Memaparkan catatan dengan label Hishamuddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hishamuddin. Papar semua catatan

Jumaat, 20 Mac 2009

Hishammuddin Masih Buka Ruang

PPSMI: Maklum balas masih terbuka
Today, March 20, 2009, 9 hours ago Abdullah
Disalin daripada Utusan Malaysia Online: Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 19 Mac – Kementerian Pelajaran masih membuka ruang untuk mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai kedudukan muktamad dasar pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, suara dan hasrat dari semua peringkat akar umbi akan didengar dan setiap maklum balas diteliti serta diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat.

‘‘Walaupun kertas Kabinet mengenai PPSMI ini sudah di peringkat penilaian oleh setiap kementerian sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri, saya masih lagi terbuka untuk mendengar maklum balas daripada mana-mana pihak.

‘‘Saya akan menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang sempena mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berlangsung sekarang dan Perhimpunan Agung UMNO pada minggu depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nota: Cuma tokoh bahasa dan sains dalam jawatankuasa GMP berikut tidak dijemput.

Perkara itu, katanya, turut dijelaskan kepada dua tokoh pejuang bahasa, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said dalam pertemuan beliau dengan dua tokoh berkenaan di sini hari ini.

‘‘Dalam pertemuan itu, kedua-dua tokoh telah menjelaskan hasrat, pandangan dan keprihatinan mereka terhadap isu ini dan berharap kerajaan akan menilai dan membuat keputusan terbaik,” kata Hishammuddin.

Menurutnya, perbincangan bersama kedua-dua tokoh itu turut berkisar mengenai transformasi kurikulum di peringkat sekolah rendah dan prasekolah sebagai gantian kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah termasuk keputusan mewajibkan pengajian Sejarah.

‘‘Selaras dengan transformasi kurikulum tersebut, turut dibincangkan ialah usaha kerajaan untuk menilai semula sistem pentaksiran dan peperiksaan kebangsaan khususnya di peringkat sekolah rendah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak pernah bertolak-ansur dalam agenda memartabatkan bahasa kebangsaan dan segala pendekatan telah dilaksanakan demi mencapai objektif tersebut.

‘‘Saya berharap dalam hal pendidikan jangan kita mempolemik isu ini dan perbincangan mengenainya akan diteruskan secara rasional dan terbuka kerana ia menyentuh tentang kepentingan dan masa depan anak-anak kita.

‘‘Demi mencapai matlamat ini, kerjasama daripada para pejuang bahasa termasuk kedua-dua tokoh ini amatlah diharapkan kerana ia merupakan perjuangan ikhlas kita bersama,” katanya

Haah, Berpusing-pusing Tidak Ketahuan

Hasil pertemuan dengan pegawai tinggi KPM

Pada 19 Mac 2009, Pengerusi GMP Dato Dr Hassan Ahmad dan SN Dato Samad said dijemput menemui Dato Seri Hishammuddin, Menteri Pelajaran, di Puterajaya. Mereka disambut dengan penuh hormat.

Namun, ahli akademik dalam GMP Prof. Emeritus Abdullah Hassan dan Prof. Shahrir Md Zain tidak diundang. Hal ini ada dinyatakan kepada Dato Dr. Hassan Ahmad, namun tidak ada respons. Sekaligus ini menyatakan bahawa ahli akademik yang berkepentingan tidak diwakili dalam pertemuan itu.

Menurut Dato Dr. Hassan Ahmad, perbincangan dalam pertemuan itu juga memberi gambaran kepada beliau bahawa Menteri Pelajaran masih “tidak jelas tentang isu PPSMI yang dihadapi.

Beliau cuma berpusing-pusing bercakap mengenai PPSMI. Bagaimanapun beliau ada memujuk dan merayu supaya GMP tidak lagi mengadakan himpunan dan lain-lain. Beliau tidak membicarakan isu PPSMI. Oleh sebab itu tidak ada sebarang ketetapan tentang PPSMI. Dan ISU PPSMI BELUM SELESAI.

Oleh yang demikian, Dato Dr. Hassan Ahmad dan SN Dato A Samad Said, menyatakan kepada beliau bahawa GMP tetap akan meneruskan perjuangan.

