Memaparkan catatan dengan label Peribahasa/Perbandingan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peribahasa/Perbandingan. Papar semua catatan

Rabu, 4 Mac 2009

Dengarlah Suara Hati Nurani A. Samad Said

Abdul Shukur Haron Foto Nasir Sudin Harakahdaily Mon Mar 02, 09 11:02:06 am MYT

"Kalau ada calon (dalam pilihan raya nanti) yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak mengundi mereka."

Sukar untuk digambarkan bagaimanakah rupanya manusia atau kumpulan manusia yang dikatakan "bertelinga satu, berlidah dua". Adakah ia manusia atau manusia jadi-jadian? Adakah ia dinasour yang membaham semua yang ada disekelilingnya?

Yang nyata manusia atau pemimpin yang bertelinga satu dan berlidah dua ini sangat hodoh, menakutkan di samping menjadi bahan tertawaan.

Di kampung dulu, saya sering terserempak dengan pelbagai jenis ular - ular sawa, ular tedung, ular senduk dan pelbagai ular lagi. Jenis biawak dan ularlah yang berlidah dua atau lidah bercabang. Dalam konotasi bahasa Melayu, "lidah bercabang" ini mempunyai maksud negatif. Ia seorang yang hipokrit atau berpura-pura, dengan kumpulan ini cakap lain, dengan kumpulan itu cakap lain.

Sementara itu, manusia bertelinga satu memang sukar ditemui. Namun bertelinga satu pun masih boleh mendengar, kalau telinga yang satu itu benar-benar berfungsi.

Kalau yang satu itupun tidak berfungsi, maka ia tidak akan mendengar apapun suara. Saya terkesan dengan frasa ini ketika mengikuti pandangan sahabat lama saya, Sasterawan Negara A. Samad Said dalam wawancaranya yang disiarkan dalam Fikrah, sisipan akhbar Harakah baru-baru ini.

Beliau sangat marah dengan pemimpin yang "bertelinga satu, berlidah dua", ketika merujuk kepada bantahan kerasnya bersama para tokoh bahasa, penulis dan intelektual serta pelbagai NGO terhadap langkah kerajaan meneruskan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris seperti sekarang.

Langkah ini, bagi A. Samad Said, adalah usaha penguncupan bahasa Melayu. Justeru itu dengan nada keras beliau berkata, "Kalau ada calon (dalam pilhian raya nanti) yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak mengundi mereka."

Beliau lalu bertanya, "mengapa kita pilih mereka yang mahu menguncupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan tidak mengundi mereka."

Sasterawan Negara itu menyifatkan pemimpin yang mahu meguncupkan bahasa Melayu sebagai "pemimpin bertelinga satu, berlidah dua".

Saya mengenali A. Samad A. Samad Said sejak lebih empat puluh tahun lalu semasa di Singapura. Sejak di Singapura lagi hinggalah berpindah ke Kuala Lumpur sebagai wartawan dan pengarang akhbar, saya mendapati Sasterawan Negara ini sangat prihatin teradap bahasa Melayu.

Beliau bersama rakan-rakan sasterawan/wartawan yang lain, Kris Mas, A. Samad Ismail, Usman Awang, Asraf Haji Abd Wahab, Prof. Muhamad Haji Saleh dan lain-lain begitu gigih memperjuangkan bahasa Melayu.

Bahkan, untuk puluhan tahun, melalui akhbar yang dipimpinnya serta melalui cerpen, novel dan puisinya, beliau "membelai" bahasa Melayu dengan segala kecintaannya. Kepadanya, bahasa Melayu menjadi pentas untuk dia berkarya, menyampaikan pesan hati nuraninya.

Sasterawan Negara itu begitu banyak membaca karya berbahasa Inggeris di samping mentelaah tafsir Al-Quran, Sejarah Nabi s.a.w., membaca karya Ibnu Khaldun, Al-Farabi, menekuni puisi Iqbal dan lain-lain. Dialah yang memperkenalkan dan mendorong saya dan kawan-kawan penulis membaca karya novelis Barat - Ernest Hemmingway, Joseph Conrad, Honor De Balzac, Leo Tolstoy di samping karya William Shakespeare dan lain-lain.

Malah beliau juga banyak membaca karya pengarang China, India, Latin Amerika dan Arab yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu, sementara pendedahannya kepada karya sasterawan Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer, Chairil Anwar, Iwan Simatupang, Idrus, Mochtar Lubis, Goenawan Muhamad, W.S. Rendra, Taufek Ismail dan lain-lain sangat luas.

Perjuangan Keranda 152

Justeru itu tentu sangat istimewa, seorang sasterawan sepertinya yang sangat luas pembacaannya, khususnya dalam bahasa Inggeris, menjadi salah seorang tokoh pejuang bahasa bahasa Melayu. Justru kerana ia tahu bahawa bahasa Melayu adalah pengucapan hati nurani bangsanya.

A. Samad Said sangat sedar akan tanggungjawabnya mempertahankan bahasa ibundanya walau dalam apa keadaanpun. Justru itu tentulah dia sangat kesal akan nasib bahasa Melayu yang semakin menguncup di tangan pemimpin elit politik yang berkuasa, sedangkan para pejuang bahasa dan rakyat prihatin berhempas pulas sejak puluhan tahun, mempertahankan bahasa ibunda.

Saya dapat mengertikan kekecewaan Sasterawan Negara ini dan temannya yang lain berdepan dengan situasi begini, sedangkan Kongres Bahasa Melayu sudah banyak kali diadakan sejak 1952 lagi. Setiap kali Kongres tersebut diadakan, resolusinya, antara lain, usaha memperkukuh bahasa Melayu, malangnya usaha tersebut terhalang oleh tindakan elit politik.

Lebih tiga puluh tahun lalu di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka, di mana saya turut menyaksikan, bagaimana para pejuang bahasa berkumpul untuk mempertahankan marabat bahasa Melayu yang mulai diabaikan. Mereka mengusung "Keranda 152" sebagai simbolis protes terhadap langkah mminggirkan bahasa Melayu.

Memimpin gerakan ini ialah Tun Syed Nasir Ismail, sementara yang turut hadir di majlis tersebut, antara lain, Kris Mas, Usman Awang, A. Samad Ismail, A. Samad Said, Asraf Abd Wahab, Tan Sri Ismail Hussein, Prof. Zainal Abidin Wahid dan para pejuang bahasa yang lain.

"Keranda 152" ialah simbolis angka dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan kedudukan bahasa Melayu dijamin menurut Peruntukan 152.

Seperti terdengar suara bantahan dan puisi Usman Awang yang dibacakan pada malam bersejarah di Balai Budaya itu.

Enam tahun lalu ketika pemimpin yang berkuasa memutuskan pengajaran sains dan matematik hanya dalam bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda, konon untuk memahirkan pelajar berbahasa Inggeris, para pejuang bahasa dan rakyat prihatin sekali lagi menyatakan bantahan dengan kerasnya. Namun bantahan itu seperti tidak didengar oleh "pemimpin bertelinga satu berlidah dua" seperti kata A. Samad Said.

Bagaimanapun perjuangan ini tetap diteruskan. A. Samad Said tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Tokoh bahasa dan penulis seperti Dato' Dr. Hassan Ahmad, Prof. Ismail Hussein, Prof. Shahril Muhd Zain, Dinsman, Dr. Nik Safiah Karim, Ainon Muhamad, Baha Zain, Hasni Abas, Razali Endon dan ramai lagi maju ke depan bersama meneruskan perjuangan ini.

