Memaparkan catatan dengan label Perspektif Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perspektif Sejarah. Papar semua catatan

Selasa, 10 Mac 2009

Hassan SU BBK, Jasa Tun Dr. Mahathir

GMP Ulangi Perarakan Keranda 152, Selamatkan Maruah Bangsa
Murtada Sariati, Harakahdaily, 6 Mac 2009

"Hassan Ahmad menjadi setiausahanya dari tahun 1964-1967. (Dato' Dr Hassan Ahmad sekarang merupakan Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI). "

Walaupun bahasa Melayu mula wujud pada abad pertama Masehi, tetapi selepas 1824 apabila termeterai Perjanjian Inggeris Belanda, bahasa Inggeris mula bertapak di Tanah Melayu.

Pada 1930-an, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu telah timbul apabila Majalah Guru, Mei 1931, memuatkan tulisan yang antara lain menekankan, "jika tiada sekolah Melayu perasaan kebangsaan Melayu yang sangat wajib menjadi semangat atau nyawa kemajuan itu tidak ada bertambah subur seperti yang ada sekarang bahkan semakin bertambah kurang dan hilang."

Dalam Majalah Guru tahun yang sama, seorang penulis lain merakamkan, "sesungguhnya tiada ia (orang Melayu) boleh kasih akan bangsanya jika tiada kasih akan bahasanya."

Menurut Prof. Khoo Kay Kim, sejarah kesedaran sosial tentang bahasa lebih awal daripada kesedaran politik. Begitu juga dengan gerakan menentang Malayan Union yang digerakkan oleh unsur-unsur bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam.

Bahasa Wajib

Pada tahun 1949, seorang ahli Majlis Perundangan Persekutuan, Zainal Abidin Abbas membentangkan usul mendesak kerajaan supaya menjadikan bahasa Melayu, di samping bahasaInggeris, sebagai bahasa yang wajib diajarkan di semua sekolah bantuan kerajaan.

Gerakan memperjuangkan bahasa Melayu diperkukuhkan lagi apabila ASAS 50 telah ditubuhkan pada tahun 1950, bertujuan mengembangkan bahasa Melayu.

Keperluan untuk mengadakan sebuah institusi atau badan yang berkaitan dengan bahasa Melayu telah diutarakan apabila pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3, ekoran itu Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan pada 25 Jun 1956.

Pada tahun 1956 juga Jawatankuasa Pelajaran Razak dibentuk untuk memajukan sistem pendidikan dalam bahasa Melayu. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Fasal 152 Perlembagaan 1957 telah mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Namun begitu, dalam peruntukan fasal tersebut, terdapat klausa yang menyatakan bahawa selepas 10 tahun merdeka kedudukan bahasa Inggeris masih ditentukan oleh Parlimen. Bahasa Inggeris dianggap masih bahasa rasmi selain bahasa Melayu.

Keluar Umno

Pada bulan Disember 1957, Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu (KPGMS) dalam mesyuarat agungnya telah menggesa ahli-ahli mereka keluar daripada Umno sekiranya kerajaan lambat menubuhkan sekolah menengah Melayu.

Oleh kerana tindakan kerajaan agak dingin, KPGMS telah membuat mesyuarat agung luar biasa pada 31 Januari 1958 dan memberi tempoh 15 hari kepada ahli-ahlinya untuk keluar Umno beramai-ramai.

Seramai 10,000 ahli KPGMS telah keluar Umno kerana kerajaan Perikatan ketika itu tidak menghiraukan tuntutan mereka.

Akibat dari tindakan guru-guru tersebut dan juga PAS yang telah menggunakan isu ini dalam pilihan raya 1959, maka Umno kalah di Kelantan dan Terengganu.

Kerana menyedari tentang bahayanya peruntukan Fasal 152 yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris, satu gerakan pejuang bahasa yang besar telah berlaku menjelang tahun 1967.

Hal ini berlaku kerana peruntukan Perlembagaan melalui Fasal 152 yang menyatakan kedudukan bahasa Inggeris ditentukan oleh Parlimen selepas 10 tahun merdeka.

Untuk memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi tunggal, satu badan yang dipanggil Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK), telah dibentuk yang dipengerusikan oleh Tuan Syed Nasir Ismail, pengarah DBP ketika itu, dan Hassan Ahmad menjadi setiausahanya dari tahun 1964-1967. (Dato' Dr Hassan Ahmad sekarang merupakan Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI).

Antara aktiviti BBBK ialah mengecat papan tanda awam yang ditulis dalam bahasa Inggeris pada waktu malam.

