Himpunan bahan yang berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Rabu, 25 Mac 2009
Wanita Tudung Merah Tolak PPSMI
Jimadie Shah Othman, Malaysiakini, Mar 25, 09 1:38pm
Dua Wanita Umno bahagian mengesa kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) yang diamalkan di sekolah-sekolah.
Usul daripada Wanita Umno Ledang, Johor dan Kuala Langat, Selangor itu merupakan sebahagian usul pendidikan yang diterima tanpa bahas dalam perhimpunan Wanita Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.Wanita Umno Ledang membuat gesaan itu dalam kerana perlaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan didakwa "melemahkan minat murid, terutamanya daripada kawasan luar bandar".
Usul itu menyebut: "Menegaskan kerajaan menimbang semula kesan negatif pengajaran dan pembelajaran (Sains dan Matematik) dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah bagi mata pelajatan Sains dan Matematik."
Wanita Umno Kuala Langat pula menyifatkan bahasa Melayu perlu digunakan kembali berdasarkan ketetapan dan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan dan bahasa rasmi negara.
Selasa, 17 Februari 2009
Ahli UMNO Sokong PPSMI
PPSMI Bukan Menidakkan Taraf Bahasa
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan untuk menidakkan taraf bahasa Melayu, sebaliknya ia perlu bagi memastikan generasi muda di negara ini mampu bersaing hingga ke peringkat global.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) Datuk Syed Ali AlHabshee berkata PPSMI diperlukan bagi membolehkan murid-murid menguasai konsep subjek itu dalam bahasa antarabangsa.
"Untuk jangka panjang ia akan memudahkan kebolehan capaian maklumat dalam sains dan teknologi di kalangan rakyat Malaysia kerana lebih daripada 90 peratus maklumat sains dan matematik diperoleh dalam bahasa Inggeris," katanya dalam kenyataan Selasa.
Syed Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras mengulas tindakan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.
Beliau berkata Gapena sebenarnya terkeliru dalam isu memartabatkan bahasa Melayu kerana yang menghalang perkembangan bahasa Melayu sebenarnya bukan PPSMI tetapi ialah sistem sekolah vernakular.
"Jika Gapena benar-benar ingin memperjuangkan bahasa Melayu, kenapa PPSMI sahaja dijadikan sasaran. Gapena tidak membantah apabila ada universiti-universiti tempatan melaksanakan proses pengajian dalam bahasa Inggeris untuk subjek tertentu di beberapa fakulti," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kementerian berkenaan khususnya Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya tidak tunduk kepada tekanan oleh pelbagai pihak termasuk Gapena yang mahu supaya kerajaan mempertimbangkan kembali PPSMI.-- BERNAMA
Rabu, 11 Februari 2009
UMNO Pengkhianat Bahasa Melayu
Pada 27 Julai 1955 Pilihan Raya Umum Persekutuan Tanah Melayu yang Pertama (PRU1) telah diadakan. Maka bermula pada tahun 1955 ini Persekutuan Tanah Melayu mula menjadi negara yang mempunyai pemerintahannya sendiri dan bukan lagi ditadbir dari London.
PRU1 ini membuka jalan kepada usaha untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. PRU1 ini diadakan bagi memilih 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan daripada keseluruhan 98 ahli majlis. Ahli selebihnya dilantik oleh kerajaan British. UMNO yang dahulunya PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) bergabung bersama MCA dan MIC membentuk Parti Perikatan dalam menghadapi PRU ini.
Parti-parti yang bertanding dalam PRU ini selain daripada Perikatan ialah Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS), Persatuan Kebangsaan Perak, Liga Melayu Perak, Parti Progresif Perak (kemudian menjadi Parti Progresif Rakyat), dan juga Parti Buruh.
Dalam PRU1 ini, Perikatan telah membentangkan manifestonya antara lain ialah janji untuk mencapai kemerdekaan dalam tempoh empat tahun. Perikatan juga berjanji akan menubuhkan satu jenis sekolah kebangsaan dan menerusi sekolah kebangsaan ini Perikatan akan memajukan pembangunan kebudayaan, ekonomi, kemasyarakatan dan politik sebagai satu bangsa.