Yang menariknya, banyak NGO ikut bersimpati dengan perjuangan ini dan berganding bahu dengan GMP (Badan yang menentang pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris).

Satu perhimpunan aman GMP akan diadakan Sabtu 7 Mac ini untuk menghantar memorandum ke Istana Negara, memohon memansuhkan pengarajaran Sains dan Matemathik dalam bahasa Inggeris.

Inilah rangkaian sebuah perjuangan panjang yang disertai oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said. Seperti kata ahli falsafah, "perjuangan tidak pernah sia-sia."

Selasa, 3 Februari 2009

2 Julai 2002, Gapena Risau

Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein, Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)

Disadur daripada ucapan beliau yang dilaporkan dalam Warta GAPENA 2 Julai 2002.

Perubahan dasar bahasa pendidikan secara mendadak memang melahirkan igauan ngeri kepada masyarakat budayawan Melayu khasnya. Hampir tidak ada yang di dalam lapangan yang diketemui, dapat melihatnya secara positif. Ini mudah dimengerti.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pendidikan diperjuangkan untuk puluhan tahun, dan melambangkan kemenangan besar ke atas kolonialisme dan pemikiran atau sikap imigrantisme. Dan untuk puluhan tahun diikhtiarkan pula melengkapinya, dan dari segi itu kesejahteraan bangsa Melayu dan keharmonian bangsa Malaysia dapatlah dihubungkan dengan itu.

Meninggalkan apa yang telah berfungsi, walaupun tidak sesempurna-sempurnanya, di samping memilih alat asing yang berleluasa disangsi akan memberikan manfaat yang lebih daripada apa yang telah dicapai dalam simpang-siur politik dan saingan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang sangat rumit. Ini semua tentulah menimbulkan trauma yang mendalam.

Apalagi ketika kelemahan serta kekecewaan terhadap pencapaian bangsa Melayu didedahkan. Dan segala pendedahan yang dapat kita baca, masalahnya, kelemahan atau kelumpuhan bangsa bukanlah kerana disebabkan oleh isu bahasa sahaja, tetapi lebih banyak sosiologis dan psikologis.

Dalam konteks kelemahan yang mendasar itu, dipaksakan bangsa Melayu dengan satu alat perantaraan serta kebudayaan asing, tentulah akan menambahkan beban dan bukan menyelesaikan.

Kerisauan utama adalah perihal mungkin matinya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, yakni bahasa intelektual dan kebudayaan tinggi di negara, lambang asas keperibadian sekali gus tamadun bangsa. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kepada Matematik dan Sains akan pasti menyebar ke ilmu-ilmu yang lain, dan akhirnya meminggirkan bahasa Melayu, juga tentunya di universiti. Dengan ini dikhuatiri akan timbul keadaan “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”.

Dan ini juga pasti melemahkan penulisan buku-buku ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, dan dapat mematikan daya kreatif sastera. Bahasa Melayu dikhuatiri merosot menjadi bahasa komunikasi tahap rendah. Perkembangan minda sebahagian penting bangsa Melayu akan terbantut. Ini juga menghilangkan peluang masyarakat terbanyak bagi mendidikkan diri sepanjang hayat.

Sesungguhnya bahasa Melayu sudah cukup berjaya dibina di pengajian tinggi, termasuk dalam bidang sains, yang menghasilkan ribuan tenaga manusia dan biaya kerajaan yang banyak sejak tahun 1960-an, yakni dari segi peristilahan dan buku-buku teks, pembinaan guru-guru, termasuk yang mahir mengajar matematik dan sains. Tenaga yang dicurahkan oleh semua pihak, termasuk DBP, juga sangat luar biasa, termasuk ikhtiar DBP dalam mencipta peristilahan, mengkoordinasikan perkembangan bahasa Melayu pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Dari segi keperluan bahasa Inggeris tidak ada yang menyanggah. GAPENA sendiri dalam kenyataan rasminya memperakukan perlunya penguasaan bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam kalangan pelajar dan masyarakat Melayu. Yang dipersoalkan adalah cara serta implikasi daripada cara ini. Implikasi cara yang telah dicadangkan sangat tinggi risikonya.

Kerisauan kita tertumpu kepada keberkesanan cara ini ke atas majoriti pelajar Melayu di luar bandar. Banyak melihat penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajarkan kedua-dua mata pelajaran itu tidak akan menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar, kerana masalah yang sebenarnya berkaitan dengan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri.
Antaranya adalah masalah kaedah pengajaran, kesesuaian sukatan pelajaran, keterampilan guru, kesempurnaan prasarana seperti makmal bahasa dan motivasi pada pelajar sendiri.

Hakikatnya adalah bahawa bukan semua pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris, malah ramai yang cemerlang dan fasih menguasai bahasa Inggeris, membuktikan bahawa isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar itu bukanlah masalah yang menyeluruh. Oleh kerana itu penyelesaiannya pun mesti bersifat khusus, iaitu dengan meningkatkan mutu pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri.

Lagipun timbul tanda tanya, apakah yang hendak diajarkan itu, bahasa Inggeris atau ilmu matematik dan sains? Jikalau bahasa Inggeris, lebih baiklah pelajar itu diajari bahasa Inggeris melalui cara yang biasa. Umpamanya, melalui pengajaran nahu bahasa Inggeris, melalui pembacaan teks-teks umum dalam bahasa itu, iaitu melalui teks sastera, esei dan sebagainya. Yang penting, kaedahnya mesti betul.

Guru bahasa Inggeris mesti cukup terlatih, kemudahan dan suasana belajar bahasa Inggeris di sekolah mesti cukup dan dapat menggalakkan dan mendorong minat pelajar.

Bahasa tidak menentukan fikiran (ilmu dan lain-lain) pada manusia. Yang menentukan bahasa ialah fikiran atau ilmu manusia. Dan semua manusia dijadikan Tuhan dengan kebolehan kognitif yang sama.

Pada kita kerisauan yang cukup penting, yang jarang disentuh oleh banyak penganalisis, ialah perang psikologi yang kini terpaksa diulangi lagi. Pada minggu-minggu pertama rancangan diumumkan, bertentangan cakap lisan, bahawa ada guru-guru yang atas inisiatifnya sendiri menukarkan bahasa pengantar dalam bilik darjah mereka. Ini menimbulkan kebingungan dalam kalangan sebahagian murid-muridnya.

Terdengar juga berita dan sebuah bandar besar di utara, yang sepanduk-sepanduk baru yang direntangkan di jalan, hanya menggunakan bahasa Inggeris dam Cina, manakala Bahasa Kebangsaan dipinggirkan sama sekali.

Sementara itu pengambilan mahasiswa baru di Fakulti Perubatan sebuah universiti terkemuka merakamkan bilangan Melayu yang sangat kecil. Benar atau tidak berita tersebut, semua ini merupakan kemungkinan yang sangat nyata dalam era baru ini.

Pada mereka yang telah menyaksikan sikap-sikap anti kebangsaan pada zaman kolonial dan awal kemerdekaan, tentulah merasa ngeri memikirkan akan tindak balas hebat yang lambat laun akan menyusul. Bahasa dan kebudayaan Melayu sebenarnya terletak di tempat yang terhormat di negaranya selama mi, bukanlah terjadi secara automatik, tetapi adalah hasil perjuangan yang panjang dalam menukarkan psikologi masyarakat pelbagai kaum di negara.

