Memaparkan catatan dengan label Abdullah Hassan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Abdullah Hassan. Papar semua catatan

Selasa, 17 Mac 2009

Kisah Sedih: Pesakit Barah Diberi Ubat Pening Akhirnya Meninggal

Gantung di sana sini
http://profabdullah1.wordpress.com/2009/03/17/tergantung-gantung/

Dalam Utusan Malaysia 16 Mac 2009, ZAINI RABAN melaporkan bahawa “Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menggesa semua pihak menghentikan tindakan politik keterlaluan termasuk mengadakan perhimpunan haram kerana ia boleh mengheret negara ke kancah darurat ekonomi.”

Nasib baiklah perhimpunan anti ppsmi di Masjid Negara pada 7 Mac lalu itu diluluskan. Cuma ‘diharamkan’ kemudian.

Setuju. Kepada para pelajar yang sedang belajar berfikir, ini adalah sebuah contoh kesimpulan tersasar, sejenis tergantung juga. Lihat pada sebuah contoh lain.

Kita di UPSI baru sahaja kehilangan seorang rakan yang meninggal akibat ketumbuhan dalam otak. Pada tahap awal penyakitnya, beliau cuma pening-pening. Lalu doktornya memberi ubat pening sahaja kepada beliau.

Rupa-rupanya pening itu adalah simtom, atau tanda sahaja kepada ketumbuhan dalam otaknya.
Oleh sebab itu, doktor hanya megubati simptom sahaja, bukan penyakitnya. Apabila disedari, penyakit sebenarnya sudah “keterlaluan” bak titah Raja Muda.

Seyogia dimaklumkan, yang akan merosakkan ekonomi negara adalah dasar PPSMI itu, bukan demonstrasi haram atau halal.

Banyak lagi cerita tergantung:

1. Ali Rustam mungkin digantung?
HATA WAHARI dari Utusan Online, 16 Mac 2009, juga melaporkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam disebut-sebut antara pemimpin kanan UMNO yang bakal dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang pada mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO, esok.

2. Muhyiddin Yasin akan digantung esok?
Tranungkite Online, Isnin 16, 2009 8:42 pm, melaporkan dari sumber-sumber yang boleh dipercayai 250% Muhyiddin Yasin akan digantung keahlian umno esok!

3. Maka Gobind Singh Deo pun digantunglah … sehingga setahun
TheNutGraph melaporkan KUALA LUMPUR, 16 March 2009: Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz said the decision of the Dewan Rakyat today to suspend the membership of Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) for one year was fair.

… (for) making a serious and malicious charge against Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak on 12 March.

Lihat, kita bukan anti bahasa Inggeris. Cuma jangan diajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kepada orang yang tidak tahu bahasa Inggeris.

4. Keputusan Nur Nik Madihah pun masih teragntung, belum membuat keputusan mahu ke mana belajar.

Isnin, 9 Mac 2009

Melayu (Menteri) Mudah Lupa!

http://profabdullah1.wordpress.com/2009/03/09/kasihan-dato-ini-pelupa-rupanya/

Lagi-lagi kenapa timbulkan isu PPSMI selepas enam tahun!

Dato’ Menteri: “Betulkah cendekiawan Melayu mula membantah PPSMI ini sejak 2003?

Orang Dato’: “Sangat benar Dato. Bahkan, sejak 1993 lagi apabila penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan ini mula diwarwarkan oleh Tun Mahathir!

Dato’: “Iyakah! Saya tidak ingat! Betulkan saya yang menyuruh mereka ini menunggu hingga akhir tahun 2008?”

Orang Dato’: “Itupun sangat benar Dato’ Maka itu sebabnya GAPENA memberi kita tempoh hingga 31 Disember 2008. Elok Dato’ jangan sebut hal ini lagi. Malu kita mendengarnya. Nanti orang kata kita kuat berdusta pula.”

Daripada ulasan saudara Zamir saya terima talibun berikut. Cuma saya lengkapkan baris akhirnya.

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama jadi menteri … uup! Perdana Menteri.

Jumaat, 6 Mac 2009

Hari Ini dalam Sejarah

Hari ini dalam Sejarah
06/03/2009

Kepada generasi muda yang akan meneruskan perjuangan:

42 tahun dahulu generasi ayahandamu mengusung Keranda 152, maka sekarang anakanda masih menuturkan bahasa moyangdamu.

Bahasa tidak boleh dijual beli. Puspus bahasa, pupuslah bangsa.

- Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan

Khamis, 5 Mac 2009

Pemipin Akar Umbi Mesti Mendengar Suara Akar Umbi

Daripada blog Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan http://profabdullah1.wordpress.com/2009/03/05/kolokium-kepimpinan-akar-umbi/

Kolokium kepimpinan akar umbi di UPSI semalam 4 Februari membawa veteran Datuk Burhan Md. Yaman dari Melaka, Tan Sri Sanusi Junid dan ahli politik semasa Dato’ Hjh Kamilia Ibrahim. Pengerusi kolokium ialah Prof. Datuk Zainal Kling

Pantun pembuka Datuk Burhan menyatakan apa yang diperjuangkan.

