bahasa Melayu.

Penentangan tersebut menjadi semakin getir apabila orang Melayu menyedari bahawa UMNO di bawah pimpinan Perdana Menterinya Tunku Abdul Rahman, sangat banyak bertolak ansur dengan masyarakat Cina dan India, bukan sahaja dari segi bahasa dan pendidikan, tetapi juga dari segi hak kerakyatan.

Perlu juga diingat bahawa pada tahun 1965 di bawah pimpinan PM yang sama , kerajaan Malaysia telah menyerahkan pulau Singapura yang kaya raya itu kepada kerajaan DAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew, yang hendak menjadikan Malaysia ini sebagai hak bersama dan sama bagi semua bangsa atau Malaysian Malaysia.

Ini semua menimbulkan perasaan benci dan muak kaum cendekiawan Melayu kerana berasa pemimpin UMNO sangat mengalah dan menyerah banyak kepada tekanan bangsa lain, sehingga merugikan kepentingan perjuangan asal bangsa Melayu.

Daripada karya-karya puisi, cerpen, esei, wacana , dan antologi puisi protes (Keranda 152, Teluk Gong, dan Suara Tujuh) yang terbit pada penghujung dekad 60-an itu dapat kita baca apa yang sebenarnya terpendam dalam jiwa dan fikiran rakyat, yakni ketidak-percayaan kepada menteri-menteri dan Perdana Menterinya.

Kredibilit kerajaan merosot, kepercayaan rakyat merundum serendah-rendahnya, dan orang Melayu berasa pemimpinnya telah mungkir janji dan berkhianat. Akhirnya kesombongan kaum lain menjadi-jadi, dan kemarahan orang Melayu meluap terus.

Jadi memang tidak peliklah apabila tiba Pilihan Raya Umum 1969, kerajaan kalah teruk, dan terjadi perkelahian berdarah dan berbunuh-bunuhan antara kaum Melayu dan bukan Melayu pada 13 Mei 69.

Soalnya sekarang: apakah telah berulang kembali situasi sejarah di mana masyarakat Melayu, terutama cendekiawan , penulis, pelajar dan pencinta bahasanya sudah tidak percaya lagi kepada pemimpin Melayu yang berkuasa? Apakah mereka berasa amanah dan janji sudah dimungkiri? Apakah Menteri-menteri Melayu sudah menjadi begitu jauh (aloof) atau bersikap masa bodoh terhadap suara-suara budaya bangsanya, sehingga tak berasa sedikit pun getar yang bergelombang dalam rohanirakyatnya.

Kalau pemimpin Melayu sekarang yang berusia sekitar 40-50 tahun tidak memahami apa yang membakar jiwa Melayu dan melukai hati orang Melayu pada tahun 1965-1969 , saya tidaklah hairan sangat kerana mereka masih berhingus pada waktu itu, dan tidak insaf akan kesusahan dan kehinaan ibu bapa dan saudara maranya yang rata-rata orang miskin.

Kadang-kadang tidaklah juga adil menuduh mereka yang berjawatan besar dan tinggi sebagai, "Kacang Lupakan Kulit", " Lupa Daratan", atau "Si Kudung Dapat Cincin", kerana mereka telah menjadi mangsa sistem pendidikan yang tidak menanamkan kesedaran sejarah serta semangat patriotisme.

Sistem pendidikan yang kita lalui lebih bertujuan untuk memberi maklumat, menyediakan pekerja mahir untuk pejabat serta kilang atau di ladang-ladang, dan bukan juga untuk melahirkan manusia berfikir, inovatif, berakhlak mulia dan bangga akan tradisi kebudayaannya.

Pada tahun 60-an itu sangat terasa pertentangan pendapat dan idea antara pemimpin politik kerajaan dengan kaum penulis sehingga PENA menerbitkan suatu MANIFESTO PENULIS apabila semakin terasa tekanan dan propaganda politik terhadap kebebasan bersuara.

Establishment pada waktu itu tidak sensitif terhadap fikiran yang alternatif dan gagal membina jambatan antara aktivis politik Melayu dengan aktivis budaya Melayu--satu keadaan yang sama seperti yang sedang berlaku pada hari ini.