Pernyataan tersebut memeranjatkan beliau.

SMS Dato Dr Hassan diakhiri dengan frasa isu belum selesai!”

SMS daripada SN Dato’ A Samad Said mengatakan “Saya jelaskan sikap saya yang akan terus berceramah tentang GMP di mana-mana pentas.” Dan beliau tidak pernah berhenti bercakap …. di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau dan di mana-mana …

Kami juga.

Yang menakjubkan, setiap kali kami diundang, paling kurang biaya perjalanan kami ditanggung. Ini bermakna, rakyat sanggup membayar bagi mengetahui maklumat sebenar.

Terlebih awal pada, 14 Mac lalu, Dato Dr. Hassan dan SN Dato A Samad Said juga dijemput oleh Ketua Seiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri.

Pada mulanya Prof. Emeritus Abdullah Hassan dan Prof. Shahrir Md. Zain juga tidak dijemput. Mereka hanya turut dijemput apabila dinyatakan mereka juga perlu hadir bagi mewakili bidang akademik.

Pertemuan dengan KSU, KP dan Setiausaha Sulit Kanan di Kementerian Pelajaran
Pertemuan ini, sebagaimana dinayatkan dalam entri saya yang lalu, tidak menunjukkan penyelesaian akan cepat berlaku.

Oleh sebab itu GMP akan masuk ke langkah berikutnya, sebaik sahaja pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO berakhir.

Selasa, 10 Mac 2009

Kerajaan Tidak Pernah Pertikai Keikhlasan GMP?

10 Mac, 2009 19:53 PM
Kerajaan Tidak Pernah Pertikai Keikhlasan GMP Bantah PPSMI

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan tidak pernah mempertikaikan keikhlasan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita juga ingin perjuangkan dan perkasakan bahasa kebangsaan, (tapi) bila ia dibawa ke tepi jalan, dipolitikkan, itu akan mengeruhkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 di Dewan Rakyat Selasa.

Sabtu lepas, satu perhimpunan yang asalnya bertujuan bagi GMP menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan yang turut disertai pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjadi kecoh setelah penyokong-penyokong gerakan itu berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara walaupun tidak mendapat permit polis.

Mengulas kenyataan Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad semalam yang menafikan bahawa mereka didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam isu bantahan itu, Hishammuddin berkata beliau sentiasa menerima sebarang pandangan dan cadangan daripada mereka.

"Janganlah kita benarkan apa yang berlaku pada dua hari lepas kerana ia jelas ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan," katanya.

Hishammuddin berkata bahawa apa yang penting dalam membuat keputusan berhubung PPSMI ialah kemampuan di sekolah rendah, sekolah luar bandar dan kemampuan guru-guru.-- BERNAMA

Ahad, 8 Mac 2009

Selesai Segera Isu PPSMI

Oleh Zulkofli Jamaludin dan Anwar Hussin bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi mengelakkan isu lebih besar tercetus.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ada desakan kuat daripada rakyat, khususnya orang Melayu supaya isu PPSMI diselesaikan segera.

“Isu PPSMI ini sudah menjadi isu yang besar dan sensitif. Kerajaan mengakui desakan rakyat dan mengambil perhatian terhadapnya.

“Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera kerana jika tidak, tekanan dan tindakan NGO (badan bukan kerajaan) akan berterusan dan menjadi lebih besar lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan novel fantasi Dragonfire Hammer karya penulis muda berusia 14 tahun, Adam Umemoto, di sini semalam.

Petang semalam, perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di ibu kota yang disertai ribuan penyokong, bertukar kecoh apabila kumpulan berkenaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan, walaupun Polis Kuala Lumpur sebelum ini hanya membenarkan mereka berkumpul di Masjid Negara.

Kumpulan terbabit yang pada awalnya berkumpul di perkarangan masjid berkenaan, Pasar Seni dan Kompleks Sogo, untuk mengadakan bantahan secara aman, mengingkari arahan polis dengan berarak beramai-ramai ke arah Istana Negara.