Kita memang selalu dijamin oleh Kerajaan dan pucuk pimpinan yang Bahasa dan Kebudayaan Melayu tidak akan tercicir dalam proses yang diambil, kerana kuasa politik adalah di dalam tangan kita sendiri. Tetapi apa yang dapat dilihat dengan mata kasar, landasan bagi mempertahankannya tidak meyakinkan, dan nampaknya kita tetap terbuka kepada cabaran-cabaran yang sangat ditakuti di dalam proses-proses ini.

Demikianlah igauan ngeri kelompok budayawan serta kelompok-kelompok yang prihatin terhadap kelanjutan citra dan tamadun Melayu.

Harapan kita supaya Pemuda dan Puteri UMNO akan menjadi penjaga atau mata-mata dalam revolusi mendatang. Mereka perlu meneliti kesan-kesan yang tidak menguntungkan dan sekali gus bertindak terhadap kepincangan yang mungkin timbul.

Isnin, 26 Januari 2009

Bahasa Melayu Melawan Balik

PPSMI: BAHASA MELAYU MELAWAN BALIK
Oleh Baha Zain

Isu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di sekolah mengelirukan ramai rakyat jelata. Cendekiawan, pencinta dan pejuang bahasa terus meningkatkan kritikannya dan sekarang telah merebak dalam kalangan generasi muda, penulis dan mahasiswa.

Promoter bahasa Inggeris sedang memperluas propagandanya untuk mempengaruhi fikiran dan sikap rakyat dengan berceramah di sana sini, dan menggunakan RTM dan media supaya bahasa Inggeris terus dikekalkan dalam Sains dan Matematik sehingga memfitnah bahawa mereka yang membangkang menentang ilmu dan bahasa ilmu (Inggeris).

Buat apalah kelirukan rakyat yang tidak berdosa kerana tidak ada sesiapa yang begitu bebal menentang bahasa Inggeris. Apa yang ditentang menggunakannya sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah kerana penggunaan bahasa Melayu telah terbukti sangat-sangat berjaya selama ini menanamkan ilmu pengetahuan kepada berjuta pelajar hingga ada yang menjadi pensyarah serta Professor yang bukan sedikit jumlahnya.

Kerana ada seorang yang mengigau, jutaan orang disusahkan. Ini semua menjadi beban kepada Barisan Nasional yang merosot teruk sokongan terhadapnya pada PRU 2008, sehingga 5 negeri jatuh ke tangan PKR. Takkanlah kerajaan BN hendak tambah lagi kesulitan bagi menghadapi waktu tiga empat tahun ini dengan kemelut yang tak menentu dalam ekonomi, perpecahan dalaman parti, krisis kepercayaan, protes ISA, politik wang , rasuah, dan inflasi. Kata orang "the centre is breaking".

Tidak semua orang di Malaysia ini suka nak masuk campur persaingan politik. Rakyat hendakkan kestabilan supaya aman dan senang mencari nafkah. Bukan kestabilan ekonomi saja, tetapi kestabilan pertumbuhan kebudayaan kerana hidup ini bukan untuk perut yang lapar saja, tetapi harus ada maruah, harga diri, maruah bangsa, dan siapa kita dalam hubungan dengan siapa yang lain.

Bahasa Melayu itu memberi takrifan siapa dia Melayu-Islam di Malaysia ini, dan bahasa kebangsaan bagi sesiapa yang menjadi warganegara Malaysia.

Seorang penyair dan pemikir Jerman Johann Gottfried Herder (1744-1803) pernah berkata tentang bahasa ibunda dalam tulisannya, "A True Poet Must Write in His Own Language.": "It was the first language impressed on us, and that in our tenderest years, when through the medium of words we absorbed the world of ideas and images, which become a treasure house for the poet. In his mother tongue, therefore, he must be able to reflect with extreme facility and find expressions and the wealth of images and colours which are indispensible to the poet; here he must find the thunderbolts and lightening flashes which he hurls as the envoy of gods. Our mode of thinking is, as it were,implanted in it, and our soul and ear and organs of speech are moulded in it. In what medium then shall I be better able to express myself than in my mother tongue?" (Classical Readings from German Literature, 1969 , hal.45).

Tegasnya dia berkata, bahasa , puisi, dan pemikiran pada dasarnya bersatu, dan dengan sifatnya demikian tak boleh dipisahkan. Bahasa bukan saja alat perhubungan, dan untuk mengucapkan fikiran, tetapi dengan daya kuasanya sebagai bahasa ibunda, membentuk fikiran dan perasaan.

Professor dan penyair Filipina, Gemino H. Abad pula menyatakan,"The common usage of language is the common living of people speaking and thinking in that language in their own place and time. Language is the community of living , and so, it is never static; a people or a culture dies with its own language" (In Ordinary Time, hal. 165).

Pengarang dan penyair tulen yang menulis dari lubuk perasaan dan hati untuk mengucapkan sanubari dan fikirannya tak mungkin menulis dengan bahasa lain, selain bahasa yang telah menjadi tanah dan watan rohaninya sejak menyusu di tetek ibunya. Bahasa yang berkata dalam mimpi, dalam angan-angan, dendam dan murkanya. Dia juga akan melawan balik dengan bahasanya sebagaimana yang ditunjukkan oleh penyair muda Nassury Ibrahim:

SELOKA NASIB MELAYU

Aduhai malang nasibmu Melayudagang lalu disangka walirupanya dagang mencari pitisada tanah dilaburkananak sendiri hidup menumpangada bahasa dibuang-buangkanbahasa penjajah juga dipandangkerana anak lemah Inggerisseluruh ilmu hendak diinggeriskanaduhai malang nasibmu Melayuada pemimpin asyik bersengketahidup rakyat tidak terbelaorang lain berjalan lurusengkau berjalan bengkang-bengkokaduhai malang nasibmu Melayubahasa orang diwajibkan di universitibahasa sendiri kurang dipercayai24 Jun 2002 (Tersiar dalam, Dewan Sastera, Julai 2002)

Kiriman: 24 November 2008 di http://bahazain.blogspot.com/ (disunting).

PPSMI dari Sudut Pandangan Prof. Dr. Awang Sariyan

ISU BAHASA DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA:PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS
oleh: Prof. Dr. Awang Sariyan
Posted by Muhd Afiq March 4, 2008

Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baharu (yang tidak berdasarkan pindaan Akta Pendidikan) yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. - Prof Dr Awang Sariyan.

Tatkala negara maju lain sedang berusaha memartabatkan bahasa masing- masing, kita menemukan formula songsang untuk memartabatkan bahasa kita sendiri. Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik merupakan malapetaka besar yang melanda peradaban Melayu.

Bapa kepada Adi Putra suatu ketika menitiskan air mata kerana sedih bahasa Melayu diabaikan dalam Sains dan Matematik. Adi Putra, manusia genius berumur enam tahun umat Melayu menggemparkan negara apabila mampu untuk menghasilkan formula dan menyelesaikan masalah matematik peringkat universiti.

Bapanya mengatakan, Adi Putra menguasai matematik di peringkat muda itu bermula dengan belajar matematik dalam Bahasa Melayu, kemudian sahaja Adi Putra belajar melalui Bahasa Inggeris. Nah, terbukti Bahasa Melayu masih perkasa untuk memberdaya akal Adi Putra untuk memahami sekali gus membuat kejutan dalam matematik.