Tidak ada engagement yang produktif. Hanya sinisme daripada kedua belah pihak. Hanya kesombongan politik (political arrogance), aloofness dan intellectual snobbery di sana sini.

Manusia sudah tidak autentik lagi; retoriknya lancung dan menjadi suara-suara khemah kepentingan kelompok. Satu zaman yang gelap untuk tanah air apabila manusia tidak tulen dan jujur bersuara; dan pemimpin menjadi kelas eksklusif bersama dengan ahli-ahli parti politiknya di tengah-tengah rakyat jelata yang banyak, yang apolitical.

Walau apapun kita cuba melihat cahaya yang cerah daripada pertembungan yang dilektikal ini. Mudah-mudahan ada kebaikannya; mengembalikan kita kepada asal usul dan kebenaran yang hakiki. Itulah rahmat Allah, yang selalu ada di mana-mana.

Penentangan PPSMI Meningkatkan Temponya

Thursday, February 12, 2009, 12:48:20 AM bahazain@gmail.com (bahazain)
APAKAH BANTAHAN PPSMI SEDANG MEMBINA TEMPO PERGERAKANNYA?
Blog Desa Kota, Baha Zain http://bahazain.blogspot.com/

Dimaklumkan bahawa Dato' Dr Hassan Ahmad ( Pengerusi, Gerakan Membasmi PPSMI) akan mengadakan sidang akhbar pada Khamis, 12 Feb, 2009.

Kira-kira apa yang akan dinyatakan oleh beliau tidaklah jelas.

Saya mengenali Dato' Hassan sejak 1964 lagi sewaktu beliau menjadi Pegawai Penyelidik di DBP. Dia bukan kaki gaduh, lebih-lebih lagi bukan samseng jalanan. Kalau saya sedikit nakal, suka berkeluyuran di jalan-jalan KL (pada waktu dulu tidak seribut dan berserabut seperti zaman ini) , beliau lebih aman, berdisiplin, ilmiah, dan tekun membuat kerja.

Pokoknya dia lebih stabil , berkhalwat selalu dengan buku, dan tak mungkin berdemonstrasi di lapangan, walaupun jenakanya kadang-kadang sangat jorok (istilah Jakarta). Tetapi sekarang beliau nampaknya menjadi pemberani dan seolah-olah membujur lalu melintang kopak dalam tindakan menentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dlm Bahasa Inggeris).

Nampaknya semakin berusia , semakin berbisa. Kenapa? Jawabnya beliau adalah antara yang sangat berpengetahuan tentang makna bahasa dalam peradaban sesuatu bangsa, dan menjadi sangat patriotik memperjuangkannya di tengah-tengah masyarakat, meskipun beliau sepatutnya hidup aman dan diam-diam menikmati zaman pencennya.

Suara dan hati nuraninya membuat dia berasa berdosa kalau membiarkan pemimpin mengkhianati bahasa negaranya.

****

Pada Sabtu 14 Feb. pula Gapena akan menjadualkan mesyuarat Jawatankuasa Penuh bersama-sama pemimpin-pemimpin badan penulis , iaitu kerabatnya dari neger-negeri Semenanjung, Sabah dan Serawak. Isu PPSMI menjadi agenda penting, dan khabarnya akan diadakan juga solat hajat pada sebelah malamnya memohon perkenan daripada Tuhan dalam urusan perjuangannya.

Pagi Ahad esoknya, 15 Feb. akan diadakan perhimpunan dan ucapan-ucapan khas dari tokoh-tokoh tertentu tentang kedudukan bahasa kebangsaan dalam rangka perundangan negara.

Dalam kelompok Gapena ini juga kita menyaksikan bahawa jentera penggeraknya ialah Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein yang sudah menjengkau usia lebih 70 tahun. Beliau pernah menjadi Pensyarah saya sewaktu di Universiti Malaya pada tahun 60-62, dan juga seorang sarjana dan aktivis budaya yang sangat menjaga silaturrahim, selalu lebih pendiam untuk mendengar.