Bagaimanapun, selepas keadaan terkawal, Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta beberapa ahli jawatankuasa lain, dibenar menyerahkan memorandum itu kepada wakil Istana Negara.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran sudah menemui beberapa NGO berhubung isu berkenaan, tetapi beliau difahamkan kementerian belum bersedia mengumumkan keputusan yang akan diambil.

Katanya, kajian mengenai pelaksanaan PPSMI sudah dilakukan Kementerian Pelajaran, termasuk mengambil kira keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Saya percaya keputusan peperiksaan itu akan memberi asas kepada Kementerian Pelajaran untuk membuat keputusan. Saya percaya keputusan itu akan mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kertas Kabinet PPSMI sudah siap untuk dibawa kepada Jemaah Menteri dengan menjurus melihat dasar pelaksanaan di peringkat sekolah rendah dan kawasan luar bandar.

“Pandangan mereka (pakar pendidikan dan pencinta bahasa) yang sudah diluahkan pada sesi meja bulat dan melalui memorandum, adalah pandangan yang boleh dan sudah kita ambil kira.

“Sekali lagi menjadi tanda tanya, mengapa enam tahun selepas pelaksanaannya baru hendak buat laporan polis dan mempertikaikan perkara ini dalam konteks Perlembagaan. Selepas enam tahun baru hendak buat perhimpunan,” katanya. (Ini kenyataan dusta = lidah bercabang.)

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu bila kertas Kabinet itu akan dibincangkan Jemaah Menteri.

Hishammuddin berkata, apa pun keputusan Kabinet, pelaksanaannya hanya boleh dilakukan tahun depan bermula dengan murid Tahun Satu.

Beliau berkata, pihak yang terbabit membangkitkan isu PPSMI perlu berhenti seketika melihat keadaan sebenar yang berlaku di negara ini dan tanya siapa sebenarnya menimbulkan isu berkenaan. (Macam belut.)

“Apa muslihat dan matlamat mereka. Sebenarnya kita mahu melihat ke hadapan. Kita mahu rakyat bersatu.

“Kita mahu berhadapan keadaan ekonomi yang mencabar ini. Jika setiap isu dibangkitkan dan dikaitkan dengan perkauman dan keagamaan, akhirnya kita tidak mempunyai masa untuk melihat perkara lebih penting untuk menentukan masa depan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya. (Belit belut derhaka.)

Khamis, 26 Februari 2009

Debat PPSMI: Pemuda Umno Tolak

Irwan Muhammad Zain Thu Feb 26, 09 3:08:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Harakahdaily) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Salahuddin Ayob menganggap penolakan cabaran debat oleh Ketua Pemuda Umno sebagai satu kemalangan besar terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau menegaskan penolakan tersebut juga merupakan satu petanda buruk yang digambarkan oleh Pemuda Umno terhadap usaha yang dilakukan oleh pejuang-pejuang bahasa.

Salahuddin menegaskan demikian sebagai respon penolakan Hishamuddin terhadap pelawaan mengadakan debat mengenai isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

"Pemuda PAS kesal dengan kenyataan Hishamuddin Hussein kerana ia mengambarkan Pemuda Umno tidak berminat untuk memartabatkan bahasa Melayu.

"Penolakan ini juga memberikan gambaran buruk terhadap pendirian Pemuda Umno dalam isu bahasa Melayu," tegas beliau.

Beliau juga menegaskan DPPP tidak akan berputus asa dalam usaha mereka bersama pejuang-pejuang bahasa menuntut kerajaan memansuhkan PPSMI.

Sehubungan dengan itu, beliau mempelawa Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Hussein yang juga Ketua Pemuda Umno untuk mengadakan satu perbincangan intelektual mengenai isu PPSMI.

Ketua Pemuda Umno dalam satu sidang media selepas selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pemuda dan Keganasan di ibu negara pagi ini menolak cabaran debat yang dibuat oleh Salahuddin Ayob.

Selasa lalu, Pemuda PAS telah menghantar surat cabaran debat kepada Hishammuddin berhubung isu PPSMI melalui Naibnya, Khairy Jamaluddin di Parlimen. - mks.

