Memaparkan catatan dengan label Perhimpuan/Perarakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perhimpuan/Perarakan. Papar semua catatan

Rabu, 14 Mac 2012

Perhimpunan Pagoh April 2012


Kuala Lumpur, 10 Mac 2012

Himpunan Desak Mansuh Segera PPSMI April Depan
Anis Nazri, Harakahdaily, 10 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan menggerakkan satu himpunan rakyat bagi mendesak kerajaan menyegerakan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Himpunan yang dirangka pada awal April itu akan diadakan di Pagoh, Johor sebagai langkah awal menggerakkan semula bantahan berhubung dasar tersebut.

Sabtu, 7 Mac 2009

Polis Bedil Masjid Negara

Sabtu 7 Mac 2009 10 Rabi'ul Awal 1430 Hijrah
Perhimpunan 100 Ribu: Polis Bedil Masjid Negara!
Oleh Irwan, Saidah, Anis, Intan, Salmiyah, Roy, Arif & Atriza. Sat Mar 07, 09 4.00 petrang

Terkini KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Maklumat terkini daripada petugas Harakah di lokasi memaklumkan bahawa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air daripada Water Cannon kepada orang ramai yang berada di dalam kawasan Masjid Negara.

Berikut adalah beberapa perkembangan terkini yang dibawa secara langsung oleh para wartawan Harakah yang bertugas di tiga lokasi perhimpunan serta di kawasan Istana Negara:

3.45 petang: Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dan Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dihalang pihak polis daripada bergerak ke Istana Negara.

3.25 petang: Sebahagian peserta himpunan tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid oleh pihak polis.

Perhimpunan 7 Mac 2009: 150 Ribu Disekat

Sabtu 7 Mac 2009 10 Rabi'ul Awal 1430 Hijrah
Himpunan 100 ribu: 150 ribu disekat,berpuluh gas pemedih mata dilepaskan!
Oleh Irwan,Saidah,Anis,Intan,Salmiyah, Roy, Arif & Atriza. Sat Mar 07, 09 9:18:15 am MYT

TerkiniKUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Maklumat terkini daripada petugas Harakah di lokasi memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah melepaskan berpuluh gas pemedih mata.

Dianggarkan lebih 150 ribu orang ketika ini masih berusaha untuk masuk ke arah Istana Negara.

Berikut adalah beberapa perkembangan terkini yang dibawa secara langsung oleh para wartawan Harakah yang bertugas di 3 lokasi perhimpunan serta di kawasan Istana Negara:

3.15 petang: Pihak berkuasa mula menyembur pancutan air daripada 'Water Cannon' dan melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai yang sedang berehat di Masjid Negara.

3.00 petang: Ustaz Riduan Mohd Nor mengajak orang ramai untuk kembali semula ke Masjid Negara memandangkan pihak polis masih bertalu melepaskan gas pemedih mata.

2.55 petang: Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said kelihatan berada di pintu pagar Istana Negara.

2.50 petang: Polis masih terus melepaskan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama amaran dikeluarkan agar semua bersurai jika tidak tangkapan akan dilakukan.

2.35petang: pihak polis mula melepaskan berpuluh gas pemedih mata.

2.30 petang: Dianggarkan lebih 150 ribu orang sedang berusaha untuk menembusi sekatan FRU di jalan menghala ke Istana Negara.

2.21 petang: Kumpulan daripada Sogo yang berarak telah mula bersatu dengan kumpulan daripada Dayabumi,dianggarkan lebih 5,000 orang ketika ini sedang bergerak ke arah Istana Negara. Sementara itu, dilaporkan bahawa FRU sedang mengalihkan trak untuk membuat hadangan terhadap kumpulan daripada Masjid Negara.

2.20 petang: Dianggarkan lebih 1,000 orang sedang berarak daripada Pasar Seni ke arah Dataran Merdeka dengan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Chik.

Sementara itu, di Istana Negara para wartawan telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan istana oleh polis. Dilaporkan,cpihak polis sedang membuat hadangan di hadapan istana.

2.16 petang: Sementara di Pasar Seni, Ustaz Abu bakar Chik sedang membaca doa dan pihak polis telah membenarkan kumpulan di situ untuk berarak.

2.15 petang: Namun, rantaian sekatan yang dibuat FRU telah dirempuh oleh rakyat yang berhimpun dengan laungan Allahuakbar!

2.10 petang: FRU ketika ini sedang menghalang rakyat yang berhimpun di Masjid Negara daripada berarak ke Istana Negara.

2.05 petang: Pihak polis sedang menghalang beberapa kumpulan di Pasar Seni daripada berhimpun dan berarak ke Masjid Negara.

2.00 petang: Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat sertai AJK GMP sedang berucap untuk menaikkan semangat rakyat yang hadir agar berarak ke Istana Negara.