Ada kalanya muncul dengan fikiran budaya yang kontroversi. Prof Ismail dari dahulu tetap berdiri sebagai seorang patriot yang gigih memikul perjuangan bahasa dan kebudayaan nasional. Memang tak dapat dibayangkan tokoh seperti dia akan mengambil keputusan bertindak yang ditafsir agresif. Tetapi beliau dan para kerabatnya mungkin saja bertindak tegas menghadapi pihak berkuasa dalam isu PPSMI kali ini.

****

Bagaimanakah semua ini bisa mengubah sikap dan pendirian para cendekiawan dan budayawan negara kita, yang selalu mencari langkah-langkah yang lunak dalam segala persoalan sosial-budaya? Baik Dato' Hassan, mahupun Tan Sri Ismail bukanlah contoh-contoh yang terasing, kerana puluhan bijak pandai dan ilmuwan lain juga menjadi sangat prihatin dan berasa getir terhadap apa yang berlaku dalam sistem persekolahan.

Ini adalah keadaan yang sangat malang, yang sepatutnya telah diselesaikan dengan akal yang bijaksana; dan bukan menjadi pertentangan antara kerajaan BN dengan golongan budayawan yang tak ada kepentingan politik kepartian.

Apakah sekarang telah berlaku mungkir janji pemimpin; dan ketidakpercayaan antara rakyat dan pemimpin yang berkuasa?

Apakah pemimpin telah berfikir sangat jauh ke depan yang sukar difahami oleh rakyat sehingga timbul pergeseran pandangan?

Memang pihak berkuasa itu adalah raja atau singa, dan rakyat itu selalu dilihat sebagai jelatang atau pengacau kalau menentangnya, lebih-lebih lagi kalau berhimpun di tengah-tengah jalan bagi mengartikulasikan rayuannya sebagai langkah terakhir.

JANGAN PANDANG BELAKANG
JANGAN PANDANG DEPAN
ADA JIN DI KIRI KANAN

Rabu, 18 Februari 2009

Catatan Peristiwa GMP di Parlimen


Oleh Puan Ainon Mohd, http://universitipts.com/index.php/site/comments/catatan_peristiwa_gmp_di_parlimen/

Jam 9.30 pagi, delegasi pemimpin-pemimpin GMP mula berjalan kaki dari Tugu Negara menuju Parlimen. Tiba di persimpangan jalan masuk ke Parlimen, kira-kira 40 orang polis beruniform sudah menunggu. Itu adalah halangan pertama.

Sdr. Rozan Azen membuka kain rentang spanduk anti PPSMI. Ia menyebabkan trafik bergerak perlahan kerana mereka cuba membaca tulisan pada kain rentang. Beberapa lama kemudian polis mengarahkan supaya kain rentang itu dilipat, kalau tidak dia mahu rampas kain rentang itu.

Dato' Ustaz Abu Bakar Chik tiba-tiba datang dari arah Parlimen lalu bercakap-cakap dengan pegawai-pegawai polis. Beliau meminta polis mengizinkan delegasi meneruskan perjalanan ke Parlimen. Lama juga proses tawar-menawar itu, lalu sebahagian delegasi berjalan terus ke hadapan menuju Parlimen.

Kemudian kami berdepan dengan halangan polis lagi, tiba-tiba YB Dr. Lo'Lo' turun dari kereta, lalu beliau memujuk polis-polis itu supaya mengizinkan kami meneruskan perjalanan menuju Parlimen. Sambil beliau bercakap-cakap dengan polis, sebahagian daripada delegasi menonong berjalan ke hadapan. Lama-lama semua berjalan terus ke hadapan.

Kemudian kami tiba pula di pintu gate keselamatan. Di situ YB Tien Chua sudah menunggu. Tawar-menawar lagi. Pegawai keselamatan memberitahu cuma 10 orang sahaja dibenarkan masuk. YB Dr. Lo'Lo' dan YB Tien Chua memujuk mereka supaya membenarkan semua delegasi masuk ke perkarangan sahaja, tidak masuk dewan persidangan pun tidak apa.