Rabu, 18 Februari 2009

PPSMI: Hishammuddin Persoal Tindakan Gapena

BH 18 Februari 2009

KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan laporan polis oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita sudah melaksanakan dasar itu sejak enam tahun lalu, malah sebelum saya menjadi Menteri Pelajaran.

"Justeru, kita agak berwaspada dengan tindakan sedemikian...apa motif Gapena hanya membuat laporan polis itu sekarang," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau mengulas tindakan Gapena membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, kelmarin kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pendidikan 1996.

Sementara itu, Ketua II Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, semalam berkata Gapena sudah memperjuang bantahan pelaksanaan PPSMI sejak 2002 dan tiada sebarang agenda tersembunyi di sebalik usaha itu.

Pada sidang akhbar sama, Ketua I Gapena, Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, pula berkata, Gapena mahu bersemuka dengan Hishammuddin bagi membincangkan kemelut pelaksanaan PPSMI yang didakwa akan menghancurkan bangsa serta bahasa Melayu di negara ini.

Katanya, perbincangan itu perlu kerana beberapa siri Persidangan Meja Bulat PPSMI yang diadakan masih tidak memadai berikutan pihaknya serta cendekiawan dan budayawan Melayu lain 'hampir-hampir tidak berpeluang' bersuara dan menjelaskan pandangan mereka.

Jumaat, 30 Januari 2009

Berita 25 Jan 2009: Hishamuddin Terbuka

PPSMI: Kerajaan Bersikap Terbuka
Utusan Malaysia Online, 25 Januari 2009

TEMERLOH 24 Jan. - Kementerian Pelajaran memberi jaminan akan bersikap terbuka bagi memastikan semua suara rakyat Malaysia diambil kira sebelum menentukan hala tuju Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian sentiasa menghargai pandangan semua pihak bagi memastikan mereka diberi ruang untuk menyuarakan pandangan, cadangan mahupun kebimbangan dalam suasana yang kondusif dan membina berhubung PPSMI.

Sehubungan itu beliau memberitahu, kementerian sedang memperkemas PPSMI dengan mengambil kira kesannya terhadap pelajar, kesediaan guru-guru dan kesan jangka panjang terhadap bahasa kebangsaan.

''Kerajaan juga mengambil kira implikasinya dari segi perundangan dan Perlembagaan Persekutuan serta jurang pencapaian para pelajar bandar dan luar bandar.

''Saya harap semua pihak bersabar dan memberi sedikit masa kepada kementerian supaya dapat menghasilkan cadangan yang baik, tepat dan bernas untuk dibawa ke peringkat Jemaah Menteri," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai pelajaran seluruh Pahang di sini hari ini.

Kata Hishammuddin, beliau sendiri sentiasa memantau setiap perkembangan yang berlaku dan menyedari masih terdapat kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat yang resah, bimbang dan risau pandangan mereka tidak diambil kira oleh kementerian.

Menurutnya, soal tidak puas hati atau tindakan membantah dasar itu pada hakikatnya tidak harus wujud kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Beliau memberitahu, kerajaan sangat mengambil berat mengenai PPSMI terutama selepas tamat tempoh enam tahun pelaksanaannya di peringkat sekolah rendah.

''Kerajaan menyedari betapa pentingnya PPSMI ditangani secara teliti demi kepentingan bersama tanpa mengetepikan pihak-pihak yang berkepentingan kerana masa depan para pelajar tidak boleh diambil mudah," katanya.

Hishammuddin menambah, Jawatankuasa Induk Pelaksanaan PPSMI yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, (KPPM), Datuk Alimuddin Md. Dom telah selesai meneliti semua pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.

''Saya insaf dan sedar bahawa isu PPSMI merupakan satu isu besar dan mempunyai implikasi berkekalan kepada anak bangsa dan masa depan negara kita.