Pada 23 Febuari 1967, Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 dikemukakan di Parlimen. Naib Yang Dipertua PAS, Dato' Asri Hj Muda ketika itu telah membahaskan rang undang-undang tersebut, pada 2 Mac 1967, dengan panjang lebar, tentang perlunya bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa Inggeris digugurkan kedudukan rasminya.

Namun begitu Tunku Abdul Rahman Perdana Persekutuan Tanah Melayu ketika itu tidak menghiraukan pandangan yang dikemukakan.

Pada tarikh 2 Mac juga telah berhimpun lebih 2,000 orang Melayu dari 150 pertubuhan bukan kerajaan membantah agar Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 tidak diluluskan.

Mereka berkumpul di Balai Budaya, DBP dan pada 3 Mac kemudiannya, mereka berarak dengan mengusung keranda yang bertulis 152 ke residen Perdana Menteri kerana membantah rang undang-undang tersebut.

Peristiwa ini dikenali peristiwa Keranda 152 kerana membantah kelulusan rang undang-undang tersebut. Namun begitu perarakan ini gagal menuju ke kediaman Tunku Abdul Rahman kerana dihalang oleh polis. Peristiwa ini dirakam oleh Usman Awang melalui Puisi Malam di Balai Budaya.

Selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan cuba mengambil sikap prihatin pada bahasa Melayu apabila menubuhkan universiti yang berpengantar Bahasa Melayu, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970.

"Jasa" Mahathir

Peristiwa malang terhadap bahasa Melayu dan bahasa ibunda ini berulang kembali apabila pada 19 Julai 2002, Dato' Seri Dr Mahathir Muhammad memutuskan supaya pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris dan mula dilaksanakan pada Janurai 2003.

Keputusan yang malang kepada bahasa Melayu dan bahasa ibunda lain ini telah mengakibatkan bahasa Melayu dan bahasa ibunda lain terpinggir daari sistem pendidikan.

Jika pada 3 Mac 1967, seramai 2,000 orang Melayu membawa keranda membantah perlaksanaan akta Bahasa Kebangsaan 1967, maka kini sewajarnya lebih ramai lagi rakyat Malaysia bangkit untuk berhimpun dalam perhimpunan Gerakan Mansuh PPSMI 100,000 orang yang akan diadakan pada 7 Mac, jam 2.00 petang di Istana Negara nanti.

Maka, marilah kita beramai-ramai bersatu dan membantah dasar yang dilaksanakan oleh Umno ini, yang ternyata merosakkan masa depan bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Ini kerana kesan perlaksanaan PPSMI ini lebih dahsyat lagi daripada perlaksanaan akta Bahasa Kebangsaan 1967. _

Ahad, 22 Februari 2009

Akhirnya Kita Kembali Juga Kepadanya

Oleh Dato’ Baha Zain, Desa Kota, 20 Februari 2009 ….
....

Beberapa hari sebelum ini saya ada menyebut dalam blog saya nama beliau dan Tun Daim Zainuddin antara 15 peguam Melayu yang menandatangani memorandum menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) yang masih memberi tempat kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Melayu. Beliau mengesahkannya, malah menyebut nama lain ialah Allahyarham Tun Hussein On, ayah kepada Menteri Pelajaran sekarang. Adalah cukup ironis apabila YB Dato' Hishamuddin, puteranya sendiri kini menjadi sasaran kritikan penulis, cendekiawan , pelajar dan sejumlah ahli politik Melayu (UMNO , PAS, dan PKR) kerana mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris yang tak masuk akal untuk mengajar sains dan matematik kepada budak-budak sekolah.

Sejurus kemudian datang Tun Daim, bekas Menteri Kewangan, dan duduk bersama kami. Beliau bertanyakan khabar tentang bahasa, dan apa saya buat sekarang. Saya mengenali beliau sewaktu dahulu beliau juga turut memberi ceramah pada hujung 60-an menentang bahasa Inggeris untuk dijadikan bahasa rasmi di samping bahasa kebangsaan. Kemudian sewaktu dialog prabelanjawan (prebudget dialog) di Kementerian Kewangan, saya mengemukakan permohonan bagi pihak pengarang agar bayaran royalti dikecualikan daripada cukai pendapatan. Beliau sebagai Menteri Kewangan tanpa banyak cakap meluluskannya.

Seperti biasa Tun Daim berpakaian ringkas dan biasa, dan kami juga menyebut tentang Dr. Kassim Ahmad yang khabarnya kurang sihat sekarang, tetapi aktif membuat kajian tentang agama.Dalam perjalanan pulang saya terfikir apakah pemimpin-pemimpin politik muda hari ini benar-benar insaf akan perjuangan dua tiga dekad yang lalu, terutama usaha Allahyarham Tun Razak mendaulatkan dan memberi maruah kepada bahasa Melayu, dan juga merintis tempat dan asas bertapak yang selesa bagi menteri-menteri Melayu pada hari ini, terutama pemimpin-pemimpin UMNO.