1.52 petang: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, Dr. Syed Azman, Dato' Mahfuz Omar sedang memimpin perarakan daripada Kompleks Sogo bersama lebih 1,000 orang yang menyokong untuk membantah dasar PPSMI. Walaupun,chujan turun namun semua bersemangat dengan meneriak pelbagai slogan.

1.50 petang: Pihak kerajaan melaksanakan languange cleansing (pembersihan bahasa) kerana berdegil untuk meneruskan dasar PPSMI walaupun dibantah oleh rakyat.

1.35 petang: Dua buah bas yang membawa orang asli daripada Tapah, Perak telah ditahan pihak polis di Damansara dan dibawa ke Balai Polis Sentul untuk disoal siasat.

1.25 petang: Sekumpulan wakil daripada Chinese Assembly Hall telah tiba di pekarangan Masjid Negara dan turut menyatakan sokongan terhadap bantahan PPSMI.

1.15 petang: Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said melahirkan kekecewaan dengan sistem demokrasi negara apabila dilaporkan dua buah bas yang sedang menuju ke Masjid Negara telah ditahan polis.

1.10 petang: Pihak polis mengarahkan sepanduk membantah PPSMI diturunkan di Masjid Negara.

1.00 petang: Dato' Dr Hassan Ahmad melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai hari ini dan ia jelas menandakan PPSMI ditolak oleh rakyat. Dr. Hassan memaklumkan setelah berunding dengan wakil GMP, pihak polis hanya membenarkan sebanyak 7 orang dengan 3 buah kereta bergerak ke Istana Negara selepas solat Zohor (sekitar jam 2.00 petang). Turut serta adalah beberapa wakil NGO berbangsa Cina. Namun, pihak polis masih melarang untuk diadakan sebarang perarakan, tetapi perhimpunan hanya dibenarkan di kawasan masjid sahaja.

12.50 tengah hari: Kira-kira 10,000 orang sudah mula berhimpun di sekitar kawasan Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih.

12.45 tengah hari: Lebih 1,500 orang daripada Kelantan telah tiba di KL Sentral melalui keretapi dan kini telah bergerak ke tiga lokasi yang ditentukan oleh pihak penganjur.

12.45 tengah hari: Keadaan di Masjid Negara masih terkawal,namun anggota polis dianggarkan lebih 50 orang ditempatkan sekitar kawasan masjid.

12.30 tengah hari: Jalan dari arah Jalan Klang Lama dan Parlimen telah ditutup oleh pihak polis.

12.00 tengah hari: Kawasan sekitar Pasar Seni mula gamat dengan anggota polis yang ditambah lebih 100 orang. Sementara itu, di hadapan bangunan Jawi kelihatan 3 buah trak Water Cannon.

Polis Tembak Gas Pemedih Mata

Sabtu 7 Mac 2009 10 Rabi'ul Awal 1430 Hijrah
Polis tembak gas pemedih mata, Sasterawan Negara A. Samad Said ditangkap!
Azamin Amin Sat Mar 07, 09 3:03:40 pm MYT

TerkiniKUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Terkini menurut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang berada di lokasi berhampiran Istana Negara memaklumkan bahawa Sasterawan Negara A. Samad Said ditangkap oleh pihak polis di depan pintu istana.

FRU kini katanya telah melancarkan tembakan gas pemedih mata kepada para peserta himpunan dan dalam masa yang sama pasukan anggota polis kelihatan mengejar beberapa para peserta di lokasi berdekatan stesen Keretapi KTM berdekatan Istana Negara.

Menurut beliau, kawasan sekitar Istana Negara kelihatan 'memutih' kerana lebih 100,000 orang ramai masih bertahan sungguhpun terasa bahang gas pemedih mata yang dilancarkan oleh FRU.
"Saya sudah tak nampak kawasan sekitar, mata sangat pedih kena tembakan gas. Saya akan maklumkan kemudian," katanya singkat ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Dilaporkan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS termasuk para pejuang bahasa yang lain turut berada di sekitar kawasan istana negara.

Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dato' Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Kira-kira jam 3.15 petang Lutfi memaklumkan bahawa ribuan orang ramai sudah mula berundur dari Istana Negara ke Masjid Negara kerana 'asakan' dan serangan yang dilakukan oleh pihak FRU dan para peserta di minta berkumpul ke sana. - azm _

Penyokong Perhimpunan Rempuh Polis

mStar, Sabtu Mac 7, 2009
Oleh G. MANIMARAN, ARIFUDDIN ISHAK dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN

[DIKEMAS KINI, 3 PETANG] PETALING JAYA: Beratus-ratus penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat, dianjur bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI), yang merempuh polis dihalang daripada memasuki jalan ke Istana Negara.

Beratus-ratus penyokong merempuh sekatan polis untuk menuju ke Istana Negara kira-kira sejam yang lalu.