''Oleh itu, usaha-usaha ini diharap dapat memastikan sebarang keputusan yang bakal dibuat menjadi keputusan kolektif rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, sejak Persidangan Meja Bulat Pertama pada 14 Julai lalu hingga Persidangan Meja Bulat Kelima pada 16 Disember lalu, pihaknya telah mendapatkan pandangan daripada lebih 600 peserta antaranya daripada profesional pendidikan, kesatuan dan persatuan guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan profesional, korporat, pemimpin komuniti dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Kata Hishammuddin, semua pandangan itu diterima termasuk melalui memorandum, saluran media dan sebagainya serta pandangan dan kajian yang dibentangkan di dalam Persidangan Meja Bulat Pertama sehingga yang Kelima baru-baru ini.

Rabu, 28 Januari 2009

Kerajaan Teruskan PPSMI

Catatan Mohd Isa bin Abd Razak tentang PPSMI, 003, 10 Januari 2009
Mohd Isa bin Abd Razak, 10 Januari 2009, http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Penerusan PPSMI ini bermakna KPM memilih rumusan pertama persidangan meja bulat hujung tahun lalu. Rumusan pertama itu ialah “Meneruskan PPSMI seperti sedia ada”.

Keputusan ini jelas menunjukkan KPM mengetepikan ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Keputusan ini juga jelas menunjukkan KPM memandang sepi pelbagai hujah pihak yang menentang PPSMI. Mungkin hujah bernas pihak yang menentang PPSMI, terutamanya daripada para profesor dan budayawan kita, tidak sampai kepada KPM. Jikalau hujah itu sampai kepada KPM, mungkin juga hujah itu dipandang sebelah mata. Ada juga kemungkinan mereka memejamkan mata terhadap hujah berdata yang disajikan.

Pihak yang pro-PPSMI seperti Parent Action Group for Education (PAGE) perlu mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Pakar dari Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria, Australia (VCAA), William Perrin, juga perlu menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hishammuddin.

Selain itu, saya percaya pelbagai pihak yang meraih keuntungan daripada dasar ini berasa amat senang hati. Antara pihak yang meraih keuntungan itu ialah pembekal komputer riba dan penerbit kamus bahasa Inggeris. Pihak lain yang tidak kurang senang hati dengan penerusan PPSMI ialah guru yang mendapat elaun dalam skim dasar ini.

Pada saya, tajuk berita “Keputusan Pelaksanaan PPSMI Tahun Depan” tidak tepat. Isi berita itu juga amat bersahaja. Jadi, jawapan Menteri Pelajaran juga amat mudah. Gambar Menteri Pelajaran dengan muka yang ceria dan senyuman yang sungguh menawan dapat membantu pembaca menyenangi jawapan beliau yang inti sarinya tercatat di sebelah gambar itu.

Kita yang mendukung Gerakan Anti-PPSMI (GAP) dan mendukung slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” membaca berita ini dengan pelbagai rasa. Hairan ada, terharu ada, geram ada. Banyak lagi rasa yang bercampur baur, termasuklah marah yang dijelmakan melalui kata-kata atau tulisan.

Saya menjangka KPM akan membuat pengumuman sama ada meneruskan atau memberhentikan PPSMI secara rasmi dalam sidang akhbar. Nampaknya, sehingga kelmarin, jangkaan saya itu meleset. Jadi, saya berterima kasih kepada Berita Harian kerana berusaha mendapatkan maklumat daripada KPM. Saya memang menunggu-nunggu berita ini.

Berita ini mendorong kita memperhebat GAP. Kita sokong perhimpunan mengarak “Keranda 152”. Tunjukkan sokongan itu dengan pelbagai cara yang kita mampu. Sokongan yang sangat penting ialah daripada pertubuhan pelajar, termasuk daripada kumpulan yang bakal menjadi guru, khususnya bakal guru Bahasa Melayu. Tindakan agresif orang muda kita harapkan dan kita hargai.

Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama, percuma! Klik pautan yang berkenaan.

Keputusan Pelaksanaan PPSMI Tahun Depan

Oleh Syuhada Choo Abdullah, Berita Harian, 9 Januari 2009

Kerajaan ada masa buat kajian, pertimbangan mendalam.

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah hanya boleh dilaksanakan tahun depan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya masih ada masa untuk menentukan keputusan berkenaan dengan membuat kajian teliti serta pertimbangan mendalam terhadap perkara itu.

