Memaparkan catatan dengan label Keranda 152. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keranda 152. Papar semua catatan

Jumaat, 6 Mac 2009

Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata & Maruah Kita

Dipetik daripada Blog Jiwa Rasa, dengan sedikit suntingan.

Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata & Maruah Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 2002. Cetakan pertama 1968, 108 muka surat.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah melalui sejarah yang panjang. Pejuang bahasa sebelum merdeka ialah pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan.

Keranda 152 ialah satu episod daripada rantaian perjuangan meletakkan bahasa Melayu di tempat yang selayaknya. Buku Keranda 152, Bahasa kita, Air Mata & Maruah Kita ialah sebuah buku yang sudah lama saya cari. Buku ini diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 2002. Buku asalnya berupa himpunan tulisan berbentuk stensilan pada tahun 1968.

Kandungan buku ini ialah cetusan hati untuk memperingati ulang tahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967). Buku ini menceritakan detik-detik peristiwa penentangan yang berlaku pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Apa sebenarnya Keranda 152? Keranda 152 merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ialah kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama-sama oleh rakyat berbilang bangsa.

Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya ialah bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil alih tugas bahasa Inggeris yang digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Atas sebab itu, bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan munasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

Keadaan yang berlaku pada tahun 1967 ialah bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan bukan kerajaan (NGO) Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jikalau bahasa anak peribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak digunakan di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan?

Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagai dikhianati oleh para pemimpin yang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan sembilan orang peguam Melayu menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac 1967.

Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan air mata mengenangkan nasib bahasa Melayu:"... saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat ...."

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod dalam sejarah perjuangan bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir.

Peristiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Pada hari ini, di manakah bahasa Melayu? Masihkah di dalam keranda?

Hari Ini dalam Sejarah

Hari ini dalam Sejarah
06/03/2009

Kepada generasi muda yang akan meneruskan perjuangan:

42 tahun dahulu generasi ayahandamu mengusung Keranda 152, maka sekarang anakanda masih menuturkan bahasa moyangdamu.

Bahasa tidak boleh dijual beli. Puspus bahasa, pupuslah bangsa.

- Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan

Jumaat, 13 Februari 2009

Sajak "Malam Itu di Balai Budaya" - Usman Awang

Malam di Balai Budaya

Malam itu di Balai Budaya
Api dan Air Mata

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
‘Berarak ke Parlimen, aku di muka’

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berteriak
‘Ayuh, mari kita berarak’

Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
“Dada kami sedia dibakar’

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA

USMAN AWANG
3 Mac 1967
Dipetik daripada antologi sajak Keranda 152

Rabu, 28 Januari 2009

Sah, Dr. Hassan Ketuai Bantahan PPSMI

Jimadie Shah Othman, Malaysiakini, 8 Januari 2009, 09 5:11pm

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad secara rasmi memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang kini dikenali sebagai Gabungan Mansuhkan PPSMI - yang mengancam mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih - bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program berkenaan, Hasni Abas berkata, Dr. Hassan akan bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa induk gabungan itu.

Menurutnya lagi, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau - yang mengetuai sembilan lagi wakil NGO dan sayap Pemuda parti pembangkang yang bergabung dalam GMP - dengan bekas ketua pengarah DBP itu di Yayasan Karyawan di Damansara tengah hari tadi.

Isnin lalu, Dr. Hassan dilaporkan menyatakan kesediaannya untuk memimpin gabungan itu bagi membantah pelaksanaan PPSMI.Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni berkata, mesyuaratnya dengan Dr. Hassan juga memutuskan untuk melantik sembilan tokoh politik dan bahasa berprofil tinggi bagi menganggotai jawatankuasa induk itu.

Mereka termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa; bekas ketua Pengarah DBP, Datuk Aziz Deraman; tokoh sastera Datuk Dr Anwar Ridwan dan penyair terkenal, Dinsman.

Ditanya tentang tugas pertama Dr. Hassan, Hasni berkata: "Panggil mesyuarat jawatankuasa induk."

Perarakan KerandaJawatankuasa induk yang dibentuk itu merupakan badan utama pembuat keputusan dalam GMP; manakala jawatankuasa pelaksana bertindak menggerakkannya di peringkat bawah.

Hasni yang juga pengerusi Kesatuan Pekerja DBP berkata, jumlah ahli jawatankuasa induk mungkin ditambah daripada masa ke semasa, mengikut keperluannya.

Beliau sebagai pengarah jawatankuasa pelaksana, secara automatik bertindak sebagai setiausaha GMP.