Tidakkah aneh kalau pemimpin-pemimpin yang naik ke atas seperti Tun Mahathir (punca masalah kebahasaan sekarang), Dato' Seri Abdullah Ahmad, Dato Najib, dan Dato Hishamuddin , dan menteri-menteri kabinet Melayu, bersikap tidak peduli langsung terhadap rintihan, rayuan dan suara-suara kuat orang Melayu yang memperjuangkan agar bahasa Melayu dipelihara sebagai bahasa ilmu ? Kenapa? Apakah ertinya "Melayu" itu kepada mereka?

Apakah makna istilah "Melayu" itu pada mereka? Jadi janganlah menyalahkan pengarang, ilmuwan, cendekiawan, aktivis budaya, dan generasi pelajar menunjukkan protesnya kepada pemimpin-pemimpin dan hilang kepercayaan kepada mereka sebagai pembela MELAYU: bahasa Melayu, agama Islam, adat resam dan kebudayaan Melayu ( unsur-unsur dan amalan hidup yang mensyaratkan seseorang itu layak dipanggil Melayu).

Bolehkah sesiapa yang tidak mengutamakan bahasa Melayu, malah meminggirkannya dalam kegiatan penting negara, mengaku dirinya Melayu; dan bercakap atas nama membela Melayu?

Akhirnya izinkan saya mengulangi penutup ucapan Allahyarham Dato' Asri Muda, tokoh PAS yang sangat terkenal , sewaktu menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) di Dewan Parlimen ( Mac, 1967) di depan Perdana Menteri Allahyarham Tunku Abd Rahman:

"Akhirnya , Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik UMNO yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak." (Keranda 152: Bahasa Kita; Aair Mata & Maruah Kita. KL: PLM, 2002, halaman. 20)

Rabu, 11 Februari 2009

UMNO Pengkhianat Bahasa Melayu

Mingguan Wasilah, 27 April – 5 Mei 2008

Pada 27 Julai 1955 Pilihan Raya Umum Persekutuan Tanah Melayu yang Pertama (PRU1) telah diadakan. Maka bermula pada tahun 1955 ini Persekutuan Tanah Melayu mula menjadi negara yang mempunyai pemerintahannya sendiri dan bukan lagi ditadbir dari London.

PRU1 ini membuka jalan kepada usaha untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. PRU1 ini diadakan bagi memilih 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan daripada keseluruhan 98 ahli majlis. Ahli selebihnya dilantik oleh kerajaan British. UMNO yang dahulunya PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) bergabung bersama MCA dan MIC membentuk Parti Perikatan dalam menghadapi PRU ini.

Parti-parti yang bertanding dalam PRU ini selain daripada Perikatan ialah Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS), Persatuan Kebangsaan Perak, Liga Melayu Perak, Parti Progresif Perak (kemudian menjadi Parti Progresif Rakyat), dan juga Parti Buruh.

Dalam PRU1 ini, Perikatan telah membentangkan manifestonya antara lain ialah janji untuk mencapai kemerdekaan dalam tempoh empat tahun. Perikatan juga berjanji akan menubuhkan satu jenis sekolah kebangsaan dan menerusi sekolah kebangsaan ini Perikatan akan memajukan pembangunan kebudayaan, ekonomi, kemasyarakatan dan politik sebagai satu bangsa.

Dengan cara ini Perikatan berharap dapat memenuhi tujuannya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, secara langsung menjadi bahasa pengantar kepada semua pembelajaran ilmu dan bahasa perpaduan bangsa Malaysia.

Sebagai pemimpin Perikatan pada masa itu, Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman Putra dalam Perhimpunan Khas UMNO pada 4 Jun 1955, telah menegaskan bahawa Perikatan telah membuat keputusan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Janji ini telah membawa kepada sokongan besar orang Melayu terhadap UMNO dan Perikatan. Ini adalah kerana pada masa itu, terdapat tuntutan oleh British untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pelajaran. Juga terdapat tuntutan untuk menjadikan bahasa Cina (Kuo Yo) juga sebagai satu daripada bahasa rasmi.

Maka sumpah UMNO untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang diperkukuh melalui janji Perikatan itu telah membawa sokongan tidak berbelah bagi bangsa Melayu kepada UMNO.
Perikatan mendapat kemenangan yang besar dengan memenangi 51 buah kerusi daripada 52 buah kerusi. Perikatan menganggap bahawa semangat untuk mencapai kemerdekaan dalam jiwa orang Melayu membuatkan mereka mendapat sokongan besar.

Namun pada hakikatnya janji Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO tentang kehendak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal dalam 10 tahun telah melonjakkan jiwa dan semangat orang Melayu. Faktor bahasa Melayu ini sebenarnya adalah antara faktor utama kemenangan Perikatan.

Bahasa Melayu adalah jiwa dan roh orang Melayu. Dan UMNO yang membawa roh serta jiwa bangsa Melayu ini sudah tentunya maklum bahawa mereka harus meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa paling utama, kerana di situlah terletak kekuatan bangsa Melayu, sekali gus kekuatan UMNO.

Apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1996 (Pindaan), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan kemudian Akta Lembaga Akreditasi Negara diluluskan pada tahun 1996; maka bahasa Melayu telah dikuburkan secara perlahan-lahan oleh UMNO sendiri.

Secara individu yang bertanggungjawab ialah Mahathir Mohamad; dan Menteri Pelajaran pada ketika itu ialah Najib Razak. Tetapi secara organisasi, UMNO keseluruhannya (ahli-ahli parlimen UMNO) menyokong ketetapan ini. Lanjutan daripada itu, bahasa Inggeris akhirnya menjadi bahasa pengantar utama kepada mata pelajaran sains dan matematik. Begitu juga di IPTA dan IPTS, bahasa Melayu kemudian ditimbus satu demi satu.

Sekarang apabila tiba-tiba UMNO bangun mendabik dada menjadi hulubalang yang memperjuangkan Melayu, lantaran didakwa orang Melayu kini berpecah – tidakkah UMNO sedar bahawa betapa besarnya dosa mereka mengkhianati bahasa Melayu, sekali gus roh dan jiwa bangsa Melayu?

Mengapa hanya sekarang UMNO mencari-cari orang Melayu? Mencari-cari perjuangan Melayu? Mengapakah semasa mereka berkuasa, semasa mereka adalah “dewa” kepada segala-galanya – mereka mengkhianati orang-orang Melayu?

Dosa Mahathir menghancurkan bahasa Melayu tidak akan terampun sampai bila-bila, apatah lagi jika bahasa Melayu tidak akan dapat dipulihkan kembali dan malah terus pupus sama sekali. Mahathir adalah orangnya yang menghancurkan bahasa Melayu. Dan jangan lupa di sini bahawa UMNO adalah wadah dan pangkalan yang membantu Mahathir menghancurkan bahasa Melayu.

Sehingga sekarang pun UMNO tidak menampakkan sebarang keinginan untuk menebus dosa mereka yang menghancurkan bahasa Melayu itu. Ketika Lim Guang Eng, yang dianggap pemimpin kaum Cina itu sering keluar menjawab soalan-soalan wartawan dalam bahasa Melayu, pemimpin-pemimpin UMNO lebih gemar memperlihatkan kefasihan mereka berbahasa Inggeris.

Maka itu seorang teman dari luar negara (Afrika) yang hanya beberapa hari tiba di Malaysia menganggap Lim Guang Eng seorang Melayu, dan tidak pasti Hishamuddin Husin dan Azalina Othman adalah orang Melayu apabila melihat suatu rancangan berita baru-baru ini di televisyen. Saya mengatakan itulah paradoks UMNO.

Siapakah yang memusnahkan bahasa Melayu sehingga anak-anak Melayu tidak tahu lagi apa itu perpuluhan, punca kuasa dua, ganda dua, luluh hawa, lut sinar, kalis air, tuil, takal, kenyal, pepejal, cecair dan banyak lagi istilah matematik dan sains yang telah kina bina dengan begitu susah payah itu. Siapakah yang menghancurkan ini semua? DAP-kah yang menghancurkannya? PAS? PKR? MCA? MIC? Dong Zong? Tidak.

UMNO-lah yang menghancur dan menghapuskan bahasa Melayu. UMNO yang sekarang mengatakan bahawa mereka adalah pembela orang-orang Melayu itulah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dengan menghapuskan bahasa ibunda bangsa Melayu, iaitu bahasa Melayu.

Jika UMNO benar-benar jujur dan ikhlas berjuang untuk bangsa Melayu, maka untuk hari ini satu perkara terlebih dahulu perlu dilakukan oleh mereka – kembalikan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik!