"Kita ada masa kerana apa juga keputusan hanya boleh dilaksanakan tahun depan. Saya berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan dengan pelbagai pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kajian pihaknya terhadap pandangan pelbagai pihak mengenai isu pelaksanaan dasar berkenaan, terutama rumusan daripada hasil lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI yang diadakan.

Persidangan Meja Bulat PPSMI terkini yang berlangsung pertengahan bulan lalu merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.
PPSMI: Usung Keranda 152 – Menteri Kata, Teruskan
PPSMI: Kerajaan Tidak Tunduk Ugutan Gapena
Malaysiakini, 8 Januari 2009

Kementerian Pelajaran tidak akan tunduk terhadap sebarang ugutan berhubung pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata menterinya.

"Apa yang perlu gopoh sangat, kerana apa jua keputusan mengenai perkara itu kalau dibuat sekarang pun pelaksanaannya akan dibuat tahun depan juga," Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dipetik berkata hari ini.

Mengulas mengenai desakan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk mengambil tindakan saman terhadap kementerian dan "mengusung keranda" membantah PPSMI, beliau berkata:

"Kalau nak buat apa jua tindakan teruskanlah, tetapi pihak kementerian tetap berpegang dengan agenda bahawa keputusan adalah bergantung kepada pandangan semua pihak bukan hanya pandangan kumpulan tertentu sahaja."

Menurut Bernama, Hishammuddin berkata kementeriannya setakat ini sudah meneliti 22 kertas kajian mengenai dasar tersebut - diperkenalkan sejak 2004 - yang kini sudah berada di peringkat akhir.

"Keputusan kajian ini akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya," katanya.

Selain ugutan Gapena, sekumpulan aktivis bahasa Melayu turut mengancam menganjurkan demonstrasi besar-besaran - dijangka Mac depan - bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu.

PPSMI: Ugutan Gapena Tidak Membina

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY, Utusan Malaysia Online, 23 Disember 2008

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran tidak membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak membina malahan menyulitkan pihak kementerian membuat keputusan demi masa depan anak-anak bangsa.

''Semua pihak berhak jika hendak mengambil tindakan tapi yang ganjilnya mengapa sekarang selepas enam tahun dasar ini dilaksanakan?

''Lebih-lebih lagi apabila kebelakangan ini sudah lima perbincangan meja bulat diadakan dan sekarang hanya tinggal peringkat akhir untuk membuat rumusan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Gapena yang kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya PPSMI diteruskan.

Gapena menerusi Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mendakwa pelaksanaan PPSMI itu secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ismail berkata, tindakan itu kelak merupakan kemuncak kekecewaan Gapena, kalangan cendekiawan termasuk pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan.

Hishammuddin menambah, ugutan sedemikian pernah dilakukan oleh Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zhong) yang menentang konsep Sekolah Wawasan berikutan khuatir fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina akan hilang.

Namun, menurut beliau, selepas memberi penjelasan yang kukuh, Dong Jiao Zhong menarik semula hasrat untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kementerian.

''Untuk membantu kementerian membuat keputusan dalam hal ini semua pihak perlu mengemukakan hujah-hujah yang rasional tanpa emosi bersandarkan fakta dan angka.

"Ini demi masa depan anak-anak bangsa kita, '' tegasnya.

Isnin, 26 Januari 2009

PPSMI: Hishamuddin Mesti Isytiharkan Dirinya Cerdik

PPSMI: Hishamuddin Mesti Isytiharkan Dirinya Cerdik
“PPSMI: Nasib Hishamudin Menjelang Perhimpunan Agung Umno” Oleh
Hishamul Hisham Al Hashim, Harakah Daily, 2 Januari 2009

"Hishamuddin mesti bangkit mengisytiharkan dirinya sebagai menteri yang cerdik dan tidak lagi selamanya diperbodoh."