LATAR BELAKANG

Pada tahun 1993, Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan teknologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris. Keputusannya itu bertentangan dengan pendiriannya pada awal tahun 1970-an ketika menjadi Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia, yang dengan tegas menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa penghantar utama untuk semua kursus di universiti.

Pada waktu itu, kumpulan-kumpulan cendekiawan yang faham dan masih kental semangat kebangsaannya mengadakan pertemuan demi pertemuan dan gerakan menasihati kerajaan agar tidak melaksanakan keputusan Perdana Menteri.

Sebahagian besar memorandum, resolusi dan pernyataan serta makalah yang membantah keputusan telah diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1996 dalam buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, dengan Allahyarham Asraf sebagai editornya. Kebetulan ketika itu masih ada tenaga unggul dalam kepemimpinan negara yang menjadi penaung kepada gerakan kebangsaan sehingga akhirnya keputusan itu senyap begitu sahaja.

Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003.

Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru (yang tidak pula berdasarkan pindaan Akta Pendidikan) yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun.

Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (kini Tun Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk melaksanakan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian.

Kemudian apabila kerajaan mendapati perlunya sistem pendidikan yang menekankan aspek manusiawi, maka Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran ketika itu membuat kajian dan menerbitkan kajian itu pada tahun 1979. Sebagai hasil rumusan dan syor jawatankuasa tersebut, dirancang pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Ternyata bahawa permulaan pelaksanaan dasar dan sistem baru itu mengambil waktu lapan tahun kerana hanya dilaksanakan pada tahun 1988.

DASAR YANG MENIMBULKAN TANDA TANYA

Setelah terlaksana Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama selama kira-kira 30 tahun, dengan kejayaan melahirkan tidak kurang 5.4 juta lepasan di peringkat SPM yang sebahagiannya kemudian melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dilakukan perubahan yang cukup drastik.

Sudah ada ribuan profesor dan ahli akademik dalam pelbagai bidang yang lahir daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Sudah banyak ahli profesional dalam pelbagai bidang yang juga lahir daripada sistem pendidikan negara yang berteraskan bahasa kebangsaan. Adakah Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah gagal? Jika benar, manakah kajian yang dijalankan yang membuktikan kegagalan itu?

Selain tiada kajian yang dijalankan tentang Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan, dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama, tiada juga kajian yang dilakukan untuk melaksanakan dasar baharu penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sains dan matematik. Tiada perundingan yang dilakukan dengan pakar-pakar pendidikan, ahli-ahli bahasa dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Barangkali ada perundingan dengan pihak tertentu secara eksklusif yang tidak diketahui dengan pasti siapa dan apa inti pati perundingan itu, sedang bidang pendidikan merupakan bidang yang menentukan nasib semua rakyat. Bahkan tiada sama sekali dilakukan cuba uji melalui projek rintis di sejumlah sekolah seperti yang lazimnya dilakukan dalam pelaksanaan mana-mana sistem yang baharu.

Seminar, forum, dialog, memorandum dan pernyataan media yang mengemukakan bantahan atau sekurang-kurangnya permintaan agar ditangguhkan pelaksanaan dasar baharu itu hampir-hampir tidak diendahkan. Persatuan Linguistik Malaysia, misalnya, banyak menganjurkan forum, perbincangan, penyediaan memorandum, surat dan pernyataan media tentang isu tersebut tetapi tidak tampak reaksi dan respons yang positif daripada pihak berkuasa. Pertemuan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Perdana Menteri pada waktu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya yang kini menjadi Perdana Menteri pada tahun 2002, dan juga pertemuan Kumpulan Prihatin dengan Perdana Menteri baru pada tahun 2005, di samping beberapa pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan beberapa orang pemimpin lain tampaknya tidak menyebabkan sebarang perubahan dalam pelaksanaan dasar tersebut.

Resolusi Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 26 – 27 Mac 2005 yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pun dipandang sepi. Malah beberapa hari sesudah tamat kongres itu, Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan bahawa dasar itu diteruskan, walaupun dalam ucapan penutupan kongres beliau berjanji bahawa kerajaan akan membuat kajian yang mendalam untuk menimbangkan keputusan meneruskan atau menangguhkan dasar baharu itu.

Sejarah baharu telah berlaku di negara ini sekali lagi apabila “kajian mendalam” selesai dalam tempoh hanya tiga hari! Yang bangkit bersuara orang-orang yang sama, yang telah dianggap fanatik, ekstrem, jumud dan pernah didakwa pengkhianat, kerana kononnya menghalang anak bangsa menjadi pandai dan menghalang anak bangsa menguasai bahasa asing – suatu fitnah besar yang dilontarkan kepada para pejuang bahasa sebagai usaha menutup isu yang sebenarnya.

Tiada seorang pun pejuang bahasa yang menafikan pentingnya penguasaan bahasa asing, malah mereka menyokong apa-apa langkah meningkatkan penguasaan bahasa yang dapat membantu kemajuan bangsa dan negara.

Isu yang dibangkitkan ialah peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahas ilmu dalam proses peningkatan penguasaan bahasa asing – hal yang tidak wajar berlaku kerana maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan tonggak tamadun bangsa tidak patut digadaikan atas alasan apa pun. Apabila Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Siri Bicara Bahasa (siri 1 - 20) sebagai wadah membahaskan isu tersebut, ada arahan lisan yang “mengharamkan” terbitan itu daripada diedarkan.

IMPLIKASI KEPADA BANGSA DAN NEGARA

Beberapa kajian ilmiah di peringkat sarjana dan kajian institusi serta individu tertentu menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar baharu itu telah menunjukkan tanda awal bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, terutama oleh anak-anak di luar bandar yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing.

Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan ketidaksediaan pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kenyataan tersebut tergambar pada dapat kajian bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Kajian DBP-UKM pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar sains dan matematik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5% (untuk matematik).

Yang lebih malang lagi, kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris), peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% malahan gagal (mendapat gred E). Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu barangkali disebabkan kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut pelaksanaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik.

Pihak yang sangat penting dalam pelaksanaan dasar tersebut, iaitu guru sendiri menghadapi masalah yang amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran sains dan matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970. Dengan pelaksanaan dasar tersebut secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah pengajaran yang dihadapi oleh guru-guru. Kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM pada tahun 2004 di 242 buah sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak mempunyai kesediaan untuk mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hanya 54.7% guru sains dan 62.2% guru matematik yang mampu menerangkan konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Satu kajian lain yang dijalankan pada tahun 2004 dengan jelas menunjukkan bahawa 81% guru mahu sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, 72% mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam sains da matematik akan lebih cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79% berpendapat bahawa pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata pelajaran itu diajarkan dalam bahasa Melayu.

Jelas bahawa proses pengajaran dan pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat mencapai hasrat untuk meningkatkan pelajar kita dalam bidang-bidang tersebut, malah sebaliknya menurunkan penguasaan mereka dalam bidang-bidang berkenaan. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan dasar baharu ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau tidak cemerlang pencapaiannya dalam sains dan matematik dan fenomena ini melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.

Dari segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baharu ini akan menggoncang kestabilan sosial dan politik negara, disebabkan akan wujud ketidakseimbangan pencapaian akademik yang akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat. Usaha kerajaan untuk menyeimbangkan pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan, dan seterusnya dalam bidang profesional akan terjejas dengan teruknya dan keyakinan orang Melayu kepada pemimpin dan parti teras pemerintah negara, iaitu UMNO akan merosot atau hilang. Kehilangan keyakinan itu akan melemahkan kekuatan politik Melayu yang diharapkan dapat menjamin keutuhan bangsa apabila, misalnya pengundi Melayu sendiri mengalihkan sokongan mereka kepada parti lain sebagai tanda protes.