Kad hanya diberikan kepada 10 orang pemimpin. Dr. Lo'Lo' memberi saya kad sebab hanya saya satu orang perempuan dalam delegasi GMP itu. Saya digelar oleh ahli delegasi sebagai "Perempuan Melayu Terakhir".

Kami pun tiba ke bangunan Parlimen. Semua delegasi masuk ikut belakang punggung YB Tien Chua dan YB Dr. Lo'Lo' ke ruang legar. Di situ kira-kira 30 orang wartawan sudah menunggu di meja sidang akhbar. Dato' Hassan Ahmad pun menerangkan kepada para wartawan tujuan delegasi datang ke Parlimen.

Semasa sidang sedang berlangsung, lepas seorang-seorang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dan datang memberi sokongan. Mereka bersalaman dengan ketua-ketua delegasi. Orang yang mula-mula datang adalah YB Dato' Lim Guan Eng. Kemudian YB Dato' Tuan Guru Hj. Hadi Awang, YB Dr. Hatta, YB Nasharuddin, YB Dr. Zulkifli, YB Azmin Ali, dan banyak lagi.

Delegasi kemudian menyampaikan satu salinan memorandum kepada YB Dato' Tuan Guru Hj. Hadi Awang.

Kemudian tibalah masanya 10 orang ketua delegasi hendak masuk ke dalam dewan sidang Parlimen. Dato' SN A Samad Said tidak dibenarkan masuk sebab pakaian beliau tidak kemas. Selepas diterangkan siapa beliau kepada pegawai yang bertugas barulah beliau dibenarkan masuk.

Kami pun duduk di kerusi galeri, waktu itu YB Dato' Shahril Samad sedang berucap. Akhirnya tibalah saat yang ditunggu-tunggu. Kebetulan dalam jadual pagi tadi Hishamuddin Hussein Onn akan menjawab berbelas-belas pertanyaan tentang PPSMI yang dikemukakan lebih awal dulu.

Selepas Hishamuddin berucap mempertahankan dasar PPSMI, YB Dato' Kamaruddin Jaafar bangun berucap. Beliau memaklumkan kepada Dewan kehadiran delegasi GMP dalam sidang itu. Kemudian beliau menyebut isu laporan polis yang telah dibuat oleh Gapena.

Kemudian, banyak ahli PR bangun hendak bercakap tetapi Speaker membenarkan Bung Mukhtar (Kinabatangan) bercakap. YB itu yang terkenal dengan nama jolokan "Big Foot" (nama itu diberi oleh YB Karpal Singh) menggesa supaya kerajaan meneruskan PPSMI.

Menurut YB Big Foot itu, dia sudah membuat kajian di kawasannya, di mana hasil kajian itu semua orang di Kinabatangan mahu supaya PPSMI diteruskan.

Kemudian si Big Foot menuduh pejuang-pejuang bahasa adalah orang-orang yang mereka sendiri mengajar anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris tetapi tidak mahu anak-anak orang lain menguasai bahasa itu. Dia juga mengatakan para pejuang bahasa sebagai "anasir" yang mesti ditentang.

Kemudian seorang AP PR muda bangun bercakap membidas YB Big Foot kerana menggunakan perkataan 'anasir' kepada para pejuang bahasa.

Selepas dia bercakap, lebih banyak AP bangun hendak bercakap, termasuk Dato' Dr. Puad Zarkasyi, tetapi Speaker tidak mengizinkan isu itu dibincangkan lagi.

Kami pun keluar dewan, dan berada di ruang legar.

Kemudian Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba, lalu Dato' Hassan Ahmad menyerahkan satu salinan memorandum kepada beliau. Beliau mengulangi komitmen PR akan memansuhkan PPSMI.
Kemudian Hishamuddin keluar dewan dan delegasi menunggunya di depan pintu, lalu Dato' Hassan Ahmad menyerahkan satu salinan memorandum. Hishamuddin berkata kepada delegasi, "Teruskan!"

Tidak lama kemudian saya ternampak YB Big Foot berdiri bercakap-cakap dengan 2 orang (saya tidak perasan siapa 2 orang itu) di depan pintu bilik rehat para AP. Saya pun terus pergi kepada YB Big Foot itu. Saya tidak peduli memberi salam dahulu. Saya juga tidak peduli memperkenalkan diri saya. Saya terus 'serang' dia. Saya tidak beri peluang dia bercakap.

Bila habis saya bercakap saya terus beredar, meninggalkan dia terpinga-pinga. Saya pergi berdiri kira-kira 20 depa dari dia. Saya perhatikan YB Big Foot mula dikerumuni oleh para pejuang bahasa.

Kemudian YB YM Tengku Razaliegh datang berjumpa dengan delegasi, lalu Dato' Hassan Ahmad menyampaikan satu salinan memorandum. Beliau menyatakan beliau kesal mengapa isu PPSMI masih belum selesai.

Kemudian saya dan beberapa rakan pun beredar dari Parlimen.

GMP Menghangatkan Parlimen Pagi Ini

Langsung dari Parlimen
Oleh Mohd Sayuti Omar, http://www.msomelayu.blogspot.com/

PERJUANGAN Gerakan Memansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI - GMP) kini memasuki fasal ketiga dan lebih kritikal apabila pagi ini jawatankuasa GMP yang diketuai oleh Pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad telah melangkah masuk ke lobi parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen bagi mendesak PPSMI dimansuhkan.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimne Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamazah, Ketua Pemuda Pas, Sallahuddin Ayub adalah antara ahli-ahli Parlimen yang diserahkan memorandum yang mengandung 12 muka surat berkenaan yang merupakan sinopsis mengenai isu PPSMI.

Kemuncak penyerahan memorandum itu pada sebelah pagi tadi ialah kepada Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein, yang tiba-tiba meminta agar jawatankuasa GMP berjumpa dengan beliau.
Hishamuddin menerusi seorang pegawainya meminta Dr Hassan menemui Hishamuddin untuk menyerahkan memorandum berkenaan selepas beliau selesai menjawab soalan di Dewan.

Memorandum itu berjaya diserahkan di muka pintu Dewan sebaik menteri pelajaran itu keluar dari Dewan. Sambil menerima memorandum itu Hishamuddin dalam gelak tawa besar sambil memberi semangat agar ianya diteruskan!

Kata-kata Hishamuddin itu mempunyai konotasi, menteri pelajaran itu seolah-olah memperli usaha GMP berkenaan dan tidak mahu melayani dengan sewajarnya. Sebelum ini GPM sudah beberapa kali minta untuk berjumpa dengan menteri pelajaran itu tetapi tidak dilayani.
Apa yang diharapkan GMP kepada menteri itu semasa penyerahan memorandum kepada Hishamuddin tadi benar-benar mengecewakan ahli GMP dan pendokong bahasa yang lain sehingga seorang ahli GMP mengatakan anak bangsawan tidak layak menjadi menteri pelajaran!
Penyerahan memorandum hari ini adalah sebagai kesenimbungan usaha GMP turun padang untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matemetik dimansuhkan serta merta di mana majlis perasmiannya acara turun padang itu bermula di kompleks beli belah di Sogo dua minggu lalu. Kesanggupan GMP menjejaki tangga parlimen pagi ini juga melambangkan kesungguhan dan keprihantinan para pejuang bahasa agar PPSMI dihapuskan.

Antara tokoh bahasa dan sastera yang turut sama mengiringi Dr Hassan menyerahkan memorandu ialah Sasterwan Negara A Samad Said, timbalan pengerusi GPM, Prof Shahril Md Zain, Prof Hassan Abdullah, penulis dan pelopor pemikiran leteral, Ainon Mohd, Setiausaha Peguam Pembela Muslim, Radzi Mustafa, Hasni Abas dan lain-lain.

Satu yang sangat jelas rata-rata yang menerima memorandum hari ini adalah ahli-ahli Parlimen pembangkang saja, sebaliknya ahli Umno semacam cuba mengelak diri daripada terbabit dengan isu berkenaan. Ada juga ahli Parlimen pembangkang hanya sekadar jadi pemerhati sahaja tidak berani atau bersungguh untuk mendokong GMP.

Penyerahan memorandum itu mungkin bukan cerita hangat di parlimen padi tadi, tetapi apa yang hangat dan sempat menjadi perhatian hingga terbawa ke dalam sidang parlimen ialah bagaimana ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mukhtar Raden ‘diserang’ oleh ahli jawatankuasa GMP berhubung ucapannya di parlimen yang menyifatkan mereka yang menyerahkan memorandum itu sebagai anasir yang cuba mengeruhkan keadaan.

Kata-kata Bung Mokhtar itu benar-benar menyinggung dan menyakit hati jawatankuasa GMP dan pencinta bahasa lain menyebabkan sebaik mereka melihat Bung Mukhtar keluar dewan mereka menyerbu ke arah Bung Mokhtar.

Serbuan yang berlaku di birai kafeteria ahli parlimen itu mulanya seolah bercanda sahaja apabila ada yang bertanya mengenai rasional Bung Mukhtar yang menggunakan istilah anasir itu kepada para pejuang bahasa.

“Apakah Yang Berhomat bermaksud para professor dan ahli akademik ini semua sebagai anasir jahat,” begitulah satu persoalan diajukan kepada Bung Mokhtar.

Bung cuba menjawab dan menenangkan keadaan, dengan berselindung dengan kata-kata; “semua kita sayangkan bahasa Melayu.” Tetapi belum sempat beliau meneruskan kata-kata beliau sudah diserang dengan kata-kata agak keras Bung Mukhtar sebagai kurang ajar oleh Datuk Abu Bakar Chik salah seorang ahli GMP yang begitu tersinggung dengan ucapan Bung Mukhtar.

“Yang berhormat sudah kurang ajar,” kata Abu Bakar Chik sambil menujukkan telunjuk menghampiri ke muka Bung Mokhtar dan meminta ia menarik balik. Muka Bakar Chik kelihatan merah padam dan geram.

Tidak cukup dibelasah dengan kata-kata oleh Abu Bakrt Chik Pengerusi GMP, Datuk Dr Hassan Ahmad sendiri pula mendekati Bung Mukhtar untuk kali kedua. Sebelum itu Hassan sudah dilihat menghampiri Bung Mukhtar tetapi mundur semula apabila terlalu ramai sangat mahukan penjelasan daripada ahli parlimen dari Sabah itu.

Apabila Bakar Chik mundur, Dr Hassan masuk dan menyoal Bung Mukhtar dengan beberapa persoalan termasuk sejauh manakah penguasaan bahasa Ienggeris di kalangan murid-murid sekolah di Sabah.

“Apakah Yang Berthomat pandai berbahasa Inggeris?” tanya Hassan dan menyebabkan Bung Mukhtar terdiam.

Hassan juga mendesak supaya Bung Mukhtar menarik balik ucapannya yang menyifatkan GMP sebagai anasir.

“Saya harap Yang Berhormat tarik balik kata-kata itu,” tegas Hassan serius. Bung Mukhtar kelihatan keberatan dan memberi jaminan akan menarik balik.

Sebaik memasuki Dewan selepas itu Bung Mukhtar yang mendapat kesempatan untuk berucap terus melaporkan kepada Dewan apa yang berlaku sekejap tadi.

Katanya, “saya telah diserang di luar tadi oleh satu kumpulan. Seorang berpakai kupiah dan saya memanggilnya haji telah mengatakan saya kurang ajar,” cerita Bung Mukhtar merujukkan kepada sikap Abu Bakar Chik.

Ketika ini ahli GMP sudah pun meninggal Parlimen selepas tugasan mereka menyerahkan memorandum itu sudah selesai. Ahli Parlimen terakhir menerima memorandum itulah, Tengku Razaleigh Hamzah. Menurut Tengku Razaleigh isu PPSMI ini sudah lama diperjuangkan beliau hairan kenapa ia tidak diselesaikan lagi. [parlimen 3:00 pm 17/02/09]