Beberapa wakil NGO yang bersidang pada satu tempat di satu hari, selepas persidangan Meja Bulat yang diadakan pada 16 Disember 2008 dan kemudiannya dibaca satu memo dan pernyataan bersifat 'tidak menghormati lagi' sesiapa pun yang cuba merobek kedaulatan Bahasa Melayu, sepatutnya Menteri Pelajaran Dato' Hishamuddin tidak memandang ringan.

Hishamuddin tidak perlu membacanya tetapi cukuplah dengan menyedari kini, bahawa bukan lagi selamanya sebahagian besar rakyat main angguk dengan pemimpin mereka, tetapi rakyat menunggu masa untuk menderhaka wacana pemimpinnya, kerana selama mereka memerhati, ternyata sekian banyak pemimpin yang bodoh tetapi tidak mahu mengakui kebodohan itu, ramai yang tegar tetapi tidak menyedari tegarnya dan sekian lama mereka memerhati bagaimana saki baki pemimpin tajaan Mahathir masih takut bayang-bayang Mahathir.

Dan Hishamuddin sepatutnya sedar, tidak ada gunanya mempertahankan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains tajaan Mahathir, kerana Mahathir bukanlah orang yang mempunyai jati diri Melayu dan Mahathir bukan orang berguna lagi sekarang.

Satu hal yang Hishamuddin mesti sedar, Pemilihan Agung Umno bulan Mac ini adalah penentu kedudukannya. Jika cita-cita untuk mendapat undi terbanyak menjadi Timbalan Presiden atau Naib Presiden atau Presiden sendiri bergantung kepada berapa ramai perwakilan yang membuktikan 'tidak meluat'. Jika ramai perwakilan yang meluat, impian Hishamuddin akan berubah bentuk.

Apakah Hishamuddin tahu ini?

Hishamuddin sedang tahu ini. Cuma yang mampu beliau menahan gelisahnya ialah kerana sikap pegawai di kementerian, perwakilan dan guru-guru yang terbabit dalam soal ini, beberapa orang lagi yang jadi pengampu dan pembodek beliau, tidak berani lagi jadi 'Jebat'. Mereka masih tunduk macam Pokka tetapi satu hari nanti mereka akan bangkit dan membantah bos mereka. Ketika itulah Hishamuddin akan tersentak.

Ini sudah diketahui ramai orang, termasuk cerdik pandai pejuang bahasa dan pegawai-pegawai Hishamuddin sendiri.

Tulisan ini tidak mahu menghala masalah PPSMI kepada orang lain. Sebenarnya mahu atau tidak dilanjutkan hanya terletak di tangan Hishamuddin tetapi sayang Hishamuddin tidak mahu belajar dari kebodohannya. Kebodohan yang dimaksudkan di sini ialah kerana Hishamuddin masih menganggap Mahathir Perdana Menterinya, bukan Abdullah Badawi. Sedangkan Mahathir tidak punya apa-apa kuasa lagi. Mahathir cuma ingin melihat benih busuk yang ditanamnya dulu akan menjadi masalah kepada orang yang menggantinya.

Mahathir bukan saja menanam buah busuk dalam masalah bahasa, tetapi banyak lagi benih busuk yang ditanamnya kerana dia mahu orang Melayu tidak akan mampu melebihinya dan melebihi dinastinya.

Mahathir bukan tidak tahu dia akan tua, akan lemah, akan nyanyuk dan akan mati. Jadi apa pentingnya dia meninggal sesuatu yang penting atau tidak penting kepada bangsanya. Mahathir orang yang cerdik. Dia sangat yakin, selepas kematian, seseorang itu tidak akan dapat berbuat apa-apa dan orang pun tidak boleh buat apa-apa kepadanya. Di situlah kekebalan sebenarnya. Alangkah baiknya jika Hishamuddin sedar soal ini.

Kita rasa inilah masanya Hishamuddin selaku Menteri Pelajaran bangkit mengisytiharkan dirinya sebagai menteri yang cerdik dan tidak lagi selamanya diperbodoh. Menteri Pelajaran bukan menteri yang berpelajaran tinggi. Menteri Pengajian Tinggi ialah menteri yang berpelajaran tinggi.

Menteri Pelajaran mungkin hanya berpelajaran taraf sekolah rendah.