Dengan cara ini Perikatan berharap dapat memenuhi tujuannya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, secara langsung menjadi bahasa pengantar kepada semua pembelajaran ilmu dan bahasa perpaduan bangsa Malaysia.
Sebagai pemimpin Perikatan pada masa itu, Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman Putra dalam Perhimpunan Khas UMNO pada 4 Jun 1955, telah menegaskan bahawa Perikatan telah membuat keputusan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Janji ini telah membawa kepada sokongan besar orang Melayu terhadap UMNO dan Perikatan. Ini adalah kerana pada masa itu, terdapat tuntutan oleh British untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pelajaran. Juga terdapat tuntutan untuk menjadikan bahasa Cina (Kuo Yo) juga sebagai satu daripada bahasa rasmi.
Maka sumpah UMNO untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang diperkukuh melalui janji Perikatan itu telah membawa sokongan tidak berbelah bagi bangsa Melayu kepada UMNO.
Perikatan mendapat kemenangan yang besar dengan memenangi 51 buah kerusi daripada 52 buah kerusi. Perikatan menganggap bahawa semangat untuk mencapai kemerdekaan dalam jiwa orang Melayu membuatkan mereka mendapat sokongan besar.
Namun pada hakikatnya janji Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO tentang kehendak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal dalam 10 tahun telah melonjakkan jiwa dan semangat orang Melayu. Faktor bahasa Melayu ini sebenarnya adalah antara faktor utama kemenangan Perikatan.
Bahasa Melayu adalah jiwa dan roh orang Melayu. Dan UMNO yang membawa roh serta jiwa bangsa Melayu ini sudah tentunya maklum bahawa mereka harus meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa paling utama, kerana di situlah terletak kekuatan bangsa Melayu, sekali gus kekuatan UMNO.
Apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1996 (Pindaan), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan kemudian Akta Lembaga Akreditasi Negara diluluskan pada tahun 1996; maka bahasa Melayu telah dikuburkan secara perlahan-lahan oleh UMNO sendiri.
Secara individu yang bertanggungjawab ialah Mahathir Mohamad; dan Menteri Pelajaran pada ketika itu ialah Najib Razak. Tetapi secara organisasi, UMNO keseluruhannya (ahli-ahli parlimen UMNO) menyokong ketetapan ini. Lanjutan daripada itu, bahasa Inggeris akhirnya menjadi bahasa pengantar utama kepada mata pelajaran sains dan matematik. Begitu juga di IPTA dan IPTS, bahasa Melayu kemudian ditimbus satu demi satu.
Sekarang apabila tiba-tiba UMNO bangun mendabik dada menjadi hulubalang yang memperjuangkan Melayu, lantaran didakwa orang Melayu kini berpecah – tidakkah UMNO sedar bahawa betapa besarnya dosa mereka mengkhianati bahasa Melayu, sekali gus roh dan jiwa bangsa Melayu?
Mengapa hanya sekarang UMNO mencari-cari orang Melayu? Mencari-cari perjuangan Melayu? Mengapakah semasa mereka berkuasa, semasa mereka adalah “dewa” kepada segala-galanya – mereka mengkhianati orang-orang Melayu?
Dosa Mahathir menghancurkan bahasa Melayu tidak akan terampun sampai bila-bila, apatah lagi jika bahasa Melayu tidak akan dapat dipulihkan kembali dan malah terus pupus sama sekali. Mahathir adalah orangnya yang menghancurkan bahasa Melayu. Dan jangan lupa di sini bahawa UMNO adalah wadah dan pangkalan yang membantu Mahathir menghancurkan bahasa Melayu.
Sehingga sekarang pun UMNO tidak menampakkan sebarang keinginan untuk menebus dosa mereka yang menghancurkan bahasa Melayu itu. Ketika Lim Guang Eng, yang dianggap pemimpin kaum Cina itu sering keluar menjawab soalan-soalan wartawan dalam bahasa Melayu, pemimpin-pemimpin UMNO lebih gemar memperlihatkan kefasihan mereka berbahasa Inggeris.
Maka itu seorang teman dari luar negara (Afrika) yang hanya beberapa hari tiba di Malaysia menganggap Lim Guang Eng seorang Melayu, dan tidak pasti Hishamuddin Husin dan Azalina Othman adalah orang Melayu apabila melihat suatu rancangan berita baru-baru ini di televisyen. Saya mengatakan itulah paradoks UMNO.