Pulau Pinang negeri baharu,
Kapten light menjadi raja;
Apabila terkenang nasib Melayu,
Rasa berlenang air mata.

Beliau pun sebak. Memang pada masa itu beliau berjuang untuk kemerdekaan. Guru yang ramai. Cuma sekarang apabila UMNO dipenuhi oleh ahli korporat guru tidak lagi di depan. Idealisma guru pun turut luput.

Baik budi mak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah dirobohkan,
Kera di hutan disusui,
Anak sendiri kelaparan.

Perjuangan sekarang tidak lagi ada idealisma bangsa Melayu. Yang ada hanya wang, kontrak, wang, kontrak dan wang dan kontrak. Sistem pendidikan pun mahu diubah demi wang. Gunakan bahasa Inggeris supaya pendidikan dapat diantrabangsakan. Kita boleh dapat wang daripada pelajar asing. Biar anak bangsa tidak menerima asal kita mendapat wang daripada warga asing!

Tan Sri Sanusi Junid penuh dengan maklumatnya. Dalam gelak ketawa itu, terbuktilah dalam UMNO itu ada kanser yang bahaya. Ada rasuahnya yang tidak terbendung. Semasa beliau menjadi Menteri Besar Kedah, ada berlaku tawar menawar pencalonan ke jawatan pimpinan UMNO. Harganya balak berjuta. Hormat saya pada Tan Sri kerana tidak terpedaya.

Dato’ Kamilia dapat naik tanpa rasuah. Saya dapat mempercayai sejarah Dato’ hingga kini. Dato’ berbicara demi bangsa Melayu dan agama Islam. Kiranya Dato’ sudah berada di pimpinan penting, tidaklah Dato’ lupakan akar umbi.

Harap Dato’ tidaklah lupakan kulit. Tidaklah Dato’ lupakan bangsa. Tidaklah dato’ lupakan agama.

Poloknya, bahasa … bahasa Melayu. Pupus bahasa, pupuslah bangsa. Bahasa Melayu dan Agama Islam jangan dijual beli.

Bacalah, dan fahamilah perjuangan kami. Suara kami adalah suara akar umbi. Bacalah buku yang saya hulurkan ke tapak tangan Dato’.

Jangan angkuh. Jangan berdusta.

Dalam memperjuangkan bahasa Melayu (sejak 1993 lagi), Dato Menteri Pelajaran meminta kita menunggu hingga akhir tahun 2008 supaya beliau dapat membuat keputusan. Beliau tidak membuat keputusan. Itu dusta namanya. Kemudian beliau bertanya pula “Kenapa setelah 2009 baru bersuara?” Bukankah Dato’ meminta ditunggu hingga akhir 2008. Tarikh ini sudah tiba dan berlalu.

Isnin, 23 Februari 2009

Perhimpunan di Hadapan Istana Negara

Utusan Malaysia, 23 Februari 2009

JOHOR BAHRU 22 Feb. - Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMPPSMI) merancang untuk menghimpunkan 100,000 orang bagi menyertai perhimpunan raksasa membantah PPSMI di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur pada 7 Mac ini.

Naib Pengerusinya, Prof. Abdullah Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun belum memperoleh permit untuk mengadakan perhimpunan secara aman itu yang bermula pukul 2 petang.

Justeru, kata beliau, pihaknya akan memaklumkan kepada polis untuk mendapatkan permit secepat mungkin bagi membolehkan perhimpunan yang turut disertai Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said itu diadakan.

"Tujuan kita mengadakan perhimpunan untuk membantah PPSMI yang jelas membelakangkan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Kita yakin perhimpunan ini akan berjalan secara aman, takkan pejuang bahasa seperti Datuk A. Samad Said akan melakukan demonstrasi secara ganas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah A. Samad Said selaku penasihat GMPPSMI dan penulis terkenal yang juga merupakan ahli jawatankuasa GMPPSMI, Ainon Mohd.

Abdullah berkata, pelaksanaan PPSMI merugikan berjuta-juta anak Melayu yang tidak memahami bahasa Inggeris dan pendidikan mereka akan tercicir.

Katanya, langkah melaksanakan PPSMI kononnya sebagai satu 'paksaan' supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris adalah tidak tepat.

"Ia sama seperti jika kita hendak anak-anak bukan berbangsa Cina menguasai bahasa Mandarin dengan memaksa mereka menggunakan bahasa itu dalam pengajaran Sains dan Matematik, tentu tak masuk akal.