Hishamuddin perlu membersihkan ini kerana dalam tradisi Pemilihan Agung Umno, perwakilan sering memilih yang tidak cerdik menjadi ketua dan pemimpin. Perwakilan sering memilih yang tamak, yang menipu, yang rasuah, yang hipokrit dan yang honar menjadi pemimpin dan bukan yang telus, jujur atau iklhas dalam perjuangan.

Sekarang sudah ada gerakan senyap yang hendak menafikan Hishamuddin untuk mencapai tahap yang dicalonkan kepadanya hanya kerana satu sebab: Hishamuddin tidak mampu menilai masa lalu untuk menjadi seorang menteri yang bijak, sekurang-kurangnya menjadi Menteri Pengajian Tinggi, bukan menteri sekolah rendah.

Jadilah Menteri yang Cerdik

Hishamuddin sepatutnya sudah lama sedar dari tidur kebodohannya. Sudah berapa kali, sekurang-kurangnya sudah lima kali beliau diperbodoh dengan pencapaian keputusan markah UPSR yang kononnya pencapaian Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mampu dicapai oleh anak-anak Melayu.

Hishamuddin tidak pernah membanding kenapa murid-murid Cina dan India lebih baik dalam Matematik dan Sains dan pelajar Melayu juga kononnya mencapai tahap yang baik?

Hishamuddin tidak pernah bertanya kepada guru-guru sekolah kebangsaan, bagaimana keputusan ujian bulanan dan markah pencapaian buku rekod bulanan pelajaran Sains dan Matematik pelajar Melayu.

Hishamuddin tidak pernah belajar membaca air muka pegawai, guru besar yang hadir mesyuarat bersamanya, apakah tunduk dan yes-yes itu benar-benar ikhlas atau hanya takut kena tukar?

Hishamuddin tidak pernah membuat kaji selidik, apakah pengakuan bagus dan berjaya dari guru-guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris itu, kerana ada elaun tambahan?

Sekiranya Hishamuddin belajar dari apa yang berlaku di persekitaran yang mula dicemari oleh Mahathir ini nescaya akan terlihat betapa pengkhianatan terhadap kedaulatan bahasa sejak 2003 kini terus menjadi keresahan rakyat. Hishamuddin hanya melihat sudut jika belajar dan disungguh-sungguhkan oleh guru, murid-murid akan pandai sedangkan dari sudut hilang maruah bahasa dan bangsanya tidak dilihat.

Hishamuddin tidak pernah berfikir, segala hujah yang dilontar untuk mengukuh alasan kenapa PPSMI sepatutnya menimbulkan pertanyaan; kenapa dan mengapa?

Hishamuddin tidak pernah membaca peristiwa Keranda 152, penubuhan Dewan Bahasa, Kongres Bahasa, Akta Bahasa 1996, Dasar Kebangsaan, nyahnya tulisan Jawi sehingga pelaksanaan PPSMI 2003, bukan dimulakan oleh orang bukan Melayu tetapi pemimpin Melayulah yang sangat tragis membuat onar.

Akibat daripada kejadian onar ini sudah berapa ramai cerdik pandai, intelektual, pakar dan pejuang bahasa menghabiskan masa mengeluarkan hujah, memberi alasan dari sudut budaya, jati diri, tamadun bangsa, hujah kesan pendidikan, hujah perundangan, hujah politik, sejarah dan dibandingkan pula dengan Negara lain. Semuanya kerana memandang akan berlakunya keburukan.

Dan sekali lagi, ia tidak dimulakan oleh orang bukan Melayu, tetapi pemimpin Melayulah yang memulakannya.

Kerana ini kita mengharap Hishamuddin mesti cerdik dalam soal ini kerana pemilihan Umno bulan Mac depan bukan saya menentukan Najib menjadi Presiden parti atau Perdana Menteri, tetapi Hishamuddin juga akan menghadapi penentuan kedudukannya.

Dan Hishamuddin mesti ingat, perwakilan yang hendak memilihnya ialah perwakilan Melayu. Masakan mereka tidak ada secamca darah pun semangat kebahasamelayuan mereka? - azm