Sekali lagi pemimpin kita cukup bertolak ansur apabila sekolah kebangsaan diwajibkan mematuhi arahan dasar baru tetapi pada waktu yang sama sekolah jenis kebangsaan diberi izin meneruskan penggunaan bahasa ibunda (di samping bahasa Inggeris) untuk mengajarkan sains dan matematik.

Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang memang ditubuhkan untuk memajukan bahasa kebangsaan, menjelang pelaksanaan dasar baru itu telah dilarang menerbitkan buku teks pilihan dalam bahasa Melayu bagi sains dan matematik untuk kepentingan anak-anak Melayu di luar bandar. Mulia sungguh hati budi pemimpin Melayu!

Kini peribahasa “lulus jarum luluslah kelindan” sudah mula berlaku di Institusi Pengajian Tinggi Awam apabila semua universiti kerajaan telah mula melaksanakan dasar ke arah pengajaran subjek sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, sebagai suatu kelanjutan logis daripada dasar yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Universiti tiada pilihan lain kerana pelanggan yang diterima merupakan mereka yang telah dilatih dalam bahasa Inggeris. Yang menghairankan ialah bahawa apabila Naib Canselor Universiti Putra Malaysia membuat pengumuman pada sekitar bulan Ogos 2004 bahawa universiti itu akan melaksanakan pengajaran dalam bahasa Inggeris bagi kursus-kursus sains dan teknologi, Timbalan Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan bahawa langkah itu bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Dalam akhbar sekitar bulan Jun atau Julai 2005, tersiar pula dalam akhbar teguran kepada universiti awam yang lewat melaksanakan pengajaran kursus sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris. Apakah ertinya semua ini? Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan sebagai mercu tanda Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, menurut sumber dalaman, telah sedia untuk melaksanakan dasar baru itu.

Akhirnya, kita akan menyaksikan kesan-kesan yang berikut daripada penarikan semula dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama:

1. AKIBAT KEPADA BAHASA MELAYU

Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta yang telah mencecah hampir satu juta untuk ratusan bidang ilmu, termasuk ilmu terkini seperti aeroangkasa, dengan pelibatan beratus-ratus pakar bidang ilmu, tidak akan digunakan dan istilah baru tidak akan dicipta lagi. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

Amatlah mencemaskan bahawa pada satu waktu kelak bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar bagi kira-kira 20% sahaja, iaitu bagi mata pelajaran yang bukan tergolong dalam sains dan teknologi. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran sahaja. Hakikatnya jauh berbeda. Yang berikut ini ialah unjuran yang dapat dirumuskan daripada perancangan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran:

• Sekolah Rendah:
BM 60%; BI 40%

• Sekolah Menengah:
Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%
Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%
Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%
Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%
Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%
Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%
SPM: BM 29%; BI 71%
Tingkatan 6 Sastera: BM 60%; BI 40%
Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi: BM 20%; BI 80%

• Peringkat Universiti:
BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI: Semua kursus lain
(Catatan: Malah ada kursus sastera di universiti tertentu yang diwajibkan dikuliahkan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.)

2. AKIBAT KEPADA PELAJAR-PELAJAR MELAYU

Kesannya kepada pelajar, terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdialog, berdebat dan memberikan gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan.

Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-mana pun alat teknologi mampu menggantikan guru di bilik darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang tidak, atau sekurang-kurangnya belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, “Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh ‘Dicuba-cuba’”.

3. AKIBAT KEPADA MEDIA MASSA BERBAHASA MELAYU

Tahun 60-an dulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Akibatnya, hari ini ramai orang Melayu yang buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu dulu menjadi lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Kini Utusan Melayu dalam keadaan nazak, tidak lagi mampu menjadi wadah pemikiran dan penyatuan umat Melayu.

Inilah yang akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya. Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa Melayu.

Bolehkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya? Lihat saja Utusan Melayu. Itulah gambaran masa depan akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Pada hari ini pun, di negara Malaysia yang kita cintai ini, edaran akhbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa penghantar 80% mata pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris.

3. AKIBAT POLITIK KEPADA ORANG MELAYU DAN UMNO

Kemerosotan kedudukan bahasa Melayu, kelemahan pelajar Melayu menguasai ilmu-ilmu sains, teknologi dan matematik serta kemerosotan akhbar Melayu akan membawa padah politik yang cukup menggerunkan bagi UMNO dan umat Melayu. Bagaimanakah UMNO mahu mempengaruhi orang Melayu kalau akhbar arus perdana Melayu nanti sudah seperti Utusan Melayu hari ini – amat tipis, terbit hanya seminggu sekali, kecil jumlah edarannya dan tidak lagi berupaya menggembleng pemikiran orang Melayu?

Dengan serangan globalisasi dan masuknya pelbagai aliran fahaman Islam dari luar, pandangan dan pegangan hidup umat Melayu pastinya akan bertambah rencam dan berserpihan. Dan pada waktu itu alat yang ampuh untuk mempersatukan pemikiran mereka, iaitu bahasa, sudah tidak bertenaga lagi untuk berbuat demikian.

Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa penghantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa durjana kepada bangsa Melayu. Inilah akibatnya apabila kita melompat sebelum berfikir panjang.

SESAT DI HUJUNG JALAN BALIK KE PANGKAL JALAN

Pihak yang mendakwa dirinya kritis sering bertanya: Apakah penyelesaian terhadap masalah yang ditimbulkan oleh pejuang-pejuang kebangsaan itu? Sebenarnya masalah yang sedang kita hadapi ini merupakan hasil ciptaan kita sendiri. Lain yang luka lain yang dibebat.

Kita sudah mempunyai Dasar Pendidikan yang telah terbukti mantap. Ini tidak bermakna bahawa pelaksanaan dasar ini tidak mengalami masalah. Terdapat masalah mutu pendidikan sekolah kebangsaan, terdapat kelemahan disiplin, masih tidak cukup ruang untuk membuka minda pelajar menjadi kreatif dan dalam konteks isu yang sedang kita bincangkan ini, terdapat kelemahan yang ketara dalam hal penguasaan sejumlah pelajar dalam bahasa Inggeris.

Cara menyelesaikan masalah ini ialah dengan menentukan fokus dan membuat diagnosis yang betul. Kita harus memfokuskan perhatian untuk menyelesaikan masalah ini, bukan mengundang masalah baru dengan mencipta kaedah yang belum teruji di mana-mana pun. Antara yang perlu difikirkan dan disusuli dengan tindakan oleh kerajaan dalam menangani masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar termasuklah:

1. Dalam hubungan dengan isu yang sedang dibicarakan ini kita harus memfokuskan perhatian kepada masalah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di sekolah dengan menggunakan kaedah yang lebih kemas kini dan berkesan dan memberikan latihan yang sempurna kepada guru bahasa Inggeris. Hampir semua negeri di negara ini masih menghadapi kekurangan guru bahasa Inggeris yang terlatih. Sering dibangkitkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris sebahagian daripada guru bahasa Inggeris itu sendiri tidak memuaskan.