"Sepatutnya mutu, kaedah dan kemahiran pengajar dalam mengajar kelas bahasa Inggeris itu ditingkatkan, terutamanya di kawasan luar bandar," katanya yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, alasan PPSMI perlu dilaksanakan kerana buku-buku rujukan di institusi pengajian tinggi (IPT) kebanyakannya dalam bahasa Inggeris juga tidak tepat malah tidak menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Sepatutnya usaha dilakukan bagi memperbanyakkan lagi buku rujukan dalam bahasa Melayu bukannya menghapuskan bahasa itu sebagai bahasa ilmu.

"Setelah pelbagai usaha dilakukan, pendapat pakar-pakar dari pelbagai bidang seolah-olah tidak dipedulikan, maka kita akan mengadakan perhimpunan ini kerana ia membabitkan nasib jutaan anak Melayu di negara ini," katanya.

Menurut Abdullah, kajian pakar dari seluruh dunia telah membuktikan bahawa pembelajaran Sains dan Matematik lebih mudah dikuasai jika diajar menerusi bahasa ibunda.

"Kita bimbang bahasa Inggeris pun nanti lemah dan pencapaian Sains dan Matematik anak-anak juga menurun," katanya.

Beliau turut sangsi dengan keputusan pencapaian cemerlang subjek Sains dan Matematik pelajar-pelajar di negara ini kerana sejak PPSMI dilaksanakan, kerajaan tidak pernah mengumumkan berapa sebenarnya markah lulus untuk kedua-dua subjek itu.

"Apakah markah lulus menjadi terlalu rendah kerana terlalu ramai yang mencatat markah rendah?" soalnya.

Jumaat, 13 Februari 2009

Belajarlah Bahasa Inggeris!

Belajarlah Bahasa Inggeris!
http://profabdullah1.wordpress.com/2009/02/11/belajarlah-bahasa-inggeris/

Tidak ada orang yang waras fikirannya menentang murid belajar bahasa Inggeris. Tidak juga ada orang yang waras fikirannya menentang sesiapa belajar sains dan matematik.

Belajarlah, belajarlah, belajarlah. Kita lebih setuju daripada penyokong PPSMI.

Bagi mengajarkan bahasa Inggeris kepada murid, eloklah dilakukan melalui pelajaran bahasa Inggeris, bukan sains dan matematik. Dan gurunya perlulah mahir pula berbahasa Inggeris.

Kita juga setuju murid belajar sains dan matematik. Dan ilmu kognitif mengatakan murid belajar ilmu dengan berkesan melalui bahasa ibundanya.

Apabila sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris kepada murid yang tidak pun tahu berbahasa Inggeris, tentulah itu tidak wajar. Ini bertambah buruk apabila gurunya pun ada yang tidak mahir berbahasa Inggeris. Dalam sebuah pencerapan selama tiga hari, seorang guru sains biologi di sebuah sekolah di Kelantan, hanya menggunakan 83 buah perkataan Inggeris!

Namun, kita juga mengetahui, ada murid yang dapat memahami sains dan matematik melalui bahasa Inggeris, terutama sekali mereka yang sudah belajar berbahasa Inggeris di tadika dan di rumah. Dasar PPSMI ini sesuai untuk mereka.

Itu satu persoalan lain.

Sabtu, 7 Februari 2009

Pesan Za’ba: Orang Patut-patut Duduk Senang-senang

Prof. Dr. Abdullah Hassan, 18 Disember 2008 http://profabdullah1.wordpress.com/
Situasi yang diperhatikan oleh Za’ba 90 tahun lalu - masih sama!

Za’ba turut menyalahkan raja-raja Melayu kerana bersekongkol dengan pentadbiran kolonial British dalam membiarkan wujudnya keadaan kemiskinan pendidikan Melayu dan muslim zaman pada zamannya.

Za’ba menegaskan kedua-dua pihak itu mempunyai tanggungjawab moral dan legal bagi menggunakan kekayaan Tanah Melayu dalam usaha memajukan pendidikan Melayu dan muslim. Dengan nada sinis Za’ba meluahkan rasa hatinya:

Orang patut-patut kita duduk senang-senang diri masing-masing dalam bilik mahligainya dengan nikmat sentosa dan cukup puas hati pula, datang rasa hatinya dan sampai hatinya memandang anak-anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh di belakang penumpang negeri (Lembaga Melayu 1917)

Istilah: orang patut-patut itu adalah orang-orang yang memegang kuasa, kaya-kaya, bijak-bijak iaitu berpendidikan.

Sumber:
Adnan Awang, Pemikiran Pendidikan Za’ba, Syarahan Za’ba, IPM, UPSI, 16 Disember 2008.

Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama, percuma! Klik pautan yang berkenaan.