Selain itu, jawatankuasa pelaksana GMP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan gerak kerja lanjut bagi menjayakan perhimpunan besar yang dijadual Mac depan.Selain perhimpunan ala-Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil ) Mac depan, kerajaan juga mungkin berdepan dengan satu "perarakan keranda" Februari ini berhubung isu PPSMI oleh sebuah lagi badan bahasa, Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu - dinamakan Keranda 152 - akan menjadi sebuah lagi tindakan, selain tindakan mahkamah, selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI tidak diendahkan.

Selain NGO Melayu, persatuan pendidikan Cina turut membantah pelaksanaan dasar itu.Lapan NGO itu, yang diketuai Dong Jiou Zong hari ini memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga Mac ini untuk membuat keputusan atau turut menghadapi siri-siri bantahan mereka.
PPSMI: Usung Keranda 152 – Menteri Kata, Teruskan
PPSMI: Kerajaan Tidak Tunduk Ugutan Gapena
Malaysiakini, 8 Januari 2009

Kementerian Pelajaran tidak akan tunduk terhadap sebarang ugutan berhubung pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata menterinya.

"Apa yang perlu gopoh sangat, kerana apa jua keputusan mengenai perkara itu kalau dibuat sekarang pun pelaksanaannya akan dibuat tahun depan juga," Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dipetik berkata hari ini.

Mengulas mengenai desakan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk mengambil tindakan saman terhadap kementerian dan "mengusung keranda" membantah PPSMI, beliau berkata:

"Kalau nak buat apa jua tindakan teruskanlah, tetapi pihak kementerian tetap berpegang dengan agenda bahawa keputusan adalah bergantung kepada pandangan semua pihak bukan hanya pandangan kumpulan tertentu sahaja."

Menurut Bernama, Hishammuddin berkata kementeriannya setakat ini sudah meneliti 22 kertas kajian mengenai dasar tersebut - diperkenalkan sejak 2004 - yang kini sudah berada di peringkat akhir.

"Keputusan kajian ini akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya," katanya.

Selain ugutan Gapena, sekumpulan aktivis bahasa Melayu turut mengancam menganjurkan demonstrasi besar-besaran - dijangka Mac depan - bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu.

Isnin, 26 Januari 2009

Gerakan Anti-PPSMI ke Kuala Terengganu

MalaysiaKini: Gerakan Anti-PPSMI ke Kuala Terengganu
KT medan baru bantah PPSMI
Jimadie Shah Othman Jan 12, 09 1:38pm

Pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu bakal menjadi medan baru pihak yang membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Khamis ini, dua hari sebelum pengundian, Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan ke Kuala Terengganu untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap dasar tersebut kepada BN dan PAS yang sedang berkempen di sana.

"Sempena pilihanraya kecil ini, kita mahu pengundi sedar," kata pengarah jawatankuasa pelaksana bantahan itu, Hasni Abas.

Hari mengundi jatuhnya pada 17 Januari ini.Katanya, memorandum tersebut akan diserahkan kepada PKR, PAS dan Umno untuk mendesak mereka "bersuara dalam Parlimen dan ceramah" di Kuala Terengganu berhubung isu pelaksanaan PPSMI yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu.

Hasni menambah, butiran lanjut mengenai waktu penyerahan memorandum itu akan diputuskan kemudian.GMP - kini dipimpin bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad - dijadual mengadakan perhimpunan besar ala-Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Mac depan jika kerajaan gagal memansuhkan PPSMI.

Selain itu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) turut dilaporkan merancang mengadakan "perarakan keranda" bulan depan - dinamakan Keranda 152 - sebagai simbol kematian bahasa Melayu susulan pelaksanaan dasar kerajaan itu.

Khamis lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan bahawa keputusan kajian pelaksaan PPSMI akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan muktamad.

Ulas kenyataan HishamHishammuddin juga dilaporkan meminta semua pihak supaya "jangan gopoh" kerana sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya akan dilaksanakan pada tahun depan.

Ketika diminta mengulas tersebut, Husni berkata: "Sudah lima kali (persidangan) meja bulat (dibuat). Beliau kena ada wibawa bercakap".

Beliau juga menyifatkan kenyataan Hishamudin itu sebagai sebuah "gimik" dan cubaan "memberi gula-gula" kepada rakyat.

Hasni menyifatkan situasi semasa - apabila pelbagai pihak bangun menyatakan bantahan terbuka terhadap PPSMI - sebagai perkembangan yang bagus.

"Itu menunjukkan rakyat semua kaum sedar pada kebudayaan dan jati diri bangsa," katanya.

Selain NGO Melayu, persatuan pendidik Cina, Dong Jiao Zong turut dilaporkan akan mengadakan sesi bantahan mereka terhadap dasar itu. Kumpulan ini mahukan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.