2. Mungkinkah pengajaran bahasa dijalankan dengan sempurna dalam kelas yang melebihi 40 orang, terutama pada peringkat darjah satu? Di negara yang maju, jumlah pelajar setiap kelas di sekolah rendah kecil sekali sehingga tidak sukar bagi guru mengawal kelas dan memberikan perhatian kepada setiap pelajarnya.

3. Di Amerika, tempat terdapatnya ramai pelajar berbahasa ibunda asing, bahasa Inggeris diajarkan secara tuisyen, satu pelajar satu guru bagi pelajar yang lemah. Kita mesti mengkaji dan menggunakan kaedah yang telah terbukti berkesan di tempat lain.

4. Prasarana pendidikan yang memungkinkan proses pengajaran dan pemelajaran berlangsung dengan berkesan perlu diberi perhatian utama. Makmal bahasa, bekalan elektrik, bahan pengajaran dan pemelajaran bercetak dan elektronik dan yang lain-lain perlu segera dilengkapkan. Jurang kemudahan antara sekolah di bandar dengan sekolah di luar bandar perlu dikambus segera.

5. Mengadakan kursus bahasa Inggeris untuk keperluan khusus kepada lepasan sekolah dan universiti sebagai peneguhan penguasaan bahasa Inggeris untuk alam pekerjaan.

DOA DAN HARAPAN

Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tidak ada insan, kecuali nabi dan rasul, yang tidak berbuat silap. Kini waktunya kita semua merapatkan barisan untuk meneguhkan sikap dan perjuangan mempertahankan asas-asas kebangsaan dan kenegaraan, termasuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Segala pandangan para pejuang bahasa perlu direnung dengan saksama dan dengan berlapang dada. Mereka bukan musuh negara. Mereka bukan pengkhianat bangsa. Selama mereka masih mahu bersuara untuk memberitahukan yang benar, maka eloklah pandangan itu dinilai dengan bijaksana.

Mereka sekadar memperjuangkan dasar negara yang sama-sama dibina dan diterima sejak sebelum kemerdekaan dan kemudian menjadi asas kenegaraan. Yang ada pada mereka hanya suara, bukan kuasa. Maka bersuaralah mereka; selaras juga dengan sabda Nabi bahawa baikilah sesuatu keadaan yang tidak betul dengan tiga cara – tangan, lidah dan hati.

Bersama-samalah kita terus berusaha dan berdoa semoga landasan kenegaraan yang telah diasaskan oleh para pemimpin terdahulu tidak dipinda dan dirobah tanpa berfikir panjang. Usahlah terjadi ”Yang dikendong tak dapat, yang dikejar berciciran”.

Berpadalah sudah kita dengan kerugian yang telah ditanggung oleh bangsa oleh baiknya dan mulianya hati kita melayan kehendak orang. Kepada Allah jua kita memohon pertolongan agar perjuangan kita diredai dan diberkati-Nya.

PPSMI: Lawan Berterusan dan Berhabis-habisan

Respons Bantahan PPSMI (Koleksi Ali Bukhari Amir - 2)
PPSMI: Lawan Berterusan dan Berhabis-habisan
Oleh Hashim Othaman, PPBMM (Harakahdaily, 2 Januari 2009)

Tidaklah dapat hendak dibayangkan malangnya nasib bahasa Melayu apabila bahasa Inggeris dibenarkan mendominasi pengajaran dan pembelajaran bidang Sains, Matematik dan teknologi dalam sistem pendidikan di negara kita.

Akhirnya, bahasa Melayu akan kehilangan maruah dan martabat, nilai ekonomi serta peranan sebagai pembentuk jati diri warga di negaranya sendiri.

Dengan bilangan penuturnya hampir 300 juta, segala usaha pemimpin yang mendahului kita untuk membina tamadun dan menjadi bangsa besar dan bermaruah akan terkubur apabila bahasa kita sendiri tidak diyakini dapat memainkan peranan alat komunikasi dan alat menimba dan menyebarkan ilmu.

Tidak ada cara lain bagi meneruskan perjuangan untuk menjadi bangsa besar dan bermaruah dengan memanfaatkan semua aspek yang dianugerahi oleh Allah kepada sesuatu bangsa (termasuk bahasa), kecuali menentang dasar PPSMI ini secara berterusan dan berhabis-habisan oleh pejuang dan pencinta bahasa Melayu.

Kini sudah tiba masanya kita (pejuang dan pencinta bahasa Melayu) bersatu bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama semua bidang ilmu dalam sistem pendidikan (dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti).

Inilah masanya perjuangan Gapena dan badan-badan bukan kerajaan lain yang membantah dasar PPSMI disokong seluruhnya.

Di samping semua usaha digerakkan untuk menentang penerusan dasar PPSMI, iaitu melalui luahan perasaan, bantahan, saluran perundangan serta penggunaan kuasa undi dalam pilihan raya, saya mencadangkan setiap insan Melayu yang prihatin dengan bangsa dan bahasanya; yang bimbang dengan bencana keruntuhan jati diri yang bakal ditimpakan ekoran dasar PPSMI; dan yang mengharapkan kehidupan sejahtera sebagai satu bangsa bermaruah, untuk bersolat hajat bersama-sama di seluruh negara pada satu waktu yang sama (misalnya pada setiap malam Jumaat awal bulan Hijrah) bagi memohon pertolongan Allah Subhanahu Wata’ala.

Setelah kita telah berusaha sekuat tenaga berjuang menolak dasar PPSMI tetapi pihak yang memegang kuasa masih berdegil dengan pendirian mereka atas alasan tertentu, solat hajat merupakan cara memohon bantuan Yang Esa.

Kepada yang belum terbayangkan bencana yang bakal menimpa bangsa Melayu akibat dasar PPSMI yang bakal mencacamerbakan bangsa dan generasi akan datang, hayatilah lagu "Ayam Den Lapeh", sebuah lagu klasik masyarakat Minang yang terkenal sejak 1960-an di tanah asalnya di Sumatera dan di Malaysia.

Mesej lagu tersebut membawa maksud tiada guna menyesali apa yang telah berlaku apabila semuanya sudah terlewat! Menjelang tahun 2020, pastikah kita mencapai status negara maju melalui penguasaan bidang sains dan teknologi?

Atau, masihkah kita menyanyikan lagu "Ayam Den Lapeh" ketika semuanya telah terlepas? Masih adakah maruah bahasa dan jati diri bangsa!

Tamat.

Jumaat, 23 Januari 2009

Gapena Ugut Menteri Pelajaran

Gapena Beri Tempoh Hishammuddin Mansuh PPSMI Mac Depan
Ali Bukhari Amir, Harakahdaily, 20 Disember 2008

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Hrkh) - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) memberi tempoh kepada Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein sehingga 15 Mac depan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Saya ugut menteri Hishammuddin agar dia meletakkan jawatan. Apa-apa yang kementerian lakukan sekarang ini berhubung PPSMI ini memang salah.

"Kita akan hantar notis dan beri tempoh sehingga 15 Mac sahaja menjelang Perhimpunan Agung Umno. Kalau tidak, kami akan buat laporan polis. Kami sedang menyusun beberapa perancangan berhubung hal itu," kata Ketua Dua Gapena Profesor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Beliau berkata demikian dalam Forum Ke Arah Memantapkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu yang membariskan antara lainnya Encik Rusli Abdul Ghani daripada DBP dan Prof. Madya Dato' Zainal Abidin Borhan daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

"Dahulu, zaman Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, semua orang takut bercakap. Menteri-menteri takut nak buka mulut. Sekarang, zaman Abdullah Ahmad Badawi, jadi ada sedikit kebebasan bercakap. Jadi, kita bercakaplah," kata beliau.