Pesan Aminuddin Baki (1956)

Susulan Isu PPSMI
Pesan Aminuddin Baki dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, 1956
Prof. Dr. Abdullah Hassan, 16 Disember 2008 http://profabdullah1.wordpress.com/

Ayat terakhir dalam kertas kerja Aminuddin Baki, dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1956 mengungkapkan falsafah pendidikan beliau, “Sa-sunggoh-nya, masaalah “Perkembangan Bahasa Melayu Dalam Sekolah Rendah dan Menengah” ada-lah berpusat dan bergantong kapada usaha2 menggunakan-nya sa-bagai bahasa pengantar pelajaran dengan tidak bertanggoh dan berdaleh lagi.”

Inilah wawasan seorang pemikir dan pendidik Melayu bagi memerdekakan bangsanya, di ambang kemerdekaan. Pengalaman dan persepsi beliau semasa melahirkan falsafah ini sukar ditandingi.

Pelaksanaan dasar ini sudah meruntuhkan tembok bahasa yang memisahkan orang Melayu daripada pendidikan, dan berjaya membuang kepungan ilmu yang membodohkan orang Melayu.
Sekarang PPSMI akan membina kembali tembok bahasa yang mengepung ilmu itu.

Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama, percuma! Klik pautan yang berkenaan.

PMR 2008: Respons Cikgu Bad, Guru Mesti Berani Bersuara

Respons 3 "Lagi-lagi Isu Murid Menjawab dalam Bahasa Inggeris" di http://profabdullah1.wordpress.com/
PPSMI: Dua Orang Panelis Menolak PPSMI. Syabas!
Respons Cikgu Bad pada 03/01/2009

Salam Prof. dan rakan-rakan pendidik,

Rancangan Isu mengenai polemik PPSMI di RTM1 beberapa hari lepas telah memberikan “mileage” (dengan izin) kepada perjuangan mendaulatkan semula bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Saya percaya bahawa majoriti rakyat memihak kepada dua orang panelis dari Majlis Permuafakatan PIBG dan ATMA UKM (Maaf saya lupa nama mereka) kerana hujah dan premis mereka yang patriotik dan berani dalam mendukung pendirian menolak dasar PPSMI.

Bagi panelis pertama iaitu Ketua Pengarah Pelajaran, kita faham apabila beliau teguh mempertahankan dan penuh optimis terhadap dasar PPSMI. Beliau adalah kakitangan kerajaan yang bekerja di bawah Menteri Pelajaran secara langsung! Malangnya beliau tidak cukup kritis dalam mengutarakan hujahnya.

Apakah pun, keputusan akhir terletak di tangan Menteri Pelajaran. Saya berharap beliau lebih bijaksana dan lebih patriotik dalam erti kata sebenar ketika membuat keputusan kelak.

Kita menyokong sebarang usaha untuk mengheret Kerajaan ke mahkamah jika dasar PPSMI ini diteruskan. Asas perlembagaan Perkara 152 dan dikuatkan dengan ‘cultural will’ dari pencinta budaya bangsa akan menjadikan isu ini antara isu paling pokok dalam kalendar 2009.

Saya berharap Prof. dan rakan-rakan terus bersuara dengan berani hingga akhirnya menyedarkan pihak kerajaan bahawa mereka telah tersilap membina acuan pemikiran tinggi di kalangan generasi muda negara.

Insya-Allah dengan upaya minda kritis dan semangat cinta akan tanah air, perjuangan ini akan terus berlangsung. Guru-guru kita mesti berani bersuara kepada majikan mereka tanpa rasa takut kerana nasib anak-anak kita terletak di tangan mereka.

Sedarkah kita bahawa yang dipertaruhkan oleh kerajaan yang berkuasa sekarang sejak lima tahun lalu ialah masa depan anak-anak kita!

PMR 2008: Respons Anak UKM, Salah Ubat

Respons 2 "Lagi-lagi Isu Murid Menjawab dalam Bahasa Inggeris" di http://profabdullah1.wordpress.com
PPSMI: Ini Soal Maruah, Bukan Peratus Lulus!
Respons Anak UKM Jati pada 02/01/2009

Ulasan Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai keputusan PMR bagi Sains dan Matematik memang pelik. Kita bercerita fasal maruah, mereka bercerita fasal kelulusan. Kita bukan membincangkan masalah pelajaran Sains dan Matematik, tetapi penguasaan bahasa Inggeris.

Inilah masalahnya apabila yang mengulas perkara ini kakitangan kerajaan. Sepatutnya Menteri yang ulas, sebagai kakitangan kerajaan, beliau hanya baca atau ulas apa mengikut rentak kemahuan politik.

Kita membicarakan maruah bahasa Melayu dan seterusnya bangsa Melayu, sudah mampuskah jati diri orang Melayu di bumi Malaysia. Bahasa Melayu dijatuhkan martabatnya masih lagi masih lagi tidak sedar. Sebab itulah DAP berani mencabar maruah bahasa Melayu di Pulau Pinang.