Kira-kira pukul 2.20 petang tadi mereka melepasi Jalan Kg. Atap menuju ke Jalan Istana.
Bagaimanapun mereka ditahan di laluan Jalan Kg. Atap-Jalan Syed Putra daripada memasuki kawasan Jalan Istana.

Kira-kira 2.30 petang tadi, sebaik sahaja mereka tiba di kawasan pertemuan Jalan Syed Putra-Jalan Kg. Atap, anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Mereka bertindak merempuh pintu besar Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati dengan keputusan polis yang hanya membenarkan tujuh wakil perhimpunan itu bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kira-kira pukul 2.30 petang tadi, hanya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang berada di pintu masuk ke Istana Negara.

Difahamkan beliau memasuki kawasan Istana Negara pada pukul 2.35 petang dan keluar 15 minit kemudian.

Sepatutnya tujuh orang dimaklumkan telah mendapat kebenaran untuk memasuki Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Mereka berhimpun di kawasan Masjid Negara walaupun berhadapan dengan hujan renyai-renyai.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di kawasan Masjid Negara juga tidak mampu untuk menahan kumpulan berkenaan daripada 'melepasi' garisan kawalan keselamatan.

Helikopter PDRM juga berlegar memantau pergerakan penyokong perhimpunan itu.

Polis Tembak Gas kepada Penentang PPSMI

Malaysiakini, Mar 7, 09 1:54pm, kemaskini 3.08pm

Perhimpunan membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bermula di Masjid Negara dengan kawalan ketat polis.

Perhimpunan yang dibenarkan oleh pihak berwajib itu berarak ke Istana Negara bagi membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu.

Polis bagaimanapun melarang sebarang perarakan ke istana dan juga perhimpunan di dua lokasi lagi seperi dirancang, Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo.

Polis kelihatan berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana.

Untuk memintas sekatan polis di situ, kumpulan lebih 1,000 penentang dasar tersebut di kalangan aktivis bahasa dan penyokong pembangkang bergerak melalui jejantas depan masjid menuju Kampung Attap, dekat istana.

Polis melepaskan gas pemedih mata kepada penentang dasar PPSMI di situ sehingga memecahkan kumpulan tersebut kepada dua kelompok kecil.

Tembakan gas pemedih mata juga kelihatan di lebuh raya tersebut, dekat jejantas di atas Jalan Syed Putra.

Suasana kelam-kabut, orang ramai berpakaian putih - sebagai lambang membantah PPSMI - bertempiaran lari. Belum ada laporan tangkapan diterima, setakat ini.Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan peserta perhimpunan menentang PPSMI terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju Istana Negara.

Walaupun mereka bersurai seketika cuba mengelak asap gas pemedih mata, sebahagian terus berdegil cuba berarak ke istana. Manakala polis antirusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan menuju mahkamah syariah dari arah Jalan Syed Putra.

Sebahagian peserta demonstrasi cuba bergerak kembali ke Masjid Negara.Sementara di Istana Negara, kawalan lebih 150 anggota polis dan unit pencegah rusuhan FRU, termasuk kenderaan pemancut air.Polis menutup Lebuhraya Mahameru - dari arah Sungai Besi - bagi menghadapi sebarang kemungkinan kehadiran peserta perhimpunan tersebut.Difahamkan seorang lelaki ditahan polis depan istana. Butiran lanjut belum diperolehi.

Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad menyerahkan memorandum anti-PPSMI kepada penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu.

Kawasan tersebut, yang dijadikan daya tarikan pelancong, kini dikawal ketat oleh polis.

Laporan awal:
Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Demonstrasi (?) anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu turut disertai Sasterawan Negara terkenal Datuk A Samad Said dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jumaat, 6 Mac 2009

7 Mac 2009: di Masjid Negara Sahaja, Berkereta ke Istana

6 Mac 2009
Kenyataan Akhbar
Oleh Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)

Pada 5 Mac 2009 saya dan Dr. Shaharil Mohamad Zain, Timbalan Pengerusi GMP dan Sdr. Husni Abas, Setiausaha GMP, telah mengadakan perundingan dengan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan beberapa orang pegawai kanannya di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, meminta permit bagi mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2009.

Perhimpunan ini dibuat bagi menyokong rombongan GMP yang akan menghantarkan memorandum Bantah PPSMI kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara.

Setelah berunding panjang lebar, pihak Polis membenarkan perhimpunan itu berkumpul di Masjid Negara, tidak kira berapa ramai, dan tidak di tempat lain, iaitu di pusat membeli belah SOGO dan di Central Market seperti menurut rancangan asal GMP. Dari situ ahli jawatankuasa seramai 7 orang yang saya ketuai sebagai Pengerusi GMP akan bertolak dengan berkereta menuju ke Istana Negara.