Siapakah yang memusnahkan bahasa Melayu sehingga anak-anak Melayu tidak tahu lagi apa itu perpuluhan, punca kuasa dua, ganda dua, luluh hawa, lut sinar, kalis air, tuil, takal, kenyal, pepejal, cecair dan banyak lagi istilah matematik dan sains yang telah kina bina dengan begitu susah payah itu. Siapakah yang menghancurkan ini semua? DAP-kah yang menghancurkannya? PAS? PKR? MCA? MIC? Dong Zong? Tidak.
UMNO-lah yang menghancur dan menghapuskan bahasa Melayu. UMNO yang sekarang mengatakan bahawa mereka adalah pembela orang-orang Melayu itulah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dengan menghapuskan bahasa ibunda bangsa Melayu, iaitu bahasa Melayu.
Jika UMNO benar-benar jujur dan ikhlas berjuang untuk bangsa Melayu, maka untuk hari ini satu perkara terlebih dahulu perlu dilakukan oleh mereka – kembalikan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik!
Jika UMNO yang berkuasa sekarang ini tidak mahu mengembalikan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar Sains dan Matematik, maka UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan nasib dan kepentingan orang-orang Melayu. Tetapi hanyalah gerombolan oportunis yang sedang menggadaikan orang-orang Melayu untuk kepentingan mereka sahaja.20 - 26 April 2008
Sabtu, 7 Februari 2009
Don Quixote Malaysia
Don Quixote Malaysia
Baca di sini Don Kisot Malaysia.
Baca di sini Don Quixote Sepanyol (sebutan Sepanyol: Don Kihote)
Don Kisot adalah kesateria yang otaknya salah zaman. Dia memakai baju besi kerana menyangka dia dapat melindungi dirinya daripada tusukan tajam pedang lawan. Sebaliknya baju besinya itu menyebabkan dia tidak dapat bergerak bebas. Dalam kurungan baju besinya itu dia berasa selamat, padahal dia serba payah sampai terengah-engah.
Nota: UMNO adalah Don Kisot Melayu. Sekarang ini zaman pendidikan sains dan matematik dalam bahasa ibunda tetapi UMNO masih mahu akan bahasa penjajah (baju besi).
Eropah sudah membuang bahasa Latin. Negara-negara Scandinavia sudah membuang bahasa Rusia. Jepun dan Korea sudah membuang bahasa Cina. UMNO pula bersungguh-sungguh mahu ikut Don Kisot benua India, Afrika dan Amerika Selatan.
Jumaat, 23 Januari 2009
Umno Kata PAS Bankrap Idea dan Moral
Oleh Adnil Mohd, 23 Januari 2006 Pautan
Kuala Lumpur -- Pas diingatkan agar menghentikan tindakan untuk terus mendalangi pelajar bagi kepentingan politik mereka berhubung tindakan menyaman Kerajaan atas isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pengerusi Biro Pendidikan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ahmad Ikmal Ismail berkata tindakan Pas itu jelas menunjukkan parti itu sudah bankrap idea dan moral sehingga sanggup mencemarkan minda dan menggunakan anak-anak muda yang masih lagi bersekolah untuk kepentingan politik mereka sendiri.
"Kita melihat bahawa tindakan yang telah diambil untuk menyaman kerajaan oleh para pelajar ini didalangi oleh parti Pas dengan kehadiran Naib Ketua Pemuda Pas dan beberapa ahlinya yang lain semasa saman difailkan.
"Langkah ini jelas menunjukkan Pas sebenarnya semakin tertekan, tiada haluan dan tercari-cari ke mana dan apa yang perlu dibuat untuk meraih sokongan yang jelas semakin merosot.
"Langkah ini satu gimik politik mereka untuk cuba menonjolkan diri kononnya berjuang untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada laman web Pemuda di sini hari ini berhubung laporan akhbar yang memaparkan kes empat orang pelajar yang menyaman Kerajaan atas isu PPSMI.
Justeru tambah beliau lagi pihaknya yakin, rakyat umumnya tidak akan tertipu dengan gimik politik terbaru Pas ini.