Tun Dr. Mahathir adalah idola saya, tetapi dalam bab PPSMI ini saya amat tidak bersetuju dengan Tun, maaf Tun. Tun telah salah diberi nasihat dan Tun gopoh dalam hal PPSMI ini. Yang saya hairan, tidak ada usaha untuk memantapkan bahasa Inggeris dalam kalangan pemimpin dan penduduk Melayu kita!

Kenapa kita tidak adakan radio dan tv serta laman web dan lain-lain usaha khas untuk mantapkan penguasaan bahasa Inggeris. Susah sangatkah bahasa Inggeris itu, sehingga terpaksa menjatuhkan maruah bahasa Melayu. Inilah masalahnya. Tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mantapkan bahasa Inggeris terutama dalam kalangan penduduk luar bandar. Setakat mata pelajaran bahasa Inggeris dalam kelas sahaja mana cukup!

Inilah masalahnya, kita menggunakan ubat yang salah untuk penyakit yang telah pun dikenal pasti. Cendekiawan Melayu yang berjiwa Melayu patut bangun seperti Mat Kilau bangun menentang penjajah Inggeris. Walaupun Inggeris telah lama pergi, tetapi darah Inggeris masih ramai lagi di Malaysia. Janganlah cendekiawan Melayu menjadi cendawan!

Usaha Korea, Jepun dan China memantapkan bahasa Inggeris pada masa ini tidak mengorbankan maruah bahasa mereka.

PMR 2008: Respons Hussen, PPSMI Gagal!

Respons 1 "Lagi-lagi Isu Murid Menjawab dalam Bahasa Inggeris"
http://profabdullah1.wordpress.com
PPSMI: Rasanya Markah Lulus PMR 2008 KPM 10%!
Respons Hussen pada 01/01/2009 at 9:42 am


Saya sangat kecewa dengan kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran KPM dalam rancangan khas isu PPSMI di TV1 (30 Disember 2008). Seolah-olah melalui bahasa Inggerislah murid-murid akan lebih faham dan menguasai Sains dan Matematik.

Saya bukanlah seorang yang cerdik pandai, tetapi pada pengamatan saya, di sekolah di Malaysia tidak ada guru BM yg menerangkan isi pengajarannya dalam BI untuk memahamkan muridnya tentang isi pengajarannya. Kalau adapun, mereka itu bukan guru opsyen Bahasa Melayu. Tetapi saya yakin bahawa terdapat guru BI yang menggunakan BM untuk menerangkan isi pengajarannya.

Dalam isu PPSMI, saya terkejut dengan peratusan murid yang menjawab dalam BI bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. SEPATUTNYA 100% kerana P & P bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah bahasa Inggeris. Kalau tidak 100%, bermakna PPSMI GAGAL!

Berkaitan dengan perkara yang saya katakan tadi, saya yakin bahawa guru-guru Sains dan Matematik masih menggunakan Bahasa Melayu untuk memandaikan murid-muridnya. Adalah satu PEMBOHONGAN kalau mereka kata mereka menggunakan 100% BI dalam kelas. Itu hanya MINTA PUJI, lebih-lebih kalau pegawai KPM datang ke sekolah.

Seperkara lagi, KPM masih tidur dibuai mimpi kerana masih tidak sedar bahawa bahasa Melayu dah semakin terkubur. Tanyalah murid-murid tingkatan 5 (sains tulen), apa maksud PENGAMIRAN atau PEMBEZAAN. Mesti ramai yang tidak tahu. Kalau mereka tahu pun sebab guru mereka menggunakan BM dlm kelas. Ini bermakna kita telah buang perkataan ini dlm sistem pendidikan sekolah.

Saya yakin, memang benarlah ramalan ahli akademik bahawa BM dalam Sains dan Matematik akan hilang dan dibunuh secara konsisten sekiranya PPSMI diteruskan. Tengok saja di pasaran, buku-buku Sains dan Matematik (peringkat sekolah), semuanya dalam Bahasa Inggeris.

Hebat sangatkah Bahasa Inggeris? Hina sangatkah Bahasa Melayu?

Saya mengajarkan Matematik PMR kelas hujung. Murid saya 83 orang (2 kelas, hujung). Setiap kali ujian atau peperiksaan, hanya 3 hingga 5 orang sahaja lulus (markah lulus 40%). Maksudnya peratus lulus maksimum lebih kurang 6%. Tapi dlm PMR 2008 yang diumumkan baru-baru ini, hanya 17 orang sahaja yang gagal. Peratus lulus 79.51%n. HEBAT, KAN! Tak tahulah markah lulus KPM. Rasanya 10% saja. Itu yang meningkat keputusan Matematik PMR.

Apakah pun, kita teruskan perjuangan membantah PPSMI. Dasar ini dasar yang akan membunuh Bahasa Melayu di bumi sendiri. Bahasa Melayu mesti diangkat dan diangkasakan. Takkan roket kita ke angkasa nanti menggunakan BI. Mestilah menggunakan bahasa Melayu.