Para penyokong yang berkumpul di Masjid Negara tidak dibenarkan oleh polis berarak berjalan kaki beramai-ramai menyertai atau menemani rombongan itu ke Istana. Mereka hendaklah tinggal di Masjid Negara atau bersurai. Rombongan ke Istana Negara itu, setelah menyampaikan memorandum itu bolehlah balik ke Masjid Negara bagi menyampaikan apa-apa maklumat kepada para penyokong GMP.

Itulah permit yang diberikan kepada GMP. Ini bererti bahawa perarakan tidak dibenarkan.

Alasan polis adalah bagi menjaga keselamatan, lebih-lebih lagi jikalau orang yang akan datang jumlahnya berpuluh ribu orang, mungkin mencecah 100,000 orang.

Kami memberitahu pihak polis dua hal: pertama, ini bukan tunjuk perasaan atau demonstrasi. Ini bukan gerakan menentang kerajaan atau mana-mana pihak, tetapi cuma gerakan bagi menyampaikan memorandum kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong yang disokong oleh sekian banyak rakyat di seluruh negara, dan yang akan hadir di Kuala Lumpur itu adalah kumpulan simbolik.

Kedua, sejak awal lagi kami dan GMP telah menjelaskan pendirian kami bahawa gerakan ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik, tidak akan membenarkan dirinya dieksploitasi oleh mana-mana pihak. Jika kelihatan banyak orang dan parti-parti politik tertentu menyertai atau menyokong gerakan ini, itu adalah hak mereka sebagai rakyat biasa Malaysia. Kami tidak dapat melarang mereka membantah PPSMI atau menyokong gerakan GMP.

Dua perkara ini juga telah kami sampaikan dalam pertemuan kami dengan pihak seperti yang tersebut di atas, dan mereka memahami pendirian kami ini.

Saya baru berhubung lagi dengan Pejabat Istana Negara pada pukul 2.45 petang tadi, dan disahkan lagi bahawa SPB Yang Di-Pertuan Agong telah dimaklumkan tentang hasrat kami ingin mengadap Baginda. Tetapi seperti yang telah diberitahukan kepada kami lebih awal, pada 7 Mac 2009 ini, SPB tiada di Kuala Lumpur kerana ada urusan di tempat lain.

Bagaimanpun, rombongan GMP akan disambut oleh pegawal Istana bagi pihak Tuanku pada 7 Mac ini. Penyerahan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong akan dilaksanakan oleh tujuh orang wakil iaitu Dato’ Hassan Ahmad (Pengerusi) , Dr. Shaharir Mohamad Zain (Timbalan Pengerusi), Prof Emeritus Abdullah Hassan (Naib Pengerusi), Sdr. Hasni Abas (Setiausaha), Dato’ A. Samad Said (AJK), Sdr. Suhaizan Kaiat (AJK) dan Pn Ainon Mohd (AJK).

Yang benar,
Dato' Dr. Hassan Ahmad
Pengerusi GMP
6 Mac 2009

Polis Benarkan Perhimpunan Esok (7 Mac 2009)

Azamin Amin, Harakahdaily, Fri Mar 06, 09 9:47:19 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Polis telah membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) esok dan sebagai satu “signal” positif bahawa pihak berkuasa sanggup bekerjasama dengan rakyat yang mahu menyuarakan hasrat mereka terhadap dasar yang cuba meminggirkan Bahasa Melayu selama ini.

Bagaimanapun, permit dibenarkan untuk perhimpunan di Masjid Negara sahaja dan tidak di dua lokasi yang berbeza iaitu Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo malah perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memo juga tidak dibenarkan.

Sungguhpun begitu, Timbalan Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Suhaizan Kaiat berkata pihaknya sedang berurusan dengan pihak polis pagi ini bagi membenarkan perarakan diadakan daripada Masjid Negara ke Istana Negara bagi mencapai matlamat mereka untuk menyuarakan bantahan kepada Yang Di-Pertuan Agong melalui memo yang bakal disampaikan.

"Istana Negara telah bersedia untuk menerima memo tersebut. Jadi kita mahu berarak daripada masjid negara ke Istana Negara dan berharap polis akan benarkan.

"Kalau penjajah pun boleh membenarkan perhimpunan membantah Malayan Union, takkan kerajaan sendiri pun tak dapat benarkan sedangkan rakyat dianggap sebagai tetamu Istana Negara," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Oleh yang demikian katanya, rakyat tidak perlu bimbang untuk hadir menyertai himpunan ini kerana ianya sah di segi undang-undang walaupun ianya terhad di lokasi tertentu dan berharap seluruh rakyat Malaysia akan sama-sama memberi sokongan kepada perjuangan memartabatkan bahasa.