Malah tegasnya, Pemuda amat kecewa melihat Pas sanggup menggunakan anak-anak yang tidak bersalah ini sebagai alat dalam mainan politik mereka.
"Kita ingin menyeru kepada pihak Pas supaya biarlah pelajar-pelajar ini menimba ilmu yang akan dapat memanfaatkan ibu bapa, keluarga, masyarakat dan diri mereka sendiri pada masa hadapan.
"Janganlah mengganggu atau mencemar minda mereka hanya untuk kepentingan Pas sendiri," ujarnya.
Jelasnya salah satu tujuan pelaksanaan PPSMI adalah untuk memastikan negara pada masa hadapan tidak ketinggalan dalam persada dunia.
PPSMI juga kata beliau lagi terbukti tidak membawa kesan negatif kepada pelajar seperti yang dapat dilihat dari keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini.
"Ketiga-tiga subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris semuanya menunjukkan peningkatan sebanyak 1.6% (Sains), 0.4% (Matematik) dan 3.7% (Inggeris) dari aspek tahap penguasaan minimum atau kelulusan tahap A, B, C atau D.
"Jumlah pelajar yang mendapat semua A juga meningkat ke 20,101 atau 4.9% dari jumlah pelajar menduduki PMR berbanding tahun 2004 (16,312 atau 4.2% dari jumlah pelajar menduduki PMR)", katanya.
Malah beliau yakin pencapaian para pelajar akan terus meningkat dengan usaha sama semua pihak termasuklah Kementerian, sekolah, guru-guru, ibu bapa, badan-badan politik, NGO dan sebagainya untuk para pelajar.
"Tindakan-tindakan Pas seumpama ini sebenarnya mengkhianati anak bangsa dan anak muda negara ini kerana berpotensi memecahbelahkan rakyat dan menghalang kemajuan.
"Kita ingin menyeru Pemuda Pas supaya berfikiran dan bersikap matang serta menjadi platform yang benar-benar ikhlas berjuang untuk negara. Berilah idea-idea yang positif dan membina dalam usaha kerajaan melaksanakan dasar PPSMI untuk memastikan negara akan terus maju ke hadapan", ujarnya.
Umno Kata Saman Pelajar Itu Gimik Politik
Saman Kerajaan: Pas Cuba Cipta Gimik Politik Tahun Baru
Oleh Adnil Mohd, 13 Januari 2006 (?) Pautan
Kuala Lumpur – Pas disifatkan ketandusan idea dan cuba mencipta gimik politik tahun baru apabila meneruskan hasrat untuk menguruskan saman terhadap kerajaan berhubung pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ahmad Ikmal Ismail berkata tindakan terbaru Pas itu jelas memperlihatkan sikap sebenar mereka yang sanggup melakukan apa sahaja demi survival politik.
Menurut beliau Pas sememangnya sebuah parti yang tidak mempunyai pendirian dan asas perjuangan yang kukuh dan mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada manipulasi sesuatu isu.
"Perjuangan mereka ibarat lalang yang hanya menjurus kepada usaha untuk meningkatkan semula populariti parti dan bukannya berniat ikhlas untuk memperjuangkan orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.
"Kita yakin rakyat khususnya ibu bapa dapat menilai niat dan agenda sebenar mereka", katanya kepada laman web Pemuda di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pemuda Pas yang terus berhasrat untuk menguruskan saman terhadap kerajaan berhubung pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Sebelum ini Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Mohamed Hanipa Maidin dilaporkan berkata saman itu dijangka akan difailkan Januari kerana langkah itu bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan, Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Sambil mengingatkan parti pembangkang terbabit agar bersikap realistik dan tidak melatah dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan dasar murni kerajaan itu, Ikmal seterusnya menjelaskan keputusan tepat kerajaan dalam perkara itu tidak seharusnya diragui oleh mana-mana pihak.
Justeru beliau mengingatkan orang ramai khususnya ibu bapa agar tidak terpengaruh dengan apa jua dakyah serta pembohongan yang akan digunakan oleh parti pembangkang terbabit.
"Kita nasihatilah kepada golongan ini agar jangan berselindung di sebalik isu ini untuk kepentingan diri dan politik sempit mereka sebaliknya berfikiran terbuka dan matang bagi menjana hasil yang membina dan membangun kepada bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia", katanya.