Wassalam.

PMR 2008: Perlu Berfikir Secara Kritis

Prof. Dr. Abdullah Hassan, 31 Disember 2008 di http://profabdullah1.wordpress.com/
Lagi-lagi isu Murid Menjawab dalam Bahasa Inggeris

Hebohlah dicanangkan ke seluruh pelosok negara bahawa keputusan peperiksaan PMR 2008 cemerlang.

Dan dilaporkanlah dalam akhbar bahawa pelajar yang menjawab soalan dalam bahasa Inggeris bertambah.

Jumlah murid menjawab sains dalam bahasa Inggeris meningkat daripada 21.5% pada tahun 2007 kepada 51.2% dalam tahun 2008.

Jumlah murid menjawab matematik dalam bahasa Inggeris meningkat daripada 4.6% pada tahun 2007 kepada 26.9% pada tahun 2007.

Bagaimana ini berlaku! Hairan.

Hairan kita melihat angka ini. Setelah diajar berfikir secara kritis di sekolah, tentulah kita mudah sahaja membuat kritikan terhadap angka ini.

Sekiranya ada 51.2% murid menjawab sains dalam bahasa Inggeris, tentulah peratus yang menjawab matematik dalam bahasa Inggeris sama juga bilangannya. Atau jikalau ada perbezaan pun, mungkin sedikit sahaja.

Tetapi yang menjawab matematik dalam bahasa Inggeris hanya 26.9%, pada hal 51.2% sudah pandai menjawab sains dalam bahasa Inggeris. Apa berlaku kepada 24.3% murid-murid yang tiba-tiba menjadi tidak pandai pula menjawab matematik dalam bahasa Inggeris?

Setelah pandai menjawab sains dalam bahasa Inggeris, murid yang sama tidak pandai pula menjawab matematik dalam bahasa Inggeris! Pada hal seharusnya lebih mudah.

Lagi pun, bagaimana Tuan membuat kesimpulan begini? Sekiranya murid hanya dikehendaki menjawab dengan memilih A, B, C atau All the above, mereka belum boleh dikatakan menjawab dalam bahasa Inggeris seperti yang diimplikasikan! Lihat dahulu detilnya.

Dan juga Tuan menyimpulkan bahawa “jurang perbezaan antara pelajar bandar dengan luar bandar terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains semakin mengecil.”

Berguraukah Tuan? Bagaimana Tuan membuat kesimpulan begini! Apa buktinya!
Maksud Tuan, selepas ini wajarlah PPSMI diteruskan!

Bantahan terhadap PPSMI bukan pun kerana ini semua. Pendidikan lebih berkesan disampaikan dalam bahasa ibunda. Itulah yang menjadi isu.

Itulah, ada peribahasa Rusia berkata, bohong itu langkahnya pendek. Maksudnya, apabila kita banyak berdusta - satu lepas satu, nanti kita lupa apa yang kita katakan, lalu dusta di belakang nanti tidak menyokong dusta sebelumnya.

Rabu, 4 Februari 2009

Pengenalan Buku Mengapa Kami Bantah!

PERSATUAN PENTERJEMAH MALAYSIA
(MALAYSIAN TRANSLATORS ASSOCIATION)
171-A, Tingkat 1, Jalan Maharajalela,
50150 Kuala Lumpur, MALAYSIA
Telefon dan Faksimile: 03-21424381
E-mel: terjemah@tm.net.my

Pengenalan Buku Mengapa Kami Bantah!(Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! percuma!)

Isu penggunaan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan membawa banyak mudarat kepada pembangunan modal insan untuk negara.

Alasan mengapa isu ini ditentang tidak banyak mendapat liputan media. Oleh sebab itu Mengapa Kami Membantah: Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik diperlukan bagi memaklumkan masyarakat mengenai mudarat yang akan berlaku. Lapan buah makalah yang ditulis oleh cendekiawan Melayu mengungkapkan kebimbangan ini.

Prof. Shaharir bin Mohamad Zain, bekas Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) menyatakan bahawa bahasa Melayu sudah berjaya menghasilkan cendekiawan Melayu, dan langkah Kerajaan ini merupakan satu tragedi besar kepada bahasa dan bangsa Melayu.

Profesor Emeritus Abu Bakar Abd Hamid, ahli Kumpulan Prihatin, menjawab lapan soalan yang sering ditanyakan kenapa tindakan mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan adalah bertentangan dengan apa yang kita perjuangkan.

Kamal Syukri, ahli Persatuan Linguistik Malaysia pula menyatakan pendapat yang bahasa Melayu akan mengalami kepupusan apabila tidak digunakan lagi sebagai bahasa ilmu.

Prof. Dr. Awang Sariyan, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, mengemukakan hujah betapa tindakan ini menimbulkan kesan negatif kepada sosiobudaya bangsa dan negara.