"Polis dah benarkan dan rakyat tidak perlu takut. Hadirlah bersama keluarga, sahabat atau sesiapa sahaja untuk menzahirkan sokongan seterusnya membantah dasar PPSMI yang sudah jelas mengundang masalah kepada para pelajar khususnya kepada yang duduk di luar bandar," katanya.

Jam 3.00 petang ini satu mesyuarat khas berhubung perhimpunan esok akan diadakan di Pena untuk memastikan kelancaran perjalanan majlis dan perarakan tersebut. - mks.

Khamis, 5 Mac 2009

Polis Tetap Tidak Benarkan Perhimpunan Depan Istana

Berita Harian, 5 Mac 2009

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan di hadapan Istana Negara Sabtu ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang menganjur dan membabitkan diri dalam perhimpunan tanpa permit yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Kita telah memberi amaran berkali-kali sebelum ini bahawa tindakan tegasakan diambil terhadap penganjuran perhimpunan sebegini, namun masih ada segelintir penganjur yang berdegil," katanya.

Beliau berkata, polis sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan tersebut dengan menempatkan anggota polis di beberapa kawasan sekitar Istana.

"Kita tengok pada situasi yang akan berlaku pada hari itu dan mengambil tindakan jika keadaan di luar kawalan," katanya.

Semalam, Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Datuk Dr Hassan Ahmad, berkata perhimpunan yang akan diadakan di depan Istana Negara tetap akan diadakan walaupun tanpa permit polis. - Bernama

Rabu, 4 Mac 2009

Istana Setuju Terima Memo anti-PPSMI

Jimadie Shah Othman Malaysiakini Mar 4, 09 3:48pm

Kkemaskini 4.51pm Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Persetujuan istana itu dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menganjurkan perhimpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata istana tidak melarang majlis penyerahan memorandum tersebut.

Beliau dimaklumkan Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di istana pada masa yang dijadualkan dan memorandum tersebut akan diserahkan kepada seorang pegawai bagi pihak baginda.

Dr. Hassan menambah, satu salinan memorandum tersebut telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Memorandum lapan halaman itu diserahkan awal, tambahnya, sebagai makluman kehadiran mereka di istana, petang 7 Mac ini.

GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara – kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara – sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang.

Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan PKR.

Selain Dr Hassan, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual hadir.

Menjelang perhimpunan besar itu, GMP akan menghabiskan empat programnya di seluruh negara sebelum ceramah akhir di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini.

Malam ini, satu forum isu PPSMI akan berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Selain Dr Hassan, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan ahli parlimen BN Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut membahaskan isu ini.

Ditanya tindakan lanjut GMP jika kerajaan tetap enggan melayan tuntutan mereka, Dr. Hassan berkata gabungan itu akan terus memperjuangkan pemansuhan dasar kontroversi itu sehingga berjaya.

"Tidak ada tempoh tamat. Kita akan terus berjuang sehingga kembali kepada dasar asal (sebelum diperkenalkan PPSMI pada 2003)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha GMP Hasni Abas berkata 1,000 anggota Unit Amal PAS dikerahkan bagi mengawal keadaan dan lalu lintas supaya perhimpunan itu terkawal dan aman.

Pada mulanya, kata Hasni, GMP telah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit berhimpun ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan itu kepada di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Pada 17 Februari lalu, seramai 20 aktivis bahasa dan sastera GMP berarak ke Parlimen dari Tugu Negara bagi menyerahkan memorandum membantah PPSMI kepada ahli-ahli parlimen, termasuk Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Manakala pada 31 Januari pula, tokoh-tokoh utama GMP buat pertama kali turun ke jalanraya sempena pelancaran kempennya di pusat membeli-belah Sogo.

Mereka juga menabur 50,000 risalah mengenai kempen menentang dasar itu ketika pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lepas.

Semarakkan Perhimpunan Mansuhkan PPSMI 7 Mac Ini!

Harakahdaily Wed Mar 04, 09 12:10:51 pm MYT

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Hrkh) - Demi memastikan kedaulatan bahasa Melayu dijunjung sekaligus membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang jelas mengundang "1001 masalah" kepada para pelajar khususnya di luar bandar, orang ramai diseru untuk sama-sama menyatakan sokongan dan menyertai "Perhimpunan Aman 100,000 Mansuhkan PPSMI" pada 7 Mac ini (Sabtu).

Menurut Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Hasini Abas, perhimpunan akan diadakan di tiga lokasi bermula 2.00 petang iaitu Pusat Perniagaan SOGO, Central Market dan Masjid Negara yang kemudiannya berarak ke Istana Negara untuk serahan memorandum.

"Bagi memudahkan perjalanan perhimpunan ini maka semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam untuk hadir dalam himpunan ini. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang.

"Kawalan keselamatan akan dibantu oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara. Permit perhimpunan telah dipohon kepada Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara. Peserta adalah dilarang samas ekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataannya yang terdahulu.

Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Dato' A.Samad Said, Dato' Dr. Hassan Ahmad, Dr. Shaharil Mohamad Zain, Prof. Emeritus Abdullah Hasaan, Prof. Emeritus Dato' Nik Safiah Karim, dan diikuiti pemimpin terkenal Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Warna tema himpunan pada hari tersebut ialah putih dan peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI, katanya.

"GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP.

"GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul dihadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang," katanya. - azm

500,000 Pelajar Akan Tercicir Jika PPSMI Diteruskan!

Zaili Muhammad Wed Mar 04, 09 12:26:07 pm MYT

MELAKA, 4 Mac (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab, menyeru seluruh rakyat Melaka supaya turun beramai-ramai menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI pada 7 Mac ini bagi mengembalikan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir.

"Kepada yang mengaku mereka adalah ahli dan penyokong PAS haruslah memastikan kehadiran mereka sebagai komitmen terhadap perjuangan mengembalikan serta memartabatkan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir akibat dasar PPSMI.

"Usaha saya menyokong perhimpunan 100,000 yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) iaitu mengadakan 'road show' seluruh negara sebagai penerangan jelas kepada rakyat bawah dasar itu tidak boleh diteruskan.

"Saya ingin mengingat tuan-puan supaya jangan takut untuk hadir kerana perhimpunan itu akan diadakan secara aman dan mereka yang datang tidak akan buat kacau melainkan ada pihak yang sengaja melakukan provokasi. Malah lambang parti-parti politik juga tidak dibenarkan," ujarnya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat negeri Melaka untuk turun beramai-ramai mengiringi pimpinan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Kuala Lumpur pada 7 Mac ini bagi bersama-sama menyerahkan memo kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Menurut Sofi, perjuangan memansuhkan PPSMI adalah perjuangan semua bangsa bukan hanya orang Melayu tetapi semua kerana sekiranya PPSMI ini diteruskan, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil juga akan turut terjejas.

Ini kerana mereka terpaksa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah mereka, katanya.

"Saya sangat dukacita atas sikap kerajaan yang tidak konsisten dan tegas dalam isu tersebut iaitu sama ada ingin meneruskan atau terus menghentikannya," kata Sofi.

Ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka ini sebagai orang Melayu tetapi tidak mencintai bahasa sendiri malah tidak patriotik kerana bahasa Melayu merupakan bahasa negara yang termaktub dalam perlembagaan tetapi mereka tidak begitu senang untuk melaksanakan perkara ini, katanya.

"Yang kedua, mereka tidak berperikemanusiaan. Pendapat daripda tokoh-tokoh pendidik yang telah membuat kajian dalam tahun 2006 menyatakan bahawa 500,000 pelajar akan tercicir akibat daripada pelaksanaan PPSMI. Begitu juga dengan satu kajian yang dibuat oleh UPSI menyatakan bahawa 60 hingga 70 peratus mereka yang terlibat dengan PPSMI ini tidak memahami konsep sains dan matematik," katanya.

Selanjutnya, beliau membuat kesimpulan bahawa tanpa ilmu pada hari ini samalah juga seperti kita sedang melakukan pembunuhan, dan ini kita tidak sedar, sangat mendukacitakan.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato' Dr Hassan Ahmad yang dianggotai kumpulan NGO, sayap-sayap Pemuda PAS dan KeADILan akan menyerahkan memorandum bantahan PPSMI kepada Agong. - azm_

Sabtu, 28 Februari 2009

Kenyataan Media GMP 27 Februari 2009

Kenyataan Media, 27 Februari 2009
Bersama Menjayakan Perhimpunan Aman 100 Ribu Mansuhkan PPSMI

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Perhimpunan Aman 100 Ribu di Istana Negara pada 7 Mac 2009 jam 2.00 petang.

GMP menetapkan tiga tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti yang berikut:

(a) Pusat Perniagaan SOGO
(b) Centrel Market
(c) Masjid Negara

Bagi memudahkan perjalanan perhimpunan ini, semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dilakukan oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara.

Permit perhimpunan sudah dipohon kepada Y. Bhg. Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara.

Peserta dilarang sama sekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam perhimpunan ini ialah Dato’ A. Samad Said, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Dr. Shaharil Mohamad Zain, Prof. Emeritus Abdullah Hasaan, Prof. Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, YB Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Warna tema GMP adalah putih. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI.

GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP.

Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul di hadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang.

Hasni Abas
Setiausaha
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)

Khamis, 26 Februari 2009

GMP Gesa NGO Bukan Melayu ke Hadapan

Jimadie Shah Othman , Malaysiakini, 25 Februari 2009

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) meminta NGO bukan Melayu turut tampil ke hadapan dalam memperjuangkan pemansuhan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Setiausahanya Hasni Abas berkata, pertubuhan pendidikan bukan Melayu seperti Dong Jiao Zhong (DJZ) dan Yayasan Tamil memberikan kerjasama dengan menghadiri mesyuarat dan program GMP, tetapi kurang terlibat dalam mobilasi untuk perhimpunan raksasa mereka 7 Mac depan.

"Kita harapkan mereka menggerakkan seramai mungkin orang untuk menghadiri perhimpunan tersebut," kata beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Komitmen itu kita belum jelas. Sekejap kata hendak datang, sekejap kata tidak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 7 Mac depan, GMP akan menganjurkan perhimpunan besar 100,000 orang ala-Bersih di Istana Negara, di ibu negara bagi mendesak pemansuhan PPSMI.

Mereka dijadual menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam isu tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Hasni bagaimanapun berkata, GMP akan membuat jemputan khas kepada NGO terbabit untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Belum Putus Secara Rasmi

"Kalau bapa buat kenduri kahwin, takkanlah anak nak kena jemput. Tengoklah nanti kita hantar surat atau SMS," katanya.

Sementara itu, persatuan pendidik Cina, Dong Jiao Zhong difahamkan belum memutuskan secara rasmi penyertaan mereka dalam perhimpunan yang dirancang GMP itu.

Sumber-sumber persatuan itu memberitahu, pihaknya masih memikirkan tindakan sesuai bagi membantah pelaksanaan dasar yang diperkenalkan sejak enam tahun lalu itu.

Bagaimanapun, kata sumber-sumber itu, mereka akan mengekalkan hubungan dengan kumpulan-kumpulan lain yang membantah dasar itu, termasuk GMP.

NGO tersebut, tambahnya, sebelum bersidang awal Mac ini, pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan lanjut mereka menentang PPSMI.

Mereka sebelum ini dilaporkan memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga hujung bulan ini, sebelum memutuskan bentuk bantahannya.

Jumaat, 13 Februari 2009

Godam: Gapena, Semangat Keranda 152, GMP dan Bahasa Melayu

Bersama Salbiah Ani, dahiya@bharian.com.my, BH 11 Februari 2009
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20090212091322/Article/

TIGA hari lagi kita akan menghirup udara 15 Februari dan perkara terbabit sengaja diketengahkan dalam ruang pojok ini kerana ada janji yang dibuat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) serta dinantikan ramai untuk melihat sendiri apakah ia akan ditunaikan.

Gapena pernah berjanji untuk mengadakan perarakan dari Rumah Gapena ke Istana Negara pada tarikh terbabit bagi menyatakan protes kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun kelantangan Gapena pada Disember lalu selepas dibidas Godam, mula mengendur selepas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, mempersoalkan mengapa tindakan sedemikian rupa tidak diambil ketika PPSMI dilaksanakan pada 2003.

Terbaru, khabarnya Gapena akan mengadakan ceramah pada hari terbabit yang disampaikan oleh mantan Pengarah Urusan Sistem Penerbangan Malaysia (Mas), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan disusuli dengan laporan polis berhubung PPSMI di Balai Polis Dang Wangi.

Selain itu, ia tarikh penting dalam sejarah bahasa dan bangsa Melayu di negara ini kerana peristiwa Keranda 152 sebagai penentangan terhadap Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang memperkukuh lagi kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara.

Terkedu penulis apabila membaca ulasan Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 tulisan Zainal Abidin Abd Wahid yang menjelaskan perkara itu secara rinci seperti dimuatkan dalam Keranda 152 - Bahasa Kita - Air Mata & Maruah Kita terbitan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Begitu juga dengan sikap mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam ucapannya dan Memorandum Mengenai Pelaksanaan Fasal 152 Perlembagaan Malaysia yang turut dimuatkan dalam buku terbabit, seolah-olah tidak kasih akan bahasa Melayu.

Terlalu berlembut dalam memenuhi tuntutan pemimpin bukan Melayu dalam meliberalkan pengajaran bahasa kaum mereka sehingga sanggup mengguris hati orang Melayu meskipun janji sudah diberikan ketika Perlembagaan Negara digubal pada 1957 sebaik mendapat kemerdekaan.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada segala yang dirancang akan dilaksanakan Gapena mengikut jadual dan kini sudah ada satu lagi kumpulan menolak PPSMI, Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP), melancarkan gerakan dengan bantahan secara aman pada 31 Januari lalu.

Terkini penulis dimaklumkan, GMP akan mengadakan jerayawara di seluruh negara mulai esok dengan destinasi pertama di Negeri Sembilan dan diakhiri di Wilayah Persekutuan atau Selangor pada 6 Mac depan selain menjadikan masyarakat di bandar kecil sebagai kelompok sasaran untuk penjelasan.

Antara tokoh yang dijadualkan menyertai jerayawara ini ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, Profesor Bahasa Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Abdullah Hassan, mantan Profesor Matematik, Pusat Pengajian Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shahril Mat Zain dan mantan Pengarah Pusat Pengajian Borneo UKM, Datuk Zainal Abidin Abd Wahid.

GMP turut merancang untuk menyerahkan memorandum meminta ahli Parlimen membincangkan bahawa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan kaedah budaya yang akhirnya akan membunuh bahasa ibunda secara perlahan-lahan.

Penulis diberitahu ramai pensyarah di IPTA menentang PPSMI, tetapi terpaksa mendiamkan diri kerana terikat dengan Surat Aku Janji yang mensyaratkan mereka mematuhi lapan perkara sebagai kakitangan awam termasuk akur dan menyokong semua dasar kerajaan.

Sesetengah yang sudah menyatakan pendirian mereka secara terbuka termasuk di kalangan pejuang bahasa, sudah pun dipanggil polis d Cawangan Khas untuk disoal siasat dan diminta memberi hujah bagi mempertahankan tindakan masing-masing.

Suatu hakikat yang sering dinafikan kelompok yang enggan memahami semangat pejuang bahasa ialah mereka bukan taksub dan tidak pernah menafikan kepentingan bahasa Inggeris, tetapi biarlah penguasaan dimantapkan melalui pengajaran subjek, bukannya menjadikan Sains dan Matematik sebagai mangsa.

Pendekatan ini menguntungkan pelajar tanpa mengira bangsa, sosio-ekonomi mahupun kedudukan geografi mereka serta memungkinkan lebih ramai rakyat Malaysia meningkatkan taraf hidup kerana Sains dan Matematik, subjek asas kemasukan ke universiti dengan kursus bernilai ekonomi.

Atau sebenarnya kelompok yang sengaja enggan memahami aspirasi pejuang bahasa Melayu sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi dan mungkinkah tunjuk perasaan Keranda 152 pada 6 Mac 1967 akan berulang dalam usaha memastikan dasar PPSMI dihapuskan?

Rabu, 28 Januari 2009

Sah, Dr. Hassan Ketuai Bantahan PPSMI

Jimadie Shah Othman, Malaysiakini, 8 Januari 2009, 09 5:11pm

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad secara rasmi memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang kini dikenali sebagai Gabungan Mansuhkan PPSMI - yang mengancam mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih - bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program berkenaan, Hasni Abas berkata, Dr. Hassan akan bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa induk gabungan itu.

Menurutnya lagi, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau - yang mengetuai sembilan lagi wakil NGO dan sayap Pemuda parti pembangkang yang bergabung dalam GMP - dengan bekas ketua pengarah DBP itu di Yayasan Karyawan di Damansara tengah hari tadi.

Isnin lalu, Dr. Hassan dilaporkan menyatakan kesediaannya untuk memimpin gabungan itu bagi membantah pelaksanaan PPSMI.Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni berkata, mesyuaratnya dengan Dr. Hassan juga memutuskan untuk melantik sembilan tokoh politik dan bahasa berprofil tinggi bagi menganggotai jawatankuasa induk itu.

Mereka termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa; bekas ketua Pengarah DBP, Datuk Aziz Deraman; tokoh sastera Datuk Dr Anwar Ridwan dan penyair terkenal, Dinsman.

Ditanya tentang tugas pertama Dr. Hassan, Hasni berkata: "Panggil mesyuarat jawatankuasa induk."

Perarakan KerandaJawatankuasa induk yang dibentuk itu merupakan badan utama pembuat keputusan dalam GMP; manakala jawatankuasa pelaksana bertindak menggerakkannya di peringkat bawah.

Hasni yang juga pengerusi Kesatuan Pekerja DBP berkata, jumlah ahli jawatankuasa induk mungkin ditambah daripada masa ke semasa, mengikut keperluannya.

Beliau sebagai pengarah jawatankuasa pelaksana, secara automatik bertindak sebagai setiausaha GMP.

Selain itu, jawatankuasa pelaksana GMP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan gerak kerja lanjut bagi menjayakan perhimpunan besar yang dijadual Mac depan.Selain perhimpunan ala-Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil ) Mac depan, kerajaan juga mungkin berdepan dengan satu "perarakan keranda" Februari ini berhubung isu PPSMI oleh sebuah lagi badan bahasa, Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu - dinamakan Keranda 152 - akan menjadi sebuah lagi tindakan, selain tindakan mahkamah, selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI tidak diendahkan.

Selain NGO Melayu, persatuan pendidikan Cina turut membantah pelaksanaan dasar itu.Lapan NGO itu, yang diketuai Dong Jiou Zong hari ini memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga Mac ini untuk membuat keputusan atau turut menghadapi siri-siri bantahan mereka.