Tambah beliau, sikap orang Melayu sekarang yang lebih suka menjadi “pak turut” menyebabkan dasar PPSMI ini masih berkekalan dan belum berganjak kepada dasar yang asal.

"Politik Malaysia pun dah jadi politik keluarga. Bila Mahathir cakap sesuatu isu, Mukhriz akan sokong. Apabila Abdullah sentuh isu lain, menantunya Khairy pula yang akan sokong," tambah Dr. Abdul Latiff.

Forum anjuran Pusat Dialog Peradaban bersama Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) itu berlangsung di Rumah Universiti, Universiti Malaya dan dipengerusikan oleh Profesor Dato' Dr. Abu Bakar Abdul Hamid.

Khamis, 22 Januari 2009

Pelajar Saman Kerajaan - Hanipa Maidin

Isu Matematik dan Sains - Umno Sedar Langgar Undang-Undang?
Oleh Mohamad Hanipa Maidin, 26 November 26
http://peguampas.blogspot.com/2007_11_01_archive.html

Isu pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris bergema sekali lagi di perhimpunan agung UMNO. Maka berbuih-buihlah mulut hipokrit-hipokrit meminta Kerajaan (Kerajaan yang sama memperkenalkan polisi ini) supaya polisi tersebut dikaji semula.

Yang menghairankan semasa Tun Mahathir memperkenalkan polisi tersebut tiada langsung kita dengar suara mana-mana pihak UMNO membantahnya. Mulut yang berbuih-buih meminta polisi tersebut dikaji semula, mulut itu juga berbuih-buih memuji Mahathir kerana kononnya polisi tersebut polisi yang hebat dan untuk kemajuan rakyat negara ini. Masa itu tiada siapa yang peduli dengan komen-komen dari pakar-pakar pendidikan seperti Prof Ungku Aziz yang mengibaratkan polisi itu sebagai "tikus menebuk labu".

Untuk para pembaca sekalian ingin saya maklumkan bahawa polisi tersebut telah dicabar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh empat orang pelajar melayu dari Negeri Perak. Kebetulan saya peguam mereka.

Untuk berkongsi dengan pembaca saya kemukakan di sini hujah yang saya berikan di Mahkamah berhubung isu tersebut. Mahkamah telah menetapkan bulan Januari 2008 ini untuk peguam Kerajaan menjawab hujah saya tersebut. Melalui Saman Pemula yang difailkan oleh Plaintif-Plaintif (selepas ini dirujuk sebagai Plaintif sahaja) Plaintif memohon daripada Mahkamah yang mulia ini perintah-perintah berikut:

(a) Deklarasi bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2002 bertarikh 27/11/2002 berhubung pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah (SM) dan Tingkatan Enam mulai tahun 2003 (selepas ini disebut Pekeliling 11) adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional), tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan;

(b) Deklarasi bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 12/2002 bertarikh 27/11/2002 berhubung pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mulai tahun 2003 (selepas ini disebut Pekeliling 12) adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional), tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan;

(c) Deklarasi bahawa Defendan tidak mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memperkenalkan, menguatkuasakan dan melaksanakan dasar yang dinyatakan dalam Pekeliling 11 dan 12 tersebut;

(d) Perintah mengarahkan Defendan supaya mengubah/menukar semula dasar yang terkandung di Pekeliling 11 dan Pekeliling 12 tersebut menurut kehendak dan peruntukkan Perlembagaan dan Undang-Undang Bertulis yang berkaitan perkara tersebut;

(e) Kos dan

(f ) Lain-lain relief yang difikirkan sesuai dan manfaat oleh Mahkamah.

A. Siapakah Plaintif-Plaintif dalam Tindakan Ini?

Terdapat empat orang Plaintif dalam kes ini. Kesemua mereka ialah pelajar sekolah.

Pada masa material Plaintif Pertama ialah pelajar Tahun 4 Darjah 4 ) Sekolah Kebangsaan Batu 3, 35350 Temoh, Perak [lihat perenggan 4 Afidavit Plaintif] Pada masa material Plaintif Kedua pula ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Muda Abd Aziz, 31100 Sungai Siput, Perak dan menuntut di Tingkatan 3 sekolah tersebut [lihat perenggan 5 Afidavit Plaintif] Pada masa material Plaintif Ketiga adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak dan menuntut di Tingkatan 3 sekolah tersebut [lihat perenggan 6 Afidavit Plaintif] Pada masa material Plaintif Keempat pula adalah pelajar Madrasah Idrissiah, Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar dan menuntut di Tingkatan 4 sekolah tersebut [lihat perenggan 7 Afidavit Plaintif].

Adalah jelas bahawa sebagai pelajar Plaintif mempunyai locus standi untuk membawa tindakan ini kerana dasar yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Defendan seperti mana yang dinyatakan dalam Pekeliling 11 khususnya [lihat eksibit A di perenggan 8 Afidavit Plaintif] dan Pekeliling 12 (lihat eksibit B di perenggan 9 Afidavit Plaintif ] menjejaskan hak dan kepentingan Plaintif.

Plaintif menyatakan dalam Afidavit Plaintif bahawa “akibat daripada pengenalan, pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar yang terkandung di kedua-dua pekeliling tersebut khususnya Pekeliling 11 yang terpakai kepada Plaintif-Plaintif dalam tindakan ini, Plaintif-Plaintif telah dipaksa untuk belajar dan diajar kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris dan perbuatan itu dilaksanakan tanpa kerelaan saya sebagai bapa kepada Plaintif Pertama dan juga bapa-bapa Plaintif-Plaintif yang lain.” [lihat perenggan 10 Afidavit Plaintif]

B. Adakah Pekeliling 11 dan Pekeliling 12 yang Diperkenalkan oleh Defendan Berperlembagaan dan Sah di Sisi Undang-Undang?

Dengan hormat kami berhujah bahawa dalam memperkenalkan dasar berhubung pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di negara ini seperti mana yang terkandung dalam Pekeliling 11 dan 12 Defendan telah bertindak di luar batas-batas undang-undang dan juga Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa

(a) tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain;

(b) tiada apa-apa dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan [lihat muka surat 63-65 Ikatan Autoriti Plaintif].

Dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia ( 1981 ) 2 MLJ 356 isu Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah timbul dan diputuskan oleh Mahkamah. Fakta kes Merdeka University tersebut secara ringkas ialah Plaintif telah mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi penubuhan Universiti Merdeka. Petisyen tersebut ditolak dan Menteri Pendidikan telah mengumumkan bahawa penolakan petisyen tersebut antara lain disebabkan Universiti Merdeka tersebut akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantarnya.