Datuk Dr. Hassan Ahmad, daripada Karyawan, meninjau betapa rapatnya hubungan bahasa dengan perjuangan bangsa, dan betapa tindakan ini melemahkan nasionalisme.

Nor Hashimah Jalaluddin, tenaga pengajar di universiti membuat kajian mengenai penerimaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, dan mendapati langkah ini akan hanya menimbulkan konflik antara yang miskin dan yang kaya.

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia menghujahkan bahawa bahasa adalah wahana yang memindahkan himpunan memori bangsa daripada satu generasi kepada satu generasi. Apabila bahasa Melayu luput daripada benak Melayu, maka jati dirinya turut berubah.

Akhir sekali, ada banyak persatuan yang membincangkan isu ini, tetapi hanya resolusi PEMANIS yang dapat dimasukkan ke dalam jilid ini. Yang lain sering tidak didokumentasikan. Oleh itu, resolusi kongres-kongres begini perlu didokumentasikan bagi memaklumkan kepada kerajaan betapa isu ini memerlukan penanganan bijaksana dan memandang jauh ke hadapan.

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Presiden,
Persatuan Penterjemah Malaysia
19 Oktober 2006
Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! percuma!

Siapa yang Tidak Matang?

Hishammuddin berkata … kementeriannya mengekalkan PPSMI demi masa depan negara.
Prof. Dr. Abdullah Hassan, 12 Disember 2008

Sebahagian daripada laporan dalam Utusan Malaysia pada 12 Disember 2008 (oleh Nor Zainah Nordin dalam berita “Sistem Sekolah Rendah Dirombak”.)….Sementara itu, diminta mengulas pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Hishammuddin berkata, kementerian mengekalkannya kerana keputusan itu diambil demi masa depan negara.

Katanya, kementerian sentiasa mengambil berat setiap aduan berkenaan program itu dan mengadakan mesyuarat dengan semua pihak bagi mempertimbangkan perubahan selain mengkajinya secara terperinci.

‘‘Oleh itu, ugutan membuat demonstrasi terhadap isu itu adalah pelik. Terserah kepada mereka kerana kita menelitinya demi masa depan negara. Bersandarkan akal rasional dan matang kita mendapati ia mekanisme yang tepat,” katanya.

Nota:
Siapa yang tidak rasional dan separuh matang: Prof. Diraja, profesor-profesor tua atau Hishammuddin?

Memorandum Membantah PPSMI Edisi Kedua

Memorandum Membantah PPSMI
Prof. Dr. Abdullah Hassan, 12 Disember 2008

Edisi kedua buku Mengapa Kami Bantah PPSMI sedang dicetak.

Sementara menanti buku itu siap dicetak, rombongan aman sedang diatur bagi menemui Menteri Pelajaran Malaysia di Putrajaya. Dijangka rombongan ini dapat berbuat demikian pada bulan Januari 2009.

Nota:
Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama, percuma! Klik pautan yang berkenaan.

Jumaat, 30 Januari 2009

Ringkasan Kajian Juriah Long 2008

Prof. Dr. Abdullah Hassan, 12 Januari 2009 http://profabdullah1.wordpress.com/
Kejayaan PPSMI yang Tidak Seindah Kata

Kajian Prof. Datin Dr. Juriah Long (UKM) membawa dapatan yang berlainan daripada apa yang dikatakan oleh Datuk Alimuddin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Prof. Datin Dr. Juriah Long daripada Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama kumpulan penyelidiknya telah selesai menjalankan kajian kualitatif tentang prestasi PPSMI di dua buah sekolah (i) Sekolah Menengah Maahad Kajang (berasrama penuh) dan (ii) Sekolah Menengah Jalan 2 Bandar Baru Bangi.

Hasil kajian beliau mendapati PPSMI menggagalkan strategi pembelajaran berdasarkan murid kerana pelajar-pelajar tidak faham konsep-konsep matematik dan saintifik yang cuba diterangkan oleh guru.

Apabila pelajar tidak memahami bahasa Inggeris, mereka tidak dapat memahami perkara yang diperkatakan oleh guru. Mereka juga tidak dapat berfikir dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab itu mereka tidak dapat bertanya dalam bahasa Inggeris kepada guru. Akibatnya mereka tidak dapat menjawab soalan guru dalam bahasa Inggeris.

Laporan beliau disampaikan dalam Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu pada 2 Disember 2008.

Mungkin kita teringat kata-kata mainan rakan-rakan. Murid-murid yang terkial-kial sekadar hendak lulus ketika diajarkan sains dan matematik melalui bahasa Melayu, sekarang bertambah baik prestasinya melalui bahasa Inggeris yang tidak difahaminya!

Ia betul Datuk?

Bak kata orang Perak, di UPSI “Ape ke he, ye bebeno Datok!”