Jika UMNO yang berkuasa sekarang ini tidak mahu mengembalikan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar Sains dan Matematik, maka UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan nasib dan kepentingan orang-orang Melayu. Tetapi hanyalah gerombolan oportunis yang sedang menggadaikan orang-orang Melayu untuk kepentingan mereka sahaja.20 - 26 April 2008

Isnin, 26 Januari 2009

PPSMI: Empat Persoalan yang Mesti Difikirkan

Respons Bantahan PPSMI (Koleksi Ali Bukhari Amir - 1)
PPSMI: Empat Persoalan yang Mesti Difikirkan
Oleh Haji Abdul Rani bin Wahab, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis, 31 Disember 2008 (Harakahdaily, 1 Januari 2009)

Assalamualaikum Wrt. Wbt,

Sejarah menunjukkan bangsa-bangsa besar yang maju mempelajari ilmu dalam bahasa asing tetapi tidak menggunakan bahasa tersebut dalam tamadun mereka.

Penemuan arkeologi menunjukkan Tamadun Indus mendalami ilmu pengetahuan mereka daripada Tamadun Mesopotamia tetapi mereka membangunkan tamadun mereka dengan bahasa mereka. Buktinya ialah penemuan transkripsi tulisan mereka sendiri yang belum boleh dibaca oleh pakar-pakar masa kini.

Ketika tradisi keilmuan Islam berkembang, orang-orang Eropah yang dalam zaman kegelapan pergi ke pusat-pusat keilmuan Islam untuk mendapatkan ilmu. Mereka kembali ke tanah air mereka hingga membawa kepada kemunculan revolusi Eropah. Bangsa Eropah tidak menggunakan bahasa Arab tetapi mereka mengadaptasi mengikut keperluan semasa.

Dalam era moden, Jepun yang tewas kepada Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua menghantar pelajar-pelajarnya untuk menuntut ilmu di Amerika Syarikat. Mereka kembali ke tanah air mereka dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Tidak lama selepas kekalahan itu, mereka datang kembali ke Asia Tenggara, malah ke seluruh dunia dengan kuasa ekonomi yang kuat akibat peningkatan ilmu pengetahuan.

Persoalannya 1: Bahasa Menunjukkan Bangsa

Bagaimana hendak dikatakan bangsa Melayu akan wujud lagi suatu masa nanti kalau bahasanya sudah tiada.

Buktinya surat khabar jawi telah menjadi akhbar sisipan seminggu sekali selepas kira-kira 30 tahun ia ditinggalkan dari arus perdana pendidikan. Kemungkinan senario ini terhadap surat khabar bahasa Melayu akan terjadi tetapi berdasarkan keadaan semasa, tempoh 30 tahun adalah terlalu lewat untuk melihat buktinya.

Persoalan 2: Penghormatan Bangsa Lain Terhadap Orang Melayu

Analogi yang mudah, suatu masa dahulu, ketika sebelum pelaksanaan SPM pensijilan terbuka, pelajar-pelajar bukan Melayu akan cuba meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu kerana keperluan kredit untuk mendapatkan gred 1 ataupun gred 2 dalam SPM.

Tetapi apabila pensijilan terbuka, calon-calon hanya perlu lulus dalam Bahasa Melayu untuk mendapatkan kelulusan dalam SPM. Selain itu mereka juga perlu meningkatkan kemahiran dalam bahasa Melayu untuk menguasai mata pelajaran lain. Siapakah yang berani mengatakan penghormatan itu semakin meningkat pada hari ini?

Persoalan 3: Kaitan dengan Agama Islam

Bahasa jiwa bangsa. Umumnya di Malaysia orang Melayu masih lagi sinonim dengan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan menjelaskan maksud yang hampir sama. Bangsa ini telah terdidik dengan roh Islamnya sejak ratusan tahun dahulu.

Istilah-istilah dalam bahasa Melayu banyak berkaitan dan berasal dari hal-hal keagamaan. Secara tak langsung apabila istilah-istilah tersebut ditinggalkan, lama-kelamaan amalan agama juga turut terjejas.

Buktinya, salah satu elemen penting dalam bahasa Melayu ialah tulisan Jawi. Apabila tulisan jawi tidak digunakan maka banyak istilah agama menjadi tidak tepat sebutan dan maknanya jika ditulis dalam tulisan Rumi.

Persoalan 4: Perbandingan dengan Bangsa Lain

Bangsa lain tidak sedikit pun mau berganjak daripada mempertahankan bahasa mereka. Malahan mereka menggerakkan di setiap ruang yang ada. Mereka pertahankan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah jenis kebangsaan dalam bahasa ibunda mereka.

Mereka usahakan untuk meletak walaupun sepatah perkataan di atas sebatang jalan. Buktinya mereka tegakkan papan tanda dalam bahasa mereka apabila berkuasa walaupun dalam ruang yang terbatas.

Tamat.