Plaintif telah memfailkan writ saman bagi mendapatkan perintah antara lain perintah deklarasi bahawa penolakan petisyen untuk penubuhan Universiti Merdeka tidak sah dan terbatal kerana penolakan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan; perintah deklarasi bahawa penolakan petisyen penubuhan universiti tersebut tidak munasabah dan satu pelaksanaan budi bicara yang tidak betul di bawah seksyen 6 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Dalam menolak writ saman Plaintif tersebut Yang Arif Abdoolcader J. antara lain memutuskan berhubung penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menyatakan: “If the Merdeka University were established it would be a public authority within the definition in Article 160 of the Federal Constitution and its purpose would accordingly be an official purpose within Article 152 (6) of the Constitution and it would therefore be excluded by the parenthesis in proviso (a) to Article 152 (1) from its protection. Consequently as the Merdeka University proposes to give instruction in its course in Chinese, whether as the only or the medium of instruction, the proviso would afford no protection for that purpose.” [ lihat muka surat 1 Ikatan Autoriti Plaintif ]

Oleh hal yang demikian adalah jelas bahawa dasar Defendan memperkenalkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris juga terbatal dan tidak sah kerana penggunaan bahasa tersebut di sekolah-sekolah adalah bagi maksud rasmi (for official purposesa) seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan, Prof. Dr. Aziz Bari dalam bukunya “Malaysia Constitution: A Critical Introduction” terbitan The Other Press, Kuala Lumpur, 2003 menyatakan di muka surat 48 “Whatever the constitution has to say about the Malay language in recent years there have been policies which apparently not in conformity with art 152. A good example being the decision of the federal government to use English as the medium of instruction for Science and Mathematics in school. Apparently this falls under the category of official purpose. This appears to be the position given the decision in Merdeka University Berhad where the government rejection to an application to establish a private university was upheld.” [lihat muka surat 113 Ikatan Autoriti Plaintif]

Selain bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dasar tersebut juga bertentangan dengan Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550 ) yang secara jelas memperuntukkan bahawa “Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini. [lihat muka surat 108 Ikatan Autoriti Plaintif ]

Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) pula mentafsirkan “bahasa kebangsaan” bererti bahasa Melayu sebagaimana yang ditentukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan [lihat muka surat 100 Ikatan Autoriti Plaintif ]

Seterusnya jika dilihat kepada Muqaddimah (Preamble) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) khususnya di Recital yang ketiga adalah jelas dinyatakan bahawa
“… DAN BAHAWASANYA Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dizahirkan seperti berikut:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara

DAN BAHAWASANYA dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama….” [ lihat muka surat 98 & 99 Ikatan Autoriti Plaintif ]

Adalah jelas dasar Defendan seperti yang terkandung dalam Pekeliling 11 dan 12 tersebut bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia (1981) 2 MLJ 356 Yang Arif Eusoffe Abdolcader juga memutuskan “the proposal to use Chinese as the medium of instruction would be contrary to the national education policy “[lihat muka surat 1 Ikatan Authoriti Plaintif ]

Seterusnya Yang Arif Eusoffe Abdolcader juga menyatakan “Basically the rejection to the Plaintiff’s petition on the composite ground that is contrary to the national education policy turns on the language of instruction in relation to recital in the preamble to the Education Act and in this context my discussion with regard to the purport and effect of the provisions of Article 152 of the Federal Constitution is pertinent and relevant. It would be pertinent to refer to what the Minister has to say in his evidence before me in connection with the national education policy to amplify the objection to the proposal for MU in relation to the medium of instruction. He says that in connection with the national objectives the education system is to be used as a means of national unification and the national language is to be the instrument by which Malaysians of different racial origins would be able to unite through a common language and the education system as enunciated by the education policy is to be the basis of the national objective… [lihat muka surat 8 Ikatan Autoriti Plaintif ]

Selanjutnya Plaintif juga berhujah bahawa dasar berhubung pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di negara ini seperti yang terkandung di dalam Pekeliling 11 dan 12 juga bertentangan dengan peruntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Wan Arfah Wan Hamzah dalam artikelnya yang bertajuk “Bahasa Malaysia dalam Bidang Undang-undang: Pencapaian dan Cabaran” yang dimuatkan di Makalah Undang-Undang Menghormati Ahmad Ibrahim, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988 menyatakan:
“Parlimen meluluskan dua Akta, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 untuk melaksanakan Perkara 152. Akta 1963 yang mengandungi hanya beberapa peruntukkan telah disatukan dengan Akta 1967 yang telah disemak dan kini dinamai Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.Tujuan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, ialah menetapkan penggunaan bahasa Melayu (kini dikenali sebagai bahasa Malaysia) untuk maksud-maksud rasmi tetapi pada waktu yang sama membenarkan bahasa Inggeris dan bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan terus digunakan untuk apa-apa maksud yang difikirkan sesuai perlu demi kepentingan awam.” [lihat mula surat 65 Ikatan Autoriti Plaintif]

Dengan ini dihujahkan pengajaran matematik dan sains di sekolah-sekolah adalah bagi maksud rasmi yang demikian penggunaan bahasa kebangsaan adalah satu yang wajib.

Selain perlanggaran Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 17 Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Dasar Pendidikan Negara yang berteraskan Falsafah Pendidikan Negara dasar tersebut juga, dari segi pelaksanaannya, bercanggah dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat perbezaan peruntukkan masa dalam minit seminggu bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik untuk Tahun 1 bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di satu pihak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di pihak yang lain (lihat perenggan 11 (b) Afidavit Plaintif ).

Bagi SK dan SJKT jumlah pengajaran dan pembelajaran ialah 90 minit seminggu (Sains) dan 210 minit seminggu (Matematik) manakala bagi SJKC terdapat penggunaan dua bahasa bagi pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut iaitu bahasa Mandarin (90 minit Sains; 180 Minit-Matematik) dan dalam bahasa Inggeris (90 minit -Sains; 120 minit -Matematik).

Dengan ini dihujahkan SK dan SJKT telah didiskriminasikan bukan sahaja berhubung peruntukkan masa dalam minit seminggu bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik tetapi juga dari sudut tidak diperuntukkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu dan bahasa Tamil seperti yang dipraktikkan kepada SJKC yang diberi kebenaran belajar dan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Mandarin. Kalau ini bukan dinamakan amalan diskriminasi dan arbitrari apakah yang kita hendak namakan bagi amalan seperti ini?

Dalam kes Tan Tek Seng v Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (1996) 1 MLJ 261 Yang Arif Hakim Gopal Sri Ram telah menuruti keputusan kes Mahkamah Agung di India iaitu kes Maneka Gandhi v Union of India yang memberi tafsiran baru berhubung Artikel 14 Perlembagaan India (yang in pari materia dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan) apabila memutuskan
“Now the question immediately arises as to what is the requirement of art 14 what is the content and reach of the great equalizing principle enunciated in this article ? ...Where an act is arbitrary, it is implicit in it that is unequal both according to political logic and constitutional law and is therefore violative of art 14. Art 14 strikes at arbitrariness in State action and ensures fairness and equality of treatment..” [lihat muka surat 36 & 37 Ikatan Autoriti Plaintif.]

Plaintif juga berhujah bahawa dasar tersebut dan pelaksanaannya akan mewujudkan satu jurang diskriminasi yang runcing dan mendalam antara pelajar-pelajar di kawasan bandar dan kawasan luar bandar yang sekali gus mewujudkan satu lagi amalan diskriminasi dan arbitrari yang bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan) [lihat perenggan 11 (c) Afidavit Plaintif ].

Plaintif hujahkan prinsip yang dinyatakan dalam kes Tan Tek Seng (supra) juga terpakai bagi perkara ini. Seperti yang dikatakan oleh Plaintif di perenggan 12 Afidavit Plaintif tiada sebarang indikasi bahawa Defendan akan menukar dasar tersebut bagi memastikan dasar itu selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan melainkan terdapat satu intervensi daripada Mahkamah yang mulia ini yang fungsinya adalah sebagai penjaga/pengawal Perlembagaan (the guardian of the constitution).