Khamis, 29 Januari 2009

Kajian Keberkesanan PPSMI UPSI 2008

Prof. Dr. Abdullah Hassan, 5 dan 6 Januari 2009 http://profabdullah1.wordpress.com/
PPSMI: Kajian Isahak Haron dan Rakan-rakan (1)

Di bawah adalah ringkasan dapatan, kesimpulan dan syor berdasar kajian kami (Isahak Haron et al.). Pembaca boleh membaca Laporan kajian kami yang lengkap bertajuk “Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah” diterbitkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, April 2008. Laporan tersebut menghuraikan analisis dapatan dan kesimpulan yang lebih terperinci.

Soalan 1: Sejauh manakah guru menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik?

Analisis data daripada kajian tiga sampel yang berlainan pelajar sekolah rendah dan menengah menunjukkan lebih 85% pelajar menyatakan guru mereka menggunakan campuran bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia bagi mengajarkan Sains dan Matematik.

Daripada temu ramah dan pemerhatian kami dalam bilik darjah, sebahagian besar guru menggunakan campuran kedua-dua bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kerana mereka ingin membantu murid yang sebilangan besarnya adalah lemah dalam bahasa Inggeris supaya mereka dapat memahami perkara yang diajarkan. Malah ada guru sendiri yang lemah dalam bahasa Inggeris dan tidak dapat menghuraikan konsep dan proses sains dan matematik dengan panjang lebar dalam bahasa Inggeris.

Hanya kira-kira 10% saja guru yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya; dan 5% dilaporkan menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya.

Daripada pemerhatian kami, penggunaan CD dan komputer bagi mengajarkan Sains dan Matematik Sains dalam bahasa Inggeris kurang dilaksanakan di kebanyakan sekolah, kerana guru sukar menggunakannya dalam bilik darjah. Guru yang menggunakannya pun mendapati murid kurang berminat melihat “tayangan” pelajaran sains dan matematik; tidak ada interaksi atau perbincangan yang aktif tentang pelajaran kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka terhad. Pembelajaran menjadi pasif, lebih ke arah menghafal fakta daripada memahaminya dengan bermakna.

Kesimpulan: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya; dan komputer sebagai alat pengajaran-pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat digunakan dengan berkesan.

Baca sambungannya di http://www.scribd.com/doc/11492111/PPSMI-Kajian-UPSI-April-2008-Ringkasan

Jumaat, 23 Januari 2009

Surat Terbuka Pengarah IPM UPSI

Tuntutan Terbuka kepada Kementerian Pelajaran Malaysia
26/12/2008

Kepada:
Y. B. Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun HusseinMenteri Pelajaran Malaysia
27 Disember 2008

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahi rahmani rahim.

Didoakan semoga Y. B. Dato’ Seri sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah subhanahu wa Ta’ala.

Dengan segala hormatnya Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, melalui surat ini mengemukakan sebuah tuntutan kepada Y. B. Dato’ Seri.

Adapun tuntutan yang dimaksudkan itu adalah supaya Kementerian Pelajaran Malaysia segera membatalkan PPSMI dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan tanpa berlengah-lengah lagi.

Institut Peradaban Melayu tetap akan mengunjungi Y. B. Dato’ Seri, secara rasmi bagi menyerahkan Memorandum Membantah PPSMI, sebaik sahaja siap dicetak. Langkah ini sekali gus menyokong GAPENA.

Yang benar,
Profesor Emeritus Abdullah Hassan
Pengarah
Institut Peradaban Melayu
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjong Malim

PPSMI Melanggar Akta Pendidikan 1996

PPSMI Melanggar Akta Pendidikan 1996
Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, 18 Disember 2008,
http://profabdullah1.wordpress.com/

Laporan ini disadur daripada Lawyer: Against the law to teach in English oleh Joseph Sipalan, dalam The New Straits Times, 18 Disember 2008.

KUALA LUMPUR: 17 Disember 2008, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata bahawa PPSMI yang dilaksanakan pada tahun 2003 itu melanggar peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996. Akta itu mengatakan dengan jelas Bahasa Melayu mesti digunakan sebagai bahasa pengantar mata pelajaran teras.

Dalam Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, jelas dinyatakan Bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Yang dikecualikan adalah sekolah jenis kebangsaan dan institusi lain yang diizinkan oleh menteri pelajaran.

Beliau juga mengatakan Seksyen 18 Akta tersebut mewajibkan mata pelajaran teras diajarkan dalam bahasa Malaysia.

Undang-undang yang berkuat kuasa pada hari ini menyatakan bahawa adalah bersalahan daripada segi undang-undang untuk kita menggunakan sebarang bahasa lain bagi mengajarkan mata pelajaran teras.

Sains dan matematik itu adalah mata pelajaran teras.

Ulasan:
PPSMI menyerlahkan bahawa kerajaan Malaysia mempertidak Rukun Negara (Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang). Sesiapa yang menyokong PPSMI juga bersekongkol dengan kerajaan Malaysia. Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah!